Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, August 13, 2009

Iktibar....

Hari ini agak sibuk. Pagi-pagi lagi sibuk dengan Carens yang meragam semalam. Pomen datang ke rumah. Terima kasih kepada Bujal yang hantar pomennya untuk tukarkan bateri Carens tu. Lepas 'tu terus ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, menunaikan jemputan ceramah tentang Sistem Pentadbiran Negara kepada peserta kursus induksi PPUM. Semasa bertolak pulang, dapat SMS daripada Ustazah Asni (yang selalu muncul dalam Wanita Hari Ini dan Al-Kulliyah 'tu) menyatakan Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia... Inna lillahi wa innaa ilaihi raaji'un...

Jauh di lubuk hati, saya jadi terkedu... Saya tidak sempat berkenalan rapat dengan Allahyarham.. hanya sempat bersua muka dan bersalam dengan beliau... rasanya kali terakhir, ketika Allahyarham membuat persembahan dengan penyanyi Amy Search semasa perasmian Bulan Dakwah di PICC tempohari.. Apa yang menyentuh hati saya, jika dibandingkan umur, umur Allahyarham hanya setahun lebih tua daripada saya.. dan bila dimaklumkan asbabnya ialah sakit jantung.. terkenang kepada Almarhum ayahanda saya..

Janji Allah, tiada siapa yang mampu menahannya. Bak kata lagu Allahyarham,
'pergi tak kembali' lagi... yang ada hanya menanti di sana.. itulah yang pasti. Hari ini, kita hadiahkan bacaan Fatihah kepada Ust Asri... satu hari nanti.. pasti dan pasti dan pasti... orang pula yang hadiahkan Fatihah kepada kita (itu pun jika ada yang sudi)... Alangkah bagusnya, jika kita tahu... bila 'kan tiba ajal kita.. malangnya, semuanya itu adalah rahsia daripada rahsia Allah.. Allah mengingatkan:

"Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya." (Luqman 31: 34)

Walaupun Ramadhan sudah di depan mata, tidak semestinya kita sempat bertemu dengannya. Lihat sahaja Ust Asri.. tinggal lebih kurang 7 hari sahaja lagi.. namun janji Allah menemuinya terlebih dahulu... Lalu, bagaimana kita?

Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat, sejak Rejab lagi, mereka sudah pun memohon merayu Allah, "Ya Allah, limpahkanlah keberkahan-Mu kepada kami di dalam Rejab dan Sya'ban, dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan!" (HR Al-Bazzar, Al-Baihaqi, Abu Nuaim dan Ibnu Sunni)

Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat paling faham, apa itu sebenarnya nilai dapat bertemu dengan Ramadhan. Lalu mereka bersungguh-sungguh memohonnya dan membuat persiapan menyambutnya. Lalu, bagaimana kita?

Al-Fatihah buat saudara Allahyarham Ustaz Asri Rabbani....

Thursday, August 6, 2009

7 Wasiat Raja-Raja Melayu

Ogos menjelang lagi. Ogos ada makna yang besar untuk rakyat Malaysia. Lebih tepatnya, 31 Ogos 1957 adalah satu tarikh yang Allah telah pilih, sebagai pengisytiharan bagi mengurniakan nikmat yang besar kepada kita rakyat Malaysia. Setelah sekian lama, akhirnya Allah telah mengurniakan kembali nikmat kemerdekaan dan kedaulatan untuk negeri Tanah Melayu ini. Sejak peristiwa tragis tahun 1511 Empayar Melaka diserang Portugis, hanya pada tahun 1957 inilah, Tanah Melayu kembali merdeka. 446 tahun yang amat panjang! Namun begitu, barang perlu diingatkan,nikmat ini milik Allah. Nikmat ini hak mutlak Allah. Nikmat ini Allah boleh beri dan Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja. Nikmat ini wajib kita syukuri. Nikmat ini wajib kita isi dengan 'ketaatan kepada Allah, sebagaimana panduan Rasulullah s.a.w.'!

Saya tertarik dengan ingatan yang disebut-titahkan oleh Raja Muda Perak,Raja Dr. Nazrin Shah berkenaan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu. Petikan daripada Utusan Online:


KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

  1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

  4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.

  5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

  6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Entah mengapa, hati saya sayu apabila membaca patah-patah perkataan di dalam wasiat ini!

Jika kita lihat dalam wasiat ini, selain hikmah dalam pentadbiran negara, ada satu wasiat yang sangat mendalam hikmahnya, untuk kita semua renungkan. Wasiat ini mengatakan: "Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan."

Jika kita semak Perlembagaan Persekutuan, kita dapati sememangnya tidak pernah dinyatakan perkataan Islam adalah agama RASMI Persekutuan. Bila ada rasmi, boleh ada TIDAK RASMI. Jadi perkataan yang digunakan ialah "Islam ialah AGAMA PERSEKUTUAN." Maknanya, jika entiti Persekutuan ini diibaratkan seorang individu, maka Persekutuan ini ada agamanya, iaitu Islam. Apabila Islam dikatakan sebagai agama Persekutuan, maka agama lain tidak boleh lagi menjadi agama kepada Persekutuan. Macam seseorang yang beragama Islam, maka dia tidak boleh pula dalam masa yang sama beragama dengan agama yang lain pula.

Agama lain hanya diperuntukkan dalam Perlembagaan sebagai boleh diamalkan dengan bebas dan aman di dalam Persekutuan Tanah Melayu ini. Itupun dengan batasan, tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Agama lain diberikan kebebasan untuk diamalkan, namun sesekali tidak boleh menyamai taraf dan berkongsi hak Islam sebagai AGAMA PERSEKUTUAN. Perlembagaan menyatakan SPB Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Maka Perlembagaan juga telah memperuntukkan bahawa di dalam Ikrar Pelantikan sebagai YDP Agong, Seri Paduka Tuanku berjanji untuk mempertahankan Islam setiap masa dan dalam apa sahaja keadaan. Perlembagaan juga memperuntukkan, sebagai agama Persekutuan, belanjawan boleh diambil daripada khazanah negara mahupun negeri, bagi tujuan kemaslahatan agama Islam. Inilah hak dan taraf Islam sebagai agama Persekutuan.

Sebenarnya, sesuai dengan Ikrar SPB Yang di-Pertuan Agong dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, maka setiap apa yang hendak dilakukan di negara ini perlulah menjaga kemuliaan dan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan.

Raja-Raja Melayu telah meletakkan asas yang baik dan penuh hikmah, tinggal lagi, sejauhmana kita yang mewarisi amanah ini mampu memahami, menghayati dan melaksanakannya?

Oh Allah... bantulah kami!

Meraikan permintaan...

Semata-mata meraikan permintaan seorang kawan pengunjung, saya sertakan di sini artikel sulung yang diterbitkan di dalam Majalah SOLUSI bil. 9. Semoga ada manfaatnya. Dan jika ada kesudian daripada tuan/puan yang mulia, selit-selitkanlah doa buat saya yang faqir ini. Jazakumullahu khairan jazaa-an!

Suatu hari, Rasulullah s.a.w. sedang keliling-keliling Madinah. Suasana nyaman sekali. Angin yang bertiup mengusik-usik daun-daun tamar yang menghijau. Menari-nari bebas. Tiba-tiba, Rasulullah s.a.w. terpandang satu susuk tubuh tidak berapa jauh di depan. Nampaknya, asyik sekali sahabat Baginda itu sedang menanam sesuatu. Baginda amat mengenali susuk tubuh itu. Beliau ialah Abu Hurairah r.a.


“Apa yang kau tanam ‘tu wahai Abu Hurairah?”, sapa Rasulullah s.a.w. setelah memberi salam.

“Labbaik ya Rasulullah! Saya sedang tanam satu pokok ‘ni!”, sahut Abu Hurairah.
Lanjut Rasulullah s.a.w., “Mahu ‘tak aku tunjukkan kepada mu satu tanaman yang lebih baik daripada pokok ini?”

“Tentulah wahai Rasulullah!”, pantas Abu Hurairah meningkah.

Ujar Rasulullah s.a.w., “Kau ucapkanlah:

سبحان الله و الحمد لله و لا إله إلا الله و الله أكبر

akan ditanamkan bagi mu bagi setiap kali ucapan satu pokok di dalam syurga!”

(Diilustrasikan daripada hadis riwayat Ibnu Majah, Bab Kelebihan Tasbih)

Ini hanyalah secebis kisah daripada kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w. dengan para Sahabat Baginda. Kehidupan yang begitu diberkati. Kehidupan yang telah menyebabkan Allah S.W.T. tidak sabar-sabar untuk isytiharkan keredaan-Nya kepada mereka. Ketikamana hamba-hamba Allah yang lain perlu menunggu pengisyitiharan reda Allah hanya setelah memasuki syurga, namun bagi para Sahabat mereka telah diisytiharkan keredaan Allah Taala kepada mereka semasa mereka masih hidup di atas muka bumi ini lagi.

Daripada peristiwa ringkas ini, jelas terbayang kepada kita, beberapa perkara:

1. Rasulullah s.a.w. mempunyai satu pendekatan yang istimewa dalam mentarbiah para Sahabat Baginda. Tarbiah yang amat sederhana, tetapi mempunyai kesan yang amat mendalam dalam pembentukan hati dan fikir para Sahabat r.anhum.

2. Lihatlah, Rasulullah s.a.w. dalam satu kesempatan yang tiba-tiba, melalui perbualan yang singkat, telah mengalihkan perhatian Abu Hurairah daripada keterujaan kepada pokok yang sedang ditanamnya, kepada keterujaan kepada akhirat; daripada tawajuh kepada nilai benda kepada nilai amal; daripada tarikan apa yang diusahakan kepada keyakinan jitu terhadap janji-janji Allah!

3. Pentarbiahan ini berlaku secara alami. Ini menunjukkan betapa perbualan-perbualan sebegini adalah satu lumrah dan kelaziman dalam kehidupan Rasulullah s.aw. dan para Sahabat r.anhum. Tarbiah ini bukan sahaja di dalam masjid, bahkan telah menjadi amalan yang menjalar segar di dalam darah dan urat nadi mereka. Ini dibuktikan oleh ratusan riwayat yang boleh dirujuk oleh himpunan kitab-kitab hadis yang ada.

Inilah yang dikatakan sebagai ‘fadhail a’maal’ ( فضائل الأعمال ) iaitu satu manhaj rabbani lagi nabawi yang membawa hati dan minda seseorang Muslim Mu’min itu kepada nilai sesuatu perkara di sisi Allah Taala. Satu pendekatan yang mendidik seseorang itu agar hatinya hidup untuk peka dengan Allah dan apa yang Allah suka. Fadhail A’maal ini konsep asasnya ialah pengislahan melalui kaedah Tabsyir ( تبشير ) dan Inzar ( إنذار ).

Imam An-Nasafi menyatakan Tabsyir ialah memberitahu berita gembira dengan adanya balasan nikmat di dunia dan di akhirat sebagai ganjaran kepada semua perbuatan baik yang dikerjakan di dunia ini. Manakala Inzar pula ialah bermaksud menakutkan seseorang dengan memberitahunya balasan azab yang akan menimpanya di dunia dan akhirat kerana melakukan dosa.

Inilah caranya Allah Taala mengislahkan hamba-hamba-Nya yang menjadi sunnah para rasul-Nya. Allah S.W.T. berfirman:

“Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.” (Al-An’am 6:48)

Dengan penuh keyakinan dengan kaedah yang telah dipilih sendiri oleh Allah, Zat Yang Maha Tahu tentang penciptaan dan kaedah yang terbaik untuk manusia, marilah kita kembali suburkan pendekatan Fadhail A’maal ini dalam kehidupan kita!

---
Majalah SOLUSI pada hemat saya satu majalah yang amat baik sebagai nota peringatan untuk kita. Dalam SOLUSI juga ada ruangan Soal Jawab Fiqh (masail) yang dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Syed Mohd Fadzli Al-Yamani.
Blog Widget by LinkWithin