Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Sunday, August 23, 2009

3 Ramadhan 1430H...

Sudah tiga malam berlalu. Ramadhan kini bersama kita. Pagi kita, petang kita. Malam kita, siang kita. Sejak masuk Maghrib Jumaat lepas, semuanya sudah tidak sama lagi. Pintu-pintu syurga dibuka sepenuhnya. Pintu-pintu neraka ditutup. Penduduk langit bergembira. Malah, syurga yang sedia hebat, diperindahkan dan dihiaskan lagi bila munculnya Ramadhan. Segalanya tidak sama lagi. Satu rakaat dalam Ramadhan, sama sekali tidak sama dengan satu rakaat di luar Ramadhan. Satu 'Subhanallah' dalam Ramadhan, jauh sekali beza pahalanya dengan satu 'Subhanallah' di luar Ramadhan. Bezanya seperti jarak langit dengan bumi. Semoga Allah benar-benar beri taufik, agar kita dapat manfaatkan kunjungan Ramadhan ini untuk menjadi wadah, kita semakin mulia di sisi Allah!

Maulana Abdullah Yusuf Ali menyatakan, di dalam Al-Quran, ayat-ayat tentang Ramadhan dan ibadah puasa terhimpun di dalam ayat 183-188 Surah Al-Baqarah. Maknanya, jika kita ingin mengetahui apa yang Allah Taala nyatakan sendiri tentang Ramadhan, hendaklah kita rujuk kepada ayat-ayat tersebut. Itulah adab kita sebagai hamba, sentiasa melihat dan menelek, apa yang Allah mahu daripada kita. Cuba baca ayat-ayat suci 'tu. Kemudian tengok terjemahan, tengok tafsir. Insya Allah, akan jelas kepada kita, apa yang sepatutnya kita banyakkan dalam Ramadhan 'ni. Ada yang kita kena banyakkan. Ada yang kita kena kurangkan. Ada kita kena tinggalkan. Bila kita jalani Ramadhan, ikut program yang Allah 'dah susun, insya Allah, kita akan capai maksud Allah fardhukan ibadah puasa - yang juga merupakan salah satu Rukun Islam - dalam bulan Ramadhan ini. Imam At-Tobrani dalam At-Tafsir Al-Kabir menyatakan, program puasa Ramadhan ini telah disusun oleh Allah, supaya kita semua dapat menjadi golongan atqiyaa' (orang yang bertaqwa). Imam Al-Qurtubi pula menyatakan dalam tafsirnya, puasa itu adalah sebab kepada Taqwa, kerana ia mematikan syahwat-syahwat (yang tidak elok). Selain pahala, kita inginkan 'kesan' daripada puasa kita.

Rasanya, banyak 'dah yang telah ditulis dan diceramahkan tentang apa yang perlu dilakukan sepanjang bulan yang berkat ini. Senarai yang teratas sudah tentu berkaitan dengan ibadah Puasa itu sendiri. Untuk ibadah puasa, amat penting kita pelajari segala hukum hakamnya. Wajib sunatnya. Sah batalnya. Segala masail (masalah-masalah hukum-hakam) puasa perlu kita jaga. Seterusnya kita hiasilah sepanjang hari ibadah puasa kita itu dengan ibadah sahur, tilawah Al-Quran, tawajuh dan doa, zikrullah, sedekah, iktikaf dan memberikan makanan untuk iftar. Malamnya kita makmurkan dengan iktikaf, tarawih, tadarrus dan tahajud.

Cuma satu perkara, yang sangat perlu kita ingatkan, istimewanya dalam bulan Ramadhan ini, marilah kita berusaha untuk benar-benar jaga solat lima waktu kita. Saya tengok ramai yang begitu bersungguh-sungguh untuk tarawih. Bersesak-sesak. Ada yang buat 8 rakaat, ada yang 20 rakaat. Ada yang bukan setakat 20 rakaat, siap imam hafiz lagi. Maka penuhlah masjid dan surau waktu tarawih. Malah melimpah-limpah. Apa yang menghairankan, kenapa semasa Maghrib dan Subuh, surau yang sama, kariah yang sama; tetapi menjadi kosong tidak seperti semasa tarawih? Malah sesetengahnya, isyak dilepaskan daripada berjemaah, sekadar datang untuk bertarawih sahaja. Apa sudah jadi?

Adakah kita faham bahawa nilai tarawih berjemaah itu lebih tinggi nilainya di sisi Allah melebihi nilai Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah? Wallahi.. Demi Allah! Nilai dua rakaat solat Subuh berjemaah itu jauuuuuh lebih tinggi daripada 20 rakaat solat tarawih!! Lebih rugi lagi... satu solat fardhu yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan, Allah gandakan ganjarannya seperti 70 kali kita bersolat fardhu di luar Ramadhan... Siapa yang sanggup solat sampai 70 kali???

Kita perlu faham, bila Allah letakkan pahala dan ganjaran yang tinggi kepada sesatu amalan, maka itu menunjukkan tahap suka dan redha Allah yang lebih besar kepada amalan tersebut. Bukankah kita beramal ini untuk 'menyukakan' Allah? Supaya Allah suka kepada kita. Bila Allah suka, maka Allah akan redha kepada kita? Jika demikian, kenapa kita tinggalkan atau remehkan perkara yang Allah suka?

Oh Allah.. Kasihanilah kami... rahmatilah kami.. berlemah-lembutlah dengan kelemahan kami!

Wednesday, August 19, 2009

Ramadhan Ya Ramadhan!

Hari ini atau pun esok ialah hari terakhir Sya'ban 1430H. Petang 'ni akan dilakukan rukyah hilal bagi menentukan tarikh Ramadhan Al-Mubarak. Walaupun sistem Hisab digunakan, namun rukyah mempunyai kuasa 'veto'. Maknanya, walaupun pengiraan falak telah dilakukan, dan telah terhasil satu kalendar melalui kaedah hisab ini, namun jika sabit ada yang nampak anak bulan (rukyah hilal) maka rukyah tadi akan membatalkan apa saja hisab. Ini adalah ketetapan yang Allah telah isytiharkan melalui Al-Quran:

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji..." (Al-Baqarah 2: 189)

"...Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain." (Al-Baqarah 2: 184)
Semalam, Allah bagi peluang untuk bersama-sama dengan warga Jabatan Perangkaan Malaysia, bersembang tentang sejauhmana sepatutnya Ramadhan dan program yang Allah telah aturkan di dalamnya, dapat kita manfaatkan bagi menggilap IQ, EQ, PQ dan SQ. Hari ini, semua orang mula bercakap tentang Spiritual Quotient (Kecerdasan Spiritual). Walaupun perkataan spiritual ataupun kerohanian 'tu diberikan definisi yang macam-macam. Cuma secara positifnya, orang semakin peka dengan kerohanian. Semua mula bercerita tentang SQ. Kursus-kursus SQ mula diminati. Bermacam-macam approach dan modul. Sebenarnya itulah fitrah manusia. Akhirnya, kita terpaksa akur, bahawa roh kita juga perlukan perhatian daripada kita.

Fizikal, material dan jasadi bukan tidak penting, malah amat penting. Tamsilannya, macam seseorang memelihara burung. Burung tersebut seekor burung yang amat cantik. Mahal pulak tu. Lalu tuan burung ini letakkan burung 'tu dalam satu sangkar. Sangkar yang cantik. Ditempa daripada emas. Bertambah hebatlah burung di dalam sangkar emas 'tu. Maka setiap hari, tuan burung ini akan basuh, gilap dan bersihkan sangkar emas 'tu. Berkilau-kilau. Malangnya, dek asyik tuan burung menggilap sangkar emasnya, terlupa dia untuk mengambil tahu tentang si burung. Makanan burung tidak diberi. Air si burung tidak berganti. Akhirnya, si burung telah sakit.. semakin lemah.. semakin lemah.. dan akhirnya mati.

Begitulah keadaan kita. Sangkar 'tu ibaratnya jasad kita. Burung 'tu ibaratnya rohani kita. Kita terlalu leka menguruskan 'sangkar' dan akhirnya rohani kita telah menderita. Rohani kita telah sakit. Tanda rohani kita sakit, macam bila badan kita sakit. Kita mula tidak berselera. Bagi air manis, kita rasa tawar. Makan nasi beriyani kita rasa pahit. Sebenarnya bukan air atau nasi 'tu yang 'tak sedap; tapi kita yang pahit mulut kerana tidak sihat. Begitulah juga bila kerohanian kita 'sakit'. Maka amalan-amalan agama 'ni kita akan rasa tidak 'manis', tidak lazat dan tidak enak. Sedangkan Rasulullah s.a.w. kata, iman itu ada manisnya. Halawatul-iman, kemanisan iman. Solat itu seronok, lalu digelar oleh Rasulullah s.a.w. solat itu sebagai 'qurratu ain', penyejuk mata. Tapi, bila rohani kita sakit, maka yang manis dan seronok ini, jadi kelat pahit untuk kita...

Kini Ramadhan kembali menjenguk kita. Mengetuk pintu kehidupan kita. Membawa bersamanya ribuan malaikat rahmat. Siang dan malamnya diliputi keberkatan yang melimpah-ruah. Bulan yang amat berkat. Satu amalan fadhu seperti melakukan 70 amalan fardhu di bulan lain. Satu amalan sunat, seperti melakukan amalan fardhu di bulan lain. Sedangkan beza darjat fadhu dengan sunat ialah seperti bezanya langit dan bumi. Huru-hara penghuni langit dengan kedatangannya. Bergembira penghuni kubur, dengan ketibaannya. Pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, dan pintu-pintu neraka akan ditutup. Doa-doa akan dimakbulkan. Seluruh ikan-ikan di laut akan memohon istighfar kepada orang yang berpuasa. Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ihtisab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang mendirikan malam (dengan solat tarawih dan sebagainya, diampunkan segala dosanya yang lalu. Siang dan malam yang penuh dengan maghfirah. Tawaran keampunan berada di mana-mana. Tawaran pahala dan ganjaran yang berlipat-ganda. Tawaran rahmat yang memenuhi setiap detik dan saat hari-hari Ramadhan. Segalanya melambangkan betapa luasnya gembira dan redha Allah yang dapat kita raih melalui Ramadhan ini!

Bersediakah kita memanfaatkannya? Bersediakah kita memujuk rayu saudara kita yang lain, agar turut memanfaatnya? Jika begitu, apa yang perlu kita lakukan?

"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur." (Al-Baqarah 2: 184)

Sunday, August 16, 2009

Satu Hujung Minggu....



Lebih kurang pukul 11.40 pagi tadi, saya sampai di Stesen ERL Putrajaya-Cyberjaya. Hampir-hampir terlelap dalam ERL tadi. Dua hari lepas, rehat yang tidak berapa mencukupi. Bermula subuh Sabtu, dengan Kuliah Subuh di Surau Al-Muhajirin Presint 9. Habis kuliah, jemput anak yang ada program Qiyamullail di sekolahnya. Pukul 9 - 11 pagi, bersama kawan-kawan dalam Kelas Al-Quran Dewasa di Surau Saidina Ali, Presint9. Selepas makan tengahari, sempat Qailulah sekejap, kemudian bergegas pula ke KLIA untuk berlepas ke Langkawi. Saya mendapat jemputan daripada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan untuk 'bersembang' tentang Pengurusan Emosi. Slot selama dua jam tersebut, diselitkan dalam Kursus Pengurusan dan Kewangan mereka.

Premis pendekatan yang saya pilih ialah bidang Spiritual Quotient (SQ). Saya maksudkan SQ di sini ialah 'usaha atas hati'. Hati adalah penentu kepada seluruh baik mahupun buruk anggota tubuh manusia. Seseorang yang hatinya tahu siapa 'dia' yang sebenarnya dalam konteks hubungannya dengan 'Dia'... pasti mampu menguruskan emosi. Apa sahaja bentuk emosi adalah milik Allah. Kalau Allah tidak ciptakan emosi sedih, maka emosi sedih tidak akan wujud. Jika Allah tidak cipta emosi gembira, maka yang nama kata emosi gembira itu pun tidak wujud. Suka, duka, sedih, geram, tenang, gembira, senang hati, risau, relaks dsb. semuanya adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah. Semuanya daripada khazanah Allah, semuanya dalam gengaman Allah. Sumbernya hanya satu, yakni khazanah Allah. Oleh itu, cara untuk dapatkannya juga perlu satu, iaitu cara yang Allah suka. "1Khazanah. 1Cara"

Allah telah ciptakan seluruh makhlukNya. Dan Allah telah ambil tanggungjawab uruskan segala keperluan hamba-hambaNya. Cuma kita selalu lupa dan leka. Menyebabkan kita lebih suka mengadu kepada sesama hamba, melebihi aduan dan munajat kita kepada Allah, Yang Maha Rahman lagi Maha Rahim. Allah, Satu-satunya Pemilik Khazanah yang hanya satu. "Katakanlah, Allah itu Esa. Allah-lah As-Somad." As-Somad, tempat bergantung hajat segala makhluk. Sebesar-besar makhluk seperti Arasy, tetap memerlukan Allah; hingga sekecil-kecil makhluk seperti kuman pun, tetap perlukan Allah. Hanya Allah, dan semata-mata Allah. Tiada dua, tiada tiga. Hanya Dia. "Laa ilaaha illalLah!"

Kita sangka emosi itu adalah milik kita. Emosi itu pun sebenarnya hanya amanah kepada kita. Pemilik Hakikinya hanya Allah. Semuanya datang dari khazanah Allah. Syarat pertama menguruskannya ialah membetulkan yakin kita bahawa Pemilik Hakiki emosi hanya Allah. Dan hanya dengan mempunyai hubungan yang betul terhadap Allah, kita akan dapat menguruskan emosi kita sebagai satu amanah daripada Allah. Salah satu wadah terbaik membina hubungan ini ialah melalui doa. Lebih dalam daripada doa ialah muraqabah, iaitu Muraqabah Du'aiyyah. Allah menyatakan:

"dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi orang yang mendapat petunjuk dan menjalani jalan yang betul." [Al-Baqarah 2: 186]

Rasulullah s.a.w mengkhabarkan firman Allah menerusi hadis Qudsi, Allah berfirman, "...Dan Aku bersamanya (yakni hambaKu) ketikamana dia berdoa kepada Ku." (HR Muslim)

Begitulah Allah dan Maha Pemurahnya Allah...

Selesai slot saya bersama Jabatan Belia Sukan Negeri Sembilan, saya bergegas pula ke Alor Setar melalui feri ke Kuala Kedah. Petangnya, berada di Yan dan malamnya ada majlis pula di Holiday Villa, Alor Setar.

7.50 pagi tadi, saya check-out dan terus ke Lapangan Terbang Alor Setar. Akhirnya, dengan izin Allah, saya tiba di Putrajaya... Alhamdulillah, sakit tekak dan demam saya pun sudah agak kebah. Malam ini, ada kuliah Maghrib di Surau Saidina Othman. Cuma dengan suara parau ini, saya terpaksa menarik diri daripada menjadi moderator untuk program Jawhar Intellectual Discourse pagi esok.

Benarlah, "La haula wa la quwwata, illa billahil-'aliyyilaziim'!
Blog Widget by LinkWithin