Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com

Tuesday, September 29, 2009

Artikel untuk majalah SOLUSI Bil. 12

Alhamdulillah, majalah SOLUSI Bil. 12 telah berada di pasaran. Kolum Fadhail A'maal saya masih di muka surat 65 seperti keluaran yang lepas. Saya sertakan di sini artikel asal kolum tersebut. Mungkin terdapat sedikit perubahan perkataan daripada versi majalah SOLUSI, kerana artikel yang diterbitkan telah melalui suntingan Editor. Semoga ada manfaatnya untuk iman saya dan kita semua:


Bukan sahaja di dalam Al-Quran dipenuhi dengan gesaan-gesaan berbentuk fadilat ini, bahkan jika kita menjenguk ke lembaran kitab-kitab hadis, kita akan dapati ada puluhan ribu hadis yang berkaitan dengan fadhail a’maal, tabsyir dan inzar serta targhib dan tarhib. Amat jelas, pendekatan Fadhail ini merupakan satu manhaj pentarbiahan yang telah sebati dengan generasi Salafus-Soleh.

Hati mereka telah tepu dengan sifat ihtisab. Ihtisab maksudnya ialah sifat harap dengan penuh keyakinan kepada janji-janji Allah. Janji Allah adalah satu perkara yang mereka yakini jauh melebihi apa yang dapat dilihat oleh mata mereka sendiri. Janji Allah lebih mereka hargai melebihi nilai apa saja kebendaan yang ada. Mereka lakukan sesuatu perkara, mahupun meninggalkan sesuatu perkara semata-mata kerana Allah. Sesuai dengan kehendak Allah. Semakin tinggi janji-janji Allah terhadap sesuatu perkara atau amalan, itulah tanda keredhaan Allah yang lebih utama bagi mereka melakukannya.

Generasi para Sahabat telah menunjukkan dengan jelas, bagaimana hati mereka yang telah tepu dengan keinginan semata-mata untuk menggembirakan Allah telah membuahkan sifat takwa yang sangat tinggi. Sikap melakukan sesuatu perintah Allah dengan semangat Imaanan (penuh keimanan) dan Ihtisaaban (mengharapkan dan yakin sepenuhnya dengan janji-janji Allah) telah benar-benar sebati di hati sanubari mereka. Lalu jadilah hidup dan mati mereka semata-mata ‘lillahi-rabbil-‘aalamin’. Iman mereka telah dibentuk sebegitu rupa, hingga iman mereka bukannya iman suasana, malah iman mereka yang akan membentuk suasana di sekitar mereka.

Ramadhan baru saja berlalu. Kita dapat menyaksikan, bagaimana keberkatan suasana Ramadhan telah menyebabkan iman kita begitu terkesan dengan suasana. Apabila suasana bermujahadah melalui amalan berpuasa dan ibadah-ibadah lain menjadi dominan, maka iman kita juga turut terkesan. Maka syiar yang paling jelas ialah masjid-masjid akan meriah dimakmurkan oleh manusia. Maka kita juga akan merasa begitu mudah untuk turut memakmurkan masjid-masjid yang ada. Bagaimanapun, setelah tamatnya Ramadhan, apa yang telah terjadi kepada kita?

Hati kita semakin terpisah daripada suasana keimanan. Lalu, indikator utama yang akan menunjukkan suasana batiniah yang semakin sirna sinar imaniah ini ialah apabila masjid-masjid mula kembali menjadi sunyi. Sepi, menanti penuh rindu kepada dahi-dahi yang akan sujud di lantainya. Kenapa keadaan ini terjadi?

Ini berlaku, kerana hati-hati kita belum benar-benar dicerna dan sebati dengan keyakinan bahawa masjidlah sumber kemuliaan kita. Selagi umat ini tidak kembali kepada pelukan masjid, selagi itulah kemuliaan akan menjauhi umat ini.

Abu Sa’id Al-Khudri r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang mencintai masjid, Allah pasti mencintainya.” (HR At-Tobarani di dalam Al-Ausat, sebagaimana dalam Majma’uz-Zawaaid)

Pernyataan ini disokong oleh satu riwayat yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a. yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Secinta-cinta tempat bagi sesuatu kawasan di sisi Allah Taala ialah masjid-masjidnya; dan sebenci-benci tempat bagi sesuatu kawasan di sisi Allah ialah pasar-pasarnya.” (HR Muslim)

Bila umat tidak lagi menghubungkan hati mereka dengan masjid-masjid, maka kita boleh lihat, dimanakah kebanyakan masa mereka dihabiskan pada hari ini? Berapa jam kita sanggup duduk di dalam masjid, dan berapa jam pula kita sanggup habiskan masa di pasaraya dan gedung-gedung perniagaan?

Para Sahabat telah menunjukkan, masjid merupakan paksi kehidupan mereka. Bagi mereka, berada di masjid seperti ikan yang berada di dalam air. Tenang lagi menenangkan. Manakala berada di luar masjid, bagaikan cacing di luar tanah. Hati mereka sentiasa menanti-nanti peluang, bilakah mereka akan kembali berada di bawah naungan redup taman-taman syurga di dalam ‘rumah-rumah’ Allah, Tuhan mereka!

Lalu kita hari ini, bagaimana?

No comments:

Blog Widget by LinkWithin