Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Saturday, April 26, 2008

Hujung Minggu di Seri Petaling

Pandangan daripada pintu pagar utama
Gambar: http://omarjamaludin.fotopages.com

Alhamdulillah, petang semalam sempat ke Madrasah Bustanul-Ulum, Caw. Bukit Changgang dan ambil anak sulung saya, Muhammad 'Umair, serta empat orang kawan-kawannya untuk ke perhimpunan umat Islam di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling. Sudah dua minggu tidak jumpa 'Umair 'ni. Sehari sebelum itu, 'Umair memang 'dah telefon saya, minta ambil dia untuk ke Seri Petaling.

Kami tiba di sana, lebih kurang jam 7.00 petang. 'Dah hampir maghrib. Bagaimanapun, memikirkan program yang akan berjalan tamatnya sekitar jam 10 malam, saya buat keputusan untuk makan terlebih dahulu. Kami berenam makan mihun dengan ayam goreng.

Alhamdulillah, sedang-sedang elok dengan azan Maghrib. Masih sempat untuk solat Qabliyah Maghrib.

Minggu ini, nampaknya pengisian Majlis Fikir antara Maghrib dan Isyak, ialah salah seorang daripada Jamaah Sri Langka yang sedang dalam rangka khuruj di Malaysia.

"Wah.. Dapat dengar ceramah dalam bahasa Tamil atau Singhalee la hari 'ni!", fikir saya.

Tapi, bila juru iklan memaklumkan, bahawa ceramah pada hari ini dalam bahasa Arab, saya agak terkejut. Dan tentunya saya amat bersyukur, kerana dapat mengikuti ceramah tersebut secara langsung dan tidak hanya bergantung kepada penterjemah. Di Masjid Jamek Seri Petaling ini, memang selalu ada tetamu-tetamu luar negara yang datang dan berkongsi ilmu, pengalaman dan fikir mereka. Ada daripada negara Arab, Australia, Afrika, Jepun, benua Indo-Pak (India-Pakistan-Bangladesh) dan juga negara gugusan Nusantara ini. Bahasa yang digunakan juga berbagai-bagai. Pernah saya dengar ceramah Majlis Fikir ini dalam bahasa Jepun, Mandarin dan Urdu. Bahasa Arab, Inggeris dan Melayu 'tu memanglah sering digunakan. Dan pada majlis yang sama, selain daripada bahasa pemberi Fikir serta terjemahan Melayunya, di sebelah kanan dewan dalam masjid, diadakan pula halaqah-halaqah terjemahan untuk bahasa-bahasa lain seperti Arab, Inggeris, Urdu, Mynmar, Banggolee dan yang istimewa, halaqah untuk bahasa Isyarat bagi orang-orang bisu.

Tangga utama untuk ke Dewan Solat

Masya Allah, terasa sungguh Islam ini adalah rahmat untuk seluruh alam untuk seluruh bangsa dan kaum. Dan betapa masjid itu adalah tempatnya umat ini dapat disatu-satukan.

"Allah Ta'ala-lah yang menciptakan segala sesuatu.", kata pemberi Fikir.

"Dan salah satu yang Allah telah ciptakan ialah, sifat takut yang ada pada manusia. Sifat takut ini juga diciptakan oleh Allah. Ini adalah fitrah manusia," sambungnya lagi.

"Tetapi sifat takut ini bukan untuk digunakan kepada selain Allah. Allah ciptakan sifat takut ini hanya untuk digunakan kepada Allah Ta'ala sahaja," tegas beliau lagi.

Saranan ini membuatkan saya terfikir, betapa benarnya kata-kata ustaz daripada Sri Langka ini. Boleh dikatakan, tema Majlis Fikir yang hampir sejam malam tadi ialah, berkenaan bagaimana rasa takut ini, iaitu:

  • bagaimana sepatutnya digunakan;
  • untuk apa;
  • apa manfaatnya apabila rasa takut ini digunakan dengan betul;
  • contoh-contoh para Sahabat yang telah berjaya mencapai kemuliaan melalui rasa takut ini;
  • apa kesannya bila kita salah meletakkan rasa takut ini; dan
  • apa yang perlu kita lakukan supaya dapat gunakan rasa takut ini dengan tepat.

Pada penghujung majlis, apa yang terlintas di fikiran saya ialah, doa yang pernah diungkapkan oleh Nabi Adam A.S.,
"Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, jika Engkau tidak mengampunkan kami, sudah pasti kami akan tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi!"



No comments:

Blog Widget by LinkWithin