Alhamdulillah, artikel untuk Majalah Solusi dapat diterbitkan lagi. Saya letakkan di sini artikel asal daripada laptop saya. Semoga ada manfaatnya.
Hidup ini ialah ujian. Bukan sahaja hidup, bahkan mati juga adalah satu ujian. Mudah cerita, apa sahaja antara hidup dan mati ini ialah ujian. Tempoh antara hidup dan mati ini ialah satu medan ujian, di mana kita diuji tentang sejauhmana tindak-tanduk kita semasa hidup sebelum mati ini.
Allah s.w.t. sendiri menyatakan dengan tegas berkenaan hal ini melalui firman-Nya:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” (Surah al-Mulk 67: 2)
Ayat ini dengan jelas menegaskan bahawa ‘hidup’ dan ‘mati’ itu sendiri adalah satu perkara yang diciptakan, ini bermakna bahawa kedua-duanya juga adalah makhluk daripada makhluk-makhluk ciptaan Allah.
Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menyatakan, ayat ini menjadi dalil bahawa kematian itu adalah ‘amrun wujudiyyun’ (perkara yang benar-benar wujud zatnya) kerana mati itu sendiri adalah makhluk. Beliau seterusnya menyimpulkan, ayat ini memberi makna bahawa Allah telah ciptakan manusia daripada tiada kepada ada untuk menguji mereka, siapakah yang paling elok amal perbuatannya. Imam al-Qurtubi berkata, manusia ini diciptakan untuk mati dan hidup; yakni untuk mati di dunia ini dan untuk hidup di akhirat nanti. Beliau juga menyatakan, antara yang diuji ke atas manusia itu adalah dari segi sabar dan syukurnya.
Apabila kita menyedari hakikat ini, maka kita akan dapat menghadapi realiti kehidupan dengan tenang dan penuh keimanan. Kita pasti akan diuji. Sakit ujian, sihat juga ujian. Ada harta ujian, tiada harta ujian. Semuanya adalah ujian. Cuma bezanya, apabila perkara yang diuji itu bersesuaian dengan nafsu dan keinginan kita, maka kita tidak rasa perkara tersebut ialah ujian. Apabila diuji dengan perkara yang kita tidak suka, barulah kita merasa bahawa perkara tersebut adalah satu ujian.
Di antara bentuk ujian yang akan dihadapi oleh manusia ialah berhadapan dengan kesusahan, bencana dan musibah. Maka di sini, kesabaran dan sejauhmana redhanya manusia dengan ketentuan Allah s.w.t akan teruji. Antara ujiannya juga ialah apakah tindakan yang mereka ambil dalam menghadapi dan menyelesaikan ujian tersebut.
Guru saya telah meriwayatkan dengan sanad yang berantaian hingga kepada Imam al-Hakim yang telah meriwayatkan:
Telah mengkhabarkan kepada kami Abu Abdillah as-Soffaar, telah meriwayatkan kepada kami Ibnu Abid-Dunya, telah menceritakan kepada ku 'Ubaid bin Muhammad, telah meriwayatkan kepada kami Muhammad bin Muhajir al-Qurasyi, telah menceritakan kepada ku Ibrahim bin Muhammad bin Sa'd, daripada bapanya, daripada datuknya, dia berkata:
"Kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w., tiba-tiba baginda bersabda, "Hendakkah daku khabarkan kepada kamu dengan satu perkara, yang jika seseorang ditimpa kesusahan atau bencana daripada bencana dunia, lalu dia berdoa dengannya, akan dilepaskan daripada kesusahan tersebut?"
Lalu dijawab kepada baginda s.a.w.,"Bahkan!"
Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Itulah dia doa Zin-Nuun (Nabi Yunus a.s.):
لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
(Tiada tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku ini terdiri daripada orang-orang yang menzalimi diri)
Melalui hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Hakim ini, kita dapat lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. telah mendidik para sahabat bagi menghadapi musibah dan kesusahan hidup. Di sini, Rasulullah s.a.w. mengajarkan bahawa antara fadhilat tasbih Nabi Yunus a.s. semasa di dalam perut ikan Nun itu ialah mampu membawa penyelesaian yang holistik kepada sebarang musibah.
Pertama, melalui tasbih dan doa Nabi Yunus a.s. ini, keimanan kepada Allah telah dimantapkan. Kalimah tauhid yang menafikan sebarang zat mahupun kuasa, baik di langit mahupun di bumi, atau yang ada antara keduanya yang layak untuk disandarkan harapan dan ditujukan permohonan, selain Allah. Dan Allah itu bersifat Maha Suci daripada sebarang kekurangan dan kelemahan. Kudrat dan iradat Allah adalah mutlak. Sebagaimana Allah yang berkuasa menghidupkan Nabi Yunus a.s. tanpa makanan, minuman dan udara di dalam perut ikan; maka Allah juga Maha Berkuasa menyelesaikan dan menyelamatkan kita daripada sebarang kesusahan dan musibah hidup.
Kedua, ditanamkan melalui doa ini sikap seorang hamba yang tawaduk serta benar-benar beriman dengan ketentuan Allah. Sikap yang sering bermuhasabah segala kelemahan dan kekurangan diri. Disebabkan kelemahan, kelalaian dan kealpaan ini menyebabkan kita sering terjerumus dalam kesilapan dan menzalimi diri kita sendiri.
Ketiga, apabila kita dapat mengamalkan dengan penuh keimanan seperti saranan Rasulullah s.a.w. ini, bukan sahaja hati kita dididik dengan kemurnian iman-yakin kepada Allah dan Rasul-Nya; bahkan sebagaimana janji Rasulullah s.a.w. di dalam hadis ini, kita akan diselamatkan serta diberikan jalan penyelesaian daripada kesusahan dan bencana yang menimpa.
Semua ini dapat diperolehi dengan cara yang begitu sederhana, tidak memerlukan tenaga yang banyak, masa yang lama mahupun harta yang bertimbun; cukup hanya dengan penuh keimanan kita perbanyakkan dengan doa dan mewiridkan doa dan tasbih Nabi Yunus a.s. ini.
Mudah bukan?