Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, August 31, 2009

Catatan diri - 11 Ramadhan

Fajar Sidiq 11 Ramadhan untuk tahun 1430H telah menyapa. Maknanya, bermula Maghrib malam tadi, 1/3 kedua Ramadhan telah tiba. 10 hari kedua Ramadhan ialah karnival tawaran maghfirah. Aku sangat berharap, supaya 10 hari pertengahan Ramadhan ini, benar-benar dapat meraih simpati dan ihsan Allah untuk aku yang banyak dosa ini. Apalagi yang layak bagi si faqir ini harapkan, melainkan keampunan dan kasihan belas Tuhannya?

"Oh Allah.. 10 hari yang dipenuhi dengan rahmat-Mu telah berlalu, sedangkan begitu banyak yang aku sia-siakan. Maka apalagi yang aku boleh harapkan, selain belas kasihan-Mu, selain maghfirah-Mu? Oh Allah... bekalkan aku taufik untuk menghadapi hari-hari yang berbaki ini, agar setiap detik dan saat ialah detik-detik masa yang dapat menggembirakan-Mu. Oh Allah.. bantulah daku atas zikir kepada-Mu, mensyukuri-Mu serta keelokan dalam beribadah kepada-Mu! Semata-mata dengan rahmat-Mu Duhai Yang Maha Rahim!"

Aku bersyukur, keizinan masih diberikan oleh Allah, untuk menikmati hirupan nafas dan degup jantung pada siang 11 Ramadhan ini. Andainya aku dimatikan semalam, apakah nasib ku di barzakh pada hari ini? Semoga nikmat umur yang masih berbaki ini, dapat aku gunakan sebaiknya, demi meraih redha dan kasih Allah!

Malam tadi, aku agak keletihan. Maklumlah penat memandu. Minggu lepas balik berpuasa di kampung. Selain kerana cuti sekolah, aku gagahkan juga balik di awal Ramadhan kerana mengingatkan, inilah kali pertama Ma berpuasa tanpa Abah di sampingnya. Itupun dengan hikmah Allah, Hafizh adik aku yang lulusan Diploma 'tu memilih untuk tinggal di rumah. Adalah juga anak, untuk temankan Ma. Selain Hafizh, semua adik-beradik aku tinggal di sekitar Lembah Klang. Kecuali Dayah, yang belajar di UiTM Jengka. Daripada 9 adik beradik, tinggal seorang saja di kampung. Syukur juga, Allah taufikkan untuk Hafizh tinggal di kampung. Selain sibuk sebagai jurulatih Silat Cekaknya, dia dan Ma 'dah mula dengan projek menternak ikan dalam tangki fiber. Dua hari lepas, sebanyak 42 ekor anak siakap dilepaskan sebagai percubaan. Insya Allah, 500 ekor lagi akan menyusul. Semoga projek Hafizh dengan Ma sukses sokmo!

Sehari sebelum balik ke kampung, Tarmimi beritahu yang Ma jatuh tangga. Sudahlah Ma sememangnya sakit lutut, jatuh tangga pula. Hati memang rasa susah. Cuma yang peliknya, kenapa Hafizh dan Ma 'tak telefon bagitau aku?

"Mungkin 'tak teruk agaknya," kata hati aku, memujuk perasaan aku sendiri.

Betullah, Ma jatuh tangga. Nasib baik hanya dua batang anak tangga. Kena berurut dan ke klinik juga. Itupun, Ma kena solat sambil duduk di atas kerusi.

Aku harap, kepulangan aku dan keluarga sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati Ma. Itupun semasa berbuka, Ma tersebut-sebut juga pasal Abah.

"Abah kau suka sangat ketam gulai 'ni..."

"Abah kau dapat berbuka dengan cendol dan air gula, cukup dah!"

Aku 'tak tahu perasaan sebenar Ma. Tapi hati aku mengakui, betapa lainnya Ramadhan kali ini. Tiada lagi gurau senda Abah menyakat pasal masakan atau juadah berbuka puasa. Tiada lagi suara Abah memarahkan cucu-cucunya bergaduh di meja makan. Tiada lagi cucu-cucu yang akan digigit-gigit oleh Tok Abah mereka. Kerusi makan yang selalu Abah duduk, aku pandang sayu. Biarlah Ma yang duduk kat situ. Ya Allah.. Kau cucuri roh Abah dengan rahmat-Mu.. Kau siramilah jua rohnya dengan maghfirah-Mu.. Ku hadiahkan fatihah ini buat Abah.. Al-Fatihah...

Hampir 5 hari di kampung. Banyak masa aku habiskan di rumah. Biar Ma puas bersama-sama dengan cucu-cucunya. Hafizh pun kena layanlah juga anak-anak saudaranya. Ubaid yang tiga tahun umur pun bukan main bersilat dengan Pak Udanya. Pagi Sabtu, Yen dan Dayah pula sampai. Mereka balik dengan bas. Bukan main sukalah anak-anak aku, daripada sebesar-besar Umair yang 'dah 14 tahun, sampailah ke Itmi'nan yang setahun. Ubaid lagilah suka.

Cuma pada hari Sabtu 'tu, aku dan keluarga berbuka puasa di rumah Pakcik Nor, bapa saudara isteri ku sebelah ibu. Tak 'pelah, lagipun Yen dan Dayah 'dah ada. Adik-adik ipar aku dan keluarga mereka juga ada sama. Alhamdulillah, dapat berkumpul adik beradik. Rumah bagai 'nak pecah dengan suara budak-budak. Sedap masakan Che Mah.

Lepas 'tu naik ke rumah Mami. 'Dah janji nak minum air teh. Hampir pukul 11 malam, pergi pula ke rumah Abuji, bapa saudara isteri sebelah ayah. Kami 'dah berjanji, akan bersahur di rumah Abuji. Alhamdulillah.

Esok paginya, aku 'dah berjanji dengan Dr. Hj. Rosmadi, 'nak menziarahi ustaz aku, iaitu Fadhilatul-Ustaz Nik Abdul Kadir, Mudir semasa aku di Maahad Muhammadi dulu. Lebih mesra dengan panggilan Ust Nik Dir. Cadangan asalnya, pagi hari Sabtu 'tu nak pergi. Selepas Subuh, semasa sedang baca Al-Quran, tiba-tiba aku teringat kepada Ust Nik Dir. Lalu aku ajak Rosmadi, kerana dia tahu rumah Ust Nik Dir. Bagaimanapun, rancangan diubah ke pagi Ahad. Kira-kira jam 11.30 pagi, kami pun bertolak ke rumah Ust Nik Dir. Alhamdulillah, Ustaz ada di rumah. Akhirnya, dapat juga aku berjumpa dengan Ust Nik Dir. Dapat ziarah, bersalam dan mencium tangan ulamak; merupakan rezeki yang besar untuk aku pada pagi Ahad Ramadhan ini. Setelah bertanya khabar Ustaz dan bercerita lebih kurang tentang anak-anak murid beliau, akhirnya aku meminta diri. Lagipun Ustaz ada tetamu pada masa 'tu. Sebelum pulang, sebagai mengambil berkat, aku hadiahkan senaskhah buku "Masjid Itu Hidupku". Semoga dengan melihat buku itu, Ustaz jadi teringat kepada salah seorang anak muridnya ini, dan semoga dengan ingatan Ustaz kepada ku, menjadi doa dan merupakan wasilah serta penguat salsilah keberkatan ilmu yang aku kutip selama 6 tahun di bawah bumbung Maahad Muhammadi (Lilbanin).

Aku sentiasa ingat apa yang sering diulang-ulang oleh Ust Nik Dir semasa perhimpunan kami di Maahad dulu, "Kita hendaklah jadi seorang yang soleh dan musleh. Menjadi soleh saja tidak mencukupi, tetapi kita juga perlulah menjadi seorang yang musleh, iaitu kita menjadi sebab orang lain pula menjadi soleh...!" Nasihat tuan guru aku ini aku pasakkan di dalam hati. Menjadi doa dan harapan, agar aku diterima sebagai seorang hamba-Nya yang soleh serta musleh...

"Allahumahdina, wahdi binaa, waj'alnaa sababan li manihtada!"

Monday, August 24, 2009

Ramadhan dan Air Batu


Bila berbuka puasa, nikmat sungguh bila dapat teguk minuman yang sejuk. Segar lagi menyegarkan. Lalu lakulah air batu dibeli oleh orang. Kalau di kedai Mesra Petronas 'tu, selalu sampai kehabisan. Walaupun sekarang musim ramai orang demam dan batuk, nampaknya air batu masih laris jualannya.

Lihatlah, bagaimana satu minuman yang kurang sedap, tetapi bila dimasukkan ketul-ketul air batu 'tu, maka minuman yang sama, dengan rasa dan kemanisan yang sama, Allah telah tukar daripada kurang sedap menjadi begitu nikmat. Begitu mudah Allah sempurnakan keinginan kita...

Tapi cuba kita lihat, air batu yang kita letakkan itu akan mula cair. Sedikit demi sedikit, air batu itu akan mengecil, mula cair dan larut bersama minuman. natijahnya, minuman itu akan menjadi sejuk, dan begitu lazat untuk dinikmati.

Tetapi, jika air batu yang sama, kita letakkan di atas tangga.. maka ia akan mula cair juga, macam jika kita letak minuman tadi. Tapi, bila ia cair di atas tangga, maka cairnya air batu tersebut, bukan lagi membawa manfaat... bukan setakat berlaku pembaziran... malah boleh mengundang bahaya.

Begitulah juga dengan Ramadhan. Hari ini sudah masuk hari ke-4 kita berpuasa. Empat malam telah berlalu. Ramadhan telah bersama kita, namun Ramadhan juga tetap pergi meninggalkan kita. Kita suka atau tidak, kita manfaatkannya atau tidak; Ramadhan tetap akan luput daripada kita. Macam air batu tadi, ia tetap akan cair. Cuma, adakah cairnya itu membawa manfaat, ataupun cairnya itu akan membawa mudarat?

Dengan perumpaan ini, cubalah kita jawab soalan ini, "Bagaimana dengan Ramadhan kita?"

Sunday, August 23, 2009

3 Ramadhan 1430H...

Sudah tiga malam berlalu. Ramadhan kini bersama kita. Pagi kita, petang kita. Malam kita, siang kita. Sejak masuk Maghrib Jumaat lepas, semuanya sudah tidak sama lagi. Pintu-pintu syurga dibuka sepenuhnya. Pintu-pintu neraka ditutup. Penduduk langit bergembira. Malah, syurga yang sedia hebat, diperindahkan dan dihiaskan lagi bila munculnya Ramadhan. Segalanya tidak sama lagi. Satu rakaat dalam Ramadhan, sama sekali tidak sama dengan satu rakaat di luar Ramadhan. Satu 'Subhanallah' dalam Ramadhan, jauh sekali beza pahalanya dengan satu 'Subhanallah' di luar Ramadhan. Bezanya seperti jarak langit dengan bumi. Semoga Allah benar-benar beri taufik, agar kita dapat manfaatkan kunjungan Ramadhan ini untuk menjadi wadah, kita semakin mulia di sisi Allah!

Maulana Abdullah Yusuf Ali menyatakan, di dalam Al-Quran, ayat-ayat tentang Ramadhan dan ibadah puasa terhimpun di dalam ayat 183-188 Surah Al-Baqarah. Maknanya, jika kita ingin mengetahui apa yang Allah Taala nyatakan sendiri tentang Ramadhan, hendaklah kita rujuk kepada ayat-ayat tersebut. Itulah adab kita sebagai hamba, sentiasa melihat dan menelek, apa yang Allah mahu daripada kita. Cuba baca ayat-ayat suci 'tu. Kemudian tengok terjemahan, tengok tafsir. Insya Allah, akan jelas kepada kita, apa yang sepatutnya kita banyakkan dalam Ramadhan 'ni. Ada yang kita kena banyakkan. Ada yang kita kena kurangkan. Ada kita kena tinggalkan. Bila kita jalani Ramadhan, ikut program yang Allah 'dah susun, insya Allah, kita akan capai maksud Allah fardhukan ibadah puasa - yang juga merupakan salah satu Rukun Islam - dalam bulan Ramadhan ini. Imam At-Tobrani dalam At-Tafsir Al-Kabir menyatakan, program puasa Ramadhan ini telah disusun oleh Allah, supaya kita semua dapat menjadi golongan atqiyaa' (orang yang bertaqwa). Imam Al-Qurtubi pula menyatakan dalam tafsirnya, puasa itu adalah sebab kepada Taqwa, kerana ia mematikan syahwat-syahwat (yang tidak elok). Selain pahala, kita inginkan 'kesan' daripada puasa kita.

Rasanya, banyak 'dah yang telah ditulis dan diceramahkan tentang apa yang perlu dilakukan sepanjang bulan yang berkat ini. Senarai yang teratas sudah tentu berkaitan dengan ibadah Puasa itu sendiri. Untuk ibadah puasa, amat penting kita pelajari segala hukum hakamnya. Wajib sunatnya. Sah batalnya. Segala masail (masalah-masalah hukum-hakam) puasa perlu kita jaga. Seterusnya kita hiasilah sepanjang hari ibadah puasa kita itu dengan ibadah sahur, tilawah Al-Quran, tawajuh dan doa, zikrullah, sedekah, iktikaf dan memberikan makanan untuk iftar. Malamnya kita makmurkan dengan iktikaf, tarawih, tadarrus dan tahajud.

Cuma satu perkara, yang sangat perlu kita ingatkan, istimewanya dalam bulan Ramadhan ini, marilah kita berusaha untuk benar-benar jaga solat lima waktu kita. Saya tengok ramai yang begitu bersungguh-sungguh untuk tarawih. Bersesak-sesak. Ada yang buat 8 rakaat, ada yang 20 rakaat. Ada yang bukan setakat 20 rakaat, siap imam hafiz lagi. Maka penuhlah masjid dan surau waktu tarawih. Malah melimpah-limpah. Apa yang menghairankan, kenapa semasa Maghrib dan Subuh, surau yang sama, kariah yang sama; tetapi menjadi kosong tidak seperti semasa tarawih? Malah sesetengahnya, isyak dilepaskan daripada berjemaah, sekadar datang untuk bertarawih sahaja. Apa sudah jadi?

Adakah kita faham bahawa nilai tarawih berjemaah itu lebih tinggi nilainya di sisi Allah melebihi nilai Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah? Wallahi.. Demi Allah! Nilai dua rakaat solat Subuh berjemaah itu jauuuuuh lebih tinggi daripada 20 rakaat solat tarawih!! Lebih rugi lagi... satu solat fardhu yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan, Allah gandakan ganjarannya seperti 70 kali kita bersolat fardhu di luar Ramadhan... Siapa yang sanggup solat sampai 70 kali???

Kita perlu faham, bila Allah letakkan pahala dan ganjaran yang tinggi kepada sesatu amalan, maka itu menunjukkan tahap suka dan redha Allah yang lebih besar kepada amalan tersebut. Bukankah kita beramal ini untuk 'menyukakan' Allah? Supaya Allah suka kepada kita. Bila Allah suka, maka Allah akan redha kepada kita? Jika demikian, kenapa kita tinggalkan atau remehkan perkara yang Allah suka?

Oh Allah.. Kasihanilah kami... rahmatilah kami.. berlemah-lembutlah dengan kelemahan kami!
Blog Widget by LinkWithin