Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, August 12, 2010

Tarawih: "8 ke, 20 rakaat, ustaz?"

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh barakah. Keberkatannya yang nyata ialah timbulnya keghairahan umat Islam untuk berlumba-lumba dalam melakukan perkara kebaikan dan amalan soleh. Antara amalan yang menjadi tumpuan ialah ibadah Solat Tarawih.

Dek kerana keghairahan umat untuk beribadah sebaik mungkin dan semirip mungkin dengan apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w., maka ramai juga yang sering bertanya, "Ustaz, solat tarawih ni... yang sebenarnya, lapan atau dua puluh rakaat?"

Selalunya, untuk mengelakkan perbincangan menjadi meleret dan kadang-kadang bertukar menjadi hangat, jawapan yang diberikan, "Gini saja lah.. cuba kita tengok di Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi, berapa rakaat Tarawih mereka? Dan itulah yang telah diamalkan sejak lebih 1400 tahun dahulu..."

Di sini, saya sertakan satu artikel yang amat baik bagi menjelaskan persoalan ini:


RAKA’AT TARAWIH: ANTARA AFDHAL DAN MAFDHUL

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia dalam Islam. Amalan khusus yang wajib pada bulan tersebut seperti berpuasa pada siang hari dan amalan sunat pada sebelah malamnya seperti sembahyang tarawih menjadikan ia antara sebab kemuliaan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Di antara amalan tersebut ada yang ulama bersepakat tentangnya dan ada juga yang menjadi perselisihan di kalangan mereka. Umpamanya sembahyang tarawih ada perkara yang disepakati oleh ulama dan ada perkara yang diperselisihkan. Di antara perkara yang diperselisihkan padanya adalah berkenaan bilangan raka’at dan perselisihan ini bukan dari segi benar atau salah tetapi dari segi lebih afdhal (lebih tepat atau utama) atau mafdhul (kurang tepat atau utama).

Artikel ini bukanlah bermaksud untuk menimbulkan keresahan kepada mana-mana pihak dan bukan juga untuk menimbulkan persengketaan sesama umat. Tujuan perbahasan ini ialah untuk membuktikan secara ilmiah bahawa pihak yang melakukan sembahyang tarawih sama ada lapan raka’at atau dua puluh mempunyai dalil di dalam ibadat yang mereka lakukan di samping untuk menjelaskan bahawa pengamalan sembahyang tarawih sebanyak dua puluh raka’at juga mempunyai asasnya berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih daripada pengamalan generasi awal Islam.

Riwayat-riwayat dan pendapat-pendapat ulama yang terdapat di dalam kitab-kitab hadith dan feqah menunjukkan bahawa perselisihan raka’at tarawih bermula daripada lapan sehingga lebih dari empat puluh raka’at. Namun begitu kebanyakan perbezaan pendapat adalah bermula dari dua puluh raka’at ke atas. Sementara tarawih sebanyak lapan raka’at tidak banyak dibincangkan oleh ulama terutamanya ulama feqah tetapi terdapat di dalam beberapa riwayat daripada sahabat. [1] Di antara riwayat-riwayat tersebut ada yang dho’if, hasan dan sahih. Artikel ini akan membincangkan perselisihan pendapat antara lapan raka’at dan dua puluh raka’at. Seperti yang ditegaskan sebelum ini perbezaan pendapat ini bukanlah perbezaan benar atau batil tapi hanyalah perbezaan manakah pendapat yang lebih kuat berdasarkan hadith dan pengamalan generasi awal Islam.

Di antara hadith yang menunjukkan bahawa sembahyang tarawih didirikan sebanyak lapan raka’at di zaman Nabi s.a.w. adalah seperti berikut,

Pertama:

عن عيسى ابن جارية ، عن جابر بن عبد الله رضي الله عنه قال : صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِي شَهْرِ رَمَضَانَ ثَمَانَ رَكَعَاتٍ وَأَوْتَرَ ، فَلَمَّا كَانَتِ الليلة الْقَابِلَةُ اجْتَمَعْنَا فِي الْمَسْجِدِ وَرَجَوْنَا أَنْ يَخْرُجَ إِلَيْنَا ، فَلَمْ نَزَلْ فِيهِ حَتَّى أَصْبَحْنَا ، ثُمَّ دَخَلْنَا ، فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللهِ ، اجْتَمَعْنَا فِي الْمَسْجِدِ وَرَجَوْنَا أَنْ تُصَلِّيَ بنا ، فَقَالَ : إِنِّي خَشِيتُ - أَوْ كَرِهْتُ - أَنْ تُكْتَبَ عَلَيْكُمْ .

Daripada ‘Isa bin Jariah daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. mengimamkan kami pada bulan ramadhan sebanyak lapan raka’at dan berwitir. Bila tiba malam berikutnya kami berhimpun di masjid dan berharap Nabi s.a.w. akan keluar kepada kami, kami terus menunggu sehingga pagi kemudian kami masuk menemuinya lalu berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w., kami berhimpun di masjid dan berharap engkau akan keluar kepada kami, Baginda s.a.w. menjawab, “Sesungguhnya aku bimbang ianya akan difardhukan ke atas kamu.” [2]

Kedua:

حدثنا عيسى بن جارية ، قال : حدثنا جابر بن عبد الله ، قَالَ : جَاءَ أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ إِلَى رَسُولِ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ الله ، إِنَّهُ كَانَ مِنِي اللَّيْلَةَ شَيْءٌ - يَعْنِي فِي رَمَضَانَ - قَالَ : وَمَا ذَاكَ يَا أُبَيُّ ؟ قَالَ : نِسْوَةٌ فِي دَارِي قُلْنَ : إِنَّا لاَ نَقْرَأُ الْقُرْآنَ ، فَنُصَلِّي بِصَلاَتِكَ ، فَصَلَّيْتُ بِهِنَّ ثَمَانَ رَكَعَاتٍ ، ثُمَّ أَوْتَرْتُ قَالَ : فَكَانَ شِبْهُ الرِّضَى ، وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا.

‘Isa bin Jariah meriwayatkan kepada kami katanya, Jabir bin Abdillah meriwayatkan kepada kami katanya: “Ubay bin Ka’ab r.a. telah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Ya Rasulullah, “Sesungguhnya sesuatu telah berlaku kepada saya pada waktu malam di bulan Ramadhan. Nabi s.a.w. bertanya, “Apakah ia wahai Ubay? Dia menjawab, “Perempuan-perempuan di rumahku berkata, “Kami tidak tahu membaca al-Quran maka kami hendak mengikuti sembahyang engkau”. Ubay berkata, “Lalu aku mengimamkan mereka sebanyak lapan raka’at kemudian aku berwitir. Dia (Jabir) berkata, “Kelihatan pada Nabi s.a.w. semacam keredhaan dan Baginda tidak berkata apa-apa.” [3]

Namun begitu riwayat-riwayat di atas tidak boleh dijadikan sandaran kerana walaupun banyak jalan periwayatannya dan diriwayatkan oleh beberapa ulama hadith tetapi ianya berpunca daripada seorang perawi yang dho’if iaitu ‘Isa bin Jariah. Beliau adalah perawi hadith yang dipertikaikan oleh ulama al-Jarh wa at-Ta’dil. Antaranya:

Ibnu Abi Khaithamah berkata, daripada Ibnu Ma’ien katanya: ‘Isa bin Jariah tidak kuat, aku tidak mengetahui seorangpun yang meriwayatkan daripadanya selain Ya’qub al-Qummi. Ad-Dauri berkata, daripada Ibnu Ma’ien katanya: “Dia (‘Isa bin Jariah) banyak meriwayatkan hadith-hadith munkar. Abu Zur’ah berkata: “Tidak mengapa dengannya”. Al-Aajuri menyebutkan daripada Abu Daud katanya: “Dia (‘Isa) adalah seorang yang meriwayatkan hadith-hadith munkar. Akan tetapi Ibnu Hibban menyebutkannya di dalam kitabnya “at-Thiqaat”. As-Saaji dan ‘Uqaili menyebutkannya dari kalangan perawi-perawi yang dho’if. Ibnu ‘Adi berkata: “Hadith-hadithnya tidak terpelihara”. [4]

Di dalam Mizan al-I’tidal terdapat sebagaimana yang tersebut di atas cuma terdapat tambahan dari Imam Nasa`ie katanya: “Dia (‘Isa bin Jariah) meriwayatkan hadith-hadith munkar dan ada diriwayatkan juga dari Imam Nasa`ie bahawa dia berkata: “Dia seorang yang ditinggalkan riwayatnya”. [5]

Ketiga:

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ سَأَلَ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَيْفَ كَانَتْ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ فَقَالَتْ مَا كَانَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلَا فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي ثَلَاثًا فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ قَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ وَلَا يَنَامُ قَلْبِي

Daripada Abu Salamah bin Abd ar-Rahman bahawa dia bertanya ‘Aisyah r.a. dengan berkata: “Bagaimanakah sembahyang Rasulullah s.a.w. pada bulan Ramadhan? ‘Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w. tidak melebihkan daripada sebelas raka’at sama ada di bulan Ramadhan dan di bulan yang lain. Baginda bersembahyang sebanyak empat raka’at. Engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya. Kemudian baginda bersembahyang sebanyak empat raka’at lagi, engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya. Kemudian baginda bersembahyang sebanyak tiga raka’at lagi. Kemudian aku bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah engkau tidur sebelum engkau melakukan sembahyang witir? Baginda s.a.w. menjawab, “Sesungguhnya dua mataku tidur tetapi hatiku tidak tidur”. [6]

Atsar ini merupakan sandaran utama dan sahih bagi golongan yang berpendapat bahawa raka’at sembahyang tarawih adalah lapan dan ia menjadi sokongan kepada riwayat-riwayat dho’if yang disebutkan sebelum ini. Mereka mengatakan bahawa sembahyang yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. itu adalah sembahyang malam yang dikenali sebagai tahajjud di bulan selain Ramadhan dan di bulan Ramadhan adalah qiyam Ramadhan yang dipanggil sembahyang tarawih.

Tetapi ulama berselisih pendapat tentang hadith ini. Setengahnya mengatakan hadith tersebut berkenaan sembahyang tarawih dan sebahagian yang lain pula mengatakan berkenaan sembahyang malam selain dari tarawih. [7] Kerana itu di kalangan ulama terutama sekali ulama yang dikenali sebagai ulama feqah tidak menjadikan hadith ini sebagai sandaran kepada bilangan raka’at tarawih. Sekiranya mereka semua memahami bahawa ianya berkaitan dengan sembahyang tarawih tentu sekali tidak akan timbul lagi perselisihan berkaitan raka’at tarawih.

Beberapa persoalan timbul jikalau hadith ‘Aisyah r.a. ini dianggap berkaitan dengan sembahyang tarawih. Antaranya,

Pertama: Kata-kata ‘Aisyah r.a. “di bulan ramadhan dan bukan ramadhan” dari segi zohir menunjukkan kepada suatu amalan yang tidak mempunyai perbezaan sama ada di bulan Ramadhan dan bukan Ramadhan serta tidak menunjukkan kepada tarawih tetapi lebih tepat menunjukkan kepada sembahyang malam yang dikenali sebagai tahajjud. Kecuali ada sesuatu bukti yang lain yang menunjukkan bahawa maksud ‘Aisyah r.a. adalah sembahyang malam di bulan selain Ramadhan dan tarawih di bulan Ramadhan.

Tetapi ianya boleh dijawab dengan mengatakan bahawa maknanya “bukan Ramadhan adalah qiyamullail atau sembahyang malam dan di bulan Ramadhan adalah bermakna qiyam Ramadhan atau tarawih”. Namun begitu ianya akan memberikan maksud bahawa sesiapa yang telah melakukan sembahyang tarawih sebanyak lapan raka’at selain witir maka ia tidak boleh lagi melakukan sembahyang yang lain pada malam itu kerana Nabi s.a.w. tidak melebihkan sama ada di bulan Ramadhan atau bukan Ramadhan daripada lapan raka’at selain witir. Tetapi bagi golongan yang mengatakan hadith ‘Aisyah tersebut bukan berkenaan tarawih maka tidak akan timbul sebarang masalah kepada mereka kerana yang tidak dilebihkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sembahyang malam iaitu tahajjud bukannya tarawih. Begitu juga galakan Nabi s.a.w. supaya memperbanyakkan amalan pada bulan Ramadhan tidak akan memberikan apa-apa makna kerana Nabi s.a.w. sendiri tidak melebihkan daripada sebelas raka’at sahaja pada satu-satu malam.

Setengah ulama mengatakan maksud daripada kata-kata ‘Aaisyah r.a. ialah Nabi s.a.w. tidak melakukan sembahyang tarawih dan tahajjud secara berasingan di dalam bulan Ramadhan sebaliknya melakukan sembahyang tarawih sahaja tetapi memanjangkan tarawihnya (Baginda tidak melakukan tahajjud di bulan Ramadhan). Tiada sebarang perbezaan di antara tarawih dan tahajjud di zaman Nabi s.a.w. pada raka’at tetapi perbezaan hanyalah terdapat pada waktu dan sifat sahaja iaitu tarawih dilakukan secara berjemaah di masjid berlainan dengan tahajjud dan memulakan tarawih di permulaan malam tetapi tahajjud di akhir malam. [8]

Bagi penulis, hujah sedemikian akan menyempitkan lagi ruang ibadat dan menyebabkan umat Islam kerugian di dalam merebut kelebihan yang besar di bulan Ramadhan.

Kedua: di dalam hadith tersebut ‘Aisyah r.a. menyebutkan,

يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلَا تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ

“Dia (Nabi s.a.w.) bersembahyang sebanyak empat raka’at engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya. Kemudian dia bersembahyang sebanyak empat raka’at lagi, engkau jangan tanya tentang betapa cantik dan panjangnya”.

Maksud yang zohir daripada kata-kata tersebut ialah baginda s.a.w. mengerjakan sembahyang sebanyak empat raka’at dengan satu salam. Kerana itu setengah ulama mengharuskan sembahyang malam empat raka’at dengan satu salam. Jadi, kalaulah yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah sembahyang malam atau tahajjud maka ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah tetapi kalaulah yang dimaksudkan di dalam hadith tersebut “bukan Ramadhan adalah qiyamullail dan di bulan Ramadhan adalah qiyam Ramadhan atau tarawih” bermakna tidak ada perbezaan antara keduanya daripada segi kaifiatnya, hanya berbeza dari segi nama sahaja kerana berbeza waktu dan bulan. Persoalannya, apakah terdapat ulamak yang mengharuskan sembahyang tarawih dengan satu salam setiap empat raka’at?

Ketiga: pertanyaan Abu Salamah kepada ‘Aaisyah r.a. adalah tentang suatu amalan yang biasa dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan dilakukan di rumah bukannya amalan yang dilakukan baginda bersama sahabat-sahabatnya di luar. Ia lebih tepat dengan sembahyang tahajjud bukan sembahyang tarawih yang dilakukan baginda selama tiga malam berturut-turut bersama sahabat-sahabatnya. Kalaulah pertanyaan Abu Salamah berkenaan sembahyang yang dinamakan tarawih maka persoalan tersebut tidak perlu ditujukan kepada ‘Aisyah r.a. kerana Nabi s.a.w. bersembahyang bersama sahabat-sahabatnya sebagaimana yang terdapat di dalam hadith. Sudah pastilah sahabat-sahabat sudah mengetahui bilangan raka’at tarawih atau qiyam Ramadhan yang dilakukan Nabi s.aw. atau bagi yang tidak hadir bersama baginda memadai dia bertanyakan kepada sahabat yang hadir. [9]

Keempat: kebanyakan ulama yang mengarang kitab-kitab hadith tidak memasukkan hadith ini di dalam bab berkenaan qiyam Ramadhan terutamanya sembahyang tarawih. Ini menunjukkan bahawa mereka memahami hadith ini bukan termasuk di dalam bab berkenaan tarawih. Antaranya:

1- Imam Abu Daud memasukkan hadith ini di dalam “Bab Berkenaan Sembahyang Malam” dan tidak meletakkannya di dalam “Bab Berkenaan Qiyam Di Bulan Ramadhan”. [10]
2- Imam Tirmizi meletakkan hadith ini di dalam “Bab Riwayat Yang Datang Di Dalam Mensifatkan Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Waktu Malam” dan tidak meletakkannya di dalam “Bab Riwayat Yang Datang Berkenaan Qiyam Di Bulan Ramadhan”. [11]
3- Imam Abd ar-Razzaq memasukkan hadith ini di bawah Bab Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Waktu Malam Dan Witirnya [12]dan tidak memasukkannya di dalam Bab Qiyam Ramadhan.
4- Imam Muslim tidak sempat untuk meletakkan bab di dalam kitab sahihnya. Tetapi berdasarkan nuskhah yang paling masyhur iaitu berdasarkan bab yang dibuat oleh Imam Nawawi hadith ini terletak di dalam “Bab Berkenaan Sembahyang Malam Dan Bilangan Raka’at Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Waktu Malam” dan tidak memasukkannya di dalam “Bab Galakan Qiyam Ramadhan Iaitu Tarawih”. [13]
5- Imam al-Bukhari mengemukakan hadith ini tiga kali di dalam kitabnya. Pertama di dalam Kitab al-Juma’ah di bawah Bab Ibadat Malam Nabi s.a.w. Di Bulan Ramadhan Dan Selainnya. Kedua di dalam Kitab Berkenaan Puasa di bawah Bab Kelebihan Beribadat Pada Malam Ramadhan dan ketiga di dalam Kitab al-Manaqib Bab Nabi s.a.w. Matanya Tidur Dan Hatinya Tidak Tidur.

Tetapi terdapat perbezaan pada nuskhah mengikut riwayat al-Mustamli kerana hadith ini diletakkan di bawah “Bab Kelebihan Beribadat Pada Malam Ramadhan” dan bab tersebut terletak di bawah “Kitab Sembahyang Tarawih”. Namun begitu ianya hanya terdapat di dalam nuskhah melalui riwayat Abu Ishak al-Mustamli sahaja tetapi tidak terdapat pada nuskhah-nuskhah melalui riwayat selain daripadanya daripada Muhammad bin Yusof al-Firabri [14]. Di dalam nuskhah yang lain “Bab Kelebihan Beribadat Pada Malam Ramadhan” diletakkan di bawah “Kitab Berkenaan Puasa” dan tiada “Kitab Sembahyang Tarawih” di dalam nuskhah itu.

Jika diteliti nuskhah al-Mustamli yang mengadakan satu “bab” atau “kitab” iaitu “Kitab Berkenaan Sembahyang Tarawih” dengan mengasingkannya daripada “Kitab Berkenaan Puasa” lalu diletakkan di bawahnya bab-bab seperti “Bab Kelebihan Beribadat Pada Malam Ramadhan, Bab Kelebihan Lailatul Qadar, Bab Mencari Lailatul Qadar, Bab Mencarinya Pada Malam Ganjil, Bab Diangkat Pengetahuan Tentang Lailatul Qadar dan seterusnya Bab Beramal Pada Sepuluh Akhir Ramadhan dengan nuskhah-nuskhah yang lain yang tidak mengasingkan bab-bab tersebut daripada “Kitab Berkenaan Puasa” tetapi sebaliknya meletakkan semua bab tersebut di bawahnya maka kesimpulan yang dapat difahami ialah:

Nuskhah yang mengasingkan bab-bab tersebut dari kitab puasa dengan meletakkannya di bawah “bab” atau “Kitab Sembahyang Tarawih” akan menunjukkan seolah-olah ibadat pada malam Ramadhan, Lailatul Qadar dan sepuluh akhir Ramadhan hanyalah sembahyang tarawih sahaja kerana ianya terletak di bawah “kitab” tersebut. Tetapi sebaliknya nuskhah yang tidak mengasingkan bab-bab tersebut dari “Kitab Puasa” menunjukkan ibadat pada malam Ramadhan, Lailatul Qadar dan sepuluh akhir Ramadhan adalah umum dengan boleh melakukan apa jua ibadat.

Namun begitu bagi pensyarah hadith yang mengatakan maksud “ibadat pada waktu malam” pada “Bab Kelebihan Beribadat Pada Malam Ramadhan” yang diadakan oleh Imam Bukhari dengan makna “sembahyang tarawih” maka ada sedikit ruang untuk mengatakan Imam Bukhari maksudkan hadith tersebut berkenaan sembahyang tarawih walaupun mereka tidak menyatakan dengan jelas sedemikian. Tetapi bagi pensyarah yang mengatakan maksud “ibadat pada waktu malam” dalam bab yang diadakan oleh Imam Bukhari ini adalah dengan makna umum iaitu mana-mana ibadat di dalam bulan Ramadhan maka lebih jelaslah bagi mereka bahawa Imam Bukhari tidak maksudkan hadith tersebut sebagai sembahyang tarawih.

Perbezaan nuskhah sedemikian juga berlaku kepada kitab-kitab hadith yang lain. Antaranya Muwattha’ Imam Malik melalui riwayat Muhammad bin al-Hasan yang mana kitabnya dikenali dengan Muwattha’ Muhammad. Di dalam nuskhah tersebut hadith ini terdapat di dalam “Bab Berkenaan Sembahyang Witir Nabi s.a.w.” dan “Bab Apa Yang Datang Dari Nabi s.a.w. Berkenaan Qiyam Ramadhan”. [1] Tetapi di dalam riwayat Yahya bin Yahya al-Laithi dan lain-lain hadith ini hanya terdapat di dalam “Bab Berkenaan Sembahyang Nabi s.a.w. Pada Witir” sahaja.

Imam an-Nasa`ie pula meletakkan hadith ini di dalam “Kitab Beribadat Pada Waktu Malam Dan Sunat Pada Waktu Siang” dan “Bab Berkenaan Bagaimana Beribadat Malam Bulan Ramadhan” secara umum dan tidak mengkhususkan dengan sembahyang tarawih.

Demikianlah beberapa alasan golongan yang berpendapat bahawa hadith ‘Aisyah r.a. tersebut bukan berkaitan dengan tarawih.

Hadith keempat iaitu berkenaan tarawih yang dilakukan di zaman Sayyidina Umar r.a.

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ يُوسُفَ عَنْ السَّائِبِ بْنِ يَزِيدَ أَنَّهُ قَالَ أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً قَالَ وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ

Daripada Muhammad bin Yusuf daripada Sa`ib bin Yazid bahawa dia berkata: “Umar bin al-Khattab r.a. memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari supaya mengimamkan orang ramai dengan sembahyang sebanyak sebelas raka’at. Dia (Sa`ib) berkata lagi, “Imam membaca sebanyak dua ratus ayat sehingga kami bertongkat di atas tongkat kerana lama berdiri dan kami selesai ketika hampir menjelang fajar”. [2]

Riwayat yang sama juga dinukilkan oleh al-Firyabi di dalam kitabnya,

حدثنا قتيبة ، عن مالك بن أنس ، عن محمد بن يوسف ، عن السائب بن يزيد ، أنه قال : « أمر عمر بن الخطاب أبي بن كعب وتميما الداري أن يقوما ، للناس ، بإحدى عشرة ركعة قال : فكان القارئ يقرأ المائتين حتى كنا نعتمد على العصي من طول القيام ، وما كنا ننصرف إلا في فروع الفجر »

Qutaibah meriwayatkan kepada kami daripada Malik bin Anas daripada Muhammad bin Yusuf daripada Sa`ib bin Yazid bahawa dia berkata: “Umar bin al-Khattab r.a. memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari supaya mengimamkan orang ramai dengan sembahyang sebanyak sebelas raka’at. Dia (Sa`ib) berkata lagi, “Imam membaca sebanyak dua ratus ayat sehingga kami menopang di atas tongkat kerana lama berdiri dan kami selesai ketika hampir menjelang fajar”. [3]

Riwayat ini juga terdapat di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan lafaz kurang daripada riwayat di atas,

عن محمد بن يوسف أن السائب أخبره أن عمر جمع الناس على أبي وتميم فكانا يصليان إحدى عشرة ركعة يقرآن بالمئين يعني في رمضان.

Daripada Muhammad bin Yusof bahawa Sa`ib menceritakan kepadanya bahawa Umar menghimpunkan orang ramai mengikut Ubay dan Tamim (di dalam sembahyang tarawih). Mereka berdua bersembahyang sebanyak sebelas raka’at membaca dua ratus (ayat) di bulan Ramadhan”. [4]

Kesemua riwayat tersebut dan juga riwayat yang terdapat di dalam Sunan Sa’id bin Mansur berpunca dari orang yang sama walaupun melalui beberapa jalan iaitu melalui Muhammad bin Yusof daripada Sa`ib bin Yazid. Tetapi riwayat-riwayat tersebut bercanggah pula dengan apa yang dikemukakan oleh Abdul Razzaq di dalam Musannafnya iaitu,

عبد الرزاق عن داود بن قيس وغيره عن محمد بن يوسف عن السائب بن يزيد : أن عمر جمع الناس في رمضان على أبي بن كعب ، على تميم الداري ، على إحدى وعشرين ركعة ، يقروون بالمئين وينصرفون عند فروع الفجر

Abdul Razzaq daripada Daud bin Qais dan selainnya daripada Muhammad bin Yusuf daripada Sa`ib bin Yazid bahawa Sayydidina Umar r.a. menghimpunkan orang ramai di dalam bulan Ramadhan mengikut Ubay bin Ka’ab dan Tamim ad-Dari dengan sembahyang sebanyak dua puluh satu raka’at, mereka membaca sebanyak dua ratus ayat dan selesai ketika ketika hampir menjelang fajar”. [5]

Namun begitu riwayat ini dipertikaikan. Alasan yang diberikan adalah Kitab As-Siyam (kitab berkenaan puasa) yang terdapat di dalam Musannaf ini diriwayatkan oleh Ishak bin Ibrahim ad-Dabaree. [6] Ad-Dabaree, salah seorang periwayat Musannaf Abdul Razzaq adalah seorang yang banyak melakukan kesilapan ketika mengambil riwayat daripada Abdul Razzaq. Beliau bukan sahaja meriwayatkan Kitab As-Siyam daripada Abdul Razzaq tetapi keseluruhan Musannaf ketika akhir umur Abdul Razzaq di samping terdapat riwayat beliau yang bercanggah daripada apa yang diriwayatkan oleh orang lain daripada Abdul Razzaq. [7]

Syeikh Nasiruddini al-Albani juga menolak riwayat tersebut dengan alasan bahawa berlaku kecelaruan kepada Abdul Razzaq di akhir hayatnya. [8] Namun begitu beliau tidak dapat membuktikan bahawa hadith yang menyebutkan berkenaan sembahyang tarawih sebanyak dua puluh raka’at ini adalah di antara yang diriwayatkan oleh Abdul Razzaq selepas kecelaruannya.

Dengan merujuk kepada nuskhah cetakan tahqiq, penulis mendapati ia sememangnya nuskhah berdasarkan berdasarkan riwayat Ishak bin Ibrahim ad-Dabaree. Kitab As-Siyam pula diriwayatkan oleh penyalin daripada Abu Sa’id Ahmad bin Muhammad bin Ziyad daripada ad-Dabaree. Nuskhah dengan cetakan tersebut juga di tahkik oleh pentahkik Habib ar-Rahman A’zhomi. Pentahkik menyemak dan memberikan komentar kepada mana-mana riwayat yang bercanggah dengan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab yang lain serta mana-mana riwayat yang terdapat padanya kekeliruan atau kesilapan daripada ad-Dabaree. Tetapi pada riwayat berkenaan raka’at tarawih dua puluh satu ini tidak ada sebarang komen oleh pentahkik. [9] Tiadanya sebarang komen daripada pentahkik terhadap riwayat tersebut menunjukkan kemungkinan ianya tidak termasuk dari kalangan hadith yang diriwayatkan berdasarkan kekeliruan oleh ad-Dabaree.

Bahkan riwayat melalui jalan Muhammad bin Yusof yang menyebutkan dua puluh satu raka’at ini dikuatkan lagi melalui jalan periwayatan perawi yang lain selain beliau berbeza dengan riwayat yang menyebutkan sebelas raka’at yang hanya diriwayatkan melalui beliau sahaja. Bahkan Imam Malik sendiri yang merupakan penghimpun hadith yang mengemukakan riwayat (sebelas raka’at) tersebut tidak berpegang dengan riwayat itu.

Riwayat melalui Muhammad bin Yusof yang terdapat di dalam Musannaf Abdul Razzaq ini disokong oleh riwayat melalui jalan Yazid bin Khusaifah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan Muhammad bin Nasr al-Marwazi iaitu:

عن يزيد بن خصيفة عن السائب بن يزيد قال كانوا يقومون على عهد عمر بن الخطاب رضى الله عنها في شهر رمضان بعشرين ركعة قال وكانوا يقرؤن بالمئين وكانوا يتوكؤن على عصيهم في عهد عثمان بن عفان رضى الله عنه من شدة القيام

Daripada Yazid bin Khusaifah daripada Sa`ib bin Yazid katanya: “Mereka (sahabat) sembahyang (tarawih) di zaman Umar bin al-Khattab r.a. di bulan Ramadhan sebanyak dua puluh raka’at”. Dia (Sa`ib) berkata lagi, “Mereka membaca dua ratus ayat dan mereka menopang di atas tongkat mereka di zaman Uthman bin ‘Affan r.a. kerana lama berdiri”. [10]

Tetapi Syeikh yang mulia Nasiruddin al-Albani mengatakan hadith ini adalah dh’oif kerana ia adalah hadith munkar iaitu riwayat daripada perawi thiqah yang menyalahi riwayat perawi yang lebih thiqah iaitu Muhammad bin Yusof. Beliau mengemukakan beberapa alasan. Alasan pertama ialah kerana salah seorang perawi iaitu Yazid bin Khusaifah walaupun thiqah tetapi Imam Ahmad mengatakannya sebagai seorang yang meriwayatkan hadith munkar sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Zahabi dalam Mizan al-I’tidal. [11]

Marilah kita meneliti apa yang dikemukakan oleh Imam-imam rijal berkenaan Yazid bin Khusaifah ini.

يزيد بن عبدالله بن خصيفة. وقد ينسب إلى جده فيقال: يزيد بن خصيفة. عن السائب بن يزيد، وعروة، ويزيد بن عبدالله بن قسيط.وعنه مالك، وطائفة.وثقه أحمد من رواية الاثرم عنه، وأبو حاتم، وابن معين، والنسائي.وروى أبو داود أن أحمد قال: منكر الحديث.

Yazid bin Abdillah bin Khusaifah. Kadang-kadang dinisbahkan kepada datuknya lalu dikatakan Yazid bin Khusaifah. Beliau meriwayatkan hadith daripada Sa`ib bin Yazid, ‘Urwah, Yazid bin Abdullah bin Qusaith. Imam Malik dan segolongan ulama mengambil riwayat daripada-nya.

Imam Ahmad melalui riwayat Athram mengatakannya thiqah. Begitu juga Abu Hatim, Ibnu Ma’ien dan Nasa`ie juga mengatakannya thiqah. Abu Daud ada meriwayatkan bahawa Imam Ahmad berkata: “Dia ada meriwayatkan hadith munkar”. [12]

Di dalam Mizan al-I’tidal terdapat dua riwayat daripada Imam Ahmad yang bercanggah. Namun begitu yang lebih sesuai adalah riwayat yang mengatakannya thiqah kerana bersesuian dengan pendapat imam-imam rijal yang lain. Ada kemungkinan juga riwayat Abu Daud tersebut terdapat kekeliruan padanya.

Untuk memastikan lagi kedudukan Yazid bin Khusaifah ini maka elok diteliti kitab-kitab rijal yang lain.

Antaranya,

يزيد بن عبد الله بن خصيفة بمعجمة بن عبد الله بن يزيد الكندي المدني وقد ينسب لجده ثقة

Yazid bin Abdullah bin Khusaifah bin Yazid al-Kindi al-Madani. Kadang-kadang dinisbahkan kepada datuknya. Beliau adalah seorang yang thiqah. [13]

Di dalam Tahzib al-Kamal ketika Imam al-Mizzi membicarakan tentang perawi Muhammad bin ‘Amr beliau menukilkan,

وقال ابن طهمان: سمعت يحيى بن معين يقول: محمد بن عمرو ثقة. روى عنه يحيى بن سعيد القطان وغيره. وقال ابن محرز: وسمعت يحيى بن معين وسئل عن محمد بن عمرو بن علقمة، فقال: ثقة. وقال ابن محرز أيضا: وسمعت يحيى وقيل له: أيما أحب إليك يزيد بن عبدالله بن خصيفة أو محمد بن عمرو بن علقمة ؟ فقال: يزيد، ويزيد أعلاهما.

Ibnu Thahman berkata: “Aku mendengar Yahya bin Ma’ien berkata: “Muhammad bin ‘Amar adalah seorang yang thiqah. Yahya bin Sa’id al-Qattan dan lain-lain meriwayatkan daripadanya”. Ibnu Muhriz berkata: “Aku mendengar Yahya bin Ma’ien ditanya tentang Muhammad bin ‘Amar bin ‘Alqamah lalu dia berkata: “Thiqah”. Ibnu Muhriz berkata lagi: “Aku mendengar Yahya ditanya: “Siapakah yang lebih disukai olehmu antara Yazid bin Abdullah bin Khusaifah atau Muhammad bin ‘Amar bin ‘Alqamah? Maka dia menjawab: “Yazid dan Yazid adalah lebih tinggi kedudukannya di antara keduanya”. [14]

Begitu juga sebagai sokongan tambahan ialah Yazid bin Khusaifah merupakan seorang perawi Bukhari dan Muslim di mana riwayat beliau diletakkan oleh Imam Bukhari di dalam riwayat-riwayat musnadah iaitu hadith yang bersanad dan Imam Muslim meletakkan riwayatnya di dalam hadith-hadith di permulaan bab.

Dengan ini jelaslah kedudukan perawi Yazid bin Khusaifah ini. Di samping itu walaupun berkemungkinan bahawa kedudukan beliau lebih rendah daripada Muhammad bin Yusof, tetapi riwayat beliau boleh menjadi penguat kepada riwayat Muhammad bin Yusof yang terdapat di dalam Musannaf Abdul Razzaq iaitu sembahyang tarawih sebanyak dua puluh raka’at. Begitu juga terdapat satu lagi riwayat daripada Sa`ib bin Yazid melalui jalan yang lain yang menyebutkan bahawa sembahyang tarawih sebanyak dua puluh raka’at bersama dengan witir sebanyak tiga raka’at iaitu,

عبد الرزاق عن الاسلمي عن الحارث بن عبد الرحمن ابن أبي ذباب عن السائب بن يزيد قال : كنا ننصرف من القيام على عهد عمر وقد دنا فروع الفجر ، وكان القيام على عهد عمر ثلاثة وعشرين ركعة.

Abdul Razzaq daripada al-Aslami daripada Harith bin Abdul Rahman Ibnu Abi Zibab daripada Sa`ib bin Yazid katanya: “Kami selesai daripada sembahyang di zaman Umar ketika mana hampir subuh, sembahyang (tarawih) di zaman Umar r.a. adalah dua puluh tiga raka’at”. [1]

Athar ini walaupun dho’if kerana Ibnu Abi Zibab adalah seorang yang lemah tetapi lemahnya bukan kerana beliau ditohmah dengan dusta, ahli bid’ah dan sebagainya. Tetapi lemahnya hanyalah dari segi hafalan sahaja dan riwayatnya boleh ditulis untuk dijadikan sebagai sokongan. [2]

Kemudian Syeikh al-Albani mengemukakan alasan yang kedua iaitu berlaku idhtirob (tidak tetap) kepada Ibnu Khusaifah di dalam meriwayatkan hadith tersebut bila mana beliau (Ibnu Khusaifah) ditanya oleh Isma’il bin Umayyah lalu Yazid bin Khusaifah menjawab dengan syak. [3] Tetapi Syeikh al-Albani tidak mengemukakan sebarang rujukan dan penulis tidak menemui fakta tersebut di dalam mana-mana kitab.

Penyokong tambahan kepada riwayat Yazid bin Khusaifah dan Muhammad bin Yusof berkenaan sembahyang tarawih sebanyak dua puluh raka’at adalah kata-kata penyaksian serta amalan daripada tabi’en. Antaranya:

حَدَّثَنَا حُمَيْدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَانِ ، عَنْ حَسَنٍ ، عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ رُفَيْعٍ ، قَالَ : كَانَ أُبَيّ بْنُ كَعْبٍ يُصَلِّي بِالنَّاسِ فِي رَمَضَانَ بِالْمَدِينَةِ عِشْرِينَ رَكْعَةً وَيُوتِرُ بِثَلاَثٍ.

Daripada Abdul Aziz bin Rufai’ katanya: “Ubay bin Ka’ab mengimamkan orang ramai pada bulan Ramadhan di Madinah sebanyak dua puluh raka’at dan berwitir dengan tiga raka’at”. [4]

عَنْ مَالِك عَنْ يَزِيدَ بْنِ رُومَانَ أَنَّهُ قَالَ كَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِي رَمَضَانَ بِثَلَاثٍ وَعِشْرِينَ رَكْعَةً

Daripada Malik daripada Yazid bin Ruman bahawa dia berkata: “Orang ramai bersembahyang di zaman Umar bin al-Khattab di bulan Ramadhan sebanyak dua puluh tiga raka’at”. [5]

Kedua-dua riwayat di atas ditolak oleh sebahagian ulama. Penolakan tersebut adalah disebabkan oleh perawi iaitu Abdul Aziz bin Rufai’ dan Yazid bin Ruman tidak sempat dengan zaman Sayyidina Umar r.a. [6]. Ini bermakna riwayat tersebut adalah munqati’ (putus dan tidak bersambung jalan periwayatannya). Namun begitu setengah ulama menerima riwayat yang seperti ini sebagai penyokong kerana ia adalah riwayat mursal sahabi (perawi yang tidak disebutkan kemungkinan seorang sahabat) kerana kedua-dua perawi tersebut adalah merupakan tabi’en yang banyak mengambil riwayat dari sahabat di samping kedua-duanya adalah perawi yang thiqah (boleh dipercayai). Begitu juga dengan kesemua perawi di dalam riwayat tersebut adalah perawi-perawi yang thiqah. Alasan ini disokong pula oleh kata-kata setengah ulama rijal bahawa Yazid bin Ruman sering melakukan mursal di dalam riwayatnya daripada Abu Hurairah r.a. [7]. Kerana itu Imam an-Niimwi di dalam ta’liqnya kepada kedua hadith ini berkata: “Sanadnya adalah mursal yang kuat”. [8] Kerana kemungkinan besar keduanya mengambil riwayat daripada sahabat yang lain tetapi mereka tidak menyebutkannya kerana sahabat kesemuanya adalah orang-orang yang adil.

Riwayat mursal seterusnya adalah riwayat daripada Yahya bin Sa’id di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah iaitu:

حدثنا وكيع عن مالك بن أنس عن يحيى بن سعيد أن عمر بن الخطاب أمر رجلا يصلي بهم عشرين ركعة.

“Waki’ telah meriwayatkan kepada kami daripada Malik bin Anas daripada Yahya bin Said bahawa Umar bin Al-Khattab memerintahkan seseorang supaya mengimamkan orang ramai sebanyak dua puluh raka’at”. [9]

Imam Niimwi juga mengatakan athar ini adalah mursal yang kuat di samping beliau menyebutkan Yahya bin Said tidak sempat dengan Umar r.a.. [10]

Di antara penyaksian tabi’en tentang perkara ini ialah:

حدثنا ابن نمير عن عبد الملك عن عطاء قال أدركت الناس وهم يصلون ثلاثا وعشرين ركعة بالوتر.

Ibnu Numair telah meriwayatkan kepada kami daripada Abdul Malik daripada ‘Atha’ bin Abi Rabah katanya: “Aku sempat dengan orang ramai (sahabat-sahabat dan tabi’en) dan mereka bersembahyang sebanyak dua puluh tiga raka’at bersama dengan witir”. [11]

‘Atha’ sempat dengan zaman Sayyidina Uthman r.a. dan ini menunjukkan sembahyang tarawih dikerjakan pada zaman tersebut sebanyak dua puluh raka’at.

Terdapat juga athar yang tidak jelas menerangkan bahawa raka’at tarawih adalah dua puluh pada zaman seterusnya tetapi menunjukkan kepada lebih daripada lapan raka’at iaitu:

عَنْ مَالِك عَنْ دَاوُدَ بْنِ الْحُصَيْنِ أَنَّهُ سَمِعَ الْأَعْرَجَ يَقُولُ مَا أَدْرَكْتُ النَّاسَ إِلَّا وَهُمْ يَلْعَنُونَ الْكَفَرَةَ فِي رَمَضَانَ قَالَ وَكَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ سُورَةَ الْبَقَرَةِ فِي ثَمَانِ رَكَعَاتٍ فَإِذَا قَامَ بِهَا فِي اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً رَأَى النَّاسُ أَنَّهُ قَدْ خَفَّفَ

Daripada Malik daripada Daud bin al-Husain bahawa dia mendengar A’raj berkata: “Apa yang aku dapati orang ramai (sahabat dan tabi’en) ialah mereka melaknat orang-orang kafir pada bulan Ramadhan (di dalam qunut)”. Dia berkata lagi: “Qari (imam tarawih) membaca surah al-Baqarah dalam lapan raka’at. Bila mana dia (imam) mengimamkan mereka untuk raka’at ke dua belas orang ramai melihat bahawa dia telah meringankan (bacaan di dalam sembahyangnya)”. [12]

Atsar ini menunjukkan bahawa tarawih pada zaman Abdul Rahman al-A’raj hidup iaitu antara tahun 44 hingga 117 hijrah adalah melebihi daripada lapan raka’at bahkan ianya mengisyaratkan sehingga dua puluh raka’at sebagaimana di dalam riwayat berkenaan tarawih pada zaman sebelumnya. Ini dapat difahami daripada riwayat ini yang menunjukkan bahawa pada lapan raka’at pertama sehingga raka’at kedua belas imam membaca panjang iaitu surah al-Baqarah atau qadarnya dan bila tiba raka’at ke dua belas imam mula meringkaskan bacaannya untuk baki sembahyang lagi. [13]

Begitu juga kalau dilihat kepada amalan-amalan tabi’en di zaman permulaan Islam, didapati mereka mengerjakan sebanyak dua puluh raka’at atau lebih. Antaranya:

حدثنا أبو بكر قال ثنا وكيع عن سفيان عن أبي إسحاق عن عبد الله بن قيس عن شتير بن شكل أنه كان يصلي في رمضان عشرين ركعة والوتر.

Abu Bakr telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Waki’ telah meriwayatkan kepada kami daripada Sufyan daripada Abi Ishak daripada Abdullah b. Qais daripada Syutair bin Syakal bahawa ia bersembahyang (tarawih) di dalam bulan Ramadhan sebanyak dua puluh raka’at dan witir. [14]
Syutair adalah seorang tabi’en yang dikatakan sempat dengan zaman jahiliyyah tapi tidak tergolong dalam golongan sahabat. [15]

حَدَّثَنَا وَكِيعٌ ، عَنْ نَافِعِ بْنِ عُمَرَ ، قَالَ : كَانَ ابْنُ أَبِي مُلَيْكَةَ يُصَلِّي بِنَا فِي رَمَضَانَ عِشْرِينَ رَكْعَةً

Waki’ telah meriwayatkan kepada kami daripada Nafi’ bin Umar r.a. katanya: “Ibnu Abi Mulaikah mengimamkan kami pada bulan Ramadhan sebanyak dua puluh raka’at”.

حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ دُكَيْنٍ ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ عُبَيْدٍ : أَنَّ عَلِيَّ بْنَ رَبِيعَةَ كَانَ يُصَلِّي بِهِمْ فِي رَمَضَانَ خَمْسَ تَرْوِيحَاتٍ وَيُوتِرُ بِثَلاَثٍ.

Fadhal bin Dukain telah meriwayatkan kepada kami daripada Sa’id bin ‘Ubaid bahawa ‘Ali bin Rabi’ah mengimamkan orang ramai dalam bulan Ramadhan sebanyak lima tarwihah (rehat selepas setiap empat raka’at sembahyang tarawih berjumlah dua puluh raka’at) dan mengerjakan witir sebanyak tiga raka’at”. [16]

An-Niimwi menyebutkan kedua-dua riwayat tersebut di dalam Aathar as-Sunan dan mengatakan sanad kedua-duanya adalah sahih. [17]

وَأَخْبَرَنَا أَبُو زَكَرِيَّا بْنُ أَبِى إِسْحَاقَ أَخْبَرَنَا أَبُو عَبْدِ اللَّهِ : مُحَمَّدُ بْنُ يَعْقُوبَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْوَهَّابِ أَخْبَرَنَا جَعْفَرُ بْنُ عَوْنٍ أَخْبَرَنَا أَبُو الْخَصِيبِ قَالَ : كَانَ يَؤُمُّنَا سُوَيْدُ بْنُ غَفَلَةَ فِى رَمَضَانَ فَيُصَلِّى خَمْسَ تَرْوِيحَاتٍ عِشْرِينَ رَكْعَةً.

Abu Zakaria bin Abi Ishak telah menceritakan kepada kami, katanya: Abu Abdillah iaitu Muhammad bin Ya’kub telah menceritakan kepada kami, katanya: Muhammad bin Abdul Wahhab telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ja’far bin ‘Aun telah menceritakan kepada kami, katanya: Abu al-Khasib telah menceritakan kepada kami, katanya: “Suwaid bin Ghafalah mengimamkan kami di dalam bulan Ramadhan lalu beliau bersembahyang sebanyak lima tarwihah (lima rehat) iaitu dua puluh raka’at. [18]

An-Nimwi menyatakan sanadnya adalah hasan. [19]

Riwayat-riwayat yang telah dikemukakan sudahpun memadai untuk membuktikan bahawa sembahyang tarawih sebanyak dua puluh raka’at diwarisi daripada generasi salaf terdahulu. Begitu juga kalau dilihat kepada pendapat-pendapat ulama salaf kebanyakan mereka berpegang dengan pendapat bahawa bilangan raka’at tarawih adalah dua puluh bahkan melebihi angka tersebut. Mari kita tinjau pendapat-pendapat serta apa yang disaksikan oleh mereka.

Pertama, perselisihan pendapat ulama yang disebutkan oleh Imam at-Tirmizi selepas mengemukakan hadith berkenaan qiyam Ramadhan yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. iaitu:

وَاخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي قِيَامِ رَمَضَانَ فَرَأَى بَعْضُهُمْ أَنْ يُصَلِّيَ إِحْدَى وَأَرْبَعِينَ رَكْعَةً مَعَ الْوِتْرِ وَهُوَ قَوْلُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ وَالْعَمَلُ عَلَى هَذَا عِنْدَهُمْ بِالْمَدِينَةِ وَأَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ عَلَى مَا رُوِيَ عَنْ عُمَرَ وَعَلِيٍّ وَغَيْرِهِمَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِشْرِينَ رَكْعَةً وَهُوَ قَوْلُ الثَّوْرِيِّ وَابْنِ الْمُبَارَكِ وَالشَّافِعِيِّ و قَالَ الشَّافِعِيُّ وَهَكَذَا أَدْرَكْتُ بِبَلَدِنَا بِمَكَّةَ يُصَلُّونَ عِشْرِينَ رَكْعَةً

Ahli ilmu berbeza pendapat tentang sembahyang tarawih di bulan Ramadhan. Sebahagian mereka berpendapat bahawa seseorang boleh bersembahyang sebanyak empat puluh satu raka’at bersama witir dan ia adalah pendapat penduduk Madinah. Inilah yang menjadi amalan mereka di Madinah. Kebanyakan ahli ilmu berpegang kepada apa yang diriwayatkan daripada Umar, ‘Ali r.a. dan sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang lain iaitu sebanyak dua puluh raka’at dan ianya adalah pendapat ath-Thauri, Ibnu al-Mubarak dan as-Syafie. Imam as-Syafie berkata: “Demikianlah kami dapati di negeri kami di Mekah mereka bersembahyang sebanyak dua puluh raka’at”. [1]

Imam at-Tirmizi menyebutkan bahawa kebanyakan ahli ilmu berpendapat bahawa raka’at sembahyang tarawih sebanyak dua puluh raka’at. Walaupun Imam at-Tirmizi menggunakan lafaz “ruwiya” (diriwayatkan) dengan bina’ majhul ketika menyebutkan tentang amalan sahabat-sahabat tetapi bukanlah bermaksud untuk mengatakan bahawa riwayat dua puluh raka’at daripada sahabat-sahabat r.a. adalah riwayat yang lemah. Kerana penggunaan majhul dengan tidak disebutkan fa’il (pelaku) walaupun biasa digunakan untuk menunjukkan lemah tetapi penggunaan demikian juga digunakan dengan maksud untuk meringkaskan atau disebabkan perkara tersebut sudah diketahui dengan meluas sehingga tidak perlu lagi untuk menyebutkan pelakunya (periwayatnya). Penerimaan kebanyakan ahli ilmu sebagai amalan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam at-Tirmizi adalah satu bukti bahawa ia bukanlah berdasarkan riwayat yang lemah.

Kedua, pendapat Imam Syafi’e sebagaimana yang terdapat di kitab al-Umm,

فأما قيام شهر رمضان فصلاة المنفرد أحب إلى منه ورأيتهم بالمدينة يقومون بتسع وثلاثين وأحب إلى عشرون لانه روى عن عمر وكذلك يقومون بمكة ويوترون بثلاث

“Adapun sembahyang tarawih di bulan Ramadhan maka sembahyang secara bersendirian adalah lebih disukai olehku dan aku lihat di Madinah mereka melakukan sebanyak tiga puluh sembilan raka’at dan aku lebih menyukai dua puluh raka’at kerana ianya diriwayatkan daripada Umar r.a. Demikian jugalah yang mereka amalkan di Makkah dan mereka melakukan sembahyang witir sebanyak tiga raka’at.” [2]

Ketiga, pendapat di dalam mazhab Imam Abu Hanifah,

( الْفَصْلُ الْأَوَّلُ فِي عَدَدِ الرَّكَعَاتِ ) فَإِنَّهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً سِوَى الْوِتْرِ عِنْدِنَا وَقَالَ مَالِكٌ رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى السُّنَّةُ فِيهَا سِتَّةٌ وَثَلَاثُونَ

Fasal pertama berkenaan bilangan raka’at, sesungguhnya ianya adalah sebanyak dua puluh raka’at selain witir di sisi kita. Imam Malik berkata, sunnah adalah sebanyak tiga puluh enam raka’at. [3]

Keempat, di dalam kitab fiqh mazhab Imam Ahmad menyebutkan,

فَصْلٌ : وَالْمُخْتَارُ عِنْدَ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ ، رَحِمَهُ اللَّهُ ، فِيهَا عِشْرُونَ رَكْعَةً . وَبِهَذَا قَالَ الثَّوْرِيُّ ، وَأَبُو حَنِيفَةَ ، وَالشَّافِعِيُّ . وَقَالَ مَالِكٌ : سِتَّةٌ وَثَلَاثُونَ . وَزَعَمَ أَنَّهُ الْأَمْرُ الْقَدِيمُ ، وَتَعَلَّقَ بِفِعْلِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ ، فَإِنَّ صَالِحًا مَوْلَى التَّوْأَمَةِ ، قَالَ : أَدْرَكْتُ النَّاسَ يَقُومُونَ بِإِحْدَى وَأَرْبَعِينَ رَكْعَةً ، يُوتِرُونَ مِنْهَا بِخَمْسٍ . وَلَنَا ، أَنَّ عُمَرَ ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَمَّا جَمَعَ النَّاسَ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ، وَكَانَ يُصَلِّي لَهُمْ عِشْرِينَ رَكْعَةً

Ini satu fasal, pendapat yang terpilih di sisi Abi Abdillah adalah dua puluh raka’at. Pendapat ini juga adalah merupakan pendapat Imam ath-Thauri, Abu Hanifah dan as-Syafie. Imam Malik berkata, tiga puluh enam raka’at. Dan dia mendakwa bahawa ianya pendapat yang lama dan ia berkait dengan amalan penduduk Madinah kerana Salih maula at-Tauamah berkata: “Saya sempat dengan orang ramai mengerjakan (tarawih) sebanyak empat puluh satu raka’at dan mereka melakukan witir dengan lima raka’at. Pendapat kita bahawa Umar r.a. bila ia menghimpunkan orang ramai mengikut Ubay bin Ka’ab r.a. lalu dia menjadi imam kepada mereka sebanyak dua puluh raka’at”. [4]

Kelima, Ibnu Rusyd pengarang kitab Bidayah al-Mujtahid yang menjadi rujukan utama di dalam mazhab Imam Malik menukilkan:

واختلفوا في المختار من عدد الركعات التي يقوم بها الناس في رمضان، فاختار مالك في أحد قوليه، وأبو حنيفة، والشافعي، وأحمد، وداود، القيام بعشرين ركعة سوى الوتر.
وذكر ابن القاسم عن مالك أنه كان يستحسن ستا وثلاثين ركعة، والوتر ثلاث.

Mereka berselisih pendapat berkenaan pendapat yang terpilih tentang bilangan raka’at yang dilakukan oleh orang ramai di dalam bulan Ramadhan. Imam Malik di dalam salah satu daripada dua pendapatnya, Abu Hanifah, as-Syafie, Ahmad dan Daud memilih dua puluh raka’at selain witir. Ibnu al-Qasim menyebutkan daripada Imam Malik bahawa dia menganggap elok tiga puluh enam raka’at selain witir. [5]

Kesimpulan:
Pertama, tidak ada satupun riwayat daripada Nabi s.a.w. yang jelas dan disepakati oleh ulama berkenaan raka’at tarawih. Adapun hadith ‘Aaisyah r.a. ianya tidak dapat dibuktikan bahawa yang dimaksudkan adalah sembahyang tarawih sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Kedua, terdapat beberapa riwayat sahih daripada Sayyidina Umar r.a. yang berbeza-beza tentang bilangan raka’at tarawih. Ada yang menyebutkan sebelas, tiga belas, dua puluh satu dan dua puluh tiga raka’at. Namun begitu riwayat yang menyebutkan dua puluh raka’at tarawih mempunyai beberapa jalan periwayatan yang saling menguatkan satu sama lain berbanding dengan bilangan yang lain.

Ketiga, kesaksian daripada tabi’en di zaman Sayyidina Umar, Uthman, Ali r.a. dan zaman seterusnya serta amalan mereka mengimamkan orang ramai di zaman mereka adalah dua puluh rakaat sebagaimana yang telah dikemukakan sebelum ini. Amalan yang dilakukan oleh tabi’en adalah kerana mereka mengikuti generasi sebelum mereka iaitu generasi sahabat r.a. yang sudah pastinya mengambil sunnah tersebut daripada Nabi s.a.w.

Keempat, pendapat imam empat mazhab dan imam-imam yang lain serta apa yang disaksikan oleh mereka pada zaman masing-masing adalah dua puluh bahkan lebih daripada itu.

Kelima, perkataan tarawih itu sendiri menunjukkan kepada lebih daripada lapan raka’at. Perkataan tarawih adalah jamak (plural) kepada perkataan tarwihah atau tarwih yang pada asalnya memberi makna duduk. Kemudian ianya dijadikan istilah duduk rehat selepas setiap kali empat raka’at sembahyang tarawih. Sekiranya sembahyang tarawih adalah sebanyak lapan raka’at sahaja maka masa rehatnya adalah sekali atau dua kali sahaja. Maka nama yang sesuai untuknya adalah tarwihah atau tarwihatan. Oleh itu perkataan tarawih menunjukkan duduk rehat yang sekurang-kurangnya tiga kali dan sudah tentunya ianya sesuai dengan dua puluh raka’at bukan lapan raka’at.

Berdasarkan kepada apa yang telah dikemukakan maka penulis memilih pendapat raka’at tarawih yang paling kuat dan lebih menepati sunnah adalah dua puluh raka’at. Namun begitu tidak menjadi kesalahan bagi sesiapa yang mahu melaksanakan sembahyang tarawih dengan bilangan raka’at kurang daripada bilangan tersebut. Walaupun ada perselisihan di dalam masalah furu’ namun kita mestilah sentiasa hormat menghormati dan tidak menyesatkan apa yang telah dilakukan oleh orang lain sebagaimana yang berlaku dalam perselisihan mazhab-mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah. Namun begitu jangan sampai ia membawa kepada kebimbangan untuk mengejar sebanyak mungkin ganjaran yang disediakan di bulan Ramadhan dan diharap risalah ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada golongan yang ingin merebut sebanyak mungkin ganjaran tersebut. Seterusnya mereka tidak merasakan bahawa mereka tidak menepati sunnah bilamana mereka melaksanakan sembahyang tarawih dengan bilangan raka’at semaksimun mungkin di samping dapat mengkhatamkan al-Quran di dalam sembahyang tarawih di bulan mulia ini.

وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Tiadalah aku akan beroleh taufik melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. (Surah Hud ayat 88)




Ahmad Nasim Bin Abdul Rauf
www.darulkautsar.net




Blog Widget by LinkWithin