Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, July 26, 2010

Salah faham yang perlu diperbetulkan..

Di dalam Surah Al-Taubah ayat 111, Allah SWT telah menyatakan satu pengisytiharan yang begitu jelas dan pasti memberi impak yang besar kepada hati dan pemikiran seseorang Mukmin:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh; (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”(Surah Al-Taubat: Ayat 111)

Kalimah (اشترى ) yang bermakna ‘telah membeli’, memberikan satu konsep dan senario yang menarik untuk diperkatakan. Apakah makna ‘telah membeli’ di dalam ayat ini?

Al-Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya mengenai ayat ini menyatakan, “Allah SWT telah memaklumkan bahawa Dia telah menukarkan untuk hamba-hamba-Nya yang beriman berkenaan diri dan harta mereka apabila dibelanjakan pada jalan-Nya dengan (ganjaran) syurga, dan ini semua semata-mata daripada limpah kurnia-Nya, kemuliaan-Nya dan ihsan daripada-Nya; sesungguhnya Allah SWT telah menerima penggantian daripada apa yang dimilikinya dengan apa yang lebih mulia untuk hamba-hamba-Nya yang taat kepada-Nya. Untuk itulah berkata Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah, “Allah SWT telah membuat perjanjian jual-beli dengan mereka, dan Allah SWT telah memahalkan lagi nilai dan harga mereka.”

Di dalam Tafsir Asy-Syaukani pula ditegaskan, “Allah SWT telah mengumpamakan balasan bagi para mujahidin dengan syurga atas perbelanjaan dan penggunaan diri dan harta mereka di jalan SWT Allah dengan perkataan ‘pembelian’. Asal pembelian di kalangan manusia ialah, “mengeluarkan sesuatu daripada pemilikan dengan sesuatu yang lain yang seumpama dengannya atau selainnya atau yang lebih bermanfaat daripadanya”, maka para mujahidin itu telah menjual diri mereka kepada Allah SWT dengan syurga yang telah dijanjikan nya untuk orang-orang yang beriman.” Manakala Imam Al-Mawardi di dalam tafsirnya menyatakan, “Firman Allah Azza Wa Jalla, “Sesungguhnya Allah SWT telah membeli daripada orang-orang mukmin itu diri mereka dan harta mereka”, iaitu membeli diri mereka (dengan erti kata untuk) berjihad. (Manakala) “harta mereka” pula memungkinkan dua pengertian, iaitu: (1) perbelanjaan mereka untuk jihad, dan (2) sedekah mereka untuk fuqaraa’ (golongan yang memerlukan).

Imam Al-Qurtubi memberikan komentar di dalam tafsirnya, “…dinamakan sedemikian sebagai satu abstrak apa yang telah diketahui oleh mereka berkenaan penjualan dan pembelian; maka daripada pihak hamba, menyerahkan diri dan hartanya, dan daripada pihak Allah SWT menyediakan pahala dan habuan (syurga); lalu dinamakan perkara ini sebagai satu ‘pembelian’.” At-Tobari menyimpulkan, “Sesungguhnya Allah SWT telah membeli daripada orang-orang yang beriman diri mereka dan harta mereka dengan syurga, sebagai satu janji yang benar.”

Melalui perbahasan oleh ulama-ulama tafsir ini, ayat ke-111 surah At-Taubah ini jelas telah menggariskan satu falsafah yang penting dalam pemikiran dan kehidupan seseorang Muslim tentang harta dan pengurusannya. Di sini, ajaran Islam memberikan satu anjakan paradigma yang begitu besar apabila ditegaskan bahawa sebenarnya harta-harta yang dipunyai itu sebenarnya telah ‘dibeli’ dan ‘dimiliki’ oleh Allah SWT. Harga bagi ‘pembelian’ tersebut ialah syurga. Pada hakikatnya, seseorang Mukmin itu tidak lebih hanya sebagai ‘pemegang amanah’ kepada ‘Pemilik’ yang sebenar. Oleh itu, segala penggunaan dan pengurusan harta itu mestilah mengikut arahan, kehendak dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh ‘Pemilik’nya.

Maka pandangan sebegini sangat perlu untuk dihayati oleh setiap Muslim. Sebahagian besar kaum Muslimin perlu disedarkan betapa salah faham bahawa, “Diri dan harta ini adalah milik saya!”, perlu diperbetulkan. Harta adalah milik Allah dan perlu digunakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Al-Quran tidak pernah mencela tentang pemilikan harta, tetapi ayat 111 surah At-Taubah di atas menjelaskan kedudukan harta dan sikap yang sayugianya bagi setiap kaum Muslimin bersifat dengannya. Ini dijelaskan pula melalui ayat 24 surah yang sama:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah SWT dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

Al-Quran dengan jelas telah menggariskan satu prinsip tentang urutan keutamaan mencintai sesuatu. Ayat ini tidak melarang kecintaan dan kesukaan kepada harta, tetapi meletakkan satu panduan bagaimana kecintaan dan kesukaan kepada harta itu perlu diletakkan pada tempatnya yang betul di dalam hati seseorang yang benar-benar beriman; di mana kecintaan kepada lapan perkara yang disebutkan itu tidak boleh melebihi cinta kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan agama Islam.

Inilah antara falsafah pengurusan harta yang paling penting untuk difahami dan dihayati oleh seluruh masyarakat Muslim pada semua peringkat dan lapisan. Al-Quran mengajarkan bahawa seluruh diri dan harta ini adalah milik Allah SWT. Sekiranya, paradigma dan prinsip sebegini dapat disuburkan semula di dalam setiap diri umat Islam, maka keberkatan dan kemakmuran daripada harta dan pengurusan harta akan kembali menyerlah kepada umat ini.

Apa yang dikatakan sebagai keberkatan dan kemakmuran itu adalah sebagaimana firman Allah SWT,“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.” (Surah Al-A’raaf 7:96) Di dalam ayat ini dengan jelas Allah SWT menyatakan natijah daripada keimanan dan ketakwaan ialah pembukaan keberkatan dari langit dan bumi.
Bagaimanapun, di dalam satu ayat yang lain, Allah SWT berfirman, “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” (Surah Al-An’am 6:44) Melalui dua ayat suci ini, Allah SWT menceritakan tentang dua bentuk ‘pembukaan’. Bagi orang yang bertakwa, Allah membukakan bagi mereka pintu-pintu keberkatan; tetapi bagi golongan yang lalai, Allah membuka kepada mereka pintu-pintu kemewahan, tetapi kemewahan itu hanyalah umpan kepada kehancuran yang bakal ditimpakan kepada mereka.

Hadrat al-'Arif Billahi al-Muhaddith asy-Syaikh In'amul-Hasan al-Kandahlawi rah.a. menyatakan, harta itu perlu dibahagikan kepada tiga kegunaan: 1) Untuk penyebaran agama, dakwah dan madrasah; 2)Zakat, wakaf, akhlak, hadiah, sedekah dsb.; dan 3)Keperluan diri dan keluarga.

Kita betulkan salah faham kita selama ini, dan marilah kita mulakan tindakan yang sewajar...

Friday, July 16, 2010

"...sebagaimana keadaan kamu pada hari ini!"

Rajab telah meninggalkan kita, kini kita berada di awal Sya'ban. Ini bermakna masanya sudah semakin hampir, akan kemunculan Ramadhan al-Mubarak. Tetamu yang mulia. Tetamu yang dirindui.

Malangnya, penduduk langit dan penghuni perut bumi lebih mengerti, nilai sebenar kehadiran tetamu Ramadhan ini. Pada hari-hari Sya'ban yang mendatang ini, buatlah persiapan sewajarnya untuk menyambut Ramadhan.

Segalanya perlu dirancang. Tanpa perancangan, amat langka ada perkara atau urusan yang akan mencapai kejayaan. Hatta, jika sekadar untuk membuat reban ayam sahaja pun, kita perlu merancang terlebih dahulu. Ramadhan juga perlu dirancang. Pelan strategik Ramadhan perlu dirangka dan digariskan.

Jika kita berhasrat untuk mendapatkan Ramadhan yang penuh keberkatan ini sebaik-baiknya, maka kita perlulah merancang. Rancanglah Ramadhan dan visualkan apa yang ingin kita lakukan sejak malam pertama hinggalah ke akhirnya.

Mulakanlah segala perancangan ini dengan meletakkan akhirat di hadapan kita. Inilah persiapan yang paling asas. Kita kena letakkan kematian sebagai permulaan kehidupan harian kita di dunia ini. Barulah kita akan menjadi orang yang bijak. Barulah nafsunya menjadi jinak. Barulah dorongan untuk memastikan setiap detik kehidupan kita di dunia ini adalah untuk membina kehidupan akhirat yang hakiki.

Kematian adalah pasti. Mati adalah lebih pasti daripada hidup ini. Barzakh, Mahsyar dan Mizan adalah pasti. Semuanya adalah lebih pasti daripada kehidupan dunia kita yang sememangnya dipenuhi dengan ketidakpastian. Oleh kerana mati itu pasti, barzakh itu pasti, akhirat itu pasti; maka apakah yang patut kita lakukan setiap hari yang berbaki di dunia ini bagi memastikan kita benar-benar sedang membina kehidupan yang pasti dan hakiki? Lebih-lebih jika kita sempat bertemu dengan Ramadhan nanti?

Alam barzakh bukan alam 'zombie'. Bukan alam kita seperti robot yang tidak ada perasaan dan emosi. Malahan, sebagaimana kita dapat merasai kegembiraan dan kedukaan, tangis dan ketawa, bahagia dan derita, tenang dan risau serta rasa aman dan ketakutan di dunia ini; maka sebegitulah juga yang akan kita hadapi dan rasai di alam barzakh sana.

Satu riwayat menegaskan:


ان رَسُولَ اللَّهِ ذَكَرَ فَتَّانَ الْقُبُورِ فقال عُمَرُ أَتُرَدُّ علينا عُقُولُنَا يا رَسُولَ اللَّهِ فقال رسول اللَّهِ نعم كَهَيْئَتِكُمُ الْيَوْمَ

Ertinya :

Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w menyebut berkenaan ujian-ujian di dalam kubur.

Lalu Umar al-Khattab r.a bertanya : "Adakah akan dikembalikan kepada kita akal-akal kita (di dalam kubur kelak)?"

Nabi menjawab: "Ya, (ia akan dikembalikan) sebagaimana keadaan kamu pada hari ini(sekarang)!"

(Riwayat Ahmad, no 6603, 2/172 ; Ibn Hibban, 7/387 ; Majma Zawaid , 3/47 : Al-Haithami : Perawi Ahmad adalah Sohih kecuali terdapat Ibn Lahi'ah ; Syeikh Syuaib : Hasan Lighairi)

Bersediakah kita menghadapi saat-saat ini?

Wednesday, July 7, 2010

Majalah SOLUSI Bil. 21: Jangan Meminta-Minta

Alhamdulillah, sebagaimana yang telah lalu, Allah masih lagi mengizinkan artikel saya dapat diterbitkan bagi mengisi kolum Fadhail A'mal di dalam Majalah SOLUSI. Di sini, saya sertakan artikel asal saya sebelum melalui proses suntingan editor majalah. Semoga ada manfaatnya!


Rasulullah s.a.w. telah mendidik para Sahabat bahawa seluruh juzuk hidup ini adalah aset yang perlu diusahakan agar bertukar nilainya kepada perkara yang akan membawa kejayaan dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t.. Iman mereka telah dibentuk, sehingga menyukakan Allah dan membina kehidupan akhirat lebih utama kepada mereka daripada apa sahaja.

Contohnya, bagi menghalang daripada sifat suka meminta-minta dan membentuk satu masyarakat yang bermaruah dan lebih suka berdikari dalam menyara hidup, lihatlah pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. ini:

Telah menceritakan kepada kami Abdullah ibn Muslamah, telah mengkhabarkan kepada kami ‘Isa ibn Yunus, daripada Al-Akhdhar ibn ‘Ajlaan, daripada Abu Bakar Al-Hanafi, daripada Anas bin Malik, bahawa telah datang seorang Ansar kepada Rasulullah s.a.w. untuk meminta-minta daripada baginda. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, “Apakah ada di rumah kamu apa-apa (barang)?”. Jawab orang Ansar tadi, “Ada, iaitu kain hamparan yang kami pakai sebahagian dan kami bentangkan sebahagian yang lain; dan juga sebiji bekas yang kami gunakan untuk minum air dengannya.” Kata Rasulullah s.a.w., “Bawakan kepada ku kedua-dua barang tadi!”. Periwayat menceritakan, lalu lelaki itu telah pulang dan membawa kedua-dua barang tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda telah mengambil barangan itu dan bersabda (kepada para sahabat yang lain), “Siapakah yang ingin membeli barangan ini?” lalu sahut seorang sahabat, “Saya sedia ambil kedua-dua barang itu dengan harga satu dirham.” Baginda bertanya lagi, “Siapa yang sedia beli dengan harga yang lebih daripada satu dirham?” Baginda mengulang-ulang pertanyaan itu sebanyak dua atau tiga kali. Lalu sahut seorang sahabat, “Saya sedia membelinya dengan harga dua dirham!” Lalu baginda menyerahkan kepadanya kedua-dua barangan tersebut, mengambil dua dirham sebagai harga barangan itu dan menyerahkannya kepada lelaki Ansar tadi, lalu bersabda, “Belilah makanan dengan dirham yang pertama tadi dan berikan kepada keluarga mu; manakala dirham yang satu lagi, kamu belilah mata kapak dan bawakan mata kapak itu kepada ku!” Lalu lelaki Ansar tadi melakukan apa yang diperintahkan dan membawa mata kapak itu kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda pun memperkuatkan mata kapak itu dengan kayu di tangan baginda (sebagai pemegangnya), lalu bersabda, “Pergilah kamu dan carilah kayu api dan kamu juallah kayu api itu. Dan kamu jangan bertemu dengan ku sehingga lima belas hari lagi!” Lelaki Ansar itu pun berlalu pergi, lalu mula mengumpulkan kayu api dan kemudian menjualnya. (Setelah cukup lima belas hari) lelaki Ansar itu telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w. dan dia telah untung sebanyak sepuluh dirham; yang mana dia telah beli menggunakan sebahagian dirham itu pakaian dan sebahagian yang lain makanan. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ini adalah lebih baik bagi mu berbanding (daripada perbuatan) meminta-minta itu datang sebagai satu tanda (titik-titik hitam) di wajah mu pada hari Kiamat. Sesungguhnya meminta-minta tidak dibolehkan melainkan untuk tiga keadaan, iaitu: (1) untuk miskin yang terlalu melarat; (2) orang berhutang yang terlalu berat tanggungan hutangnya; dan (3) orang yang menderita sakit teruk yang berdarah.”


(Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab Zakat, Bab Apakah Perkara Yang Dibolehkan Meminta-Minta, hadis nombor 1641).

Walaupun hadis ini tidak mencapai darjat sahih, tetapi kandungannya disokong oleh hadis-hadis yang sahih, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w.. telah bersabda, “Demi Tuhan yang diri ku berada di dalam genggaman-Nya! Sekira-kiranya seseorang itu mengambil talinya, kemudian memikul ikatan kayu api di belakangnya (untuk mencari rezeki), itu adalah lebih baik daripada dia mendatangi seseorang lalu meminta-minta daripadanya, sama ada orang itu memberikannya atau menegah (permintaan) dia.”


(HR Al-Bukhari, Kitab Zakat, Bab Menjauhkan Diri Daripada Meminta-Minta, hadis nombor 1469.)

Lihatlah, di penghujung kisah ini, Rasulullah s.a.w. telah menyimpulkan segala usaha zahir ini dengan satu pendekatan targhib(memberi galakan) dan tarhib(memberikan kegerunan). Manhaj fadhail-A’maal merupakan pendekatan yang benar-benar akan mengobarkan nyalaan ghairah keimanan dan semangat juang seseorang untuk membina kemuliaan hidup di dunia mahupun di akhirat.

Blog Widget by LinkWithin