Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, June 28, 2011

Israk dan Mikraj, Masjid dan Iman

Allah s.w.t. yang telah menciptakan langit dan bumi serta segala ‘nizam’ (sistem) bagi kedua-duanya; sesungguhnya Dia telah berfirman:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah al-Israa’ 17: 1)

Syaikh asy-Syanqiti rah.a. ketika memberikan komentar kepada peristiwa hebat Israk dan Mikraj ini di dalam tafsirnya Adhwa-ul-Bayaan, menyatakan perkataan “سُبْحَانَ" (Maha Suci) di sini membawa makna “penyucian daripada apa sahaja yang tidak layak dengan kehebatan Allah dan kesempurnaanNya.” Imam Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi rah.a. di dalam Khawatir beliau pula menyatakan, perkataan “Maha Suci” ini menandakan khabar yang akan dibawa selepas perkataan ini adalah satu perkara yang besar dan sangat penting.

Memang benar, peristiwa Israk dan Mikraj ini benar-benar satu peristiwa yang begitu besar. Besar kesannya kepada kehidupan peribadi Rasulullah s.a.w. Dalam baginda menghadapi Tahun Kesedihan dengan kewafatan Saiyidatina Khadijah r.ha dan seterusnya di susuli dengan lontaran kejam batu-batu oleh penduduk Taif, lalu Allah s.w.t. Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat telah menjemput Rasulullah s.a.w. melewati tujuh lapisan langit untuk hadir ke hadratNya.

Penghujung safar yang penuh dengan kebesaran ayat-ayat Allah Azza Wa Jalla ini, Allah s.w.t. telah mengurniakan solat fardhu lima waktu kepada umat ini. Satu kurniaan yang memberikan impak yang besar kepada kepada kehidupan para Sahabat Rasulullah s.a.w. dan seterusnya umat ini hingga hari kiamat. Solat ini ialah mikraj untuk umat ini. Solat ini ialah pertemuan harian umat ini dengan Allah s.w.t. Saat yang mereka dapat sama-sama qiyam, rukuk dan sujud ke hadrat Allah s.w.t. dalam satu medan ihram yang dimulai dengan takbiratul-ihram dan di’tahallul’kan dengan ucapan salam. Inilah hadiah paling besar yang di bawa pulang oleh Rasulullah s.a.w melalui safar Israk dan Mikraj ini.

Ayat ini juga menyebut dengan jelas bahawa perjalanan Israk ini adalah daripada Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa. Kenapa Allah s.w.t. pilih safar penuh kemukjizatan dan kemuliaan ini adalah dari masjid ke masjid? Kenapa Allah s.w.t. tidak katakan sahaja daripada Makkah ke Baitul-Maqdis?

Dalam kitab tafsir at-Tahrir wat-Tanwir menyatakan penyebutan dua masjid yang mulia ini merupakan satu isyarat kepada hubungan tauhid dan syariat suci yang telah di bawa oleh Nabi Ibrahim a.s. Kaabah (Masjidil-Haram) adalah binaan yang pertama dibina sebagai rumah ibadah kepada Allah. Setelah Nabi Ibrahim a.s. menyempurnakan semula binaan Kaabah atas perintah Allah, baginda telah membina pula asas Masjidil-Aqsa empat puluh tahun selepas itu. Sekiranya hubungan ketauhidan dan syariat hanifiah ini disentuh, maka ia membawa sama ke dalam rangkulan kemuliaan ini Masjid Nabawi.

Fadilat ketiga-tiga masjid yang mulia ini telah disebutkan dengan jelas oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya, apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
“Janganlah kamu bermusafir (ke tempat tertentu kerana keutamaan tempat tersebut) kecuali untuk pergi ke tiga masjid: Masjidil-Haram, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil-Aqsa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Abdullah bin Zubair r.a. pula meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Solat di masjidku ini (yakni Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1000 kali solat di masjid lain kecuali Masjidil-Haram. Solat di Masjidil-Haram lebih afdal daripada 100 kali solat di masjidku ini” Di dalam riwayat yang lain ada tambahan: “Solat di Baitul-Maqdis 500 kali ganda daripada masjid lain”. (HR Ahmad)

Adakah Islam itu hanya wujud di tiga masjid ini? Adakah keindahan Islam dan kemanisan iman hanya terdapat dalam tiga masjid ini? Sudah tentu tidak! Malah sebagaimana yang diisyaratkan oleh peristiwa Israk dan Mikraj ini, bahawa masjid-masjid itu mempunyai kaitan yang amat penting dengan keimanan umat ini dan kehidupan harian mereka.

Fadilat masjid ini tergambar melalui apabila Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Apabila kamu melihat seseorang itu berulang-alik ke masjid (untuk mengimarahkannya); maka persaksikanlah baginya dengan keimanan. Allah Taala berfirman, “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (HR at-Tirmizi)

Marilah kita calonkan diri kita untuk menjadi orang yang layak mendapat persaksian Rasulullah s.a.w. terhadap keimanan kita!

Adakah persaksian ini belum mencukupi untuk kita?

Nota: Artikel ini telah disiarkan di dalam Majalah SOLUSI Bil. 33
Blog Widget by LinkWithin