Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, September 29, 2009

Artikel untuk majalah SOLUSI Bil. 12

Alhamdulillah, majalah SOLUSI Bil. 12 telah berada di pasaran. Kolum Fadhail A'maal saya masih di muka surat 65 seperti keluaran yang lepas. Saya sertakan di sini artikel asal kolum tersebut. Mungkin terdapat sedikit perubahan perkataan daripada versi majalah SOLUSI, kerana artikel yang diterbitkan telah melalui suntingan Editor. Semoga ada manfaatnya untuk iman saya dan kita semua:


Bukan sahaja di dalam Al-Quran dipenuhi dengan gesaan-gesaan berbentuk fadilat ini, bahkan jika kita menjenguk ke lembaran kitab-kitab hadis, kita akan dapati ada puluhan ribu hadis yang berkaitan dengan fadhail a’maal, tabsyir dan inzar serta targhib dan tarhib. Amat jelas, pendekatan Fadhail ini merupakan satu manhaj pentarbiahan yang telah sebati dengan generasi Salafus-Soleh.

Hati mereka telah tepu dengan sifat ihtisab. Ihtisab maksudnya ialah sifat harap dengan penuh keyakinan kepada janji-janji Allah. Janji Allah adalah satu perkara yang mereka yakini jauh melebihi apa yang dapat dilihat oleh mata mereka sendiri. Janji Allah lebih mereka hargai melebihi nilai apa saja kebendaan yang ada. Mereka lakukan sesuatu perkara, mahupun meninggalkan sesuatu perkara semata-mata kerana Allah. Sesuai dengan kehendak Allah. Semakin tinggi janji-janji Allah terhadap sesuatu perkara atau amalan, itulah tanda keredhaan Allah yang lebih utama bagi mereka melakukannya.

Generasi para Sahabat telah menunjukkan dengan jelas, bagaimana hati mereka yang telah tepu dengan keinginan semata-mata untuk menggembirakan Allah telah membuahkan sifat takwa yang sangat tinggi. Sikap melakukan sesuatu perintah Allah dengan semangat Imaanan (penuh keimanan) dan Ihtisaaban (mengharapkan dan yakin sepenuhnya dengan janji-janji Allah) telah benar-benar sebati di hati sanubari mereka. Lalu jadilah hidup dan mati mereka semata-mata ‘lillahi-rabbil-‘aalamin’. Iman mereka telah dibentuk sebegitu rupa, hingga iman mereka bukannya iman suasana, malah iman mereka yang akan membentuk suasana di sekitar mereka.

Ramadhan baru saja berlalu. Kita dapat menyaksikan, bagaimana keberkatan suasana Ramadhan telah menyebabkan iman kita begitu terkesan dengan suasana. Apabila suasana bermujahadah melalui amalan berpuasa dan ibadah-ibadah lain menjadi dominan, maka iman kita juga turut terkesan. Maka syiar yang paling jelas ialah masjid-masjid akan meriah dimakmurkan oleh manusia. Maka kita juga akan merasa begitu mudah untuk turut memakmurkan masjid-masjid yang ada. Bagaimanapun, setelah tamatnya Ramadhan, apa yang telah terjadi kepada kita?

Hati kita semakin terpisah daripada suasana keimanan. Lalu, indikator utama yang akan menunjukkan suasana batiniah yang semakin sirna sinar imaniah ini ialah apabila masjid-masjid mula kembali menjadi sunyi. Sepi, menanti penuh rindu kepada dahi-dahi yang akan sujud di lantainya. Kenapa keadaan ini terjadi?

Ini berlaku, kerana hati-hati kita belum benar-benar dicerna dan sebati dengan keyakinan bahawa masjidlah sumber kemuliaan kita. Selagi umat ini tidak kembali kepada pelukan masjid, selagi itulah kemuliaan akan menjauhi umat ini.

Abu Sa’id Al-Khudri r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang mencintai masjid, Allah pasti mencintainya.” (HR At-Tobarani di dalam Al-Ausat, sebagaimana dalam Majma’uz-Zawaaid)

Pernyataan ini disokong oleh satu riwayat yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a. yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Secinta-cinta tempat bagi sesuatu kawasan di sisi Allah Taala ialah masjid-masjidnya; dan sebenci-benci tempat bagi sesuatu kawasan di sisi Allah ialah pasar-pasarnya.” (HR Muslim)

Bila umat tidak lagi menghubungkan hati mereka dengan masjid-masjid, maka kita boleh lihat, dimanakah kebanyakan masa mereka dihabiskan pada hari ini? Berapa jam kita sanggup duduk di dalam masjid, dan berapa jam pula kita sanggup habiskan masa di pasaraya dan gedung-gedung perniagaan?

Para Sahabat telah menunjukkan, masjid merupakan paksi kehidupan mereka. Bagi mereka, berada di masjid seperti ikan yang berada di dalam air. Tenang lagi menenangkan. Manakala berada di luar masjid, bagaikan cacing di luar tanah. Hati mereka sentiasa menanti-nanti peluang, bilakah mereka akan kembali berada di bawah naungan redup taman-taman syurga di dalam ‘rumah-rumah’ Allah, Tuhan mereka!

Lalu kita hari ini, bagaimana?

Sunday, September 27, 2009

Kesesakan trafik...


Alhamdulillah, Allah masih izinkan untuk terus hidup hingga ke pagi 9 Syawal 1430H. Masuk pejabat pagi ini, terus terbaca berita di Utusan Malaysia "Tangkap pencuri: Anak pelakon Norlia Ghani maut jatuh tingkat 7". Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'uun! Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada-Nya jua kita akan kembali!

Tersentuh hati saya sambil terfikir, "Tentu arwah pun tidak sangka yang hayatnya hanya sekadar menjengah 8 Syawal. Sempat seminggu saja berhari raya... Bagaimana pula aku?"

Setelah hampir seminggu cuti sempena berhari raya, akhirnya saya sekeluarga bertolak meninggalkan kampung halaman lebih kurang jam 9.00 malam hari Sabtu. Perjalanan agak lancar walaupun kereta boleh dikatakan agak banyak. Cuma setelah sampai dekat dengan Sg Durian, Kuala Krai trafik mula tersekat. Rupanya, gara-gara 'funfair' yang diadakan di Sg. Durian tersebut. Melepasi kesesakan dan ke'sangkutan' yang lebih kurang setengah jam itu, perjalanan kembali lancar.

Sampai di Gua Musang lebih kurang jam 12.45 tengah malam. Terus 'check-in' di Kesedar Inn, Bandar Lama Gua Musang. Boleh dikatakan sudah menjadi 'trend' kami, setiap kali balik sama ada Putrajaya - Kota Bharu atau sebaliknya, kami akan bermalam di Kesedar Inn. Setelah berehat semalaman, kami 'check-out' lebih kurang jam 10.30 pagi dan meneruskan perjalanan pulang ke Putrajaya.

Walaupun kereta boleh dikatakan banyak, perjalanan tidaklah terganggu. Cuma bila berhenti untuk singgah di tandas sama ada di stesen minyak mahupun masjid/surau, terasa agak tidak selesa kerana orang terlalu ramai.

Melintasi bandar Raub, trafik masih lagi okay. Cuma bila memasuki bandar Bentong, barulah trafik menjadi amat perlahan dan tersekat-sekat. Begitu juga bila menghampiri kedua-dua tol di Lebuhraya KL-Karak. Selepas Tol Gombak, trafik masih perlahan di kawasan Hulu Kelang. Berhenti di Stesen Petronas Hulu Kelang untuk solat dan khidmat diri. Kemudian barulah meneruskan perjalanan ke Putrajaya melalui Lebuhraya MRR2.

Apa yang terlintas di hati saya, bila sedikit tersekat di dalam kesesakan jalan raya begini pun, kita sudah menjadi resah gelisah. Hati sudah tidak keruan. Segala tarbiah Ramadhan yang telah diterima, benar-benar rasa tercabar. Bisikan agar memotong guna sebelah kiri jalan sering bergemersik di telinga. Anak-anak pulak kadang-kadang riuh bergaduh atau bergurau. memang mencabar perasaan sungguh. Pada hal masa itu, cuaca agak redup (alhamdulillah) dan tentunya kami sedang berada di dalam kenderaan. Walaupun bukan kenderaan mewah, kiranya Carens kami itu sudah agak selesa.

"Ini baru tersekat sikit dalam 'traffic-jam' di dunia... bagaimana nanti dengan 'traffic-jam' di Mahsyar sana?", hati saya bertanya, mungkin untuk mententeramkan fikiran.

Bayangkanlah, setelah tiupan sangkakala yang kedua, seluruh makhluk yang mati akan dihidupkan. Jin dan manusia akan diiring dan dihalau ke padang Mahsyar. Bayangkanlah kesesakan yang akan dihadapi oleh kita pada masa itu. Seluruh manusia, daripada Adam a.s. sehinggalah bayi yang terakhir dilahirkan sebelum Kiamat. Seluruh jin, daripada Jaann sehinggalah anak jin yang terakhir dilahirkan sebelum tiupan sangkakala yang pertama. Semuanya akan dikerah untuk berhimpun di Mahsyar. Pada hari itu, ditegaskan oleh riwayat sebagai 'Yauma la dzilla illa dzilluh!" (Hari yang tidak ada sebarang teduhan selain teduhan [Arasy] Allah Taala!). Bagaimana agaknya kesesakan yang akan kita hadapi?

Imam Al-Muhasibi di dalam kitab 'At-Tawahum'nya menyatakan, tempoh untuk manusia bersesak-sesak di Mahsyar sementara menunggu Mahkamah Allah Rabbul-Jaliil dibuka ialah 50,000 tahun. Allahu akbar! Seluruh jin dan manusia akan berdiri di sana. Menanti untung nasib kira bicara mereka masing-masing. Warga Mahsyar berada dalam keadaan huru-hara yang bersangatan. Sehingga mereka mencari-cari mana-mana orang yang dapat bermohon agar Allah mempercepatkan Penghisaban. Sedangkan, para anbiya pun merasa tidak selamat pada hari itu. Saya dengar Syaikh Sulaiman Kattani dalam satu syarahannya, pada masa itu, jika kita ada amalan sehebat 70 orang nabi pun, kita tidak akan merasa selamat. Hadrat Ibrahim a.s., diriwayatkan akan berdiri di atas lututnya, dek kerana gerunnya dengan keadaan Mahsyar dan hari Penghisaban.

Dek kerana gerunkan suasana inilah juga, Rasulullah s.a.w. sentiasa berdoa, "Allahumma haasibni hisaban yasiira!" (Ya Allah, Hisablah daku dengan Hisab yang ringan dan mudah!")

Oh Allah.. ampunilah segala dosaku, berlemah lembutlah dengan segala kedhaifanku, serta hisablah daku dengan Hisab yang penuh dengan kemaafan dan belas-kasihan!
Blog Widget by LinkWithin