Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, August 6, 2009

7 Wasiat Raja-Raja Melayu

Ogos menjelang lagi. Ogos ada makna yang besar untuk rakyat Malaysia. Lebih tepatnya, 31 Ogos 1957 adalah satu tarikh yang Allah telah pilih, sebagai pengisytiharan bagi mengurniakan nikmat yang besar kepada kita rakyat Malaysia. Setelah sekian lama, akhirnya Allah telah mengurniakan kembali nikmat kemerdekaan dan kedaulatan untuk negeri Tanah Melayu ini. Sejak peristiwa tragis tahun 1511 Empayar Melaka diserang Portugis, hanya pada tahun 1957 inilah, Tanah Melayu kembali merdeka. 446 tahun yang amat panjang! Namun begitu, barang perlu diingatkan,nikmat ini milik Allah. Nikmat ini hak mutlak Allah. Nikmat ini Allah boleh beri dan Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja. Nikmat ini wajib kita syukuri. Nikmat ini wajib kita isi dengan 'ketaatan kepada Allah, sebagaimana panduan Rasulullah s.a.w.'!

Saya tertarik dengan ingatan yang disebut-titahkan oleh Raja Muda Perak,Raja Dr. Nazrin Shah berkenaan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu. Petikan daripada Utusan Online:


KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

  1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

  4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.

  5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

  6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Entah mengapa, hati saya sayu apabila membaca patah-patah perkataan di dalam wasiat ini!

Jika kita lihat dalam wasiat ini, selain hikmah dalam pentadbiran negara, ada satu wasiat yang sangat mendalam hikmahnya, untuk kita semua renungkan. Wasiat ini mengatakan: "Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan."

Jika kita semak Perlembagaan Persekutuan, kita dapati sememangnya tidak pernah dinyatakan perkataan Islam adalah agama RASMI Persekutuan. Bila ada rasmi, boleh ada TIDAK RASMI. Jadi perkataan yang digunakan ialah "Islam ialah AGAMA PERSEKUTUAN." Maknanya, jika entiti Persekutuan ini diibaratkan seorang individu, maka Persekutuan ini ada agamanya, iaitu Islam. Apabila Islam dikatakan sebagai agama Persekutuan, maka agama lain tidak boleh lagi menjadi agama kepada Persekutuan. Macam seseorang yang beragama Islam, maka dia tidak boleh pula dalam masa yang sama beragama dengan agama yang lain pula.

Agama lain hanya diperuntukkan dalam Perlembagaan sebagai boleh diamalkan dengan bebas dan aman di dalam Persekutuan Tanah Melayu ini. Itupun dengan batasan, tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Agama lain diberikan kebebasan untuk diamalkan, namun sesekali tidak boleh menyamai taraf dan berkongsi hak Islam sebagai AGAMA PERSEKUTUAN. Perlembagaan menyatakan SPB Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Maka Perlembagaan juga telah memperuntukkan bahawa di dalam Ikrar Pelantikan sebagai YDP Agong, Seri Paduka Tuanku berjanji untuk mempertahankan Islam setiap masa dan dalam apa sahaja keadaan. Perlembagaan juga memperuntukkan, sebagai agama Persekutuan, belanjawan boleh diambil daripada khazanah negara mahupun negeri, bagi tujuan kemaslahatan agama Islam. Inilah hak dan taraf Islam sebagai agama Persekutuan.

Sebenarnya, sesuai dengan Ikrar SPB Yang di-Pertuan Agong dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, maka setiap apa yang hendak dilakukan di negara ini perlulah menjaga kemuliaan dan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan.

Raja-Raja Melayu telah meletakkan asas yang baik dan penuh hikmah, tinggal lagi, sejauhmana kita yang mewarisi amanah ini mampu memahami, menghayati dan melaksanakannya?

Oh Allah... bantulah kami!

No comments:

Blog Widget by LinkWithin