Monday, May 27, 2013
Pilihan warna dan corak hidup...
Zihin
atau minda seorang mukmin akan melihat perkara yang berkaitan dengan kehidupan
dunia dan akhirat melalui neraca yang sahih. Neraca atau piawai inilah yang
akan digunakan dalam seseorang mukmin itu menentukan pilihan dan tindak
tanduknya. Manusia diberikan oleh Allah SWT sifat untuk membuat pilihan
(ikhtiar). Ikhtiar berasal daripada bahasa Arab. Dalam bahasa Melayu, ikhtiar
bermaksud berusaha. Sedangkan dalam bahasa asalnya, perkataan ini bermakna
‘pilihan’. Allah SWT memberikan kita keupayaan untuk berkehendak dan membuat
pilihan.
Allah
SWT berfirman:
أَلَمْ نَجْعَل لَّهُ عَيْنَيْنِ
(*) وَلِسَاناً وَشَفَتَيْنِ (*) وَهَدَيْنَاهُ ٱلنَّجْدَينِ
“Tidakkah
Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan
kekayaan Kami)? Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian
besar dari hajat-hajatnya)? Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan?”
(Surah al-Balad: 8-10)
Imam
al-Qurtubi menyatakan di dalam,tafsirnya, bahawa perkataan “dua jalan” itu
merujuk kepada jalan kebaikan dan jalan kejahatan.
Tujuan
ditunjukkan kepada manusia kedua-dua jalan itu ialah bagi membolehkan seseorang
itu melakukan pilihan mereka sendiri. Oleh kerana mereka telah menggunakan
upaya membuat pilihan yang Allah berikan kepada mereka, maka setiap manusia
bertanggungjawab atas setiap pilihan yang mereka lakukan. Tanggungjawab ini
disimbolkan dengan pahala dan dosa. Pahala ini pula menjadi unit-unit ukuran
kepada keredhaan Allah terhadap sesuatu pilihan. Lagi besar pahala sesuatu
perbuatan, maka itu menunjukkan lagi tinggi keredhaan Allah SWT kepada
perbuatan itu. Di akhirat nanti, keredhaan Allah kepada seseorang itu akan
disimbolkan dengan syurga. Syurga adalah tempat hanya untuk orang yang Allah
redha. Hanya orang yang Allah redha akan dimasukkan ke dalam syurga. Tidak ada
orang yang Allah murkai yang boleh memasuki syurga!
Islam
mengajarkan bahawa setiap detik dan saat yang berlalu dalam kehidupan dunia ini
adalah ruang-ruang pilihan yang akan menentukan corak kehidupan akhirat
seseorang. Mulia atau hina. Barjaya atau gagal. Bahagia atau celaka. Oleh itu,
zihin seorang mukmin akan sentiasa melihat setiap gerak gerinya dan menilai
dengan penilaian akhirat. Dia akan pastikan bahawa apa sahaja kehidupan
dunianya akan diwarna dan dicorakkan dengan celupan agama Allah. Sebagaimana
ingatan Allah di dalam al-Quran:
صِبْغَةَ ٱللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبْغَةً
وَنَحْنُ لَهُ عَابِدونَ
“Shibghah
(Celupan) Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan
hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.”
(Surah al-Baqarah: 138)
Imam
at-Tobari menyimpulkan bahawa maksud celupan Allah di sini ialah agama Islam.
Islam ini ada coraknya. Ada identitinya sendiri. Seluruh 24 jam hidup kita ini
perlu kita corakkan sesuai dengan corak dan warna yang Allah suka dan redhai.
Pilihan-pilhan corak dan warna yang tepat dan sahih perlu dibuat. Ini
disebabkan, celupan dan warna yang dibuat ke atas kehidupan dunia kita ini,
maka itulah yang akan menentukan corak dan warna kehidupan akhirat kita sama
ada mulia atau hina; berjaya atau gagal; mahupun bahagia atau celaka!
Al-Quran
menggambarkan corak kehidupan akhirat ketika itu ada dua keadaan sahaja, sama
ada bahagia atau celaka! Apa yang lebih malang lagi, ketika itu kita sudah
tidak mempunyai upaya untuk membuat pilihan. Kita hanya berhak menerima natijah
pilihan yang kita lakukan di dunia dahulu.
“(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu),
tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon
pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka
dan ada pula yang berbahagia. Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan
keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam Nerakalah tempatnya. Bagi mereka di
situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai). Mereka
kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh
Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Adapun
orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam
Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi
kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak
putus-putus.” (Surah Hud: 105-108)
Lantas,
celupan manakah yang kita akan pilih untuk kehidupan dunia kita ini?
Friday, May 10, 2013
Mulianya iman...
Imam al-Bukhari telah merekodkan satu riwayat yang
bersumber daripada Abu Sa’id Khudri r.a. dan Abu Hurairah r.a.; bahawa Nabi
s.a.w. bersabda,
مَايُصِيبُ
الْمُسْلِمَ مِن نَصَبٍ وَلاَوَصَبٍ ، وَلاَهَمٍّ وَلاَ حَزَنٍ،وَلاَ
أَذًى،وَلاَغَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَاإِلاَّ كَفَّرَ اللهُ بِهَامِنْ
خَطَايَاهُ.
“Tidaklah menimpa seseorang muslim sama ada letih, sakit,
kerisauan, kesedihan, kesusahan, atau kebimbangan bahkan tusukan duri sekalipun
melainkan Allah s.w.t. akan menjadikan semua itu sebagai kifarah kepada
dosa-dosanya.”
Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda,” Bagi setiap seorang hamba ada martabat yang tertentu di sisi Alah
SWT dan apabila hamba itu tidak dapat mencapai martabat itu dengan amalannya,
maka Allah SWT akan terus mengujinya dengan perkara-perkara yang tidak
disenanginya (sperti sakit, susah dan sebagainya) supaya dengan perantaraan
perkara-perkara yang tidak disenanginya itu dia dapat mencapai martabat tersebut”.
(Riwayat Abu Ya’la)
Saiyidatina Aisyah r.ha berkata bahawa beliau mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda,” Mana-mana orang Islam yang terkena tusukan duri
malah kesusahan yang lebih kecil daripada itupun akan diberi ganjaran satu
darjat dengan sebab kesusahan itu dan satu dosa akan dimaafkan”. (Riwayat Muslim)
Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda,” Bala berterusan akan menimpa orang mu’min lelaki dan perempua sama
ada pada dirinya sendiri, anaknya atau hartanya (yang menyebabkan dosa-dosanya
sentiasa gugur) sehingga dia bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan dia tidak
mempunyai apa-apa dosa”. (Riwayat Tirmizi)
Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda,” Apabila Allah SWT menguji seseorang hamba yang Islam dengan apa-apa
penyakit jasmani maka Allah SWT akan memerintahkan seorang malaikat,”
Teruskanlah menulis ganjaran amalan yang biasa hamba ini amalkan (semasa dia
sihat)”. Sekiranya Allah s.w.t. menyembuhkannya, maka Allah s.w.t. akan
membersihkan dan menyucikannya (daripada dosa-dosanya) dan sekiranya Allah s.w.t.
mengambil nyawanya, maka Allah s.w.t. akan mengampuni dan merahmatinya”. (Riwayat
Abu Ya’la dan Ahmad)
Syaddad bin Aus r.a berkata bahawa beliau mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda, Allah s.w.t. berfirman,” Apabila Aku timpakan ujian
(dengan musibah, sakit dan lain-lain kesusahan) ke atas salah seorang daripada
hamba-hamba-Ku yang beriman dan dia memuji Daku (kerana redha) maka (Aku akan
memerintahkan para malaikat),” Tulislah segala ganjaran amalannya yang baik
sebagaimana yang biasa kamu tulis semasa dia sihat”. (Riwayat Ahmad dan
Thabrani)
Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,”
Sentiasalah demam panas dan sakit kepala yang menimpa mana-mana hamba Allah SWT
lelaki mahupun wanita, akan menjadikan tidak ada sebarang dosa walaupun sebesar
biji sawi tinggal bagi mereka, sedangkan sebelum itu mereka menanggung beban
dosa sebesar gunung Uhud”. (Riwayat Abu Ya’la)
Semua riwayat di atas menjelaskan secara nyata menjelaskan
beberapa kelebihan atau ganjaran yang dikurniakan kepada seseorang yang diuji
dengan kesakitan atau sebarang kesusahan.
Bagaimanapun, cuba kita selami sedikit mendalam, kenapakah
begitu banyak fadilat dan kemuliaan diraih oleh seseorang yang diuji dengan
sakit dan kesusahan ini? Sebenarnya, hadis ini semua turut menjelaskan satu
perkara lagi, iaitu menunjukkan kepada kita betapa mulianya seseorang yang
mempunyai iman dan Islam. Begitu mulianya seseorang yang beriman, sehingga apa
sahaja yang berkaitan dengan diri mereka akan bernilai di sisi Allah. Satu
tusukan duri sahaja pun, cukup untuk menyebabkan keampunan Allah dicurahkan
kepadanya. Malah, apa sahaja kesedihan atau kebimbangan hati mereka, sudah
mampu menarik perhatian Allah lalu dikurniakan segala macam rahmat, maghfirah
dan ganjaran dari sisi Allah.
Sedarkah kita betapa mulianya seseorang muslim itu di sisi
Allah?
Tuesday, March 5, 2013
Bila melihat kembali blog saya ini, sayu juga hati... kerana agak lama dibiarkan sepi. Kesibukan tugasan dan disokong pula oleh media sosial Facebook... menyebabkan keutamaan untuk menulis di blog menjadi semakin terkebawah.
Mmmm... mohon doakan saya agar dapat kembali aktif menulis. :-)
Juga mohon untuk doakan agar manuskrip terbaharu saya dapat diterbitkan secepat yang mungkin oleh Inteam Publishing...
Mmmm... mohon doakan saya agar dapat kembali aktif menulis. :-)
Juga mohon untuk doakan agar manuskrip terbaharu saya dapat diterbitkan secepat yang mungkin oleh Inteam Publishing...
Berapa masa yang kita sedia?
Allah
Azza wa Jalla telah memerintahkan dengan satu perintah di dalam al-Quran, di
mana Allah memulakan pelaksanaannya dengan Diri Allah Taala sendri. Malah Allah
menyatakan pula bahawa para malaikat juga turut menyertai pelaksanaannya.
Setelah itu baharulah Allah Taala menyeru kita semua – setiap orang yang
beriman – dengan perintahNya,
sebagaimana firman Allah:
إِنَّ
اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Sesungguhnya
Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan)
kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu
kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
( al-Ahzab 33: 56)
Renungilah!
Di dalam al-Quran amat langka sekali sesuatu perkara yang diperintahkan itu
dimulakan dengan satu kenyataan bahawa Allah s.w.t. sendiri turut sama
melakukan perkara itu. Ini sahaja sudah cukup untuk menjelaskan betapa mulianya
fadilat amalan berselawat kepada Rasulullah s.a.w. Malah Imam al-Qurtubi
menyimpulkan, bahawa ayat ini merupakan satu pernyataan betapa kemuliaan diri
baginda Rasulullah s.a.w. itu sendiri!
Hubungan
antara Rasulullah s.a.w. dengan kita sebagai umat baginda adalah amat rapat
sekali. Cuba fahami, untuk amalan solat yang merupakan satu ibadah yang begitu
tinggi kedudukannya di sisi Allah, kita masih dituntut untuk berselawat dan
mengucapkan salam kepada baginda Rasulullah s.a.w. di dalam solat kita.
Seolah-olah Allah s.w.t. mahu agar setiap hari hubungan, ingatan dan ikatan
hati kita kepada baginda sentiasa diperkukuhkan lima kali sehari, hari demi
hari. Sehinggalah hari kita akan mencari dan bertemu dengan baginda di medan
Mahsyar nanti!
Imam
an-Nasaie telah merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada ‘Umair
al-Ansari r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa sahaja daripada
umat ku yang berselawat ke atas ku dengan hati yang tulus ikhlas maka Allah
akan menurunkan ke atasnya sepuluh rahmat, ditinggikan sepuluh darjat,
dituliskan untuknya sepuluh pahala dan dihapuskan sepuluh dosa.”
Imam
at-Tirmizi pula telah merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Ubai bin
Ka’ab r.a., bahawa apabila berlalu dua pertiga malam, Rasulullah s.a.w. akan
bangun (untuk bertahajud) dan akan berkata kepada para sahabat, “Wahai manusia,
ingatilah Allah! Ingatilah Allah! Telah sampailah perkara yang menggoncangkan
dan telah sampaikan juga perkara yang mengiringinya (maksudnya ialah tiupan
sangkala yang pertama dan selepasnya tiupan sangkala yang kedua sudah hampir).
Maut beserta segala kedahsyatannya telah datang! Maut beserta segala kedahsyatannya
telah datang!”
Lantaran
itu, Ubai berkata, “Ya Rasulullah, saya ingin memperbanyakkan selawat kepada
tuan. Daripada masa berdoa dan berzikir saya, sebanyak manakah masa yang patut
saya tetapkan untuk saya berselawat kepada tuan?”
Baginda
bersabda, “Sebanyak yang hati kamu inginkan.”
Saya
bertanya lagi, “Ya Rasulullah, kalau satu perempat?”
Baginda
menjawab, “Sebanyak yang kamu inginkan. Sekiranya kamu tambah maka itu lebih
baik kepada kamu.”
Saya
berkata lagi, “Jika separuh?”
Baginda
menjawab, “Sebanyak yang kamu inginkan, jika kamu tambah lagi maka itu lebih
baik untuk kamu.”
Saya
bertanya lagi, “Jika dua pertiga?”
Baginda
bersabda, “Sebanyak yang kamu suka. Jika kamu tambah lagi maka itu lebih baik
bagi kamu.”
Saya
pun berkata, “Jika demikian, saya jadikan seluruh masa untuk berselawat kepada
tuan. “
Baginda
bersabda, “Jika kamu lakukan demikian maka Allah akan hapuskan segala kerisauan
kamu dan Allah akan ampunkan segala dosa kamu.”
Sekarang,
giliran kita pula bertanya kepada diri kita, berapa banyak pula masa kita sedia
untuk berselawat kepada kekasih hati kita Saiyidina Rasulillah s.a.w.?
Subscribe to:
Posts (Atom)