Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Saturday, July 19, 2008

"Mula cakapkan!"

Allah SWT mengingatkan:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang betul, Allah akan islahkan kamu segala amalan kamu, dan Dia akan ampunkan kamu segala dosa-dosa kamu. Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka dia telah berjaya dengan satu kejayaan yang amat besar.” (SurahAl-Ahzab 33:70-71)

Allah itu Maha Pemurah. Rahmat-Nya begitu luas. Allah telah meletakkan satu syarat yang mudah untuk hamba-hamba-Nya mendapatkan islah terhadap diri mereka dan amalan mereka. Begitu mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang. Allah hanya mahu kita mulakan dengan cakapkan perkara yang betul. Gunakanlah bahasa apa pun, hatta bahasa isyarat sekalipun, mula cakapkan percakapan yang betul. Melalui usaha yang begitu sederhana ini, tanggungjawab yang lainnya akan diuruskan oleh Allah sendiri.

Allah tidak kata, “Islahkanlah diri kamu dan amalan kamu!”

Maha Pemurah Allah SWT! Allah tidak bebankan pengislahan itu kepada kita, tetapi Allah hanya minta daripada kita untuk mulakan dengan percakapan yang betul, dan yang selebihnya, Allah yang akan uruskan.

Apabila Allah SWT sendiri yang berkata,
“Allah akan islahkan kamu segala amalan (baca: tindak-tanduk) kamu!”

Maka sememangnya tidak ada kesangsian lagi bahawa Allah Maha Kuasa melakukan segala sesuatu, dan amat mudah bagi Allah untuk mengislahkan hamba-hamba-Nya. Seterusnya, Allah Maha Tahu bagaimanakah cara untuk pengislahan itu dilakukan ke atas hamba-hamba-Nya.

Apa yang Allah mahu ialah sedikit komitmen daripada kita, iaitu: “Mula cakapkan!”

Bila kita mula dengan apa yang kita mampu, maka Allah-lah yang akan sempurnakan apa yang kita tidak mampu. Sebagai satu bonus kepada kita, Allah bukan sahaja akan islahkan diri kita, bahkan Allah akan ampunkan segala dosa dan salah-silap kita. Allahu Akbar! Maha Rahman dan Maha Rahim Allah kepada kita. Tambahan kepada limpahan kurniaan ini, Allah akan bagi taufik untuk kita mentaati Allah dan Rasul-Nya, seterusnya layak mencalonkan diri kita untuk meraih kejayaan yang besar. Kejayaan yang amat diharapkan oleh semua orang yang benar-benar beriman.

Kejayaan yang menyebabkan kita dapat bertemu dan memandang Allah SWT di dalam syurga. Bukankah Allah sendiri mengatakan, memasuki syurga itu adalah satu kejayaan yang besar? (Lihat Surah Aali ‘Imran 3:185)


Bahkan! Syurga itu benar-benar satu kejayaan yang besar. Syurga adalah tempat melimpah-ruahnya keredhaan Allah SWT kepada seseorang. Tempat di mana seorang hamba dapat menatap Tuhan yang amat dicintai dan dirinduinya. Tempat di mana Allah, melayan hamba-hamba-Nya dengan penuh keredhaan.

Nabi Muhammad SAW menyatakan, Allah berfirman di dalam satu hadis Qudsi, “Barangsiapa yang mendekati Aku sejengkal, Aku akan dekatinya sehasta…..” (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Alangkah indahnya gambaran ini! Allah itu benar-benar Maha Dekat dengan hamba-hamba-Nya.

Malah Allah menegaskan kepada Nabi Muhammad SAW, “Apabila hamba-Ku bertanyakan kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku, (beritahulah) “Bahawasanya Aku itu sangat dekat, senantiasa menjawab permintaan (hamba-Ku) apabila dia memohon kepada-Ku!”” (Surah Al-Baqarah 2:186).

Malah Allah menyatakan lagi, “Sesungguhya Kami lebih dekat kepadanya, lebih daripada urat leher”. (Surah Qaf 50:16) “ Allah sentiasa bersama kamu” (Surah Al-Hadid 57:4).

Bila-bila masa kita boleh datang berjumpa Allah. Bila-bila masa, kita boleh datang bertemu Allah! Itulah solat!

Inilah percakapan tentang solat yang sepatutnya kita cakap-cakapkan. Betapa solat itu ialah untuk manfaat kita. Kita sangat memerlukan Allah, dan solat ialah satu wadah yang Allah sediakan untuk kita bertemu-Nya. Sebelum pertemuan teragung kita dengan Allah di dalam syurga-Nya.

Kita sangat perlukan solat. Jasmani kita perlukan solat. Minda kita perlukan solat. Emosi kita perlukan solat. Roh kita perlukan solat. Pendek kata, jiwa dan raga kita semuanya amat perlukan solat. Kenapa? Sebabnya amat mudah dan jelas, kerana jiwa dan raga kita amat memerlukan Allah dan jalan untuk kita bertemu Allah ialah solat!

Benarlah seruan Nabi Muhammad SAW kepada Bilal RA apabila berkata, “Wahai Bilal, rehatkanlah kami dengan solat!” (Riwayat Imam Ahmad)
Blog Widget by LinkWithin