Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Wednesday, December 31, 2008

1 Muharam 1430H dan 1 Januari 2009M

Alhamdulillah... Puja dan puji hanya dan sebenarnya milik Allah. Dia-lah Allah, Tuhan Yang Esa. Satu-satunya Sang Pencipta, dan selain daripada-Nya, semuanya diciptakan. Maka, antara ciptaan-Nya yang paling purba ialah 'masa' itu sendiri. Sebelum diciptakan masa, tidak ada sebelum, sedang dan sesudah. Tidak ada saat, minit dan jam. Tidak ada semalam, hari ini dan esok. Tidak ada minggu, bulan dan tahun. Lalu diciptakan masa. Semuanya hanya terbit daripada Kudrat dan Iradat Mutlak Allah Taala.

Sama seperti manusia. Sebelum Allah menciptakan manusia, tidak ada makhluk yang bernama manusia. Tidak dikenal malah tidak disebut pun tentang makhluk manusia. Begitulah juga masa! Sebelum Allah menciptakan masa, tidak ada makhluk yang bernama masa. Lalu segala Hukum Masa tidak pernah dikenal dan berlaku.

Apa sahaja masa dan tarikh yang disebut oleh kita, pada hakikatnya adalah simbol kepada masa. Dan dengan 'masa' inilah Allah Taala telah bersumpah, bahawa seluruh manusia itu berada dalam kerugian!


Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian!
Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh;
Dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran
Dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya menukilkan kata-kata Imam Asy-Syafi'ie rahimahullah, "Sekiranya manusia benar-benar bertadabbur (memikirkan dengan mendalam akan surah ini, sudah memadailah (surah ini) bagi mereka!".

Seterusnya Imam Ibnu Khathir memberikan komentarnya, "Maka Allah Taala telah bersumpah dengannya (yakni masa), atas bahawasanya manusia itu dalam keadaan 'khusr', iaitu kerugian dan kebinasaan."

At-Tobari pula menyatakan, ayat ini menyatakan bahawa, "Seluruh anak Adam itu dalam keadaan kebinasaan dan kerugian".

Di dalam Tafsir Adwa-ul Bayaan oleh Asy-Syanqiti ditegaskan bahawa huruf 'alif-lam' pada perkataan 'insan' itu ialah "alif-lam lil-jinsi"yang memberikan makna perkataan insan itu meliputi makna semua manusia sama ada yang kafir atau yang beriman. Tantowi di dalam tafsir 'Al-Wasit'nya juga memberikan kesimpulan yang sama.

Allah, yang telah menciptakan masa, serta yang juga menciptakan manusia, telah bersumpah bahawa kita semua dalam keadaan kerugian dan kebinasaan sentiasa, melainkan kita berusaha untuk memiliki empat perkara:

1. iman;
2. amal soleh;
3. berpesan-pesan dengan 'kebenaran'; dan
4. berpesan-pesan dengan 'kesabaran'.

Imam At-Tobari menukilkan di dalam Tafsirnya bahawa Qatadah dan Al-Hasan menyatakan, makna 'al-haq' (kebenaran) di sini ialah Kitabullah yakni Al-Quran Al-Karim. Qatadah dan Al-Hasan juga menyatakan, makna 'as-sabr' (kesabaran) pula ialah ketaatan kepada Allah Taala.

Manakala pengarang Tafsir Adwa-ul-Bayaan pula menyimpulkan bahawa, makna 'berpesan-pesan dengan kebenaran' di sini seolah-olah sama dengan seruan 'saling ingat-mengingatkan atas Jalan Yang lurus dan beristiqamah di atasnya, sebagaimana yang disebutkan di dalam Surah Al-Fatihah.

Imam Al-Fakhru ar-Raazi pula memberikan komentarnya bahawa, sesungguhnya Allah Taala apabila mengkhabarkan keadaan orang-rang yang terselamat daripada kerugian itu, dengan kejayaan mereka disebabkan amal soleh dan keimanan mereka; Allah menyatakan pula kepada mereka bahawa adalah tidak memadai dengan memiliki apa yang berkaitan dengan diri mereka sahaja, bahkan diambilkira juga apa yang berkaitan dengan diri orang lain, yakni dengan mengajak orang lain kepada perkara yang membawa kejayaan kepada mereka, atas batasan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., "Kasihilah kepada saudaramu, apa yang kau kasihi untuk diri kamu sendiri."

Jelas di sini, kejayaan dan keselamatan daripada kerugian dan kebinasaan di dunia dan akhirat ialah apabila kita benar berusaha atas iman kita, berusaha atas amalan soleh kita, saling mendakwahkan dan memberi peringatan agar berpegang dengan pengamalan agama yang sempurna dan saling mendakwahkan agar istiqamah dengan ketaatan.


Semoga tarikh 1 Muharram 1430H dan 1 Januari 2009M ini dapat mengingatkan kita, bahawa kemuliaan dan kejayaan kita ialah dalam agama, sejauhmana kita dapat taat perintah Allah, sebagaimana tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. Dan dalam masa yang sama, kita juga mengingatkan saudara-saudara kita yang lain, tentang perkara ini.
Blog Widget by LinkWithin