Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, May 20, 2010

''I want to be a Sahabi''

Merujuk kembali 'entry' tentang Majlis Ta'lim di Rumah dalam blog saya ini, saya tertarik dengan satu 'post' oleh Sdr Amirhailmi dalam blog beliau. Saya nukilkan di sini tanpa apa-apa pindaan kepada artikel beliau.

Ambilan asal URL: http://bicarajariku.blogspot.com/2010/04/saya-nak-jadi-sahabi.html


Alhamdulillah.. petang2 yang mendung ni, ambo teringat nak kongsi satu cerita. Jadi sebelum lupa, baik taip cepat2 sebelum otak ambo ni jadi mendung macam langit kat Rathmines ni. Dua tiga hari ni langit kat sini (mungkin seluruh Ireland ni macam tu jgk) di selaputi awan gelap, member2 kat rumah ni mengandaikan mungkin sebab letusan gunung berapi kat Iceland, yang jauhnya lebih kurang dua jam naik kapal yang boleh terbang dari Ireland, wallahuallam... Ops, kembali kepada cerita yang nak di kongsi.

Hujung bulan Februari yang lepas, ambo berpeluang menyertakan diri dalam johr(perhimpunan kecik) untuk Ireland selatan yang di adakan kat Tralee. Johr ni untuk bro2 yang berada di kawasan Killarney, Killkeny, Cork, Galway dan area2 yang sama waktu dengannya.. Alhamdulillah, penuh jugak la surau tu, sampai ada yang kena tido kat laluan nak ke tandas. Antara program ter'include' dalam johr kali ni ialah mesyuarat untuk seluruh Ireland. Jadi bro2 dari utara, timur dan barat Ireland ni turut menghadirkan diri, utk bermesyuarat hal ehwal usaha dakwah di Ireland ni.

Lepas Zohor hari pertama johr, ada la sikit sesi taghrib untuk usaha masturat dan taklim kat rumah. Lepas Maulana Musa bagi ceramah sikit pasal satu hati antara orang islam, Dr. Ijaz bagi sikit taghrib pasal ta'lim rumah. Ada satu cerita yang dia bagitau yang ambo tak akan lupa (insyaAllah sampai ada anak, hehehe). Citenye macam ni.... bersambung ke perenggan baru...

Cite ni berlaku kat UK (United Kingdom, bukan Ulu Klang atau Ulu Kelantan). Satu hari, seorang cikgu sekolah rendah tanya anak2 murid dia pasal cita2 masing2. Biasalah, ni soklan biasa yang diajukan kepada anak2 sekolah rendah yang umur mereka dalam 7-8 tahun. Jadi sorang2 bangun la bagitau cita2 masing2. Yang tu nak jadi doktor, yang ni nak jadi jurutera, yang nun nak jadi lawyer, yang nin nak jadi pilot dan macam2 lagi. Pendek kata sumenya nak jadi professional2 yang di anggap glamor dan berstatus tinggi dalam masyarakat. Tiba2... tiba giliran seorang budak ni. Dia bangun, dan bagitau, ''I want to be a Sahabi''(Saya nak jadi Sahabat).

Apa lagi, terkejut la cikgu tu. Tak pernah di dengarnya sorang budak nak jadi sesuatu yang di gelar 'sahabi'. Dia pun tak tahu apa ke benda pekerjaannya sebagai 'sahabi'. Jadi, apa yang cikgu ni buat?? Cikgu tu (seorang perempuan) telefon mak budak tu dan ceritakan apa yang dah berlaku. Untuk menjelaskan dengan lebih lanjut tentang apa yang dah berlaku pada anak beliau, mak budak tu jemput la cikgu tu datang ke rumah. Mak budak tu ceritalah siapa tu sahabi. Dia jugak bagitau, setiap hari, dia akan bacakan kisah2 sahabat kepada anaknya tu. Setiap kali habis dengar cerita, anaknya akan cakap, 'Mum, I want to be a Sahabi'. Cikgu tu makin berminat, dan dia mula bertanya pasal islam pada ibu budak berkenaan. Semenjak hari tu, sering berlaku perbincangan pasal islam antara cikgu dan ibu budak yang nak jadi sahabi tu. Akhirnya, cikgu tu memeluk agama islam...

Apa motifnya cite ni?? Kata Dr. Ijaz, kanak2 kecil boleh buat apa yang orang dewasa tak leh buat dalam menyebarkan dakwah islam. Sebab tu katanya, sangat penting untuk kita terapkan pada anak2 dengan semangat perjuangan islam sejak kecil, melalui pembacaan kisah2 nabi dan sahabat. Anak2 kecil yang masih bersih dan suci jiwanya sangat mudah untuk dibentuk dan pembentukan ke arah semangat perjuangan dan pengorbanan untuk agama mesti bermula dari rumah. Perkara macam ni bukan dongeng, kerana ambo dan kawan2 masa kecik dulu bercita2 nak jadi power rangers, maskman la.., jetman la.. dan macam2 'man' lagi ,sebab?? sebab hari2 kita di 'provok' kan dengan cerita2 keperkasaan hero ciptaan manusia yang mana hanya khayalan semata-mata. Maka lahirlah dari rumah2 orang islam anak2 yang bercita2 nk jadi superman, batman, dan mungkin juga cicakman (lagi haru).

Inilah kesilapan kita ummat islam hari ni. Kita dah lupa dengan hero2 yang memperjuangkan agama. sedangkan ke'hero'an mereka adalah realiti bahkan jauh lebih hebat dari hero2 khayalan ciptaan yahudi dan nasrani. Mana ada hero yang boleh jalan atas air dengan dua rakaat solat pada hari ni?? Mana ada hero yang boleh halau api dari gunung berapi kembali ke lubangnya, perintahkan gempa bumi supaya berhenti dan memberi arahan kepada tentera muslimin yang jauh beribu batu tanpa alat komunikasi seperti Umar Al-Khattab?? Tak ada kan?? Jadi, untuk melahirkan semula generasi yang berjiwa dan bersemangat kental macam sahabat2 r.a, kisah2 kehidupan mereka mesti di telaah hari2, mudah2han semangat pengorbanan, keperwiraan dan kesanggupan mereka menyerahkan seluruh jiwa, harta bahkan nyawa untuk Allah turut meresap dalam jiwa kita dan generasi yang kita lahirkan.

Hentikan khayalan karut-marut yang di'propaganda'kan oleh orang2 yang sememangnya memusuhi islam kerana tujuan mereka hanyalah semata-mata untuk melemahkan orang islam dan mengalihkan pandangan serta fokus kita daripada perjuangan islam. Mari kita azam untuk melahirkan manusia2 berjiwa seperti sahabat dari rumah2 kita nanti (untuk orang yang belum kawin macam ambo) dan kepada yang dah beranak pinak, selagi nyawa dikandung badan, masih belum terlambat untuk mengubah suasana rumahtangga kepada suasana yang diredhai Allah s.w.t.

Majalah SOLUSI Bil. 19: Minta Pertolongan Allah Melalui Solat

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Fatihah, “Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in” (Hanya kepada Mu kami beribadah memperhambakan diri; dan hanya kepada Mu kami memohon pertolongan).

Ayat ini merupakan wahyu Allah kepada hambaNya. Bagaimanapun, cara ungkapannya seolah-olah ucapan yang berasal daripada seorang hamba kepada Tuhannya.

Sepatutnya, Allah wahyukan sebegini, “Wahai manusia, hanya kepada Aku engkau memperhambakan diri; dan hanya kepada Aku kamu sekalian patut memohon pertolongan.”



Bukankah maksudnya masih sama? Namun begitu, jika kita tanya hati kita, ungkapan manakah yang lebih menusuk ke lubuk sanubari kita? Apakah jawapannya?

Ungkapan ini merupakan satu perintah daripada Allah Taala agar kita hanya memohon pertolongan daripada kesempurnaan Kudrat dan Iradat-Nya. Hanya Dia, Zat Yang Maha Kuasa yang selayaknya menjadi tumpuan setiap hati hamba-hambaNya yang beriman. Tidak gugur sehelai daun di tengah rimba, melainkan hanya dengan izinNya. Tidak bergerak sebiji pasir di dasar lautan melainkan hanya dengan kudratNya.

Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan ikrar al-Fatihah ini melalui sabdaan baginda kepada sepupu baginda, Hadrat Ibnu Abbas r.a., “Wahai budak! Jagalah Allah, Allah akan menjaga mu. Jagalah Allah, engkau akan dapati Allah sentiasa di hadapan mu. Apabila kamu meminta, mintalah daripada Allah. Apabila kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan hanya daripada Allah…” (HR at-Tirmizi)

Bagaimanapun, ini baru sahaja satu perintah Allah agar kita mengikrarkan bahawa tidak ada mana-mana Zat lain yang menjadi tumpuan hati kita, melainkan hanya kepada Nya! Jika ini adalah satu ikrar, apakah pula cara untuk kita meminta pertolongan tersebut?

Allah s.w.t. menjelaskan di tempat yang lain, “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah 2:153)


Di sini, Allah Taala menyatakan bahawa antara fadilat solat yang paling hebat ialah menjadi penghubung dan jalan untuk seseorang hamba meminta pertolongan kepada Nya. Selesaikan segala hajat dan masalah kita melalui solat.

Huzaifah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila ditimpa dengan sesuatu perkara, baginda akan bersegera menunaikan solat. (HR Abu Daud)

Abdullah ibnu Mas’ud r.a. pula menceritakan, pernah satu hari seorang Sahabat Rasulullah s.a.w. datang menemui baginda lalu berkata, “Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya ingin keluar ke Bahrain untuk tujuan perniagaan.”

Lalu jawab Rasulullah s.a.w., “Solatlah (dulu) dua rakaat!”
(HR at-Tobrani di dalam kitab al-Kabir)

Ma’mar meriwayatkan daripada seorang sahabat dari kalangan Quraisy, bahawa Rasulullah s.a.w. apabila mendapati kesempitan rezeki dalam kalangan sesetengah keluarga baginda, baginda memerintahkan keluarga baginda agar mendirikan solat, kemudiannya baginda membacakan ayat Al-Quran Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. [ToHa 20:132]. (Daripada kitab Ithafus-Saadah al-Muttaqin)

Lihatlah bagaimana imbauan kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w., keluarga baginda dan para Sahabat r.a., sentiasa dihiasi dengan kesungguhan mereka untuk menjadikan solat sebagai sumber untuk mereka memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah. Mereka benar-benar faham apakah nilai sebenar amalan solat. Betapa solat merupakan solusi praktikal yang dibekalkan oleh Allah kepada hambaNya.

Hati yang sentiasa disuburkan dengan keyakinan kepada janji-janji Allah melalui fadilat solat sebegini, maka kehidupan mereka menjadi begitu akrab dengan amalan solat. Apabila Allah yang memerintahkan agar kita meminta pertolongan kepada Nya melalui solat, maka sudah pasti Allah sesekali tidak akan menyalahi janjiNya dan sesekali tidak akan lemah daripada mengotakannya….

“Allahu akbar!”

Tuesday, May 18, 2010

Coretan tinta, mewakili hati si Faqir (3)


Makkah. Inilah bumi yang penuh berkah. Tetapi kenapa wujud fizikalnya begitu gersang? Kenapa Allah tidak pilih suatu kawasan yang hijau bagaikan syurga sebagai Tanah SuciNya?

Sebenarnya ini merupakan satu isyarat, bahawa kemuliaan dan ketinggian di sisi Allah, tidak pernah terikat dengan sebarang kebendaan dan rupa paras fizikal.

Makkah merupakan bumi pilihan. Kawasan suci – al-haram – yakni satu kawasan yang dimuliakan oleh Pencipta Alam ini sendiri, iaitu Allah SWT! Imam Mutawwali Sya’rawi menyatakan, Haram-nya Makkah ini bukan setakat tanahnya, malah ruang udara, angkasanya hingga ke Baitul makkmur di langit adalah Haram. Tujuh petalalapisan ke bawah buminya pun adalah Haram. Inilah kemuliaan bumi Makkah.

Makkah menjadi tuan rumah kepada syiar-syiar Allah. Maka hati-hati yang bertaqwa, tidak akan sekadar berziarah dan melihat fzikal Makkah, malah yang lebih utama, kita perlu membiarkan hati dan rohani kita mengembara dan menziarahi, seluruh bumi suci ini.

Biar hati kita merasakan, betapa hati kita terhubung dengan Allah. Di bumi ini, hati kita sentiasa merasai bahawa Allah itu amat dekat dengan kita. Sesungguhnya, apabila hati kita mula terhubung dengan sentuhan kewujudan dan kebesaran Allah, maka setiap injak kaki kita di bumi haram ini, mengalirkan nikmat manisnya iman yang begitu seni dan dingin. Yang seringnya, suara juga akan tidak mampu mengungkapkannya. Ketika itu, hanya air mata yang bisa berbicara! Bahasa yang hanya seorang hamba dengan Tuhannya yang mampu memahaminya…

Labbaikallahumma labbaik..

Sunday, May 16, 2010

Warna Kehidupan: Hidupkan semula sesi ta'alim

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/05/13


HARI ini menyaksikan banyak gejala sosial yang merosakkan kehidupan anak dan remaja akibat kegagalan kepemimpinan keluarga mempamerkan contoh teladan yang baik di samping tidak banyak keluarga yang memastikan banyak masa perlu diluangkan untuk seisi keluarga demi membolehkan lahirnya keluarga bahagia.

Akibatnya isu keruntuhan moral golongan remaja yang membabitkan kes pembuangan bayi dan ibu bapa semakin galak berlaku, hatta dalam keluarga Melayu yang sepatutnya menunjukkan contoh terbaik memandangkan mereka mewarisi sikap berhemah bangsa Melayu dan beragama Islam. Salah satu warisan berharga pada hari ini yang semakin kurang dipraktikkan dalam keluarga adalah sesi ta’alim di rumah yang bermaksud perkongsian ilmu antara ahli keluarga yang dulunya menjadi sebahagian daripada budaya kehidupan dalam berkeluarga. Dalam budaya hidup Melayu dulu, ta'alim di rumah suatu perkara biasa kerana ia bukan saja dapat mempertemukan seluruh ahli keluarga, tetapi juga berlangsungnya sesi berkumpul pada waktu malam bagi membolehkan seluruh ahli keluarga mendalami al-Quran dengan ibu bapa sebagai penunjuk.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzub, berkata Islam meletakkan bapa sebagai pemimpin dan ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan mereka dalam jagaannya berada dalam keadaan baik serta mengikut landasan diredai Allah SWT.

“Justeru konsep ta’alim yang menggunakan pendekatan diplomasi penting kerana ia membabitkan usaha mendidik dan membimbing anak muda ke landasan betul agar remaja tahu hala tuju mencapai kejayaan dan mengelakkan kesan negatif dalam mengharungi perjalanan hidup yang penuh cabaran,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di Bangi, baru-baru ini.

Baginya sesi ta’alim bukan saja membolehkan berlangsungnya pendidikan ibadah seperti mendidik ahli keluarga kepada pentingan bersolat, berpuasa dan ibadah lain, tetapi turut membuka peluang kepada ayah selaku ketua keluarga memainkan fungsi penting dalam pendidikan keluarga.
“Ayah memperoleh ilmu dan maklumat daripada kuliah atau ta'alim di masjid, bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang diperoleh buat seisi keluarga di rumah.
Dengan ini, bukan saja anak-anak mendapat manfaat, bahkan ibu juga boleh dan seluruh isi keluarga dapat meluangkan masa bersama-sama,” ujarnya.

Sungguhpun demikian, pendekatan seperti itu baginya memerlukan usaha berterusan kerana kebanyakan ibu bapa zaman moden sibuk dengan tugas di pejabat dan meletakkan pendidikan anak mereka kepada guru sekolah sehingga ada kalanya generasi muda berasa mereka tidak lagi perlu meluangkan masa bersama-sama keluarga.

“Sama ada sedar atau tidak, sikap mengambil ringan terhadap masalah seperti ini menyebabkan institusi keluarga semakin teruk, walhal banyak pendekatan boleh digunakan untuk menyemarakkan semangat kekeluargaan seperti ditekankan masyarakat zaman dulu.

“Dari segi psikologi, perbincangan berunsur ilmiah di kalangan ahli keluarga menggunakan konsep ta’alim ini boleh mencetuskan keghairahan untuk melakukan sesuatu amal ibadat kerana ia sesuai dengan fitrah manusia yang mahu diganjari apabila melakukan sesuatu,” jelasnya.

Penulis blog, Muhammad Syukri Rosli pula menganggap ta'alim di rumah mampu memberi kesan kesan besar kepada keluarga Islam kerana pengisian seperti pembacaan al-Quran, perkongsian fadilat amal, ilmu ibadah dan doa serta pengkisahan Nabi adalah usaha jitu dalam mengakrabkan perhubungan sesebuah keluarga.

“Berdasarkan catatan sejarah, keluarga tradisional Melayu, dari kurun ke-15 hingga kurun ke-18, menggunakan kitab sirah terjemahan untuk dibacakan buat seisi keluarga. Antara kitab itu ialah Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Iskandar Dzulkarnain dan Hikayat Nabi Yusuf.

“Selain itu, dalam sesi ta'alim di rumah, anak kecil juga diajar mengenai doa untuk memohon perlindungan, meminta keredaan dan mengharapkan keberkatan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Biasanya doa ini akan diperdengarkan kepada anak-anak secara berulang kali, sehingga anak mampu menghafaz serta mengamalkannya,” katanya yang dididik menggunakan konsep ta’alim.

Baginya konsep ta’alim sudah bertapak sejak zaman kedatangan Islam, tetapi atas nama kemajuan yang dipromosikan oleh orang Barat, nilai agama dan budaya yang diwarisi turun-temurun, terabai satu persatu sehingga menyebabkan masyarakat Islam di Malaysia terjerumus dalam perangkap gejala sosial yang serius.

“Masalah ini berlaku apabila ahli keluarga tidak lagi mempunyai banyak masa untuk bersama-sama, apatah lagi untuk melakukan sesi perkongsian ilmu dan pendapat. Saya berharap ibu bapa sedar sedar bahawa ta'alim di rumah, bukan saja mengikuti sunnah Baginda SAW, bahkan dirahmati oleh Allah SWT,” katanya.

Ulasan saya:

Hari ini banyak keluhan berkenaan keadaan umat yang menyedihkan yang kita dengar dan dilaporkan. Bagaimanapun, amat sedikit jalan penyelesaian yang dibentangkan. Keluhan demi keluhan. Akhirnya timbul rasa putus asa dan seterusnya terlontar perkataan, "Lantaklah... apa 'nak buat, dunia memang 'dah nak kiamat."

Ada juga yang menundingkan jari ke sana ke sini, menyalahkan pihak sana dan pihak sini; berkenaan keadaan masyarakat yang semakin memilukan iman seorang yang benar-benar mukmin. Semunya salah orang dan akhirnya tidak ada satu penyelesaian pun yang dapat diusahakan.

Artikel ini amat kena pada masanya. Pada hemat saya, majlis ta'lim di rumah adalah penyelesaian hakiki kepada kebimbangan dan keputusasaan yang ada. Biarpun gagasan ini kelihatan amat sederhana, dan mungkin dilihat sebagai amat sepele, tetapi sekurang-kurangnya ia membawa sinar di dalam kekelaman zulumat maksiat yang mendominasi umat hari ini.

Amalan majlis ta'lim di rumah merupakan amalan yang hidup di rumah Rasulullah s.a.w. sendiri serta di rumah para Sahabat r.a. Sebagaimana yang diisyaratkan oleh firman Allah s.w.t.:

"Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di Rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan Hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha mendalam pengetahuanNya." (al-Ahzab 33:34)

Apalah malang yang menimpa kita hari ini? Amalan yang begitu jelas diterangkan di dalam al-Quran, telah ditinggal-tinggalkan. Kemudian apabila kerosakan melanda masyarakat, kita berteriak ke sana dan ke sini mengeluh dan merintih kekesalan.

Keyakinan kita kepada sistem yang entah dari mana asalnya, lebih kita yakini berbanding dengan apa yang telah diperintah oleh Allah s.w.t. sendiri, dan dilazimi oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat.

Jika keyakinan itu sendiri telah lemah, apa lagi yang dapat diharapkan tentang amalan?

Semoga Allah berikan kita kefahaman, kekuatan untuk mengamalkan dan juga menyebarkan gagasan majlis ta'lim di rumah ini kepada seluruh umat.

Blog Widget by LinkWithin