Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, August 30, 2011

Kerdil diri ku terima nikmat ini...

Alhamdulillah… Allah masih izinkan untuk dapat menyempurnakan Ramadhan buat sekian kalinya. Mungkin kualitinya tidaklah sempurna sangat, namun yang ada hanyalah harapan, agar Allah Taala berlemah lembut dengan segala kekurangan tersebut.

Sebenarnya, Ramadhan kali ini amat bermakna sekali. Betapa banyak nikmat-nikmat yang telah Allah SWT ihsankan dan kurniakan. Beberapa hari sebelum Ramadhan, Sdr Bilal telah menghantar kepada saya satu kitab yang saya telah cari sejak tahun 2005 lagi. Semasa saya berpeluang ke New Delhi dan Lucknow, saya cuba cari di Nadwatul-Ulamak. Nampaknya belum rezeki lagi. Melalui Fadhilah al-Musnid al-Ustaz Mohd Syamsul al-Muqri’, saya cuba buat pesanan daripada Mesir. Allah hanya rezekikan saya pada masa itu kitab-kitab tafsir. Semasa saya ke Makkah, saya cuba juga cari di toko kitab di sana, juga tidak ada. Tiba-tiba Allah SWT membuka laluannya bila saya bertemu dengan Sdr Bilal, yang merupakan murid al-Fadhil Ustaz Asmadi (UKM). Akhirnya dengan ihsan Allah, saya dapat memiliki kitab al-Abwab wa at-Tarajim li-Sohihi al-Bukhari karangan Fadhilatusy-Syaikh al-‘Allamah al-Muhaddith Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a., Syaikhul-Hadith di Jami’ah Mazahirul-‘Ulum, Saharanpur, India.

Hadrat Syaikhul-Hadith juga adalah pengarang yang sama untuk buku Fadhail-A’mal. Walaupun kitab Fadhail-A’mal ini telah diterima dengan meluas di dunia Islam, namun ada juga segelintir umat yang memandang rendah terhadap kitab ini. Kitab ini dituduh sebagai mengandungi hadith-hadith yang maudhuk. Sebenarnya, kitab Fadhail-A’mal ini dikarang oleh Hadrat Syaikhul-Hadith untuk golongan ‘awamun-naas (orang awam). Disebabkan itu bahasan dari sudut ilmu hadithnya disampaikan dengan ringkas. Fadhail-A’mal bukanlah ukuran sebenar jika kita ingin menilai kemampuan Hadrat Syaikhul-Hadith di dalam bidang ilmiah.

Selain kitab Aujazul-Masaalik yang merupakan syarah kepada Muwattaa’ Imam Malik, maka kitab Al-Abwab wa At-Tarajim li Sohihi al-Bukhari ini adalah satu kitab yang begitu bernilai. Kitab ini adalah syarah kepada bab-bab yang menjadi tajuk di dalam Sahih Bukhari. Menentukan bab dan tajuk dalam kitab yang menghimpunkan hadith-hadith merupakan satu disiplin ilmu yang tersendiri, dikenali dalam kalangan ulama hadith sebagai ‘al-abwab wa al-tarajim’ (topik-topik dan penjelasan-penjelasan). Para ulama mengatakan: fiqhul-Bukhari fi tarajimihi (Fiqh Imam al-Bukhari terdapat dalam tajuk-tajuk yang diletakkannya).

Alhamdulillah, rezeki pada Ramadhan tahun ini, Allah dengan ihsanNya yang melaut luas, telah mudahkan untuk akhirnya dapat juga saya memiliki kitab ini.

Di antara nikmat Allah yang besar bagi diri saya untuk bulan Ramadhan ini ialah apabila menerima pula ijazah dan sanad untuk 40 hadith daripada 40 ulama yang diberikan oleh al-Musnid al-Ustaz Mohd Syamsul al-Muqri’. Dengan penuh rasa kerdil-diri, saya sanggupkan juga untuk menerima sanad ini. Semoga dengan berkat tawajuh Fadhilatul-Ustaz, penerimaan ijazat dan sanad ini membawa manfaat yang besar kepada saya yang faqir ini, jua buat umat keseluruhannya.

Seterusnya, antara kurniaan nikmat Allah Taala kepada saya pada bulan Ramadhan tahun ini ialah apabila dapat meng’attach’kan diri saya dengan jamaah dan rombongan yang bergerak di perkampungan orang asli dalam bulan Ramadhan ini. Ada 15 jamaah yang telah mula bergerak daripada 1 Ramadhan sehinggalah 1 Syawal atau lebih. Mereka telah mengorbankan keseronokan berpuasa dan berhariraya dengan kaum keluarga, demi untuk meninggikan Kalimah Allah. Semoga susah payah mereka berusaha di jalan Allah akan diterima untuk menjadi asbab hidayah untuk seluruh alam dan asbab kemuliaan mereka di sisi Allah Azza Wa Jalla. Saya sempat bersama dengan jamaah yang berusaha di kawasan Endau-Rompin dan Keluang. Kemudian ke Rahang bagi bertemu dengan jamaah yang berusaha di Negeri Sembilan dan Melaka. Seterusnya bergerak ke Dengkil, Sepang. Singgah iktikaf di Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling sebelum meneruskan untuk menjengah jamaah yang berusaha di Tasik Banding, Grik. Alhamdulillah…

Akhirnya, pada penghujung Ramadhan kali ini, yakni pada pagi 29 Ramadhan, saya mendapat panggilan telefon daripada Tabung Haji Putrajaya memaklumkan bahawa saya terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Allahu akbar! Sungguh besar kurniaan dan ihsan ini ya Allah! Meskipun keperluan belum begitu mencukupi, tetapi hati ini membulatkan tawajuh dan tawakal ku padaMu ya Allah!

Ya Allah… untuk hamba Mu yang faqir lagi muznib ini, segala kurniaan Mu ini terlalu mahal dan berharga. Walaupun kadang-kadang diri ini terasa malu, namun nikmatMu ini sangat-sangat ku syukuri. Ya Allah, hanya sanya Engkaulah yang kami sembah dan kami sujud; maka hanya kepada Mu-lah kami pasrah dan menyerah! Maka Oh Allah, berlemah lembutlah dengan diri kami….

Friday, August 19, 2011

Seribu ribu hasanah...

Imam Ahmad telah mengeluarkan satu riwayat daripada Abi ‘Uthman an-Nahdiy, dia berkata: Telah sampai kepada ku daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya beliau telah berkata, “Telah sampai kepada ku bahawa Allah Azza Wa Jalla mengurniakan kepada seseorang hambaNya bagi satu hasanah (amalan baik) seribu ribu (yakni satu juta ganjaran) hasanah.”

Maka kata Abu Hurairah r.a., “Sesekali bukan begitu! Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla (sebenarnya) mengurniakan kepadanya dua ribu ribu (yakni dua juta) hasanah.” Kemudian dia membaca:
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِنْ تَكُ حَسَنَةً يُضَاعِفْهَا وَيُؤْتِ مِنْ لَدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.” (Surah an-Nisaa’ 5: 40)

Lalu berkata, “Apabila Allah Azza Wa Jalla (sendiri) mengatakan أَجْرًا عَظِيمًا (pahala yang amat besar); maka siapakah yang mampu menganggarkan (betapa besar) kadarnya (pahala yang dikatakan besar oleh Allah sendiri itu)?”

Di dalam riwayat yang lain: Aku telah mendatangi Abu Hurairah r.a. lalu aku berkata, “Telah sampai kepada ku bahawa tuan mengatakan: “Sesungguhnya satu hasanah itu diganda (ganjarannya dengan) seribu ribu (yakni sejuta) hasanah.”

Lalu dia berkata, “Apakah perkara ini membuatkan engkau merasa takjub? Demi Allah, aku telah mendengarnya…” - lalu diriwayatkan sebagaimana riwayat di atas.

Berkata al-Haithami: Ahmad telahn meriwayatkannya melalui sanad (jalan periwayatan) dan al-Bazzar seumpamanya juga; dan salah satu sanad Ahmad adalah jaiyid (bagus). Intaha.

Allah… betapa besarnya rahmat Allah dan ihsanNya kepada kita. Untuk satu kebaikan sahaja, Allah memberikan pahala sehingga dua juta pahala. Apalagi bila kita berada dalam bulan Ramadhan ini? Satu tasbih ‘Subhanallah’ saja sudah menyebabkan kita mendapat dua juta hasanah. Di dalam bulan Ramadhan ini pula, segala ibadah sunat akan diberikan ganjaran seumpama ibadah fardhu. Dan perbezaan antara sunat dan fardhu ialah seperti perbezaan langit dan bumi.

Ya Rabb… dengan kemurahan yang amat besar ini, jika kita masih gagal untuk meraih sebanyak-banyaknya pahala demi memenangi keredhaan Allah, maka siapakah lagi yang patut kita persalahkan?

Jika kita sendiri melakukan satu hasanah sudah begitu besar keuntungan pahalanya, bayangkan apa yang Allah akan beri jika kita pula menjadi sebab orang lain pula dapat melakukan hasanah demi hasanah?

Renungkan… sesungguhnya kita sudah berada dalam dakapan 10 Akhir Ramadhan 1432H! Apa yang sepatutnya kita lakukan untuk mendapat hasanah dan kemuliaan berganda di sisi Allah Azza Wa Jalla?

Monday, August 15, 2011

Apa iman kita kata?

Allah Azza Wa Jalla berfirman (yang mafhumnya):



267. Wahai orang-orang Yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu Yang baik-baik, dan sebahagian dari apa Yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih Yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil Yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali Dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
268. Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu Dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan Yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa meliputi pengetahuanNya.
269. Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu Yang berguna) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditentukanNya). dan sesiapa Yang diberikan hikmat itu maka Sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan Yang banyak. dan tiadalah Yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang Yang menggunakan akal fikirannya.
270. dan (ketahuilah), apa sahaja Yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja Yang kamu nazarkan maka Sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang Yang zalim itu tidak ada sesiapa pun Yang dapat menolongnya.
271. kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka Yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh Yang baik). dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa Yang kamu lakukan.
272. tidaklah Engkau Diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah Yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya). dan apa jua harta Yang halal Yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua Yang kamu dermakan dari harta Yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
273. pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin Yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), Yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang Yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka Dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai Dengan mendesak-desak. dan (ketahuilah), apa jua Yang kamu belanjakan dari harta Yang halal maka Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.
274. orang-orang Yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, Dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.
(Surah al-Baqarah 2: 267 -274)


Hari ini sudah separuh Ramadhan telah berlalu. Sejak dua minggu ini, sudah berapa banyak yang kita sudah bersedekah, berwakaf atau memberikan hibah?

Berhenti membaca di sini. Sekarang mari kita ulangi lagi membaca mafhum firman Allah tadi. Baca, sambil menyelami lubuk hati kita. Apa kata hati kita?

Sekarang, marilah kita tanyakan diri kita, apa yang patut saya lakukan hari ini juga?

Jika hati anda berkata, “Aku ingin bersedekah”

Saya mempunyai seorang kawan yang sedang berhempas pulas untuk membuka madrasah asas al-Quran untuk anak-anak di Narathiwat Thailand. Sedekah, fidyah atau zakat anda boleh disalurkan ke sana.

Saya juga mempunyai sahabat yang menjalankan madrasah tahfiz dan diniyyah yang tidak mengenakan sebarang yuran pun kepada murid-murid mereka. Malah keperluan asrama dan makan-minum mereka pula yang ditanggung oleh mereka. Ini juga satu pilihan jika hati anda berkata, “Ya! Aku ingin berinfaq sekarang!”

Jika anda ingin berwakaf, anda boleh melakukan wakaf tunai sekarang juga. Wakaf adalah sedekah yang jariah (yang mengalir tanpa henti). Sila klik di capaian ini untuk berwakaf http://www.ywm.org.my/
Baiklah, marilah kita baca sekali lagi firman Allah di atas!!

"Apa iman kita kata?"


Blog Widget by LinkWithin