Monday, May 27, 2013
Pilihan warna dan corak hidup...
Zihin
atau minda seorang mukmin akan melihat perkara yang berkaitan dengan kehidupan
dunia dan akhirat melalui neraca yang sahih. Neraca atau piawai inilah yang
akan digunakan dalam seseorang mukmin itu menentukan pilihan dan tindak
tanduknya. Manusia diberikan oleh Allah SWT sifat untuk membuat pilihan
(ikhtiar). Ikhtiar berasal daripada bahasa Arab. Dalam bahasa Melayu, ikhtiar
bermaksud berusaha. Sedangkan dalam bahasa asalnya, perkataan ini bermakna
‘pilihan’. Allah SWT memberikan kita keupayaan untuk berkehendak dan membuat
pilihan.
Allah
SWT berfirman:
أَلَمْ نَجْعَل لَّهُ عَيْنَيْنِ
(*) وَلِسَاناً وَشَفَتَيْنِ (*) وَهَدَيْنَاهُ ٱلنَّجْدَينِ
“Tidakkah
Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan
kekayaan Kami)? Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian
besar dari hajat-hajatnya)? Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan?”
(Surah al-Balad: 8-10)
Imam
al-Qurtubi menyatakan di dalam,tafsirnya, bahawa perkataan “dua jalan” itu
merujuk kepada jalan kebaikan dan jalan kejahatan.
Tujuan
ditunjukkan kepada manusia kedua-dua jalan itu ialah bagi membolehkan seseorang
itu melakukan pilihan mereka sendiri. Oleh kerana mereka telah menggunakan
upaya membuat pilihan yang Allah berikan kepada mereka, maka setiap manusia
bertanggungjawab atas setiap pilihan yang mereka lakukan. Tanggungjawab ini
disimbolkan dengan pahala dan dosa. Pahala ini pula menjadi unit-unit ukuran
kepada keredhaan Allah terhadap sesuatu pilihan. Lagi besar pahala sesuatu
perbuatan, maka itu menunjukkan lagi tinggi keredhaan Allah SWT kepada
perbuatan itu. Di akhirat nanti, keredhaan Allah kepada seseorang itu akan
disimbolkan dengan syurga. Syurga adalah tempat hanya untuk orang yang Allah
redha. Hanya orang yang Allah redha akan dimasukkan ke dalam syurga. Tidak ada
orang yang Allah murkai yang boleh memasuki syurga!
Islam
mengajarkan bahawa setiap detik dan saat yang berlalu dalam kehidupan dunia ini
adalah ruang-ruang pilihan yang akan menentukan corak kehidupan akhirat
seseorang. Mulia atau hina. Barjaya atau gagal. Bahagia atau celaka. Oleh itu,
zihin seorang mukmin akan sentiasa melihat setiap gerak gerinya dan menilai
dengan penilaian akhirat. Dia akan pastikan bahawa apa sahaja kehidupan
dunianya akan diwarna dan dicorakkan dengan celupan agama Allah. Sebagaimana
ingatan Allah di dalam al-Quran:
صِبْغَةَ ٱللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبْغَةً
وَنَحْنُ لَهُ عَابِدونَ
“Shibghah
(Celupan) Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan
hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.”
(Surah al-Baqarah: 138)
Imam
at-Tobari menyimpulkan bahawa maksud celupan Allah di sini ialah agama Islam.
Islam ini ada coraknya. Ada identitinya sendiri. Seluruh 24 jam hidup kita ini
perlu kita corakkan sesuai dengan corak dan warna yang Allah suka dan redhai.
Pilihan-pilhan corak dan warna yang tepat dan sahih perlu dibuat. Ini
disebabkan, celupan dan warna yang dibuat ke atas kehidupan dunia kita ini,
maka itulah yang akan menentukan corak dan warna kehidupan akhirat kita sama
ada mulia atau hina; berjaya atau gagal; mahupun bahagia atau celaka!
Al-Quran
menggambarkan corak kehidupan akhirat ketika itu ada dua keadaan sahaja, sama
ada bahagia atau celaka! Apa yang lebih malang lagi, ketika itu kita sudah
tidak mempunyai upaya untuk membuat pilihan. Kita hanya berhak menerima natijah
pilihan yang kita lakukan di dunia dahulu.
“(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu),
tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon
pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka
dan ada pula yang berbahagia. Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan
keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam Nerakalah tempatnya. Bagi mereka di
situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai). Mereka
kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh
Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Adapun
orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam
Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi
kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak
putus-putus.” (Surah Hud: 105-108)
Lantas,
celupan manakah yang kita akan pilih untuk kehidupan dunia kita ini?
Subscribe to:
Posts (Atom)