Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Friday, January 23, 2009

Abah... Amat berat perpisahan ini!

Abah, 23 Muharram 1430H / 2o Januari 2009M akan sentiasa dalam ingatan Abe. Walaupun hati ini sangat berat, tapi hakikat hidup dan mati adalah satu ketetapan Ilahi yang pasti kita akan tempuhi. Abe sebagai anak, hanya mampu redha, sabar dan pasrah dengan pemergian Abah ini. Abah pergilah dahulu. Kasih sayang kami anak-anak Abah akan sentiasa bersama Abah. Benarlah kata-kata Jibrail kepada baginda Rasulullah s.a.w., "Cintailah siapa saja, (tetapi) kamu pasti akan berpisah jua". Terasa amat berat perpisahan ini. Terasa amat berat beban yang Abe galas sebagai anak sulung kini. Tapi, Abah teruskanlah perjalanan, insya Allah doa anak-anak Abah akan sentiasa mengiringi Abah. Semoga rahmat dan maghfirah Allah, kekal bersama Abah selama-lamanya.
Oh Allah! Ampunilah segala salah dan silap Abah kami ini, terimalah dia sebagai hamba Mu yang soleh, berlemah lembutlah dengan Abah ku ini, limpahilah Abah kami dengan rahmat Mu yang berkekalan, berikanlah kami kekuatan untuk menjadi anak-anak yang soleh. Oh Allah! Kusandarkan dukacita ku ini kepada ihsan dan rahmat Mu...

Thursday, January 15, 2009

Sebak Seorang Putera Raja...

Setelah bersama dengan pelajar SMK CBN untuk ceramah sempena Maal Hijrah, saya bergegas pula ke PWTC untuk menghadiri majlis penutup Kongres Ekonomi Islam Ke-3 (KEI-3)yang disempurnakan oleh Raja Muda Perak Tuanku Raja Dr Nazrin Shah .

Bagi saya, Titah Penutup baginda ini adalah satu rintihan seorang putera raja yang amat prihatin dengan nasib bangsanya dan keadaan umat Islam di tanah air yang tercinta ini. Dengan kata-kata yang tersusun tertib, penuh dengan kebenaran ilmiah, baginda telah menelusuri jatuh bangun bangsa Melayu di bumi Tanah Melayu ini dari sudut ekonominya. Titah yang disulam kesebakan ini, amat menyentuh hati saya.

Antara titah baginda:
"Wasiat itu telah dilupakan. Terkubur bersama di Pusara Pahlawan Masjid Negara.
Lupa daripada ingatan, padam daripada amalan!"

"Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku ini..."

(Yusuf 12:86)


'Sembang-sembang hijrah' di SMK CBN

Alhamdulillah, segala pujian untuk Allah yang telah mengizinkan saya memenuhi jemputan untuk menyampaikan ceramah sempena sambutan Ma'al Hijrah SMK Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur.

Walaupun perjalanan membelah bandar Kuala Lumpur pada waktu menjelang tengahari amat memeritkan pemandu kenderaan, alhamdulillah, Allah izinkan untuk saya sempat sampai di SMK CBN tepat jam 11.30 pagi. Pelajar yang hadir ialah kesemua pelajar muslimah daripada Tingkatan 1 hinggalah ke Tingkatan 6.

Lalu saya berkongsilah dengan adik-adik pelajar CBN tentang hijrah. Tapi fokus saya lebih kepada hijrah dari sudut matlamat sebenar kehidupan. Oleh kerana saya tidak pandai berceramah, jadi saya bersembang sajalah. Apa yang saya lihat, wajah-wajah ceria dan berminat untuk mengikuti 'sembang-sembang hijrah' saya. Saya pun berceritalah, bagaimana hijrah yang akan dilalui daripada alam dunia ke alam barzakh. Daripada alam barzakh ke alam mahsyar dan seterusnya. Sebenarnya, apa yang ingin saya sampaikan ialah, 'rancanglah kematian kita!'

Inilah laluan hijrah yang kita perlu cakapkan setiap hari, yang perlu kita dengari setiap hari! Yang perlu kita fikirkan setiap hari, bukan hanya setahun sekali tatkala bulan Muharram tiba!


Semoga 'sembang-sembang hijrah' saya dapat diterima oleh adik-adik di CBN. Dan semoga Allah terima majlis kami tadi, untuk menjadi sumber kemuliaan kami di akhirat nanti.

"Oh Allah! Janganlah hampakan kami..."

Blog Widget by LinkWithin