Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Saturday, September 6, 2008

7 Ramadhan 1429H

Dicatatkan oleh Mufti Muhammad Roshan Shah, sebagaimana disampaikan oleh Maulana Muhammad Sulaiman Jhanji, Hadrat Al-'Allamah Al-Muhaddith Syaikh Muhammad In'amul-Hassan Al-Kandahlawi rah.a. berkata:

"Jalanilah kehidupan seperti Ramadhan maka kematian akan datang seperti anak bulan 'Idul-Fitri."

Kata-kata yang ringkas ini menyebabkan saya termenung. Alangkah tepatnya ungkapan ini. Ungkapan daripada seorang Ahlullah tentunya.


Saya tidak ingin mengulas kata-kata hikam ini. Malah saya tidak layak pun untuk mengulasnya. Saya ingin tinggalkan kata-kata ini untuk dihayati sendiri oleh hati setiap kita. Hayatilah. Renungilah. Lihatlah dengan mata hati yang bersinar. Rasailah kata-kata ini dengan rasaan rohani yang tulus. Hubungkan hati dengan Allah.

"Ya Allah! Oh Allah.. Bantulah kami!"

Wednesday, September 3, 2008

3 Ramadhan 1429H

Penghujung 3 Ramadhan dikejutkan dengan panggilan oleh ibunda tercinta, memaklumkan bahawa nenek saudara saya telah kembali ke rahmatullah.
Nenek saudara saya ini adalah adik bongsu arwah datuk saya. Kami memanggilnya Tok Su Muji. Seorang yang cukup penyabar, murah senyuman dan amat menjaga silaturahim. Semoga Ramadhan ini menjadi petanda akan husnul-khatimah almarhumah.
"Bagaimana kita? Adakah kita sudah benar-benar bersedia jika maut menjemput kita sekarang ini?
Al-Fatihah...

Monday, September 1, 2008

2 Ramadhan 1429H



Alhamdulillah, segala puji dan puja bagi Allah yang telah melimpahkan nikmatnya, sehingga kita masih dapat menikmati barakah, rahmat dan keagungan Ramadhan ini. Semoga taufiq Allah akan sentiasa mengiringi setiap detik dan nafas kita dalam Ramadhan ini. Moga setiap saat Ramadhan yang berlalu, merupakan pembinaan dan penambahan sifat Taqwa dalam diri kita.


Cerita tentang Ramadhan dan fardhu Puasa disentuh oleh Allah di dalam Al-Quran melalui ayat 183-188 surah Al-Baqarah. Segala yang berhubung dengan garis dasar tentang fardhu Puasa Ramadhan disentuh. Maulana Abdullah Yusuf Ali rah.a. yang tersohor dengan terjemahan dan tafsir Al-Qurannya dalam bahasa Inggeris menyimpulkan bahawa, melalui enam ayat yang mulia ini, Allah menggambarkan betapa ibadah Puasa itu mempunyai kaitan rapat dengan pengendalian empat kecenderungan nafsu manusia, iaitu: (1) makan; (2) minum; (3)syahwat; dan (4) kecintaan kepada harta.
Allah telah programkan Ramadhan dengan kefardhuan Puasa di dalamnya untuk membentuk sifat Taqwa. Setiap Mukmin yang menyertai program Ramadhan ini pasti akan dicenai dan dibentuk Taqwa mereka. Inilah janji Allah.

Jika kita perhatikan, dicelah-celah enam ayat Al-Baqarah ini, pada ayat yang ke-186, Allah mencelah dengan firman-Nya:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. "



Seolah-olah, Allah ingin mengingatkan kita, bahawa elemen ibadah doa merupakan satu teras utama dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau telah meriwayatkan, bahawa telah bersabda Rasulullah SAW., "Tiga golongan yang tidak ditolak doa-doa mereka. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka; seorang imam(pemerintah) yang adil; dan doa daripada orang yang dizalimi. Allah akan mengangkatnya melampaui awan dan terbuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah akan berkata, "Demi kemuliaan-Ku, pasti Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika!"
(رواه أحمد في حديث والترمذي وحسنه وابن خزيمة وابن حبان في صحيحهما كذا في الترغيب )




Cuba kita renungkan, keterangan dan gambaran suci keadaan Nabi kita Saiyidina wa Habibina Muhammad SAW berkenaan hal ini.



"Di dalam kitab Durril-Manthur terdapat hadith yang dinukilkan daripada Saiyidatina 'Aishah r.ha. bahawa apabila Ramadhan tiba, keadaan Nabi SAW akan berubah, Baginda akan menambahkan solatnya, sangat merendah diri dalam berdoa dan keadaannya dikuasai perasaan takutkan Allah SWT. Di dalam hadith yang lain beliau berkata bahawa sehingga ke akhir Ramadhan Baginda tidak akan datang ke tempat tidur.

Dinyatakan dalam satu hadith bahawa di dalam Ramadhan, Allah SWT memerintahkan malaikat penanggung Arasy supaya meninggalkan ibadah mereka masing-masing, dan hanya mengaminkan doa-doa orang yang berpuasa. Memang dapat diketahui dari banyak hadith bahawa doa-doa di dalam Ramadhan diterima secara khusus. Tidak ada apa-apa keraguan lagi dalam penyempurnaan perkara ini kerana Allah SWT telah berjanji, dan janji itu diberitakan pula oleh seorang Rasul yang benar."
Sekarang, cubalah kita renungkan. Ramadhan telah pun dua hari menjengah kita, bagaimanakah keadaan kita? Bagaimana doa kita?

"Oh Allah, jadikanlah Ramadhan kami adalah sebaik-baik hari hidup kami di atas muka bumi Mu ini.... Oh Allah, kesianlah pada kami!"

Sunday, August 31, 2008

1 Ramadhan 1429H


HARUM Ramadhan semerbak lagi. Masjid dan surau mula tersenyum. Syurga-syurga yang sedia indah dihias lagi agar bertambah indah. Hati umat mula lembut. Benar, Ramadhan ada keajaibannya yang tersendiri. Hujan rahmat menyirami jiwa, hati nurani bersinar dan keimanan begitu subur.

Marilah kita raih keghairahan dan jazbah imaniah ini. Kita garap menjadi sumber tenaga rohani, untuk kita 'berlari kepada Allah'!

Allah Taala berfirman, "(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): Maka berlarilah kamu kepada Allah, sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata." [Az-Zariyat 51:50]

Semangat berlari dan bersegera menuju Allah inilah, yang telah dihubungkan oleh Rasulullah SAW dengan Ramadhan.



Daripada 'Ubadah bin As-Somit r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda pada satu hari sedangkan Ramadhan telah datang kepada kami, "Telah datang kepada kamu Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah akan menumpukan perhatianNya kepada mu di dalamnya, lalu Dia menurunkan rahmat dan akan menggugurkan dosa-dosa, dan akan menerima doa di dalamnya. Allah Taala akan memerhatikan perlumbaan kamu di dalamnya dan Dia akan membangga-banggakan kamu kepada para malaikat-Nya. Maka perlihatkanlah kepada Allah akan kebaikan daripada diri kamu. Sesungguhnya orang yang celaka ialah dia yang diharamkan dari rahmat Allah Azza Wa Jalla di dalam bulan ini."

[Diriwayatkan oleh At-Tobrani dan perawi-perawinya adalah thiqah, sebagaimana di dalam kitab At-Targhib]

Syaikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Al-Kandahlawi rah.a. semasa menerangkan perkataan (تنافسكم ) yang bermaksud 'perlumbaan sesama kamu' menyatakan, "Berlumba-lumba (تنافس )ialah melakukan sesuatu dengan kehendak yang bersungguh-sungguh untuk mengatasi orang lain, bekerja dalam melawan dan menandingi orang dengan bangga di samping menunjukkan kehebatan masing-masing."

Inilah bulannya kita perlu menunjukkan kepada Allah sifat berlumba-lumba kita. Inilah adalah bulan untuk kita bersungguh-sungguh mengambil peluang dapat berada di dalam Ramadhan. Ramadhan yang lepas telah berlalu, Ramadhan akan datang belum pasti. Maka apa yang kita adalah ialah 'sekarang'.

Marilah kita 'berlari' kepada Allah... Agar Allah akan dapat berbangga-bangga dengan kita kepada para malaikat-Nya. Alangkah!

Blog Widget by LinkWithin