Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, November 9, 2009

Benarkah Sayyidina Umar Pernah Membunuh Anak Perempuannya?

Saya teringat semasa bulan Ramadhan yang lalu, pada satu malam yang saya tidak ada jemputan tazkirah, jadi dapatlah saya pada malam tersebut menunaikan solat Isyak dan Tarawih di surau mahallah saya, Surau Al-Muhajirin, Presint 9. Kebetulan pula, pada malam itu, ada tazkirah. Satu tazkirah yang bersemangat dan penuh kesungguhan. Cuma, apabila tiba pada satu kisah, berkenaan bagaimana Saiyidina Umar r.a. dikisahkan sebagai telah membunuh anak perempuannya, suasana begitu beremosi. Apa lagi bila tuan penceramah, mengisahkannya dengan gaya deskriptif yang terperinci sekali. Bila tiba bab kisah ini, hati saya sudah berdebar. Lalu, apabila pulang ke rumah, saya telah buat carian di internet. Akhirnya saya ketemukan satu artikel, yang ditulis oleh Maulana Muhammad Asri Darul-Kautsar. Saya pernah ziarah Maulana Asri di madrasah Darul-Kautsar beliau.

Bila teringatkan artikel tersebut, saya fikir, elok juga jika saya panjangkan tulisan Maulana Asri ini. Walaupun bukan semua pendapat dan pengajaran Maulana Asri saya persetujui, tetapi artikel berkenaan sejarah Islam ini, amat saya muafakati. Wallahualam. Artikel yang saya perpanjangkan:

Ada beberapa buah buku yang disebarkan dengan agak meluas dalam masyarakat memuatkan kisah Sayyidina Umar r.a kononnya telah membunuh seorang anak perempuan dengan menanamnya hidup-hidup, seperti buku Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd (1984), ms. 50-51. Terdapat juga dua artikel yang disiarkan di dalam akhbar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk kanak-kanak di ruangan BESTARI (Harakah, 18 Disember 1998), dan satu lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama ILHAM (Harakah, 30 Nov. 1998). Kedua-duanya memuatkan cerita yang sama dengan sedikit perbezaan ibaratnya.

Jika cerita yang seperti itu disiarkan oleh musuh Islam tentu sekali tidak ada maksud lain lagi bagi mereka selain untuk memburuk-burukkan imej Sayyidina Umar r.a sebagai sahabat karib Rasulullah (s.a.w) dan khalifah agung umat Islam.

Cerita yang seperti ini jika disebarkan oleh kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, pada pandangan penulis ada dua kemungkinan yang mendorong mereka menyebarkannya. Pertama, kerana jahil dan kedua adalah kerana menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a berada di zaman jahiliah.

Apa peliknya andaikata semasa jahiliah itu Sayyidina Umar r.a telah melakukan demikian! Selain itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam? Dengan kemampuannya yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk peribadi manusia sehingga manusia yang sekejam Umar r.a itu pun setelah memeluk Islam menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam kemudian.

Bagi penulis tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia kerana ini telah pun terbukti melalui sekian banyak riwayat-riwayat yang sahih. Tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar r.a ini? Apakah kedudukannya? Adakah ia memang berasas atau ia hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?

Alangkah berguna kepada para pembaca sekalian sekiranya penulis buku-buku dan artikel-artikel tersebutmengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang ramai itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.

Kisah ini tidak akan dapat ditemui dan dikesan walaupun bayangnya di dalam kitab-kitab hadits atau kitab-kitab sejarah yang muktabar. Tentu sekali mulanya ia direka oleh musuh Islam tetapi sungguh malang sekali kita umat Islam hari ini kerana menerima apa saja yang disogokkan dalam bentuk cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah (s.a.w) telah pun bersabda yang bermaksud;

“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa saja yang didengarnya.” (Hadits Riwayat Muslim)

Tujuan penulis mengoreksi artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup sahabat Rasulullah (s.a.w), juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah (s.a.w) dan sahabat-sahabat Baginda (s.a.w) kerana mereka adalah cermin agama Islam.

Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bahagian terpenting daripada kisah Sayyidina Umar r.a menanam hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disiarkan di dalam akhbar tersebut). Begini ceritanya ...

“... Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang digalinya. la menangis. Umar tidak menghiraukannya. ... Umar menutupkan mata dan terfikir, “Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau dilahirkan sebagai perempuan?” la menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil. “Umar, jangan jadi pengecut,” tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali di telinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir ...”

Selain kisah ini tidak terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan muktabar, ia juga bercanggah dengan kaedah dirayah yang dipakai oleh ulama’ Islam dalam menilai sesuatu cerita.

Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:

1. Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk membuktikan seorang pun daripada qabilah Quraisy pernah menanam anak hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a membunuh anak perempuan sendiri.

2. Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah qabilah Bani Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka disebabkan anak-anak itu. (Mohd Tayyib an-Najjar, al-Qabasu al-Waddha’, ms. 78, Zakaria Bashier,The Meccan Crucible, ms. 24).

Sebagaimana adanya riwayat menyebutkan Qais bin Asim, seorang pemimpin qabilah Bani Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku menanam hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman jahiliah,di sana terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari qabilah yang sama telah menyelamatkan sekian ramai anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh ibubapa mereka kerana takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak perempuan itu.

Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, datuk kepada al-Farazdaq (seorang penyair Arab yang terkenal) dan Zaid bin Amar bin Nufail.

Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan daripada kedua ibubapa mereka kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang. (At-Thabarani dalam al-Mu’jamu al-Kabir, jilid 8, ms. 77). Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakatnya yang menyengutukan Allah (s.w.t) dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin cuba mengesan serta mengamalkan saki-baki peninggalan agama Nabi Ibrahim (a.s). Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibubapa mereka lalu memeliharanya hingga dewasa. Kemudian beliau akan membawa anak perempuan itu kepada dua ibubapa masing-masing lalu berkata kepada mereka, “Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini bolehlah kamu mengambilnya, atau kalau kamu tidak mahu biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” (Bukhari, jilid 1, ms. 540.)

Zaid bin Amar bin Nufail bukan sahaja dari keluarga Sayyidina Umar r.a malah beliau merupakan sepupu Sayyidina Umar r.a sendiri. Adik perempuan Sayyidina Umar r.a menjadi isteri kepada anaknya Sa’id, manakala anak perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar r.a sendiri. Takkanlah dalam keluarga yang terkenal dengan usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh orang tua mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menyerlah dan terpenting di kalangan mereka melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anak sendiri!

3. Setelah Mekah dibuka, Rasulullah (s.a.w) berbai’ah dengan perempuan-perempuan mukmin. Di antara ucapan Baginda (s.a.w) ialah: “Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.” Hindun dengan spontan menjawab, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”

Peristiwa tersebut dicatatkan di dalam kitab-kitab hadits dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci, kata-kata Hindun ini menunjukkan qabilah Quraisy tidak terlibat dengan adat yang keji ini.

Sabda Rasulullah (s.a.w) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu sabda Baginda (s.a.w) yang bermaksud;

“Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka amat menjaga kedudukan dan harta benda suami.” (Sahih Muslim, jilid 16 ms. 81)

Apa ertinya pujian Nabi (s.a.w) mengenai sifat penyayang mereka terhadap anak-anak sekiranya mereka juga seperti qabilah-qabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak? Sewaktu Nabi (s.a.w) diutuskan menjadi Nabi, Sayyidina Umar r.a ketika itu berumur 27 tahun. Anak-anak Sayyidina Umar r.a yang lahir sebelum Islam semuanya masih hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.

Dalam tradisi Arab, seseorang itu dikuniahkan dengan anak sulungnya. Sebagaimana kuniah Nabi kita (s.a.w) ialah Abu al-Qasim, kuniah Sayyidina Umar r.a ialah Abu Hafsin yang merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.

Perlu juga diperhatikan bahawa di sepanjang hayatnya, berapa ramaikah isteri Sayyidina Umar r.a dan juga hamba sahayanya di samping anak-anak beliau dengan mereka itu?

Kerana sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar r.a, Imam Ibnu al-Jauzi dan lain-lain telah menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar r.a dan anak-anaknya serta hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah:

i. Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Utsman bin Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi (s.a.w). Dengan Zainab ini Sayyidina Umar r.a telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.

ii. Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh.

iii. Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Tsabit bin Aflah. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim.

v. Ummul Hakam binti al-Harits bin Hisyam. Dengannya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.

v. Ummul Kultsum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid al-Akbar.

vi. Ummul Kultsum binti Ali bin Abi Talib. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid al-Ashghar dan Ruqayyah.

vii. Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar r.a telah mendapat anak. Dengan Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan dengan Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman al-Ausath dan Abdul Rahman al-Ashghar.

Jadi anak-anak Sayyidina Umar r.a adalah seperti berikut:

Lelaki:

1. Abdullah

2. Abdul Rahman al-Akbar

3. Abdul Rahman al-Ausath

4. Abdul Rahman al-Ashghar

5. Zaid al-Akbar

6. Zaid al-Ashghar

7. Ubaidullah

8. ‘Aasim

9. ‘lyadh


Perempuan:
1. Hafsah

2. Ruqayyah

3. Fatimah

4. Zainab

Daripada isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Sayyidina Umar r.a hanya mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman al-Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan Zainab binti Maz’un, sebab itulah beliau dikuniahkan dengan Abu Hafsin.

Pada ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai hanya 3 orang anak ini sahaja. Kalau begitu anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar r.a itu? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar r.a betul-betul tidak suka atau bencikan anak perempuan, kenapa pula beliau sanggup memakai kuniah Abu Hafsin?

Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, adakah logik Sayyidina Umar r.a baru mengetahui jantina sebenar anaknya hanya setelah anak itu berumur 4 tahun?

Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh Imam Daarimi di dalam Sunannya, atau mungkin ia pura-pura terkeliru.

Riwayat itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah (s.a.w) lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang jahiliah. Kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan. Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya. Dia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga. Saya memegang tangannya dan menolaknya masuk ke dalam telaga. Kata-kata terakhir yang terkeluar dari mulutnya ialah, “Ayah!”.”

Mendengar ceritanya itu Nabi (s.a.w) menangis. Orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi (s.a.w) berkata kepada orang itu, “Kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah (s.a.w).” Nabi bersabda, “Orang ini datang bertanyakan sesuatu yang lebih penting dari itu.” Seraya Baginda (s.a.w) berkata kepada orang itu, “Ceritakan sekali lagi kisah itu.” Orang itu pun mengulangi lagi sekali kisah tersebut menyebabkan Rasulullah (s.a.w) menangis sehingga basah janggutnya.

Kemudian Nabi (s.a.w) bersabda, “Perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman jahiliah telah dihapuskan oleh Allah (s.w.t) dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulakanlah amalan-amalan yang lain.” (Sunan Daarimi, jilid 1, ms. 3)

Ini adalah satu kisah dari seorang yang tidak diketahui siapa orangnya dan apa namanya. Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat telah mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar r.a padahal cerita ini pun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak dapat disabitkan kerana Wadhin adalah merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80 H dan wafat pada 149 H, sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain di atasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya!

Dalam istilah ilmu hadits, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqati’, kerana perawi di atasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulama’ rijal hadits tentangnya. Imam Bukhari, Muslim dan Nasa’i tidak mahu menerima riwayatnya. Ibnu Saad berkata, “Dia seorang yang dhaif.” Abu Hatim berkata, “Setengah-setengah riwayatnya baik tetapi sesetengah yang lain sangatlah buruk.” Jauzajani berkata, “Riwayat-riwayatnya adalah lemah.” (Mizan al-I’tidal, jilid 4, ms. 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahawa, “Ingatannya sangat teruk di samping tertuduh berfahaman Qadariyah.” (Taqribu at-Tahzib jilid 2 ms. 331)

Bila riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan pula tidak disebutkan dengan jelas namanya, kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyidina Umar r.a? Tentu sekali perbuatan seperti ini tidak berani dilakukan dengan sengaja, kecuali oleh musuh-musuh Islam.

Tuesday, November 3, 2009

ARTIKEL SOLUSI BIL. 13: Hubungan antara Fadhail A'maal dan Iman

Majalah SOLUSI Bil. 13 telah berada di pasaran. Alhamdulillah, artikel untuk kolum Fadhail A'maal saya masih dapat diteruskan sebagaimana biasa. Muka suratnya masih pada halaman ke-65. Apa yang saya letakkan dalam masukan ini, tidak semestinya sama dengan yang diterbitkan di dalam SOLUSI. Sebagaimana maklum, artikel di dalam SOLUSI telah melalui proses editan. Apa yang saya perturunkan di sini ialah artikel asal sebagaimana yang ada dalam laptop saya. Semoga ada manfaatnya!

Nukilan (1):

Riwayat berasal daripada Abi Maalik Al-Asy’aari r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bersuci dengan berwudhuk itu sebahagian daripada iman; ungkapan ‘Alhamdulillah’ itu memenuhi neraca timbangan; ungkapan ‘Subhanallahi wal-hamdulillah’ itu memenuhi keduanya segala langit dan bumi; solat itu adalah nur; sedekah itu adalah bukti; sabar itu sinar cahaya dan Al-Quran itu sama ada hujah bagi pihakmu atau bagi menentangmu…” (HR Muslim, Bab Fadhilat Wudhuk)

Imam Mula Ali Qari di dalam kitab Mirqatnya menyatakan, makna ‘Berwudhuk itu adalah sebahagian iman’ kerana iman itu adalah kesucian hati daripada syirik manakala wudhuk itu kesucian anggota badan daripada hadas dan najis. Kalimah ‘Subhanallahi wal-hamdulillah’ dikatakan memenuhi langit dan bumi, maknanya pahala dan ganjaran bagi ungkapan ini akan memenuhi langit dan bumi. Solat pula dikatakan sebagai nur bermaksud solat akan menjadi cahaya di alam kubur dan dalam kegelapan hari Kiamat. Imam An-Nawawi di dalam syarah Muslimnya pula menyatakan, maknanya ialah solat itu akan menegah pelakunya daripada maksiat, mencegah daripada perkara keji dan mungkar, memberi petunjuk kepada perkara yang benar sebagaimana cahaya itu menjadi penyuluh dan penerang kepada manusia. Mungkin juga ia bermaksud, bahawasanya solat itu akan menjadi cahaya yang zahir di wajah pelakunya pada hari Kiamat, malah semasa kehidupan dunia pun akan menjadi cahaya yang berseri-seri pada wajahnya.

Imam Mula Ali Qari menyatakan, ‘sedekah itu adalah bukti’ bermaksud ia akan menjadi bukti atas iman seseorang mukmin itu, manakala orang munafik akan tertegah daripadanya. ‘Sabar itu sinar cahaya’, Imam An-Nawawi menjelaskan, maknanya sabar yang telah ditentukan di sisi syarak iaitu sabar atas mentaati Allah, sabar dalam meninggalkan maksiat kepadaNya dan juga sabar atas segala cubaan kesusahan dan perkara-perkara yang tidak diingini dalam kehidupan dunia ini; dan yang dikehendaki dengan ungkapan ini ialah sabar itu amat terpuji dan tuan empunya sabar ini akan sentiasa disinari dan diberikan petunjuk secara berterusan atas perkara yang benar. Manakala ungkapan ‘Al-Quran itu sama ada hujah bagi pihakmu atau bagi menentangmu’, Imam An-Nawawi menyatakan, maksudnya adalah jelas bahawa ‘engkau akan mendapat manfaat daripadanya jika engkau membacanya dan beramal dengan kandungannya, jika tidak maka Al-Quran yang akan menjadi hujah mendakwa ke atas engkau.’

Berasal daripada ‘Uthman bin Affan r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang berwudhuk, lalu mengelokkan wudhuknya, keluarlah segala dosa daripada badannya hingga akan keluar daripada bawah-bawah kukunya.” (HR Muslim, Bab Keluarnya Dosa-Dosa)

Riwayat berasal daripada ‘Uthman bin Affan r.a., katanya, “Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah seseorang hamba Allah itu menyempurnakan wudhuknya, melainkan Allah akan mengampunkan dosanya yang terdahulu mahupun yang terkemudian.” (HR Al-Bazzar dengan perawi-perawinya adalah dipercayai dan hadis ini bertaraf hasan, insya Allah. Sebagaimana dipetik daripada kitab Majma’uz-Zawaaid).

Riwayat berasal daripada Abu Umamah r.a., katanya, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesiapa yang berwudhuk untuk mendirikan solat, kemudian dia membasuh kedua pergelangan tangannya, maka gugurlah dosa-dosa daripada tapak tangannya bersama titisan air yang pertama; apabila dia berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dan menghembuskannya keluar, gugurlah dosa-dosa daripada lidahnya dan dua bibirnya bersama titisan air yang pertama; dan apabila dia membasuh mukanya, maka gugurlah dosa-dosa daripada pendengarannya dan penglihatannya bersama titisan air yang pertama; apabila dia membasuh tangannya hingga ke siku dan kakinya hingga ke buku lali, maka akan terselamatlah dia daripada dosa-dosanya dan daripada segala kesalahannya sebagaimana hari semasa ibunya melahirkannya.” Sabda baginda lagi, “Dan apabila dia berdiri untuk bersolat, maka Allah akan mengangkat darjatnya; dan apabila dia duduk (yakni tidak bersolat pun), maka duduknya itu juga menghapuskan dosa-dosanya.” (HR Ahmad di dalam Musnadnya)

Nukilan (2):

Fardhu wudhuk enam perkara:
(1) Niat: Niat mengambil wudhuk hendaklah ketika mula-mula membasuh sebahagian daripada mukanya;
(2) Membasuh muka: Had muka ialah antara tempat tumbuh rambut hingga kesudahan dagunya dan dari anak telinga kanan ke anak telinga kiri;
(3) Membasuh kedua tangan hingga ke siku;
(4) Menyapu kepala: Menyapu satu juzuk dari kulit kepala atau menyapu sebahagian rambut kepala yang berada dalam had kepala walaupun seurat atau sebahagiannya;
(5) Membasuh dua kaki hingga dua buku lali;
(6) Tertib: Tertib ialah mengikut susunan seperti di atas.
(Dipetik dan diringkaskan daripada Kitab Matla’ Al-Badrain wa Majmu’ Al-Bahrain oleh Almarhum Syaikh Muhammad bin Ismail asy-Syaikh Daud Fatani)

Di antara dua nukilan di atas, nukilan manakah yang membuatkan iman bergelora dan hati rasa teruja untuk kita bangun dan mengambil wudhuk?

Tentulah nukilan yang pertama lebih dekat dengan hati kita, lebih menarik perhatian jazbah keimananan kita serta lebih menimbulkan rasa ihtisab (mengharapkan ganjaran Allah dengan yakin yang sempurna kepada janji-janjiNya) kita.

Sesungguhnya, Fadhail A’maal mempunyai kesan yang langsung kepada keimanan seseorang kepada Allah. Ia mempunyai impak yang sangat kuat dalam menimbulkan kemanisan iman dan rasa taqarub seorang hamba dengan Tuhannya. Ia dapat mendidik hati agar hanya bertawajuh kepada apa yang disukai Allah dan perkara yang dicintaiNya. Inilah kesan tarbiah yang telah membentuk peribadi hebat generasi Sahabat dan salafus-soleh selepas mereka.

Kita pula bagaimana?

Sunday, November 1, 2009

Satu yang pernah dicatatkan dulu...

Tanpa ragu, Islam mengajarkan bahawa manusia ialah KHALIFAH Allah di atas muka bumi ini. Satu darjat yang amat memeranjatkan para malaikat semasa asal penciptaan manusia. Manusia bukanlah makhluk pertama yang dicipta oleh Allah. Pernah satu masa dahulu, manusia tidak wujud malah tidak pernah disebut dan diperkatakan pun oleh kalangan makhluk berakal yang ada. Segalanya hanya wujud di dalam keazalian ilmu Allah yang Maha Qadim. Sehingga tibalah saat Allah menyatakan IradahNya, lalu menciptakan makhluk manusia dengan status tetapnya sebagai 'khalifatullah' di atas planet bumi ini; sebuah planet yang begitu kecil, yang berada pula di dalam sebuah galaksi yang kecil. Terawang-rawang dalam sebuah samudera kosmik yang dipenuhi dengan pelbagai misteri, lambang keagungan kerajaan Tuhan Yang Maha Besar.

Asy-Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan AI-Buti, telah menerangkan tentang makna 'khalifah' ini, katanya: "Iradah Allah s.w.t. telah menjadikan alam semesta ini dengan segala maujud yang terkandung di dalamnya, dan segala jenis dan spesiesnya. Maka dengan hikmat-Nya yang sempurna, Allah s.w.t. telah memilih jenis manusia di antara pelbagai jenis yang wujud di alam semesta ini dan melantiknya sebagai ketua dan penghulunya. Manakala segala jenis maujud yang lainnya telah dijadikan oleh Allah s.w.t. untuk kegunaan manusia dan ditugas kan untuk berkhidmat kepada mereka sebagai khadam yang setia. Seterusnya diserahkan kepada mereka usaha membangunkan dan menguruskan pentadbirannya. Itulah yang dimaksudkan dengan 'khalifah' dalam firman Allah s.w.t.:

[Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.]
(AI-Baqarah 2:30)



dan juga yang dimaksudkan dengan 'isti'mar' dalam firman-Nya:

[Dia telah mencipta kamu daripada bumi(tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya.]
(Hud 11:61)

Melanjutkan perbicaraannya tentang kekhalifahan manusia ini, beliau memperkatakan pula tentang konsep 'amanah' yang ditanggung oleh manusia. Katanya:" Makhluk yang bernama manusia ini telah disediakan dan dibekali Allah Tuhan Yang Pencipta, dengan sifat dan kebolehan yang sudah semestinya perlu ada, untuk menyempurnakan daya kemampuannya bagi menguruskan dan mentadbir alam dunia ini, dan membangunkan serta memanfaatkan ia dengan sebaik-baiknya. Lalu dikurniakan daya akal dan daya lain yang berupa cabang daripadanya, seperti daya ilmu dan kefahaman, daya menganalisis segala sesuatu secara mendalam dan terperinci untuk menggali rahsia dan hakikat di sebaliknya.Disediakan juga naluri keakuan (ananiyyah) dan naluri-naluri lain yang tercabang daripadanya, seperti kecenderungan untuk memiliki dan menguasai sesuatu. Disediakan juga daya kekuatan dan kebolehan mengurus dan mentadbir, juga daya-daya lain yang tercabang daripadanya seperti kecenderungan untuk berkuasa, mencapai kebesaran dan kedudukan atau kemahsyuran. Seterusnya, manusia dibekali sejumlah sentimen yang dikira sebagai pelengkap dan penyempurna kepada semua naluri dan sifat-sifat tersebut serta fungsinya, seperti rasa kasih dan cinta, rasa benci, rasa marah dan seumpamanya. Anda lebih mengetahui bahawa manusia tidak mampu menundukkan setiap sesuatu di alam ini atau menguasai satu pun daripada urusan dan keperluan hidupnya melainkan setelah sifat-sifat, naluri-naluri dan bakat-bakat kebolehan tersebut diberi oleh Allah S.W.T.

Maka terpulang kepada manusialah untuk menentukan sejauhmana mereka mahu mendalami kebolehan dan keupayaan tersebut, dan kemanakah akan mereka gunakan alat-alat tersebut. Kata AI-Buti lagi: "Oleh kerana itu, Allah s.w.t. menitipkan alat itu kepada manusia sebagai amanah yang menggambarkan betapa penting dan besar kedudukannya kepada kehidupan manusia dan tamadunnya.

[Sesungguhnya telah Kami kemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang; maka semuanya enggan memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil.]
(AI-Ahzab 33:72)

Sesuai juga dengan darjatnya sebagai 'khalifah Allah', Allah juga telah menciptakan manusia ini dalam sebaik-baik 'TAQWIM'. Apakah yang dimaksudkan dengan 'taqwim' ini? Imam AI-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya mengenai ayat 4 Surah At- Tin ini,'.' katanya:". ..Ibnu 'Arabi berkata:[Tidaklah ada bagi Allah Taala satu ciptaan yang lebih elok/baik daripada manusia. Sesungguhnya Allah telah menciptakan manusia dengan bersifat hidup. mengetahui, berkemampuan, berkeinginan, berkata-kata, mendengar, melihat, mentadbir dan menghakimi. Ini semua adalah sifat-sifat Tuhan Yang Maha Suci, dan daripada inilah, setengah-setengah ulamak mengiktibarkan dan menghasilkan satu ungkapan, bahawa: (Sesungguhnya Allah telah menciptakan Adam atas rupabentukNya) iaitu menyerupai bentuk sifat-sifatNya sebagaimana yang telah kita sebutkan di atas. Dalam satu riwayat yang lain, dinyatakan sebagai: (...atas rupabentuk Ar-Rahmaan). Macamana pula Tuhan Yang Maha Rahmaan mempunyai rupabentuk syakhsiah fizikal begini? Jadi, ia mestilah difahami sebagai sesuatu yang merujuk kepada sesuatu yang ma'aani (abstrak)". Imam AI-Qurtubi seterusnya membawakan satu ungkapan ahli-ahli falsafah sebagai menutup perbincangannya mengenai ayat ini: "Sesungguhnya, manusia itu ialah sebuah alam yang kecil (mikrokosmik), kerana setiap apa yang ada pada sekalian makhluk (makrokosmik) dihimpunkan padanya!"

Bagi melengkapkan lagi nikmat 'taqwim' tadi, Allah telah berikan pula kepada manusia kekuatan untuk men'TASKHIR'kan segala makhluk lainnya, untuk berkhidmat kepada manusia. 'Taskhir' di sini maksudnya, dipermudahkan untuk manusia bagi mengambil manfaat daripada lain-Iain ciptaan Tuhan baik yang di langit mahupun yang di bumi. Kekuatan seperti cahaya, bunyi, warna, aroma, frekuensi, udara, air, tanah, api, logam dan 'chemical', juga telah di'taskhir'kan Allah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Selayaknya dengan status mereka sebagai 'khalifah Allah'.

Seterusnya manusia dengan segala kelengkapan yang telah disiapkan oleh Allah itut diminta untuk menggunakan akal mereka untuk meneliti, berfikir dan bertadabbur tentang segala ciptaan Allah ini. Menggunakan akal untuk meneliti, berfikir dan bertadabbur ini adalah kuncinya ilmu. Antara subjek yang diminta untuk manusia memikirkannya ialah 'berkenaan diri mereka sendiri'. Penciptaan manusia adalah begitu unik dan penuh misteri. Dan subjek manusia ini telah menarik minat manusia itu sendiri untuk meneliti dan mengkajinya.

Sejauhmana kita telah mengenali betapa hamba dan makhluknya kita ini?
Blog Widget by LinkWithin