KoWahida2u.Com

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

Saturday, July 4, 2009

Kunjungan Tuan Guru Haji Saleh Penanti ke Putrajaya

Semalam, dengan rahmat Allah Taala, Putrajaya telah diberkati dengan kehadiran Tuan Guru Hj Saleh Penanti Muhajir Makki ke Surau Al-Mizan, Presint 8. Tuan Guru Hj Saleh merupakan anakanda kepada Syeikh Uthman Jalaluddin Penanti bin Muhammad bin Abdus Shamad al-Kalantani, Pengasas kepada Pondok Pengajian Manabi'ul 'Ulum Penanti, Seberang Prai.

Berkenaan Syeikh Uthman Jalaluddin ini boleh dilihat ketokohan ilmunya melalui tulisan Almarhum Ust Wan Mohd Saghir Abdullah di blog Ulama Nusantara ( http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/syeikh-uthman-jalaluddin-penanti.html ).

Tuan Guru Haji Saleh sekarang ini telah berhijrah dan bermukim di Kota Suci Makkah. Baru tiga hari tiba di tanahair, Tuan Guru telah sudi untuk berkunjung ke Putrajaya. Kepulangan Tuan Guru selama dua bulan ke tanahair sebelum berangkat kembali ke Makkah antara tujuan utamanya ialah untuk menghadiri Ijtimak Umat Islam Seluruh Malaysia yang akan berlangsung pada 9 - 12 Julai 2009. Tapak Ijtimak ialah di sebelah Kuarters KLIA Sepang-Nilai. Ijtimak ini dijangka akan dihadiri oleh lebih kurang 100,000 umat Islam, insya Allah.

Selepas solat Asar, Tuan Guru telah dijemput untuk memberikan sedikit nasihat kepada jemaah solat yang ada. Antara kata nasihat Tuan Guru yang dapat saya nukilkan daripada rakaman melalui handphone saya:

"Manusia mempunyai empat jenis masa:

  1. Masa taat
  2. Masa maksiat
  3. Masa sihat
  4. Masa bala' (musibah)
Semasa dalam taat, maka hendaklah dia nafikan bahawa taat itu sebab kelebihan dirinya, tetapi hanya semata-mata limpah taufik nikmat daripada Allah.

Semasa jatuh dalam maksiat, maka kena banyak istighfar.

Semasa sihat, kena syukur.

Semasa bala', kena sabar. Sabar adalah kepala iman. Al-Huzn (terlalu berduka lara) adalah musuh orang Islam."
Seterusnya Tuan Guru telah menyimpulkan nasihat beliau dengan sentuhan ringkas terhadap tafsir Surah Al-'Asr.
"Allah sendiri bersumpah dengan 'masa'
bahawa semua manusia sama ada kaya atau miskin, raja atau hamba....
semuanya dalam kerugian. Rugi! Rugi! Rugi!

Kecuali, orang yang ada iman!

Tapi iman sahaja 'tak cukup, kena ada amal soleh.

Ada dua 'tu sahaja 'tak cukup, kena pula tawasau-bil-haq (berpesan-pesan dengan perkara yang haq). Tawasau-bil-haq inilah kerja dakwah.

Ada tiga 'tu juga masih rugi, kena pula tawasau-bis-sabr (berpesan-pesan dengan kesabaran). Sabar ialah kepala iman.

Ada keempat-empat 'ni, barulah tidak rugi!"
Tuan Guru menutup nasihat beliau dengan doa ringkas.

Banyak yang saya dapat pelajari daripada Tuan Guru. Semoga Allah memanjangkan usia dan menyebarluaskan manfaat Tuan Guru kepada seluruh ummah. Semoga Allah juga memberi taufik untuk saya amalkan segala nasihat yang diberikan oleh Tuan Guru.

Oh Allah, kasihanilah kami!

Wednesday, July 1, 2009

Kolum sulung saya dalam Majalah SOLUSI



Alhamdulillah, dengan limpah ihsan-Nya, kolum sulung saya dalam Majalah SOLUSI telah diterbitkan dalam SOLUSI bilangan 9 (Julai 09). Kolum yang dipertanggungjawabkan kepada saya bertajuk: "Fadhail A'mal". Insya Allah, artikel melalui kolum FA ini akan berterusan pada keluaran-keluaran yang akan datang. Semoga ada manfaatnya, terutama untuk saya yang amat faqir ini.

Thursday, June 18, 2009

Gigi Itmi'nan...

Hari ‘ni tiba-tiba tergerak hati ‘nak load gambar Itmi’nan dalam blog ‘ni. Umur ’dah masuk 10 dekat 11 bulan. Dialah yang jadi buah hati kami. Ummi dia ’tak payah ceritalah. Abang-abang dia pun bukan main lagi dengan adik perempuan mereka. Ubaid yang umur 3 tahun pun bukan kemain sayang ’kat adik dia. Walaupun masa ’kat rumah, banyak menyakat daripada menjaga adik dia, tapi bila ada orang lain dukung Itmi’nan ’tak senang duduk dia.

"Ambik la mi’nan tu.. ambik la..!", risau dia takut orang ambil adik dia.


Kurang sebulan lepas, sibuk betul dengan gigi Itmi’nan yang baru tumbuh. Sebatang saja pun. Mula tu risau juga kami bila gigi ’tak tumbuh-tumbuh. ’Dah masuk 10 bulan, gigi ’tak tumbuh-tumbuh juga.

Bila rujuk ’kat adik saya Dr. Zeti Adura, pakar gigi di HUM, dia kata,
"Don’t worry... biasa jer tu.. kes biasa jer!"

’Dah pakar gigi kata macam ’tu, kami pun kira redhalah. Kesian juga tengok Itmi’nan, semua makanan orang lain dia ’nak makan sama. Gigi ’tak ada! Selera besar!

Bila direnungkan cerita gigi Itmi’nan ’ni, saya terfikir, betapa besar Kuasa dan Kebijaksanaan Allah Taala. Gigi ’tu entah dari mana datangnya? Tiba-tiba tumbuh saja daripada gusi. Padahal kalau dibelah gusi ’tu, bukan ada pun giginya. Maha Hebat Allah!

"Semuanya daripada khazanah Allah!", saya teringat satu ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz.

Betullah, semuanya daripada khazanah Allah. Daripada gusi yang gondol, akhirnya Allah ’belah’ gusi ’tu dan keluarkan gigi. Satu titis darah pun ’tak mengalir daripada gusi yang ’terbelah’ ’tu. Dan tidak perlu campur tangan daripada sesiapa pun, hatta si ibu kepada anak kecil tadi. Allah yang uruskan.

Daripada tiada kepada tumbuh sikit. Kemudian semakin banyak. Semakin panjang pertumbuhan gigi ’tu. Sampai satu ketika, dengan Kebijaksanaan Allah Taala, gigi ’tu akan berhenti tumbuh. Bayangkan... kalaulah gigi ’tu tumbuh macam kuku kita tumbuh!

"Tak ke huru hara jadinya? Kita kena cipta pemotong gigi la pulak..."

Kemudian kita dapati, gigi ’ni bukan satu corak saja. Bukan satu bentuk dan jenis saja. Dan tanpa si ibu atau si bapa risaukan, Allah tumbuhkan gigi-gigi yang bermacam-macam jenis itu dengan elok dan sistematik sekali. Gigi geraham, gigi kacip, gigi taring semuanya tumbuh pada tempatnya masing-masing. Allah Taala telah programkan segalanya dengan teratur. Maha Besar Allah lagi sempurna Kudrat dan Iradat-Nya!

Dialah Allah...
Laa ilaaha illalLah!