Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Sunday, June 27, 2010

DEWAN HUFFAZ KEBANGSAAN


Memartabat institusi tahfiz

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kerajaan mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha memartabatkan golongan penghafaz al-Quran dan institusi tahfiz di negara ini apabila menubuhkan Dewan Huffaz Kebangsaan.

Pelancaran institusi itu yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini membuktikan kesungguhan kerajaan meletakkan golongan huffaz pada kedudukan sewajarnya.

Jamil Khir pada sidang akhbar selepas itu berkata, antara tujuan penubuhan institusi itu adalah untuk membantu penuntut-penuntut maahad tahfiz swasta dan persendirian mendapatkan sijil yang diiktiraf.

"Dengan kejayaan kita melancarkan penubuhan Dewan Huffaz Kabangsaan ini, insya-Allah kita akan memperkenalkan Sijil Khatam Hafazan. Secara asasnya, melalui sijil ini masalah ketidakseragaman sijil serta sijil tidak diiktiraf dapat diselesaikan.

"Ini bermakna setiap hafiz al-Quran yang menyelesaikan pengajian mereka di mana-mana madrasah atau institusi yang tidak diiktiraf berpeluang menduduki ujian untuk mendapatkan sijil tersebut bagi membolehkan mereka diberi pengiktirafan akademik yang sepatutnya,'' katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil Khir berkata, di peringkat ini Darul Quran Jakim yang merupakan urus setia bagi institusi berkenaan sedang memperincikan syarat-syarat yang membolehkan penuntut maahad tahfiz swasta dan persendirian mengambil ujian berkenaan.

"Sudah tentu syarat-syarat tersebut tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu antara lain mengambil kira pencapaian akademik.

"Selain melibatkan institusi swasta dan persendirian di negara ini, ia turut membabitkan para huffaz yang menjalani pengajian tahfiz di institusi-institusi luar negara yang tidak diiktiraf,'' katanya lagi.

Terdahulu di dalam ucapannya Jamil Khir berkata, institusi tersebut berperanan mengumpulkan para huffaz dan institusi tahfiz seluruh negara di dalam satu wadah rasmi yang diiktiraf oleh kerajaan.

"Dengan adanya penyatuan tersebut ia memberi kelebihan untuk kita menggunakan setiap kebolehan dan kelebihan mereka dalam memberi sumbangan kepada umat Islam lain melalui kaedah yang lebih tersusun dan bersistematik.

"Saya juga memberi jaminan bahawa penubuhan dewan ini bukan untuk mengawal atau mencampuri urusan pentadbiran dan sukatan madrasah masing-masing tetapi untuk memartabatkan lagi bidang tahfiz di negara ini,'' katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, jumlah penghafaz al-Quran yang selesai menghafaz 30 juzuk al-Quran di seluruh negara dianggarkan antara 5,000 hingga 6,000 orang.

"Angka ini berdasarkan kewujudan 281 institusi tahfiz yang disahkan. Bagi institusi tahfiz kelolaan kerajaan sama ada oleh Jakim atau negeri, jumlah penghafaz yang direkodkan ialah 2,908 orang,'' ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jawi akan meneruskan usaha memberi sagu hati RM6,000 setahun kepada penghafaz 30 juzuk al-Quran.


Ulasan:

Hadrat Abdullah bin 'Amr r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Akan dikatakan kepada Sohibul-Quran (orang yang ahli dengan al-Quran: "Bacalah, dan tingkatkanlah (darjatmu di dalam syurga), dan ber'tartil'lah (dalam bacaan mu) sebagaimana kamu membaca dengan tartil di dunia dahulu; Sesungguhnya tempat mu (yakni kedudukan darjat kamu di syurga ini)adalah pada ayat yang terakhir kamu baca."
(Diriwayatkan oleh Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya)

Allamah Mulla 'Ali Qari rah.a. telah menerangkan dengan terperinci berkenaan ungkapan 'Sohibul-Quran' di dalam hadis ini di mana beliau menyimpulkan bahawa kelebihan ini hanyalah untu para hafiz.

Dinukilkan daripada kitab Jam'ul-Fawaaid daripada Tabrani bersumber daripada Hadrat Anas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Sesiapa yang mengajar anaknya membaca al-Quran, maka segala dosanya diampunkan dan sesiapa yang menjadikan nakanya hafiz al-Quran akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan cahaya wajahnya seperti bulan purnama dan akan dikatakan kepada anaknya, 'Mulakan bacaanmu!". Apabila anak itu membaca satu ayat, maka satu darjat bapanya akan ditinggikan dan demikianlah sehingga keseluruhan ayat al-Quran itu habis dibacakan."

Hadrat Syaikhul-Hadith Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a. menyatakan, dapat diketahui daripada banayak hadis bahawa tingkat-tingkat dalam syurga adalah sebanyak bilangan ayat dalam al-Quran. Maka seseorang yang menghafaz seluruh al-Quran akan berada pada tingkat yang paling tinggi di dalam syurga.

Mula 'Ali Qari rah.a. menuliskan bahawa dalam sebuah hadis terdapat kenyataan bahawa tidak ada tingkat yang lebih tinggi di dalam syurga melainkan tingkat yang dianugerahkan kepada pembaca al-Quran. Dengan ini para hafiz akan naik tingkat demi tingkat di dalam syurga berkadar dengan jumlah ayat yang telah mereka baca.

Wahai para hafiz... alangkah dicemburui nikmat ini!

Thursday, June 24, 2010

Majalah Solusi Bil. 20: Sebaik-Baik Umat

Allah s.w.t., Tuhan yang telah menciptakan manusia daripada tiada kepada ada, yang telah menciptakan umat-umat sejak Adam a.s. sehinggalah bayi yang terakhir dilahirkan sebelum tiupan sangkakala yang akan menamatkan hayat alam ini, dengan jelas telah menyatakan fadilat umat Muhammad s.a.w. melalui firman-Nya:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”(Surah Aali ‘Imran 3: 110)

Ini adalah fadilat yang nyata berkenaan umat ini. Berkat nisbat kita dengan Rasulullah s.a.w., kita telah dimuliakan sebagai ‘Khairal-ummah’ (umat yang terbaik). Manakala di tempat yang lain, Allah s.w.t. menyatakan:

“Dan Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang ang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…” (Surah al-Baqarah 2:143)

Umat ini diberikan sandang kemuliaan oleh Allah s.w.t. sebagai umat pilihan serta umat yang terbaik. Ini merupakan fadilat yang besar. Adalah amat malang, jika umat pilihan lagi terbaik ini, terkena wabak ‘inferiority complex’ (rasa hina diri) apabila berdepan dengan umat-umat yang lain.

Melalui dua ayat suci di atas, tanpa meninjau mana-mana tafsir sekalipun, adalah dapat difahami bahawa Allah s.w.t. tidak pernah meletakkan syarat kemuliaan umat ini dengan sebarang syarat kebendaan. Allah s.w.t. hanya mengaitkan syarat kemuliaan tersebut dengan amal-amal umat ini.

Hadrat Saiyiduna Umar ibnu al-Khattab r.a. semasa memberikan komentar kepada ayat 110 surah Aali ‘Imran berkata: “Jika Allah mahu, Allah boleh menggunakan ungkapan ( أنتم ) yang membawa makna kita semua, tetapi Dia telah menggunakan ungkapan ( كنتم ) yang membawa makna khusus kepada para Sahabat Nabi Muhammad s.a.w., dan sesiapa yang melakukan seperti apa yang dilakukan oleh mereka (yakni para Sahabat); mereka itulah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia.” (HR Ibnu Jarir daripada as-Suddiy sebagaimana dicatatkan dalam Kanzul-‘Ummal)

Bersumber daripada Qatadah r.a., beliau mengatakan bahawa, “Diceritakan kepada kami bahawa Umar ibn al-Khattab r.a. telah membaca ayat ini (Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia…), kemudiannya berkata, “Wahai manusia! Sesiapa yang suka untuk menjadi sebahagian daripada ayat ini, maka tunaikanlah syarat Allah (yang terkandung) di dalamnya.” (HR Ibnu Jarir daripada Qatadah sebagaimana dicatatkan dalam Kanzul-‘Ummal)

Memperjelaskan lagi fadilat umat ini, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Kamu mencukupi tujuh puluh umat, kamu yang terbaik dalam kalangan mereka dan termulia di sisi Allah s.w.t.” (HR Ahmad dan at-Tirmizi, at-Tirmizi mengatakannya sebagai hadis hasan)

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ahli syurga ada seratus dua puluh saf; umat ini adalah tujuh puluh saf daripada kalangan mereka itu.”(HR Imam Ahmad ibn Hanbal)

Demikianlah, Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. bukan sahaja menggunakan manhaj fadhail ini kepada amalan atau perlakuan sesuatu ibadah mahdhah (ibadah khusus) seperti solat, puasa, sedekah, haji, zikir dan tilawah; malah merangkumi sama perkara-perkara lain yang ada kaitan dengan umat ini.

Fadilat bukan sahaja bererti ganjaran, pahala dan manfaat kepada sesuatu amalan. Di dalam bahasa Arab, fadilat juga merujuk kepada kemuliaan. Maka begitu juga, Allah s.w.t. akan menyatakan kemuliaan seseorang atau ketinggian nilai sesuatu perkara menggunakan pendekatan fadhail ini.

Sesungguhnya manhaj tarbiah melalui pendekatan fadhail, targhib dan tarhib serta tabsyir dan inzar, merupakan tarbiah rabbaniah serentak nabawiyah yang telah membentuk generasi terdahulu umat ini sehingga benar-benar menjadi umat yang terbaik!

Tuesday, June 22, 2010

"Wahai Rabb ku!..."

Daripada Abu Hurairah ra berkata, "Aku telah mendengar dari Nabi saw bersabda:

"Sungguhnya seorang hamba apabila telah melakukan suatu dosa, lalu berdoa,"Wahai Rabbku! Aku telah terlanjur melakukan suatu dosa, maka ampunkanlah aku!"

Maka Allah swt berfirman," Apakah hambaKu telah mengetahui bahawasanya dia mempunyai Rabb yang Maha Mengampuni dosa dan menghapuskan dosa? Aku mengampunkan dosa hambaKu".

Kemudian selang beberapa waktu sesuai dengan kehendak Allah, hamba itu melakukan lagi dosa tersebut, lalu dia pun berdoa, "Wahai Rabbku! Aku telah melakukan dosa lagi, ampunkanlah dosaku itu!"

Maka Allah swt berfirman, "Apakah hambaKu mengetahui bahawasanya dia mempunyai Rabb yang Maha Mengampuni dosa dan menghapuskanya? Aku mengampuni dosa hambaku itu".

Kemudian selang beberapa waktu sesuai dengan kehendak Allah, dia melakukan dosa lagi, lalu dia berdoa," Wahai Rabbku! Aku telah melakukan dosa lagi, maka ampunilah dosa ku itu".

Maka Allah swt berfirman, " Apakah hambaKu telah mengatahui bahawa dia mempunyai Rabb yang Maha Mengampuni dosa dan menghapuskannya? Maka Aku mengampuni dosa hambaKu. "(Allah berfirman begitu) hingga tiga kali. Maka berbuatlah ia sekehendaknya."

(Riwayat Bukhari Hadis No7507)


Apakah yang dapat kita fahami daripada hadith ini?
Blog Widget by LinkWithin