Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, March 5, 2013

Bila melihat kembali blog saya ini, sayu juga hati... kerana agak lama dibiarkan sepi. Kesibukan tugasan dan disokong pula oleh media sosial Facebook... menyebabkan keutamaan untuk menulis di blog menjadi semakin terkebawah.

Mmmm... mohon doakan saya agar dapat kembali aktif menulis. :-)

Juga mohon untuk doakan agar manuskrip terbaharu saya dapat diterbitkan secepat yang mungkin oleh Inteam Publishing...

Berapa masa yang kita sedia?


Allah Azza wa Jalla telah memerintahkan dengan satu perintah di dalam al-Quran, di mana Allah memulakan pelaksanaannya dengan Diri Allah Taala sendri. Malah Allah menyatakan pula bahawa para malaikat juga turut menyertai pelaksanaannya. Setelah itu baharulah Allah Taala menyeru kita semua – setiap orang yang beriman –  dengan perintahNya, sebagaimana firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” ( al-Ahzab 33: 56)
Renungilah! Di dalam al-Quran amat langka sekali sesuatu perkara yang diperintahkan itu dimulakan dengan satu kenyataan bahawa Allah s.w.t. sendiri turut sama melakukan perkara itu. Ini sahaja sudah cukup untuk menjelaskan betapa mulianya fadilat amalan berselawat kepada Rasulullah s.a.w. Malah Imam al-Qurtubi menyimpulkan, bahawa ayat ini merupakan satu pernyataan betapa kemuliaan diri baginda Rasulullah s.a.w. itu sendiri!
Hubungan antara Rasulullah s.a.w. dengan kita sebagai umat baginda adalah amat rapat sekali. Cuba fahami, untuk amalan solat yang merupakan satu ibadah yang begitu tinggi kedudukannya di sisi Allah, kita masih dituntut untuk berselawat dan mengucapkan salam kepada baginda Rasulullah s.a.w. di dalam solat kita. Seolah-olah Allah s.w.t. mahu agar setiap hari hubungan, ingatan dan ikatan hati kita kepada baginda sentiasa diperkukuhkan lima kali sehari, hari demi hari. Sehinggalah hari kita akan mencari dan bertemu dengan baginda di medan Mahsyar nanti!
Imam an-Nasaie telah merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada ‘Umair al-Ansari r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa sahaja daripada umat ku yang berselawat ke atas ku dengan hati yang tulus ikhlas maka Allah akan menurunkan ke atasnya sepuluh rahmat, ditinggikan sepuluh darjat, dituliskan untuknya sepuluh pahala dan dihapuskan sepuluh dosa.”
Imam at-Tirmizi pula telah merekodkan satu riwayat yang bersumber daripada Ubai bin Ka’ab r.a., bahawa apabila berlalu dua pertiga malam, Rasulullah s.a.w. akan bangun (untuk bertahajud) dan akan berkata kepada para sahabat, “Wahai manusia, ingatilah Allah! Ingatilah Allah! Telah sampailah perkara yang menggoncangkan dan telah sampaikan juga perkara yang mengiringinya (maksudnya ialah tiupan sangkala yang pertama dan selepasnya tiupan sangkala yang kedua sudah hampir). Maut beserta segala kedahsyatannya telah datang! Maut beserta segala kedahsyatannya telah datang!”
Lantaran itu, Ubai berkata, “Ya Rasulullah, saya ingin memperbanyakkan selawat kepada tuan. Daripada masa berdoa dan berzikir saya, sebanyak manakah masa yang patut saya tetapkan untuk saya berselawat kepada tuan?”
Baginda bersabda, “Sebanyak yang hati kamu inginkan.”
Saya bertanya lagi, “Ya Rasulullah, kalau satu perempat?”
Baginda menjawab, “Sebanyak yang kamu inginkan. Sekiranya kamu tambah maka itu lebih baik kepada kamu.”
Saya berkata lagi, “Jika separuh?”
Baginda menjawab, “Sebanyak yang kamu inginkan, jika kamu tambah lagi maka itu lebih baik untuk kamu.”
Saya bertanya lagi, “Jika dua pertiga?”
Baginda bersabda, “Sebanyak yang kamu suka. Jika kamu tambah lagi maka itu lebih baik bagi kamu.”
Saya pun berkata, “Jika demikian, saya jadikan seluruh masa untuk berselawat kepada tuan. “
Baginda bersabda, “Jika kamu lakukan demikian maka Allah akan hapuskan segala kerisauan kamu dan Allah akan ampunkan segala dosa kamu.”
Sekarang, giliran kita pula bertanya kepada diri kita, berapa banyak pula masa kita sedia untuk berselawat kepada kekasih hati kita Saiyidina Rasulillah s.a.w.?

Tuesday, November 27, 2012

Haji 1433...


Alhamdulillah, Allah dengan Rahman dan Rahim-Nya, telah menjemput saya untuk sekali lagi dapat menunaikan fardhu haji, walaupun sambil-sambil menjalankan tugas. Sebenarnya, saya telah dilantik menjadi Penyelidik Bersekutu untuk Program Penyelidikan Haji Universiti Sains Malaysia. Walau apapun sebabnya, saya lihat ini semua asbab yang Allah gunakan untuk jemput saya sekali lagi ke Tanah Suci.

Berpeluang menunaikan haji kali kedua, memberi saya peluang yang lebih luas untuk menghadami ibadah yang mulia ini. Sudah tentu, tidak ada yang lebih mulia, daripada berada di Dua Tanah Suci Makkah dan Madinah. Betapa bahagianya dapat bersujud di dalam Masjidil-Haram, di hadapan Baitullahil-haram. Betapa bahagianya dapat melantunkan selawat, di sisi maqam kekasih hati kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Roh kepada haji, umrah dan ziarah ialah kehadiran hati kita dengan hari Akhirat. Sejauhmana kita menyedari hampirnya kita dengan akhirat, maka semakin berertilah ibadah haji kita. Semakin hati kita bertaut-erat dengan Allah, sejauh itulah kemanisan dan kekhusyukan melaksanakan manasik haji dan umrah akan dikecapi. Betapa kita merasai bahawa seolah-olah kita sedang menziarahi baginda Rasulullah s.a.w. semasa hayat baginda, maka sebanyak itulah kenikmatan berada di Kota Madinah akan mengcahayai hati kita.

Kita dapat lihat, bagaimana semasa menunaikan haji ini, para jemaah kelihatan begitu bersungguh-sungguh menunaikan segala ibadah dengan begitu nikmat. Suasana indahnya beribadah begitu terserlah.Kesungguhan bersolat, bersedekah, berzikir dan berdoa begitu nyata. Saling memberi salam, bertegur-sapa dan berbalas senyuman. Melihat para jemaah berdoa dengan titisan airmata yang tulus, begitu menyentuh jiwa. Namun begitu, terlintas di fikiran saya, adakah agama ini hanya manis diamalkan di bumi Makkah dan Madinah? Adakah untuk seseorang itu dapat mengecapi keasyikan dan kemanisan mengabdikan diri kepada Allah, hanya hak eksklusif di Dua Tanah Suci ini? Bagaimana pula dengan pengamalan agama di tempat lain di atas muka bumi ini?

Bukankah risalah Islam ini di bawa oleh Rasulullah s.a.w. yang diutuskan sebagai rahmat bagi seluruh alam? Dihantar buat manusia dan jin keseluruhannya sehingga ke hari alam ini dikiamatkan?

Blog Widget by LinkWithin