Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, August 6, 2009

7 Wasiat Raja-Raja Melayu

Ogos menjelang lagi. Ogos ada makna yang besar untuk rakyat Malaysia. Lebih tepatnya, 31 Ogos 1957 adalah satu tarikh yang Allah telah pilih, sebagai pengisytiharan bagi mengurniakan nikmat yang besar kepada kita rakyat Malaysia. Setelah sekian lama, akhirnya Allah telah mengurniakan kembali nikmat kemerdekaan dan kedaulatan untuk negeri Tanah Melayu ini. Sejak peristiwa tragis tahun 1511 Empayar Melaka diserang Portugis, hanya pada tahun 1957 inilah, Tanah Melayu kembali merdeka. 446 tahun yang amat panjang! Namun begitu, barang perlu diingatkan,nikmat ini milik Allah. Nikmat ini hak mutlak Allah. Nikmat ini Allah boleh beri dan Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja. Nikmat ini wajib kita syukuri. Nikmat ini wajib kita isi dengan 'ketaatan kepada Allah, sebagaimana panduan Rasulullah s.a.w.'!

Saya tertarik dengan ingatan yang disebut-titahkan oleh Raja Muda Perak,Raja Dr. Nazrin Shah berkenaan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu. Petikan daripada Utusan Online:


KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

  1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).

  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.

  4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.

  5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.

  6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Entah mengapa, hati saya sayu apabila membaca patah-patah perkataan di dalam wasiat ini!

Jika kita lihat dalam wasiat ini, selain hikmah dalam pentadbiran negara, ada satu wasiat yang sangat mendalam hikmahnya, untuk kita semua renungkan. Wasiat ini mengatakan: "Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan."

Jika kita semak Perlembagaan Persekutuan, kita dapati sememangnya tidak pernah dinyatakan perkataan Islam adalah agama RASMI Persekutuan. Bila ada rasmi, boleh ada TIDAK RASMI. Jadi perkataan yang digunakan ialah "Islam ialah AGAMA PERSEKUTUAN." Maknanya, jika entiti Persekutuan ini diibaratkan seorang individu, maka Persekutuan ini ada agamanya, iaitu Islam. Apabila Islam dikatakan sebagai agama Persekutuan, maka agama lain tidak boleh lagi menjadi agama kepada Persekutuan. Macam seseorang yang beragama Islam, maka dia tidak boleh pula dalam masa yang sama beragama dengan agama yang lain pula.

Agama lain hanya diperuntukkan dalam Perlembagaan sebagai boleh diamalkan dengan bebas dan aman di dalam Persekutuan Tanah Melayu ini. Itupun dengan batasan, tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Agama lain diberikan kebebasan untuk diamalkan, namun sesekali tidak boleh menyamai taraf dan berkongsi hak Islam sebagai AGAMA PERSEKUTUAN. Perlembagaan menyatakan SPB Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Maka Perlembagaan juga telah memperuntukkan bahawa di dalam Ikrar Pelantikan sebagai YDP Agong, Seri Paduka Tuanku berjanji untuk mempertahankan Islam setiap masa dan dalam apa sahaja keadaan. Perlembagaan juga memperuntukkan, sebagai agama Persekutuan, belanjawan boleh diambil daripada khazanah negara mahupun negeri, bagi tujuan kemaslahatan agama Islam. Inilah hak dan taraf Islam sebagai agama Persekutuan.

Sebenarnya, sesuai dengan Ikrar SPB Yang di-Pertuan Agong dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, maka setiap apa yang hendak dilakukan di negara ini perlulah menjaga kemuliaan dan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan.

Raja-Raja Melayu telah meletakkan asas yang baik dan penuh hikmah, tinggal lagi, sejauhmana kita yang mewarisi amanah ini mampu memahami, menghayati dan melaksanakannya?

Oh Allah... bantulah kami!

Meraikan permintaan...

Semata-mata meraikan permintaan seorang kawan pengunjung, saya sertakan di sini artikel sulung yang diterbitkan di dalam Majalah SOLUSI bil. 9. Semoga ada manfaatnya. Dan jika ada kesudian daripada tuan/puan yang mulia, selit-selitkanlah doa buat saya yang faqir ini. Jazakumullahu khairan jazaa-an!

Suatu hari, Rasulullah s.a.w. sedang keliling-keliling Madinah. Suasana nyaman sekali. Angin yang bertiup mengusik-usik daun-daun tamar yang menghijau. Menari-nari bebas. Tiba-tiba, Rasulullah s.a.w. terpandang satu susuk tubuh tidak berapa jauh di depan. Nampaknya, asyik sekali sahabat Baginda itu sedang menanam sesuatu. Baginda amat mengenali susuk tubuh itu. Beliau ialah Abu Hurairah r.a.


“Apa yang kau tanam ‘tu wahai Abu Hurairah?”, sapa Rasulullah s.a.w. setelah memberi salam.

“Labbaik ya Rasulullah! Saya sedang tanam satu pokok ‘ni!”, sahut Abu Hurairah.
Lanjut Rasulullah s.a.w., “Mahu ‘tak aku tunjukkan kepada mu satu tanaman yang lebih baik daripada pokok ini?”

“Tentulah wahai Rasulullah!”, pantas Abu Hurairah meningkah.

Ujar Rasulullah s.a.w., “Kau ucapkanlah:

سبحان الله و الحمد لله و لا إله إلا الله و الله أكبر

akan ditanamkan bagi mu bagi setiap kali ucapan satu pokok di dalam syurga!”

(Diilustrasikan daripada hadis riwayat Ibnu Majah, Bab Kelebihan Tasbih)

Ini hanyalah secebis kisah daripada kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w. dengan para Sahabat Baginda. Kehidupan yang begitu diberkati. Kehidupan yang telah menyebabkan Allah S.W.T. tidak sabar-sabar untuk isytiharkan keredaan-Nya kepada mereka. Ketikamana hamba-hamba Allah yang lain perlu menunggu pengisyitiharan reda Allah hanya setelah memasuki syurga, namun bagi para Sahabat mereka telah diisytiharkan keredaan Allah Taala kepada mereka semasa mereka masih hidup di atas muka bumi ini lagi.

Daripada peristiwa ringkas ini, jelas terbayang kepada kita, beberapa perkara:

1. Rasulullah s.a.w. mempunyai satu pendekatan yang istimewa dalam mentarbiah para Sahabat Baginda. Tarbiah yang amat sederhana, tetapi mempunyai kesan yang amat mendalam dalam pembentukan hati dan fikir para Sahabat r.anhum.

2. Lihatlah, Rasulullah s.a.w. dalam satu kesempatan yang tiba-tiba, melalui perbualan yang singkat, telah mengalihkan perhatian Abu Hurairah daripada keterujaan kepada pokok yang sedang ditanamnya, kepada keterujaan kepada akhirat; daripada tawajuh kepada nilai benda kepada nilai amal; daripada tarikan apa yang diusahakan kepada keyakinan jitu terhadap janji-janji Allah!

3. Pentarbiahan ini berlaku secara alami. Ini menunjukkan betapa perbualan-perbualan sebegini adalah satu lumrah dan kelaziman dalam kehidupan Rasulullah s.aw. dan para Sahabat r.anhum. Tarbiah ini bukan sahaja di dalam masjid, bahkan telah menjadi amalan yang menjalar segar di dalam darah dan urat nadi mereka. Ini dibuktikan oleh ratusan riwayat yang boleh dirujuk oleh himpunan kitab-kitab hadis yang ada.

Inilah yang dikatakan sebagai ‘fadhail a’maal’ ( فضائل الأعمال ) iaitu satu manhaj rabbani lagi nabawi yang membawa hati dan minda seseorang Muslim Mu’min itu kepada nilai sesuatu perkara di sisi Allah Taala. Satu pendekatan yang mendidik seseorang itu agar hatinya hidup untuk peka dengan Allah dan apa yang Allah suka. Fadhail A’maal ini konsep asasnya ialah pengislahan melalui kaedah Tabsyir ( تبشير ) dan Inzar ( إنذار ).

Imam An-Nasafi menyatakan Tabsyir ialah memberitahu berita gembira dengan adanya balasan nikmat di dunia dan di akhirat sebagai ganjaran kepada semua perbuatan baik yang dikerjakan di dunia ini. Manakala Inzar pula ialah bermaksud menakutkan seseorang dengan memberitahunya balasan azab yang akan menimpanya di dunia dan akhirat kerana melakukan dosa.

Inilah caranya Allah Taala mengislahkan hamba-hamba-Nya yang menjadi sunnah para rasul-Nya. Allah S.W.T. berfirman:

“Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.” (Al-An’am 6:48)

Dengan penuh keyakinan dengan kaedah yang telah dipilih sendiri oleh Allah, Zat Yang Maha Tahu tentang penciptaan dan kaedah yang terbaik untuk manusia, marilah kita kembali suburkan pendekatan Fadhail A’maal ini dalam kehidupan kita!

---
Majalah SOLUSI pada hemat saya satu majalah yang amat baik sebagai nota peringatan untuk kita. Dalam SOLUSI juga ada ruangan Soal Jawab Fiqh (masail) yang dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Syed Mohd Fadzli Al-Yamani.

Wednesday, August 5, 2009

Artikel untuk SOLUSI Bil. 10

Alhamdulillah, artikel saya untuk kolum bulanan di Majalah SOLUSI selamat diterbitkan di dalam Majalah SOLUSI Bil. 10. Letaknya di muka surat 65. Inilah artikelnya:

Wajah mereka tenang. Biarpun bentuk fizikal mereka berlainan, pakaian mereka berbeza dan darah keturunan mereka pelbagai; namun cahaya wajah mereka adalah seakan-akan sama.

Hari ini mereka sama-sama mendengar sabdaan suci Rasulullah s.a.w. dengan penuh khusyuk. Setiap patah perkataan yang terlontar dari mulut Nabi s.a.w. yang Mubarak disambut dengan penuh takzim oleh hati mereka. Nampaknya, hari ini Rasulullah s.a.w bercerita sesuatu tentang syurga dan ahlinya.

Muaz bin Jabal r.a. terpegun apabila mendengar Baginda Nabi s.a.w menjelaskan, “Tidak sesekali ahli syurga akan merasai rasa kesal, melainkan (tatkala mereka teringat) pada saat-saat dalam kehidupan dunia mereka yang telah berlalu tanpa mereka berzikir kepada Allah Taala!”

Hadrat ‘Aisyah r.anha dan Abu Hurairah r.a juga terkesan sama dengan perkhabaran ini.

(Ilustrasi daripada hadis yang diriwayatkan oleh At-Tobrani, dan Al-Baihaqi daripada Muaz bin Jabal r.a. Ibnu Abid-Dunya daripada ‘Aisyah r.anha, demikian juga daripada Abu Hurairah r.a. Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan Al-Hakim turut meriwayatkannya)

Riwayat di atas, menjelaskan tentang fadilat zikrullah atau berzikir kepada Allah. Betapa besar fadilatnya, hingga ahli syurga yang telah bersenang lenang menikmati kemewahan syurga pun masih timbul rasa kesal mereka mengingatkan sela-sela masa mereka di dunia, yang mereka telah tidak penuhinya dengan zikrullah.

‘Fadhail’ sebenarnya ialah bentuk kata jamak kepada perkataan Arab ‘fadhilat’ ( فضيلة ). Perkataan ini telah dimasukkan dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu dengan ejaan ‘fadilat’. Kamus Dewan menyatakan ‘fadilat’ ertinya kemulian, ketinggian, kelebihan (dalam beribadah).

Al-Quran sendiri dipenuhi dengan ayat-ayat yang menyentuh tentang fadilat sesuatu perkara. Begitu juga dengan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Fadilat ini boleh merujuk kepada ganjaran dan pahala ( الأجر و الثواب ) mauhupun kesan ( التأثير ) kepada sesuatu amalan atau perkara.

Ada ayat Al-Quran yang Allah Taala turunkan menyentuh tentang fadilat Iman dan Amal secara umum, contohnya firman Allah Taala:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah). Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.” (Al-Kahfi 18: 107-108)

Di dalam Tafsir Adhwa-ul-Bayan dinyatakan, bahawa di dalam ayat ini Allah Taala menyatakan bahawa Iman dan Amal Soleh itu adalah sebab kepada sampainya seseorang itu ke syurga-syurga Firdaus yang disediakan oleh Allah kepada hamba-Nya. Ini jelas menunjukkan bahawa fadilat kepada Iman dan Amal Soleh yang diterima oleh Allah ialah dapat memasuki syurga Allah.

Pada tempat yang lain pula, Allah Taala memberitahu kita fadilat seseorang yang istiqamah membesar-agungkan Allah, menyeru manusia kepada Allah (da’wah ilalLah) dan teguh mempertahankan seruan dan percakapannya:

“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas perbicaraan mereka itu, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. "Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. "(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!". Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru(mendakwahkan) kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Fussilat 41: 30-33)

Bagi orang-orang ini, berhaklah kepada mereka fadilat yang besar di sisi Allah (ringkasan daripada tafsir Fi Zilalil-Quran):
1. Persahabatan dengan para malaikat;
2. Kesetiaan dan kasih sayang malaikat kepada mereka;
3. Jaminan ketenangan hati;
4. Pengurniaan Jannah untuk mereka; dan
5. Dakwah ialah perbicaraan yang terbaik di atas muka bumi ini.

Sesungguhnya fadilat dan tabsyir yang sebeginilah yang telah membentuk keimanan dan misi peribadi Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat Baginda!

Tuesday, August 4, 2009

Pengalaman Ustaz Hambali...

Semalam ingatkan mahu masukkan posting baru. Namun Allah belum izinkan, hambatan kerja-kerja pejabat dan keadaan tiga orang anak saya yang demam menghadkan kelapangan yang ada. Bagaimanapun, bila terlihat posting baru oleh Ustaz Hambali, melalui blog Al-Alorstari beliau, saya merasakan amat elok jika dapat diabadikan dalam blog saya ini dan seterusnya dikongsi-kongsikan.

Apa yang Ust. Hambali kongsikan merupakan setitis daripada lautan pengalaman yang beliau ada. Kita biasa baca, dengar dan pelajari daripada Sirah Rasulullah s.a.w, bagaimana baginda dengan berseorangan diri telah bangun menghadapi ummah di sekitar baginda. Ummah yang dikenali sebagai kaum jahiliyyah, hingga dua kuasa besar ketika itu iaitu Rom dan Parsi, tidak tergiur pun untuk menakluk mereka. Mereka dibiarkan, perbatasan dikawal rapi. Akhirnya, Rasulullah s.a.w. telah 'terjun dan berenang' ke dalam lautan manusia ini, membawa Risalah dan Kalimah Allah. Setiap lorong disusuri, setiap pintu diketuk, bahkan di pasar-pasar seruan dilaungkan, "Ya ayyuhan-nas, quluu laa ilaah illalLah, tuflihuu." (Wahai manusia, ucaplah Laa ilaaha illalLah, kamu akan berjaya!)

Allah merakamkan gambaran betapa Rasulullah s.a.w. dengan penuh pengorbanan, kasih sayang dan tanpa jemu telah mengharungi lautan manusia ini:

"(Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya; Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadaNya dengan sebulat-bulat tumpuan." (Al-Muzammil 73: 5-8)
Al-Qurtubi mengatakan, perkataan 'سبحا ' ini asalnya berkaitan dengan pergerakan seperti berenang. Pada siang hari, sibuk dengan 'renangan' mengharungi lautan manusia, maka pada malam hari baginda diperintah untuk bersunyi-sunyi diri dengan Pencipta seluruh manusia. Pada siang hari sibuk dengan usaha membawa manusia kepada Allah (amalan dakwah ilalLah), maka pada malam hari sibuk pula bermunajat kepada Allah, memujuk rayu Allah agar memberikan hidayah kepada hamba-hambaNya.

Bagi saya, apa yang ditulis oleh Ust. Hambali adalah satu perkongsian ilmu dan pengalaman yang membuatkan kita benar-benar dapat membayangkan, inilah gambarannya apa yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat dahulu. Tentulah tidak layak dibandingkan secara total, tetapi adalah sangat lebih baik daripada sekadar membaca dan membincangkan kisah-kisah sebegini daripada kitab-kitab sirah, sehingga kadang-kadang kita seolah-olah telah membuat kesimpulan, "Oh.. ini kisah usaha Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda saja... bukan untuk kita usahakan.. hanya untuk dibaca, diceramah, diforum dan dan wacanakan saja..."

Semoga apa yang Ust. Hambali kongsikan ini, memberikan banyak manfaat kepada kita. Semoga taufik Allah sentiasa bersama kita!

Tulisan ini saya 'cut and paste' daripada blog beliau tanpa sebarang perubahan.

Allah Kun Samak, Makhluk Mai Kun Samak.

"Kon Sawadei? Ban Yu Nai? Ma ki kon? Phom kea Ok Dakwah Si sip wan. Kea ok Phang Nga, Cun Pon, Ranong. We la ni dai put Thai nit noy."

Kata-kata tu aku ucapkan kepada jemaah 40 hari dari Pataya Thailand yang datang kat Marhalah aku beberapa hari yang lalu. Semua ahli jemaah tersebut 7 orang termasuk seorang dari Washington D.C. Di dalam jemaah tu hanya seorang sahaja yang boleh berbahasa Melayu.Ianya seorang ustaz yang pernah belajar di Patani dan Yala. Bergaul mesra serta nusrah penuh dengan jemaah ini mengimbau kembali pengalaman pertama aku ketika keluar di Thailand kira-kira 26 tahun yang lalu.

Pada tahun 1983 aku dan beberapa orang teman diputuskan keluar di Thailand. Kami bertolak dari masjid India ke Thailand melalui Kelantan. Sampai di Markaz Yala, kami berada sekitar tiga hari untuk program ijtimak zon selatan, Thailand. Selepas tiga hari ijtimak, aku , Hasnan (syura Kelantan) dan Abd.Rahman dalam satu jemaah dengan beberapa orang Thailand diputuskan keluar di kawasan Phang Nga Bay, Ranong dan sekitarnya. Seingat aku ahli jemaah kami sekitar 13 orang dan amir jemaah adalah Hasnan. Kami bertolak dengan menaiki pick-up yang biasa di gunakan oleh orang Thailand selepas waktu Asar. Bayangkan 13 orang kami bersesak menaiki pick-up berkenaan di tambah lagi dengan beg-beg serta dua orang Rahaba. Kami sampai di Ranong besok malamnya selepas bermalam satu malam di Hatdyai.

Disebabkan bahasa menjadi sedikit masaalah, maka aku membuat keputusan untuk mempelajari sedikit sebanyak Bahasa Thailand. Alhamdulillah aku dapat berbual dalam bahasa Thailand dan kekadang aku diputuskan menjadi mutakalim dan beri iklan di dalam Bahasa Thaland. Setakat ini belum boleh terjemah. Masih banyak yang kena aku pelajari.

Usaha di Thailand ketika itu terlalu baru, hampir semua tempat yang kami masuk adalah tempat yang pertama kali kedatangan jemaah. Sambutan teramat bagus dari orang-orang tempatan miski pun bahasa menjadi masaalah kepada kami. Bayan dalam Bahasa Melayu dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Thailand. Setiap program pasti akan dipenuhi dengan jemaah. Selain orang-orang Islam berketurunan Melayu kami juga juga berjaya mengumpulkan orang Islam yang berketurunan Pakistan dan India tetapi amat sedikit dan kebayakannya telah berkahwin dengan wanita tempatan. Selain itu seorang lanun dari Phanga Bay serta berpuloh yang lain yang dapat dikeluarkan di Jalan Allah. Phnga Bay sememangnya pusat lanun ketika itu yang sering merompak bot dagang di Selat Melaka.

Perkara yang agak mengejutkan kami yang biasanya di Malaysia kita meletakan kunci di hadapan sewaktu bersolat tetapi di Thailand mereka meletakan pistol di hadapan sewaktu bersolat. Bukan semua ahli masjid berbuat demikian hanya sesetengah masjid sahaja. Bagi kami orang Malaysia ianya satu perkara yang tak pernah kami lihat.

Route terakhir kami adalah di satu pulau yang perjalanan dengan bot laju memakan masa 4 jam. Ianya melalui lagoon yang berbatu. Pulau berkenaan dikenali sebagai pulau Kok Singhai yang berdekatan dengan TanahBesar Burma dan amat mengejutkan kami sesampai sahaja kami di sana kami disambut dengan Loghat Utara (Kedah/P.Pinang). Kesemua penduduk dipulau itu adalah berasal dari Utara Malaysia. Mengikut cerita orang tua penduduk tempatan, bapa dan datok mereka sememangnya orang Malaysia yang melarikan diri ketika berlaku pencerobohan Tentera Jepun Ke Malaya. Kebanyakan mereka berasal dari Kuala Sala, Kuala Kedah, Kuala Perlis, Pulau Pinang serta Pulau Langkawi. Disebabkan aku orang Kuala Kedah maka aku menjadi perhatian penduduk tempatan. Masing-masing akan membawa aku pulang ke rumah. Selama tiga hari berpuloh-puloh rumah yang telah aku ziarahi sehingga mereka mencalunkan aku untuk berkahwin dengan wanita tempatan. Tu le yang paling aku seram waktu itu. Tiga orang kami orang Malaysia aku le yang paling muda serta cukup rapat dengan mereka berlebih lagi dengan pertuturan loghat Kedah yang aku ucapkan. Malah aku merasakan seolah-olah buat usaha di satu tempat di Kedah. Ketika berpisah dengan penduduk pulau berkenaan adalah saat-saat yang paling menyedihkan. Ramai yang datang menghatar kami sehingga ke jeti bot serta berpelukan dengan menangis-nangis. Malah ada diatara mereka yang menghatar kami sehingga ke Bandar Ranong.

Selepas itu Hasnan dan Abd.Rahman pulang ke Malaysia. Aku pula mengikuti rombongan orang-orang Ranong ke Ijtimak Maesod di Utara Thailand bersempadan dengan Burma.

Setelah pulang ke Malaysia, aku menceritakan pengalaman aku di sana kepada emak dan arwah datok aku. Mereka terkejut dengan cerita aku serta datok aku mengiakan cerita orang-orang Pulau Kok Singhai itu. “Mamang ada orang Kuala Kedah, Kuala Sala ,Pantai Merdeka yang ke sana”, katanya kepada aku.

Setelah 10 tahun berlalu pihak Kerajaan Malaysia telah membawa pulang sebahagian orang Melayu di sana ke penempatan di Bukit Malut, Pulau Langkawi serta sebahagian besar mereka menjadi warga Malaysia.

Hari ini (mengikut laporan jemaah Thailand) usaha Tabligh di kawsan berkenaan begitu maju. Usaha masturatnya juga begitu maju serta banyak jemaah yang dapat dikeluarkan.

Wallahu’alam.

“Kon ka phom yu nai Kalimah liu kan pie kan. Allah kun samak makhluk mai kun samak. Lang namat Maghrib mie Banyai sesena Islam dai pai Masjid prom-prom. Insyaallah.”
Makna dia : “ Awak dan saya berada di dalam kalimah yang sama. Jadi kita bersaudara. Allah berkuasa namun makhluk tidak ada kuasa. Selapas solat Maghrib ada ceriat agama (Islam). Boleh datang masjid sama-sama. Insyaallah.”

P/s : Cerita di atas menambah ransangan untuk aku keluar kembali ke Thailand. Doakan untuk aku dan ahlia aku yang bercadang keluar masturat ujong tahun ini 40H Insyaallah ke Thailand.
Blog Widget by LinkWithin