Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah az-Zaariyat ayat 56:
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaKu.”
Imam Muhammad al-Mutawalli asy-Sya’rawi rah.a. di dalam kitab ‘Khawatir’ beliau menyatakan bahawa kaedah dan gaya bahasa yang digunakan di dalam ayat ini ialah gaya menghadkan. Ini bermaksud, menghadkan penciptaan manusia dan jin hanya atas maksud untuk beribadah kepada Allah. Inilah satu-satunya sebab diciptakan mereka daripada tiada kepada ada. Tidak diciptakan mereka untuk maksud yang lain melainkan bagi beribadah kepada Allah SWT.
Seterusnya, Imam asy-Sya’rawi telah menekankan makna beribadah itu ialah bagaimana seluruh gerak kehidupan seseorang itu benar-benar dapat menepati perintah-perintah Allah SWT.
Apabila kita menelusuri sejarah wujudnya manusia seawal kejadian Adam dan Hawa ‘alaihimas-salam, adalah jelas bahawa kewujudan mereka adalah untuk berurusan dengan titah-perintah Allah. Cuba kita renungi, setelah diciptakan, Nabi Adam a.s. telah ditempatkan di dalam syurga. Lalu diikuti dengan penciptaan Hawa a.s. Kita semua maklum, syurga sebenarnya adalah satu tempat untuk menikmati sepuas-puasnya kehendak hati, nafsu dan syahwat insan tanpa had dan batasnya.
Allah menyebutkan sifat syurga tersebut, “dan kamu akan beroleh di dalamnya apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.” (Surah Fussilat 40: 31) Bagaimanapun, ketika Adam dan Hawa menghuni syurga, Allah menetapkan bahawa mereka bebas menikmati apa sahaja di syurga itu kecuali mendekati sepohon kayu. Ini adalah satu simbolik dan petanda betapa wujudnya manusia ini adalah untuk berurusan dengan titah-perintah Allah SWT. Bagi memperingatkan dan memberitahu manusia mengenai perintah beribadah ini, nabi demi nabi, rasul demi rasul telah diutuskan oleh Allah SWT, sehinggalah terhenti salasilahnya dengan kedatangan dan kerasulan Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w., sebagaimana para rasul sebelum baginda, telah bangun atas satu usaha, iaitu usaha untuk mengajak dan memujuk rayu manusia untuk mengenali Allah dan beriman kepada-Nya. Inilah asas kepada ibadah. Tanpa iman, seluruh kebaktian manusia tidak akan ada nilainya di sisi Allah.
Ayat di atas sebenarnya merupakan satu seruan agar kita semua sebagai pengikut Nabi Muhammad s.a.w. juga turut sedia untuk bangun atas usaha yang mana telah dijalankan oleh baginda dan para Sahabat. Ayat di atas menyebutkan “Aku tidak menciptakan jin dan manusia”, dinyatakan di sini ‘manusia’ secara umum. Bukan hanya untuk mereka yang beriman sahaja. Maknanya, seluruh manusia daripada timur hingga ke barat, daripada zaman Rasulullah s.a.w. hingga ke hari terakhir sebelum kiamat, perlu dibawa kepada untuk beribadah mengabdikan diri mereka kepada Allah. Maka usaha untuk membawa mereka kepada mengabdikan diri kepada Allah inilah yang dinamakan usaha dakwah.
Munib al-Azdi r.a. menceritakan, “Aku telah lihat Rasulullah s.a.w. semasa zaman jahiliyyah (yakni semasa dia belum memeluk Islam), di mana baginda menyerukan:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قُولُوْا لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ تُفْلِحُوا
“Wahai manusia! Ucapkanlah ‘Laa ilaaha illalLah (tiada tuhan melainkan Allah)’ kamu akan berjaya!”
Maka ada sebahagian orang yang meludah wajah baginda, manakala sebahagiannya melemparkan tanah kepada baginda serta ada pula yang memaki baginda. Demikianlah berterusan sehinggalah berlalu separuh hari.
Kemudian datang seorang gadis kecil membawa kendi lalu membasuh wajah dan tangan baginda. Baginda berkata, “Wahai puteri ku! Janganlah risaukan bapa mu ini akan dibunuh atau dihina.”
Lalu aku bertanya, “Siapakah gadis itu?”
Orang ramai menjawab bahawa itulah Zainab binti Rasulullah s.a.w. Dan dia seorang gadis kecil yang cantik. (Hadis riwayat at-Tobarani)
Inilah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. demi mendakwahkan, mengajak dan memujuk manusia agar beriman dan mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT.
Fadilat usaha dakwah terlalu besar. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang mengajak kepada hidayah, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun ganjaran pelakunya. Barangsiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, tanpa mengurangkan sedikitpun dosa pelakunya.” (Hadis riwayat Muslim bersumber daripada Abu Hurairah r.a.)
Bersediakan kita untuk belajar melaksanakan usaha dakwah kepada Islam dan dakwah kepada kesempurnaan iman ini?