Alhamdulillah, puja dan puji milik Allah semata-mata. Maha Agung Allah lagi sempurna Jalal dan Jamal-Nya. Hanya Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Wujud lagi hanya layak disembah. Dialah Al-Khaliq (Sang Pencipta). Tiada pencipta lain lagi selain Dia. Selain daripada-Nya, semuanya diciptakan. Dan Dia Maha Memiliki lagi Maha Menguasai segala ciptaan-Nya. Maka antara ciptaan-Nya di atas muka bumi ini, ialah diciptakannya gunung-ganang dan bukit-bukau. Dihiasi dengan segala kesesuaian flora dan faunanya. Rujuk akhirnya hanya menyatakan Keesaan-Nya. Dia-lah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia!
Setelah dapat menyambut Aidil Adha selama dua hari. Setelah habis-habisan dijamu dengan juadah daripada lembu korban, pada 10 Disember 2008 jam 11.30 pagi, saya dan keluarga mula bergerak meninggalkan rumah Abuji. Kami menuju dahulu ke rumah bapa saya untuk pamitan dan bersalam-salaman. Kemudian ke rumah nenek saya di Kg. Rupek, Kota Bharu. Ini adalah rutin wajib sebelum saya meninggalkan bumi Kelantan dan balik ke Putrajaya.
Lebih kurang jam 12.00 tghr, kami mula keluar daripada batasan kampung saya dan bergerak menuju ke Gua Musang. Kali ini, saya tidak akan terus balik ke Putrajaya, kerana perlu ke Cameron Highland terlebih dahulu. Tujuan ke sana ialah untuk memenuhi jemputan Kem. Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk program Kursus Penyegaran Emosi AKRAM mereka. AKRAM ialah akronim untuk Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Malaysia. Saya diminta berkongsi dengan para AKRAM tentang "Tafakkur Zihni". Setelah berhenti makan tengahari yang lewat di Gua Musang, kami meneruskan perjalanan melalui jalan Gua Musang - Lojing - Cameron Highland.
Akhirnya, sekitar pukul 7 mlm, kami tiba di Brinchang, Cameron Highland. Keesokannya pada sebelah pagi, ialah slot "Tafakkur Zihni". Saya benar-benar berharap, apa yang telah dikongsikan, akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para peserta.
Petangnya, saya membawa keluarga untuk menikmati keindahan dan suasana Cameron Highland. Kali terakhir kami ke sini, 'Ubaid masih lagi bayi. Kini umurnya 'dah pun mencecah 3 tahun. Kunjungan kami kali ini, giliran Itmi'nan pula sebagai bayi. Anak-anak nampaknya begitu teruja. Mereka meminta untuk ke Taman Agro Mardi di Tanah Rata. Mereka mahu tengok pokok dan buah epal di sana. Untuk tidak menghampakan, setelah makan tengahari di KFC Brinchang, kami semua berkejar ke Tanah Rata. Alhamdulillah, cuaca juga agak mesra hari itu, jadi dapatlah anak-anak saya memuaskan hati mereka dengan melawat dan mempelajari tentang flora dan fauna yang ada di Taman Agro Mardi tersebut. Hampir dua jam jugalah kami di sana.
Seterusnya, kami bersetuju untuk minum teh di Tea Shop, Bharrat Plantation Tea, Ringlet. Bagaimanapun, agak hampa kerana teh tarik yang didamkan telah kehabisan.
"Macamana teh boleh habis kat ladang teh ni?", hati saya menyoal.
Bagaimanapun, saya telan sahajalah gumaman hati saya 'tu. Kami order minuman lain dan memesan kek keju strawberi. Sambil menikmati minum petang, kami menikmati sama pemandangan 'lautan' pokok teh yang menghijau dan 'beralun serta berombak'. Anak-anak nampaknya begitu 'terpikat' dengan pemandangan hijau yang hebat ini.
"Ya Tuhan Kami, tidaklah Engkau ciptakan ini semua dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka jauhkanlah kami daripada api neraka.", terlintas maksud satu firman Allah. Semoga apa yang disaksikan ini, mendorong kami sekeluarga menjadi Ulul-Albab.
Indah dan hebatnya, bila bukit-bukau dijadikan bagai hamparan permaidani hijau yang saujana mata memandang. Betapa Allah telah hamparkan bumi ini untuk dimanfaatkan. Allah jugalah yang telah memberikan manusia kemampuan akal dan tenaga, untuk mengusahakan tanaman yang membentuk 'lautan hijau' yang hebat ini. Dan semua ini tidak akan dapat dirasai kehebatannya, jika tidak ada mata yang mampu melihatnya. Maha Suci Allah, yang telah menciptakan mata, dan meletakkan pada mata itu kemampuan untuk melihat. Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia!
Keesokannya, kami bertolak balik ke Putrajaya melalui jalan Cameron Highland (Kg. Raja) - Simpang Pulai. Dipertengahan jalan, sempat pula singgah di Kea Farm untuk membeli sedikit sayur-sayuran dan buah strawberi. Antara yang istimewa sedikit, ialah Teh Raja. Teh yang didakwa sebagai yang paling istimewa dan tersedap berbanding teh-teh lain. Seterusnya, singgah pula di Tea Shop, Bharrat Plantation Tea di bawah sedikit daripada Kg. Raja. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga menikmati teh tarik di sana. Setelah bergambar seketika, kami meneruskan perjalanan menuju ke Simpang Pulai. Seterusnya, daripada Simpang Pulai terus menuju ke Putrajaya.
"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada."
( Al-Hajj 22:46)