Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, March 9, 2009

Maulidur Rasul 1430H


Hadrat Anas RA meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Tiga perkara, sesiapa mempunyai ketiga-tiga perkara ini, dia telah memperolehi kemanisan iman: Bahawasanya Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain keduanya; dan dia mengasihi seseorang yang mana tidak dia kasihi orang itu melainkan kerana Allah; dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya dia daripada dicampak ke dalam api neraka." (HR Al-Bukhari)

Kelazatan iman ini boleh dirasa. Mendengar cerita manisnya gula, tidak akan sama dengan dapat mencicipi rasa gula itu sendiri. Namun begitu, ada masanya, dengan mendengar cerita mereka yang telah merasai lazatnya manisan, membuatkan kita seolah-olah turut merasai sama kelazatannya.

Jika kita dapat bersama Saiyidina Bilal RA, mungkin kita akan dapat mendengar bagaimana Bilal RA memerikan betapa manis dan lazatnya iman, sehingga semasa batu yang besar dihimpitkan ke dadanya, hati dan mulutnya masih tega menyatakan, “Ahad! Ahad!”. Kita tidak dapat mengecapi kemanisan yang dirasai oleh Khansa’ R.HA ketika diberitahu kepadanya berita tentang kesyahidan kempat-empat puteranya, lalu berkata, “Segala puji bagi Allah, yang telah menjadikan aku ibu kepada empat orang syuhada”. Alam rasa adalah alam yang amat dalam. Kesannya melampaui alam nyata.

Allah berfirman di dalam Ayat 31 Surah Aali ‘Imran:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Imam Ibnu Kathir memberikan komentarnya mengenai ayat ini, “Yakni, akan terhasil bagi kamu melebihi apa yang kamu harapkan, iaitu daripada kasih kamu kepada Nya, kepada kasih-Nya kepada kamu; sedangkan ia (yakni kasih Allah kepada kamu) adalah lebih agung berbanding (perkara) yang pertama tadi (yakni kasih kamu kepada Allah). Sebagaimana kata sebahagian ulamak lagi hukamak: Bukanlah perkara yang hebat kamu mengasihi, tetapi perkara yang hebat itu ialah kamu dikasihi!”

Maka untuk Ittiba’ Rasulullah SAW, dengan penuh minat dan cinta, kita cuba semampu yang mungkin mengikuti tiga P yang ada pada Rasulullah SAW: Paparan, Perjalanan dan Perasaan Rasulullah SAW.

Paparan

Paparan zahiriah yang ada pada Rasulullah SAW kita ikuti dengan penuh cinta. Merupakan fitrah manusia, apabila meminati seseorang, dia akan berusaha untuk meniru dan menyerupai orang yang diminati itu. Maka siapakah yang lebih layak untuk dicintai dan diminati oleh seorang muslim melebihi Baginda Rasulullah SAW? Allah SWT berfirman:
“Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isteri baginda adalah ibu-ibu mereka.” (Al-Ahzab 33: 6)

Maka, jika ada seorang muslim yang berserban, bukan kerana dia terpesona dengan budaya bangsa Arab, tetapi kerana minat dan cintanya kepada apa yang dipakai oleh Nabi Muhammad SAW yang berbangsa Arab. Jika seorang muslim itu berjanggut, bukan kerana dia rasa berjanggut itu akan menampakkan dia lebih macho atau hebat, tetapi kerana minat dan cintanya untuk memiripkan penampilannya sehampir mungkin dengan seseorang yang amat diminatinya, iaitu Baginda Rasulullah SAW. Dan segala perasan minat dan cintanya ini, mempunyai manfaat dan nilai yang tinggi pada hari kita semua amat mengharapkan syafaat Baginda Rasulullah SAW!

Perjalanan

Perjalanan atau sirah Rasulullah SAW. Kita perlu jadikan pagi kita, seperti paginya Rasulullah SAW. Petang kita, seperti petangnya Rasulullah SAW. Siang kita seperti siangnya Rasulullah SAW. Malam kita seperti malamnya Rasulullah SAW. Setiap panduan, tuntunan, perintah dan arahan yang lahir daripada Baginda perlulah kita ikuti. Keimanan kita, ibadah, muamalat, muasyarat dan akhlak kita perlulah mengikuti seperti yang diteladani dan dikehendaki oleh Rasulullah SAW. Allah SWT mengingatkan:

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah…” (Al-Hasyr 59:7)

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab 33:21)

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Al-Qalam 68:4)

Perasaan

Apa yang bergelora di dalam hati Rasulullah SAW juga perlu bergelora di dalam hati kita. Sebagaimana syafaqah (kasih sayang) Rasulullah SAW kepada umat Baginda tidak berbagai dalamnya, begitu jugalah hati kita juga mempunyai syafaqah itu terhadap saudara kita. Allah SWT menggambarkan:

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.” (At-Taubah 9: 128)

Syafaqah ini membuahkan kerisauan. Kerisauan yang amat suci, kerisauan untuk melihat setiap orang diselamatkan daripada tangkapan neraka Allah, dan dimasukan ke dalam syurga Allah lalu memperoleh kejayaan yang hakiki lagi kekal. Kerisauan Rasulullah SAW tentang perkara ini dipersaksikan oleh Allah SWT sendiri melalui firman-Nya:

“Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu karena bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (Al Qur'an).” (Al-Kahfi 18:6)

“Boleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, karena mereka tidak beriman.”
(Asy-Syu’araa 26:3)

Begitu indah Allah SWT menggambarkan, betapa kasih sayang dan fikir-risau Baginda Rasulullah SAW terhadap umat Baginda. Dan bersumber daripada fikir-risau inilah, lahirnya usaha dan pengorbanan. Rasullulah SAW dan para Sahabat telah bangun dan melakukan perjuangan yang amat besar. Perasaan syafaqah dan kerisauan yang sempurna inilah yang perlu wujud di dalam hati kita. Lalu mendorong kita untuk bangun atas usaha yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat, iaitu usaha dakwah ilalLah, lantas melayakkan kita untuk menyandang gelar sebagai Pengikut Rasulullah SAW, sebagaimana firman Allah:

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."” (Yusuf 12:108)

Semoga sambutan Maulidur Rasul 1430H ini, membuatkan kita semakin hampir dengan apa yang ada di dalam hati Rasulullah SAW!

4 comments:

Anonymous said...

Terima kasih artikelnya, bagus sekali, boleh saya print ?

Anonymous said...

Assalamu 'alaikum,

Joddie,

Ahlan wa sahlan.. Dengan segala senang hati.Jika ada manfaatnya, moga akan tersebar..

Jazakumullah, wassalam.

zarch said...

"Allahuma salli ala Muhammad wa ala aali Muhammad"

Jazakallah ustaz Gunawan, aman hati saya bila membaca tulisan-tulisan ustaz, doakan semoga saya dapat membawa kasih sebenar-benarnya pada Rasulullah kedalam hati saya dan keluarga saya.

Anonymous said...

Assalamu 'alaikum,

Sdr zarzh,

Terima kasih sudi singgah.

Oh Allah... demi Jah-nya kekasih-Mu, Saiyidina Muhammad SAW, terimalah kami....

Wassalam.

Blog Widget by LinkWithin