Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, May 1, 2008

Pada suatu pagi Penghulu Segala Hari...

Alhamdulillah, hari ini hari Penghulu Segala Hari - yakni hari Jumaat - menjelma lagi. Hujung-hujung akhir zaman 'ni, setiap menjelangnya hari Jumaat merupakan perkara yang mendebarkan... Kerana hari Kiamat juga berlaku pada hari Jumaat!

Semasa memandu untuk menghantar Abang Ngah dan Alang ke sekolah tadi, buka radio Ikim.FM. Alhamdulillah, banyak ilmu yang dapat diambil. Antara yang menarik satu segmen wawancara dengan Sdr Ridhuan Tee. Satu perkongsian pandangan yang amat menarik.


"Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi daripadanya!", kata Sdr Ridhuan. Cara pengucapan yang bersungguh-sungguh dan bersemangat, saya kira membayangkan apa sebenarnya yang menjadi bergelora dalam lubuk hati dan Iman beliau.


Tiba-tiba saya menjadi kagum. Begitu hebat hidayah Allah. Jika dahulunya, beliau seorang yang bukan mukmin, kini beliau menjadi seorang muslim yang berada di barisan paling hadapan dalam meninggikan kalimah Allah Taala di atas muka bumi ini, terutamanya di bumi Tanah Melayu ini.

Ingatan saya membawa saya kembali ke alam sebagai penuntut universiti. Saya teringat Al-Fadhil Ustaz Ismail Chong, salah seorang guru hadith kami.

Semoga Allah terus memberkati mereka ini dengan kekuatan untuk membimbing masyarakat Islam kepada kerdehaaan Allah. Biarpun mereka menerima hidayah Iman dan Islam lebih lambat daripada orang Melayu, tetapi bukanlah satu kehinaan untuk kita pula bernaung dan mencarim kekuatan daripada da'ie-da'ie yang mukhlis ini.

Allah tidak pernah perlukan sesiapa untuk menegakkan agama-Nya. Allah pernah gunakan bangsa Arab, Parsi, Monggul, Turki, India dan sebagainya untuk meneraju kegemilangan umat Islam. Allah pernah gunakan seelor burung Hud-Hud untuk sebarkan agama-Nya. Allah tidak perlukan sesiapa, tetapi sesiapa yang berusaha menegakkan agama Allah, sebenarnya telah diberikan nikmat yang amat besar.


Sudahkah kita pastikan, apakah tugas hakiki kita sebagai seorang muslim?

No comments:

Blog Widget by LinkWithin