Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Friday, March 4, 2011

Rabiulawal 1432H (3)

Alhamdulillah, pagi ini dapat memenuhi jadual kuliah subuh bulanan di Surau al-Muhajirin, Presint 9. Sudah agak lama terhenti kerana sering bertembung dengan komitmen lain yang menyebabkan terpaksa berada di luar Putrajaya.

Hari ini hadith yang dimuzakarahkan dipetik daripada kitab Hayatus-Sahabah Juzuk ke-3. Sememangnya kitab ini adalah kitab teks untuk kuliah subuh di beberapa buah surau di sini. Esok juga ada kuliah subuh di Surau al-Furqan, Presint 11 menggunakan kitab yang sama, insya Allah. Hadith pilihan kuliah subuh tadi mafhumnya sepertimana yang berikut:


Dan dikeluarkan oleh al-Bazzaar bersumber daripada 'Aisyah r.ha., katanya:

Tatkala daku lihat Rasulullah s.a.w. itu elok keadaan diri baginda, lalu aku berkata, "Ya Rasulullah s.a.w.! Berdoalah kepada Allah untuk (kebaikan) saya!"

Lalu baginda terus berdoa,
"Ya Allah, ampunkanlah bagi 'Aisyah segala dosanya yang lalu dan dosanya yang akan datang, dosanya yang tersembunyi mahupun yang nyata."

Lalu ketawalah 'Aisyah r.ha. dengan bersangatan (gembiranya) sehingga tertunduk-tunduk kepalanya disebabkan ketawa itu.

Maka Rasulullah s.a.w., "
Adakah doaku itu membuatkan engkau gembira?"

Jawab 'Aisyah r.ha.,
" Masakan doa mu itu tidak menggembirakan saya?"

Maka bersabda Rasulullah s.a.w.,
"Demi Allah! Sesungguhnya itulah doaku kepada umat ku di dalam setiap solat ku."

[al-Haithami berkata: Periwayat-periwayat hadith ini adalah periwayat yang boleh diterima melainkan Ahmad bin Mansur ar-Ramaadiy yang merupakan seorang yang bertaraf thiqah (amat dipercayai)]


Lihatlah dengan dada yang lapang dan hati yang penuh cinta. Betapa dalamnya kasih sayang Rasulullah s.a.w. kepada umat baginda. Begitu sekali kasihnya baginda, sehingga dalam munajat solat baginda, dengan penuh rahmat, Rasulullah s.a.w. mendoakan keampunan untuk kita semua. Nyata sekali, kasih kepada kita sentiasa tersemat di hati baginda.

Jika kita benar-benar menyayangi seseorang, sudah tentu kita akan sentiasa teringat orang itu. Ingatan ini akan mendorong kita untuk sentiasa mengharapkan dan mendoakan kebaikan kepadanya. Rasulullah s.a.w. ketika melihat begitu gembira dan girangnya Saiyidatina 'Aisyah r.ha. kerana mendapat doa yang sedemikian, walaupun hanya untuk seklai doa sahaja; terus baginda menyatakan, bahawa doa yang sama itulah yang menjadi kelaziman Rasulullah s.a..w untuk berdoa kepada umat baginda. Bukan hanya sekali, bahkan berkali-kali dalam sehari.

Oleh yang demikian, cuba kita bertanya kepada lubuk hati sanubari kita, sejauhmanakah kita menghargai cinta Rasulullah s.a.w. ini? Sejauhmanakah kita bersungguh-sungguh untuk membalasnya? benarkah saban tahun kita mengadakan sambutan Maulidur Rasul sebagai tanda cinta, atau sebenarnya kita hanya meraikan nafsu kita? Sehingga kita semakin lupa dengan tujuan para ulama menganjurkannya.

Cerita cinta ini tidak pernah berakhir. Walaupun Rasulullah s.a.w. telah wafat, tetapi harum dan sinar cinta baginda sentiasa bersama umat ini. Selawat dan salam kita tetap disampaikan kepada baginda di alam sana. Amalan kita dibentangkan kepada baginda dan doa baginda sentiasa bersama kita.

Sedarkan hati kita berkenaan ikatan ini, dan marilah kita usahakan agar kehidupan kita menjadi semirip mungkin dengan kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w.!
Blog Widget by LinkWithin