Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, May 10, 2011

Kembali dari safar Umrah...

Alhamdulillah, berbaur antara rasa kerdil-diri dan rasa syukur yang amat dalam kepada Allah Azza Wa Jalla, pagi tadi selamat tiba di KLIA daripada safar selama 15 hari untuk Umrah dan Ziarah.

Selama dua minggu juga, saya tidak dapat kemaskini blog ini. Selama dua minggu di dua Tanah Suci, tempohnya terasa amat singkat. Dua minggu yang amat manis. Suasana yang dipenuhi dengan kesibukan bertawajuh kepada Allah SWT. Setiap hari adalah hari-hari yang membuatkan hati semakin rindu kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Sungguhpun agak sibuk sebagai pembimbing bersama jemaah Umrah YAKEB, tetapi itu semua tidak menghalang maksud safar Umrah saya. Malah memberi peluang untuk bersilaturahim dengan bekas-bekas atlet negara. Satu peluang yang amat disyukuri.

Keindahan Makkah dan Madinah begitu juga Masjidil-Haram dan Masjid Nabawi bukanlah kerana binaan fizikalnya, tetapi kerana aura kerohanian yang ada. Satu kemuliaan dan kekaguman rohani yang tidak dapat diperikan oleh kata-kata. Bak kata sebahagian besar ahli jemaah YAKEB, "tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan mereka." Sebenarnya, safar Umrah ini ialah safar hati. Hanya hati yang hidup dan bercahaya yang akan mengecapi kelndahan dan kemanisan berada di sana. Bersama dengan jemaah YAKEB ini, saya menyaksikan ketulusan dan betapa polosnya keikhlasan mereka. Ini sering membuatkan saya merasa kerdil dan airmata begitu mudah mengalir.

Baik di Makkah atau Madinah, semuanya mempunyai semacam cahaya yang tersendiri. Cahaya tadi akan menyuluh hati-hati yang datang, sesuai dengan tahap hati tadi. Semuanya akan merasa terpanggil. Semuanya akan merasai kesyahduan menyebut nama Allah dan berselawat kepada Rasuluyllah s.a.w. Hati yang disapa oleh cahaya ini akan terdorong untuk merasai betapa hampirnya mereka dengan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a..w Lalu mereka semua akan berusaha untuk memuaskan kerinduan ini dengan bertaqarub kepada Allah. Hati yang dilimpahi cinta akan rindu untuk bertemu dengan yang dicintai. Kecintaan yang semakin mekar di Makkah dan Madinah ini akan melahirkan rasa rindu yang tulus. Rindu ini akan menggelorakan jiwa pemiliknya, untuk bertemu dengan yang dirindui. Gelora keimanan inilah yang akan mendorong seseorang untuk beribadah sebaik dan semampu mungkin. Sebagaimana firman Allah s.w.t:

"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (al-Kahfi 18: 110)

Semoga Allah menerima Umrah ini. Allah jadikan Umrah ini sebagai andalan untuk menjemput saya sebagai tetamu bagi menunaikan haji pada musim 1432H ini. Mohon kesudian pengunjung blok semua untuk mendoakan saya yang faqir ini....

Tuesday, April 19, 2011

"Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong ku kepada Allah?"

Allah-lah yang telah mencipta kita, dan Allah-lah yang memilih kita untuk menjadi umat Rasulullah (sollalLahu ‘alaihi wa sallam), maka Allah-lah yang lebih berhak untuk memberitahu kita apakah tugas hakiki kita sebagai seorang Muslim. Sesungguhnya Allah (Subhanahu wa Ta’ala) sendiri telah memerintahkan kita untuk menjadi ‘pembantu-pembantu atau penolong-penolong Allah’, sebagaimana firman-Nya,

( يَأيـُّهَا الـَّذِينَ ءَامَنـُوْا كـُونـُوْا أنـْصَارَ اللهِ كـَمَا قـَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلـْحَوَاِريِّيْنَ مَنْ أنـْصَاِرى إلىَ اللهِ قـَالَ الحَوَاِريُّونَ نَحْنُ أنصَارُ اللهِ... )

[ Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong Allah; sebagaimana Isa putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong ku kepada Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kami lah penolong-penolong Allah"... ] (As-Sof 61:14)

Di dalam ayat ini, Allah telah memerintahkan kita untuk menjadi ‘penolong-Nya’. Allah tidak menggunakan laras pertanyaan kepada kita, tetapi dalam bentuk kata perintah. Perkataan ( كـُوْنـُوْا )membawa maksud, “Hendaklah kamu sekalian menjadi penolong-penolong Allah!”

Bagaimanakah yang dikatakan sebagai ‘penolong-penolong Allah’ itu? Maka tidak ada lain tafsiran yang boleh kita fahamkan melainkan dikaitkan panggilan ( أنْصَـارُ الله ) ‘Ansarullah’( penolong-penolong Allah) itu dengan ‘agama dan usaha atas agama’. Allah berfirman,

( شـَرَعَ لـَكـُمْ مِنَ الدِّينَ مَا وَصَّى ِبهِ نـُوحًا وَالـَّذِى أوْحَيْنـَا إلـَيْكَ وَ مَا وَصَّيْنـَا ِبهِ إبْرَاهِيْمَ وَ مُوسَى وَ عِيسَى أنْ أقِيمُوا الدِّينَ وَ لا َ تـَتـَفـَرَّقـُوْا فِيهِ... )

[ Dia telah mensyariatkan kamu tentang agama, apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepada mu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya... ] ( Asy-Syura 42: 13)

Jelas daripada ayat ini, Allah telah mensyariatkan kepada kita satu pertanggungjawaban yang amat besar. Tanggungjawab ini pada hakikatnya ialah apa yang telah dipikul oleh nabi-nabi ( أ ُوْلـُوالعَزْمِ ) ‘ulul-‘azmi’. Al-Imam Ibnu Kathir memberikan komentar beliau terhadap ayat ini seperti mana yang berikut: “Allah Ta’ala telah menyatakan kepada umat ini:
( شـَرَعَ لـَكـُمْ مِنَ الدِّينَ مَا وَصَّى ِبهِ نـُوحًا وَالـَّذِى أوْحَيْنـَا إلـَيْكَ وَ مَا وَصَّيْنـَا ِبهِ إبْرَاهِيْمَ وَ مُوسَى وَ عِيسَى أنْ أقِيمُوا الدِّينَ وَ لا َ تـَتـَفـَرَّقـُوْا فِيهِ... )
[ Dia telah mensyariatkan kamu tentang agama, apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepada mu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa iaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. ] Maka Allah telah menyebut rasul yang pertama diutus selepas Adam (‘alaihis-salam), iaitu Nabi Nuh (‘alaihi-salam); dan juga rasul yang terakhir iaitu Nabi Muhammad (sollalLahu ‘alaihi wa sallam). Seterusnya, Allah menyebutkan nama-nama rasul yang ada di antara keduanya dari kalangan rasul-rasul ulul-‘azmi iaitu Nabi Ibrahim ( 'alaihis-salam), Nabi Musa ( 'alaihis-salam), dan Nabi Isa ibni Maryam ( 'alaihis-salam). Dan ayat ini secara teratur telah menyebutkan kelima-lima rasul ulul-‘azmi sebagaimana kandungan ayat surah Al-Ahzab melalui firman Allah Tabaraka wa Ta’ala:
( وَإذ ْ أخَذْنَا مِِِنَ النـَّبـِيـِّينَ مِيْثـَاقـَهُمْ وَمِنْكَ وَ مِنْ نُوحٍ وَ إبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَ أخَذْنـَاهُمْ مِنـْهُمْ مِيثـَاقـًا غـَلِيْظـًا )
[ Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian dari nabi-nabi dan dari kamu (sendiri), dari Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putera Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang teguh ]”. Selesai petikan tafsir oleh Imam Ibnu Kathir.

Bagaimanakah pula untuk kita dapat ‘tegakkan agama’? Jelas telah disebutkan di sini nama lima orang rasul ulul-‘azmi, maka cuba kita lihat, apakah yang telah dilakukan oleh para rasul ini? Maka, untuk menjadikan perkara ini menjadi jelas sejelas sinarnya matahari, Allah Ta’ala telah menyatakan melalui firman-Nya di dalam surah Yusuf ini, apakah yang telah menjadi tugas hakiki kita sebagai umat kepada Penutup dan Penghulu Segala Rasul, Nabi Muhammad (sollalLahu ‘alaihi wa sallam).

Oleh itu, melalui ayat 108 surah Yusuf ini, marilah kita mencari pedoman dan panduan berkenaan perkara yang amat penting ini.



Bukalah al-Quran, hayatilah firman Allah itu!

Thursday, April 7, 2011

"Sekiranya kamu tidak melakukannya!"



Syeikh Sayyid Abul-Hassan ‘Ali An-Nadwi di dalam satu ucapannya di England, “….kembali kepada pengalaman saya sendiri, setiapkali saya membaca ayat suci Al-Quran ini: (...إلاَّ تـَفـْعـَـلـُوهُ َتكـُـنْ ِفتـْنـَـة ٌ فِى الأ َرِْض وَفسَــادٌ كـَبـِيْـرٌ ) (… Sekiranya kamu tidak melakukannya (yakni menyebarkan dakwah Islamiyah)22, nescaya akan lahirlah fitnah di atas muka bumi ini serta kerosakan dan kemusnahan yang besar!) [Al-Anfal (8): 73], saya diingatkan bahwa Allah menujukan firman-Nya ini kepada kaum muslimin, kedua-dua golongan daripada muhajirin dan ansar.


Bilangan kaum muhajirin yang berhijrah daripada Makkah ke Madinah hanyalah beberapa ratus sahaja. Memandangkan hijrah itu sendiri ialah satu perkara yang bukan mudah. Hijrah menuntut untuk meninggalkan tanahair dan kampung halaman, perpisahan dengan sanak saudara dan kaum kerabat dan perampasan segala apa yang dipunyai dan dipusakai di tanah lahir mereka. Jadi, bilangan kaum muhajirin ketika itu adalah tidak memberi kesan yang besar. Lebih-lebih lagi, ketika itu, penduduk tempatan Madinah belum lagi memeluk Islam dalam bilangan yang besar jumlahnya.


Sebagaimana yang telah dibuktikan oleh hadis, Rasulullah s.a.w. pernah memerintahkan sebanyak tiga kali untuk dibawa bancian jumlah kaum muslimin. Bancian yang pertama, jumlah mereka mencapai angka 500 orang, bancian yang kedua antara 600 hingga 700 orang dan dalam bancian yang ketiga, jumlahnya ialah 1,500 orang orang ini pun adalah satu pencapaian yang tinggi. Mereka bersyukur kepada Allah dan begitu berpuas hati untuk mengetahui bahawa jumlah orang yang beriman dapat mencapai angka tersebut. Mereka kini mula merasakan agak selamat dan terjamin. Mengingatkan pernah satu masa dulu, tidak berapa lama sebelum itu, dimana mereka tidak sanggup untuk menunaikan solat secara terbuka semata-mata khuatir akan diserang. Mereka menjadi mangsa kepada kezaliman dan penindasan yang berterusan oleh tangan-tangan musuh mereka. Begitulah, hanya sejumlah kecil sahaja bilangan kaum muslimin pada itu. Itupun mereka telah dibebankan dengan satu tanggungjawab yang menghendaki mereka untuk menyebarkan risalah hidayah mereka itu kepada seluruh masyarakat manusia di sekitar mereka.


Adalah jelas majoriti umat manusia seluruh dunia pada masa itu tidak pernah mendengar tentang Islam, jauh lagilah untuk memeluk keimanan yang baru ini. Dunia pada masa itu dikuasai oleh dua buah empayar yang mempunyai kebudayaan, cara hidup, ideal dan nilai-nilai yang tersendiri. Kedua-dua buah empayar ini telah melaksanakan penguasaan budaya yang menyeluruh diseluruh belahan dunia yang tertinggal. Mereka menjadi model kepada lain-lain bangsa. Ambil sahaja, sebagai satu contoh, bagaimana matawang umum yang diterapkan oleh undang-undang Romawi diseluruh dunia. Begitu juga, tamadun Parsi telah melebar sekali pengaruhnya bahkan hingga ke India malah lain-lain negara yang lebih jauh.


Bila sahaja saya membaca ayat yang saya petikkan tadi, saya diselubungi perasaan takjub dan terkejut. Ia adalah satu perkara yang begitu berat untuk saya memahami bahwa arahan (di dalam ayat tersebut) adalah ditujukan kepada sekelompok kecil kaum muslimin pada masa itu, yang mana mereka ini pada saat itu sangatlah kecil dari segi bilangannya dan sangatlah terhad di satu kawasan yang terpencil."


Jika semasa umat Islam hanya berjumlah ribuan sahaja, tuntutan ayat ini telah diturunkan kepada mereka, apatah lagi dengan jumlah seperti yang kita ada pada hari ini?


Fikir-fikirkan...
Blog Widget by LinkWithin