Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Friday, October 24, 2008

Ketenangan Hati Kunci Kecemerlangan


Ketenangan hati ialah satu perkara yang sangat penting. Tidak mungkin ada seorang manusia walau apa pun latar belakang agama, budaya dan pemikiran yang tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa ialah satu perkara paling penting bagi seseorang manusia.

Mungkin mereka berbeza dari segi cara untuk mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan keheningan rohani, tetapi mereka tetap bersetuju bahawa perkara ini adalah satu perkara yang maha kritikal bagi setiap insan.

Keutuhan atau kemantapan emosi berkait rapat dengan keheningan spiritual dan kemantapan minda. Seseorang yang pemikirannya meyakini bahawa dirinya adalah berasal daripada suatu ketidaksengajaan biologi berevolusi daripada monyet kepada manusia, tentunya tidak sama dalam menghadapi kejadian hidup ini dengan seorang yang berkeyakinan bahawa insan adalah ciptaan Tuhan yang paling baik, dan di sana Tuhan tetap berperanan di dalam setiap gerak hukum apa yang berlaku di bumi mahupun di langit.

Dan Tuhan bukan sahaja berurusan dengan manusia, tetapi setiap atom dan molekul yang ada di atas muka bumi ini, antara langit dan bumi ini serta apa yang ada di atas langit yang tujuh ini; semuanya adalah milik mutlak Tuhan Yang Maha Esa dan berfungsi berdasarkan ketetapan ilmu-Nya dan izin-Nya.

Dan seorang yang menjalani hidup dengan hanya melihat bahawa Tuhan ialah Tuhan dan aku ialah aku; sama sekali tidak sama dengan seseorang yang hidup di atas muka bumi ini dengan mengenal Tuhan ialah satu-satunya Tuhan, dan aku ialah hamba ciptaan-Nya; menyelami hakikat rasa hina seorang hamba dijalin dengan rasa mulia menjadi hamba kepada Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Agung.

Seseorang yang menyedari bahawa sentiasa ada di sana satu Kudrat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta Yang Sentiasa Berkata, Wahai hamba-Ku, mintalah kepada-Ku, akan Ku penuhi segala permintaan kamu! tentulah tidak sama dengan seseorang yang hanya melihat hidup ini hanyalah antara aku dan kemampuanku!

Seorang anak kecil akan merasa selamat dan tenang apabila berada di sisi ibu dan bapanya. Bukan sekali kita melihat senario seorang kanak-kanak yang menangis kerana terpisah daripada ibu dan bapanya semasa membeli belah di pasaraya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya tercedera? Tentu tidak, tetapi `ketenteraman' dan `ketenangan hatinyalah' yang tercedera.

Dan kita dapat lihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana lututnya berdarah lantaran jatuh; berhenti menangis hanya kerana si ibu berkata, ``Dah, jangan menangis sikit je tu! Nanti ibu sapukan ubat!''

Adakah dengan berkata demikian, sakit luka yang dirasainya sudah hilang? Tidak! Sakit luka di lututnya masih terasa, tetapi tangisannya terhenti kerana rasa `sakit' pada jiwa dan emosinya telah pun diubati dan telah hilang diganti dengan rasa tenteram, kerana anak itu yakin, ibunya memahami `penderitaannya' dan ibunya `mampu' mengubati luka di lututnya dengan ubat yang akan disapu nanti. Ini menunjukkan, ketenteraman hati dan ketenangan hidup adalah satu kuasa maha ajaib yang sangat diperlukan dalam hidup seorang manusia.

Dan adalah satu hukum serta prinsip alam, seseorang itu akan merasa aman dan tenang apabila mengetahui dan merasa bahawa di sana adanya satu `kuasa' yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam yang ada.

Seorang yang genius sekalipun, tanpa kemantapan dan kecemerlangan emosi pasti tidak dapat menggunakan kegeniusan dan ketinggian IQ-nya dengan betul jika jiwanya sentiasa bercelaru dan dan tidak mantap. Kecemerlangan dan kemantapan jiwa inilah yang disebut sebagai EQ.

Tetapi seseorang yang mantap EQ-nya, walaupun dia hanya seorang yang buta huruf dan bekerja di sawah bendang, tetapi dengan ketenangan jiwa yang dimilikinya, ia dapat menghadapi hidup dan segala masalah hidup ini dengan penuh ketenangan dan ketertiban. Malahan, seringkali terlontar daripada patah bicaranya, perkataan-perkataan yang bersifat `teraputik' yang mampu menyegarkan kerengsaan jiwa dan kegersangan emosi.

Kekuatan rohaniah (SQ) akan menjadi penjana EQ yang kental, dan EQ yang ada akan menyempurnakan IQ seseorang walau pada tahap manapun IQ-nya berada. Bukan semua orang dapat menjadi pandai tetapi semua orang boleh menjadi bijaksana. Allah, Tuhan yang telah menciptakan manusia malah seluruh alam ini telah menyatakan sebagai satu prinsip, Bukankah dengan berzikir kepada Allah itu, hati akan menjadi tenang? (Ar-Ra'd: 28).

Berzikir di sini membawa maksud yang luas, iaitu kita dapat menyebut dan mengingat Allah, merasakan kehadiran-Nya dan merasa keagungan-Nya di dalam setiap masa dan keadaan. Mana mungkin seseorang yang melihat Tuhan itu - dengan segala kebesaran dan kekuasaan-Nya - berada begitu hampir dengan dirinya, masih boleh merasa tidak tenteram dan aman? Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan `nur' kerohanian yang jernih, pasti akan mampu merasa ketenangan hidup dan kekentalan serta keharmonian emosi.

Tuhan berfirman, Dialah yang menurunkan `sakinah' ke dalam hati orang-orang yang beriman! (Al-Fath: 4). Erti `sakinah' ialah ketenangan yang tetap. Jika demikian, sudah tentu di dalam apa yang diperintah-Nya itu, ada alat-alat untuk membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati ini, seperti amalan zikrullah, solat, tafakkur, amalan doa, wuduk dan lain-lain lagi.


Semoga hati kita tidak `buta' daripada melihat dan merasai kebesaran Allah, Tuhan seru sekalian alam ini. Sesungguhnya Dia-lah Allah, Zat Tunggal Maha Pencipta!

------------
Artikel saya ini pernah disiarkan di akhbar Utusan Malaysia sekitar tahun 2005.
Blog Widget by LinkWithin