Baru sehari sebelum itu saya terfikir,"Emm.. Subuh Ahad 'ni, aku free ni. Bolehlah solat Subuh di surau mahallah sendiri 'ni."
Sebenarnya saya serba salah untuk memenuhi jemputan yang terlalu banyak bila menjelang Ramadhan. Saya rasa bersalah pula dengan hali jemaah masjid surau mahallah saya. Bila saya pergi berkuliah, maka masa saya bersama mereka secara automatik akan semakin berkurang. Akhirnya tinggal waktu Subuh 'weekdays' sahaja saya dapat bersama mereka. Itupun waktu Subuh yang boleh dikatakan semua orang agak sibuk dan tergesa-gesa. Namun, apa boleh buat, bila yang menjemput itu selalunya kawan-kawan. Paling tidak, atas saranan kawan-kawan.
"Ustaz, saya dapat nombor ustaz 'ni daripada Ust Long. Dia yang cadangkan nama Ustaz...", begitulah selalunya 'intro' bila yang kali pertama menjemput.
Nampaknya, untuk pagi ini juga, ada jemputan daripada Surau Abu Bakar As-Siddiq, Presint 9. Kira surau yang berjiranlah dengan surau mahallah saya, Surau Al-Muhajirin.
Bila mendapat jemputan, saya tertanya-tanya juga, ini untuk kuliah tentang Ramadhan lagikah? Rasanya sudah jenuh ceramah pasal Ramadhan sepanjang bulan yang mulia ini. Pernah saya bertanya dalam satu surau semasa kuliah Subuh Ramadhan ke-16,kuliah saya ini kiranya ceramah yang ke berapa dalam Ramadhan ini?
Jawab jemaah,"Yang ke-16 lah ustaz!"
Allahu Akbar! Maknanya setiap hari ada tazkirah atau ceramah. Setiap hari ada kuliah atau tazkirah tarawih, hari minggu pula ditambah dengan kuliah Subuh pula. Begitulah hebatnya dan makmurnya masjid/surau dengan majlis ilmu. Cuma saya tertanya-tanya, apa yang lagi menakjubkan, semua majlis ilmu tersebut berkitar kuliahnya tentang puasa dan bulan Ramadhan. Saya jadi tertanya-tanya, ke mana perginya kuliah Tajwid, Tafsir, Tauhid, Tasauf, Hadis, Sirah dan Fiqh? Adakah ilmu-ilmu ini tidak 'relevan' bila munculnya bulan Ramadhan? Kenapa mesti tertumpu kepada maudhu' berkenaan dengan Ramadhan sahaja?
Persoalan inilah yang terdetik dalam hati saya bila menerima jemputan kali ini. Akhirnya, kebuntuan saya dipecahkan oleh Allah.
"Kalau boleh ustaz, ustaz bawalah tajuk tentang ilmu. Supaya jemaah yang datang'tu tetap bersemangat walau 'dah habis Ramadhan untuk istiqamah hadir majlis-majlis ilmu!"
"Insya Allah, Insya Allah...", pantas saya jawab. Dalam hati, saya bersyukur, Allah telah jawab persoalan yang berlegar di fikiran saya.
Semasa bersahur, saya masih terfikir-fikir apa yang elok saya muzakarahkan semasa kuliah Subuh nanti. Akhirnya Allah memberikan ilham untuk bercerita saja kali ini. Cerita yang akan saya petik ini saya ambil daripada kitab Hayatus-Sahabah, jilid ketiga. Bab ke-13, di bawah tajuk "Galakan Nabi s.a.w. terhadap ilmu".
Satu kisah perbualan Rasulullah s.a.w dengan sahabat baginda yang diberikan oleh pengarang kitab dengan tajuk "Sabdaan Rasulullah s.a.w. berkenaan kelebihan orang yang berilmu berbanding orang yang beribadat (tanpa asas ilmu)".
Dikeluarkan oleh At-Tirmizi[1] (yang berasal) daripada Abu Umamah Al-Bahili r.a., ia berkata: (Suatu kali) telah disebutkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang dua orang lelaki: Salah seorangnya adalah seorang abid (yakni seorang yang kuat ibadah), dan seorang lagi seorang yang alim (yakni orang yang berilmu). Maka sabda Rasulullah s.a.w.,"Kelebihan orang yang alim itu berbanding dengan si abid itu, seperti kelebihan aku berbanding yang paling rendah (darjatnya) dalam kalangan kamu (yakni, para Sahabat).", kemudian sabda Rasulullah s.a.w. lagi, " Sesungguhnya Allah, para malaikat-Nya dan seluruh penghuni langit-langit, hinggakan semut di dalam sarang mereka serta ikan-ikan, akan berselawat [2] ke atas seorang mua'llim (yakni orang mengajarkan)orang ramai berkenaan al-khair (apa saja perkara yang baik)."
Ad-Darimi juga mengeluarkan riwayat yang sama daripada Makhul secara mursal dan tidak menyebutkan tentang kisah dua orang itu, di mana Rasulullah s.a.w. bersabda, "Keutamaan si alim[3] berbanding si abid adalah seperti keutamaanku[4] berbanding orang paling yang rendah (kedudukannya) dalam kalangan kamu (yakni para Sahabat)," kemudian baginda membaca ayat:"Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hambaNya ialah orang-orang yang berilmu (al-'ulamaa')[5].Lalu disebutkan seterusnya hadis tersebut[6] hingga ke akhirnya.
Ad-Darimi juga mengeluarkan satu riwayat (yang berasal) daripada Al-Hasan secara mursal, dia berkata: Ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w. berkenaan dua orang lelaki Bani Israil. Seorang daripada mereka adalah seorang yang alim, yang menjaga solat fardhunya, lalu duduk mengajarkan manusia akan al-khair. Manakala seorang lagi berpuasa sepangjang hari dan berqiyamullail sepanjang malam, maka mana satu antara dua ini lebih afdhal (utama)? Sabda Rasulullah s.a.w. "Kelebihan si alim ini yang hanya menjaga solat fardhunya[7], kemudian dia duduk mengajarkan manusia akan al-khair[8] berbanding si abid yang berpuasa sepanjang hari dan berqiyamullail sepanjang malam, adalah seperti kelebihanku berbanding yang paling rendah dalam kalangan kamu.[9]"
Demikianlah yang tercatat di dalam kitab Al-Misykaah (26 - 28).
Nota (dipetik secara ringkas):
[1] Di bawah Bab-bab Ilmu - Bab apa yang menyatakan tentang kelebihan Fiqh berbanding Ibadah.
[2] Iaitu mendokan kepada mereka akan kebaikan - Hamisy Al-Misykah (1/34)
[3] Keutamaan "seorang yang alim" dengan ilmu-ilmu syariah di samping menjaga semua tuntutan-tuntutan fardhu yang ada, "berbanding seorang yang abid" yang semata-mata beribadah setelah mempelajari apa yang fardhu daripada ilmu-ilmu. - Hasyiah At-Tirmizi
[4]Lafaz ini mengandungi kesan 'mubalaghah' bagi menunjukkan bersangatan ketinggian darjat seorang berilmu
[5]Surah Al-Fatir: 28
[6]yakni Makhul menceritakan seterusnya hadis berkenaan.
[7]iaitu, hanya berpada dengan ibadah-ibadah fardhu
[8]al-khair: yakni (dia mengajar orang ramai tentang) ilmu, ibadah, kezuhudan, latihan kerohanian, kesabaran dan qana'ah (sifat berpada)dan yang seumpama semua itu sama ada secara mengajar atau menulis mahupun selain daripada kedua cara itu. - Hamisy Al-Misykah (1/36)
[9]Sesungguhnya aku (yakni Nabi Muhammad s.a.w. juga)adalah seorang yang alim dan mu'allim, dan yang terendah di kalangan kamu ialah orang yang mendirikan ibadah tanpa berasaskan ilmu; dan sebab keutamaan ini ialah ilmu itu manfaatnya banyak manakala ibadah manfaatnya terhad. Adapun ilmu sama ada fardhu ain ataupun fardhu kifayah, manakala ibadah ialah sebagai tambahan dan nafilah, maka pahala yang fardhu lebih banyak daripaa yang sunat, wallahu a'lam. - Al-Mirqat (1/304).
"Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya) dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku."(Surah To Ha 20: 114)
"Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa: "Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu khair(kebaikan) yang Engkau turunkan kepadaku"."(Surah Al-Qasas 28:24)
Cubalah kita renungkan, ambil pen dan catatkan jawapan untuk soalan: "Apa yang patut aku lakukan sekarang, supaya aku termasuk dalam kategori orang yang berilmu dan dapat beribadah berdasarkan ilmu yang sahih?"