Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Sunday, July 31, 2011

Sudah tentu ada satu usaha...

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat ke-185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Allah s.w.t. melalui ayat ini menyatakan bahawa antara kemuliaan dan fadhilat bulan Ramadhan ialah peristiwa penurunan al-Quran yang berlaku di dalamnya. Imam asy-Syanqiti di dalam tafsir Adhwa-ul-Bayaan beliau menyatakan ungkapan “yang mana diturunkan di dalamnya al-Quran” itu adalah merujuk kepada apa yang dinamakan sebagai Lailatul-Qadar yang disentuh secara khusus fadhilatnya melalui surah al-Qadr dan ayat pertama surah ad-Dukhan. Imam at-Tobari menyebutkan penurunan ini ialah penurunan al-Quran secara sempurna daripada Lauh Mahfuz ke langit dunia.

Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang disebutkan namanya di dalam al-Quran. Penisbahan rukun Islam yang ketiga iaitu ibadah puasa fardhu kepada bulan Ramadhan juga merupakan penambahan kemuliaan kepada Ramadhan. Kemuliaan berganda kemuliaan.
Al-Quran adalah sumber kemuliaan kepada umat ini. Imam at-Tobari menyimpulkan makna “yang menjadi petunjuk kepada manusia” sebagai bermaksud al-Quran itu akan menjadi petunjuk kepada manusia ke arah jalan kebenaran dan cara hidup yang betul. Al-Quran adalah sumber hidayah untuk manusia. Sumber hidayah ini pula, ada kaitan yang amat rapat dengan Ramadhan.

Cuba kita renungkan sebentar, apabila Allah s.w.t. menyatakan bahawa al-Quran adalah ‘sumber hidayah’ untuk manusia, maka sudah tentu antara ‘hidayah al-Quran’ dan manusia itu ada satu usaha. Usaha untuk menyebarkan hidayah al-Quran kepada manusia, dan membawa manusia untuk beriman kepada petunjuk al-Quran. Usaha inilah yang dinamakan usaha ‘da’wah ilalLah’ ( الدعوة الى الله ) iaitu usaha untuk menyeru manusia kepada Allah s.w.t.

Apabila Rasulullah s.a.w. menerima wahyu pertama yang di bawa oleh Jibril a.s. daripada langit dunia ke muka bumi, yang ada hanya Rasulullah s.a.w. dan Jibril a.s. Bagaimanakah manusia lain mengetahui ayat pertama hingga kelima surah al-‘Alaq ini? Maka jawapannya tidak lain dan tidak bukan kerana Rasulullah s.a.w. telah bangun atas usaha untuk menyampaikan wahyu qurani ini kepada manusia. Usaha untuk menyeru manusia kepada hidayah al-Quran ini bukanlah semudah kita mendengar kaset atau CD al-Quran, atau seringkas kita klik rakaman bacaan al-Quran di YouTube. Demi Allah! Rasulullah s.a.w. telah bangun dan menjalankan usaha menyeru manusia kepada Allah ini dengan penuh pengorbanan dan susah payah.

Kita sering menyebutkan, antara peristiwa besar di dalam bulan Ramadhan ialah berlakunya peperangan Badar al-Kubra. Para ahli Badar atau disebutkan dengan istilah ‘Badari’ telah diredhai dan segala dosa mereka yang lalu dan akan datang telah diampunkan oleh Allah s.w.t. Kenapa? Tidak lain dan tidak bukan kerana pengorbanan yang telah mereka pikul demi menyampaikan hidayah al-Quran ini kepada manusia dan membawa manusia kepada Allah. Pengorbanan dan susah payah di Badar adalah teladan sempurna apakah sebenarnya susah payah yang telah ditanggung demi meninggikan Kalimah Allah di atas muka bumi ini. Bukan sahaja berlaku semasa bulan ibadah puasa, bilangan kecil yang tidal seimbang dengan jumlah tentera musuh, kelengkapan yang paling minimum dan yang lebih memeritkan ialah, majoriti ahli Badar terpaksa berhadapan dengan kaum kerabat terdekat mereka sendiri. Badar adalah kisah bagaimana demi iman seorang anak terpaksa bertempur senjata dengan ayahnya. Seorang ayah terpaksa memancung anaknya. Bukan sahaja pengorbanan fizikal dan harta benda, malah hati dan perasaan mereka juga telah dikorbankan dan disembelih terlebih dahulu. Untuk apa? Tidak lain disebabkan untuk memastikan hidayah Allah ini tersebar ke seluruh alam.

Oleh itu, sempena Ramadhan kali ini, marilah kita renungkan dan bertanya kepada diri kita, apakah sumbangan yang pernah dan perlu kita lakukan untuk menegakkan usaha ‘da’wah ilalLah’ ini? sejauhmanakah kita telah memenuhi persyaratan ayat ini sebagai pengikut Rasulullah s.a.w.?

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku! (Iaitu) Aku mendakwahkan manusia kepada Allah, dengan berdasarkan basirah yang jelas nyata. Aku dan dan orang-orang yang mengikutiku, Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Surah Yusuf 12: 108)

4 comments:

arizWanmerahs said...

Apakah pengorbanan aku terhadap perkembangan agama? Insyaallah, akan terus buat kerja nabi sampai akhir hayat..

Abu Zarim Mohamad said...

insyaAllah,,moga Allah pilih kite sume,utk smpai kan hidayah Al quran pd manusia,,,

Unknown said...

benar wahai al-ustaz...susah payah itu penting dlm melakukan usaha dakwah..knapa artikel ini x di masukan dlm majalah solusi

semoga Allah permudahkan...

selmat menyambut ramadhan al-mubarak..

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Anak Pendang,

Artikel ni dalam majalah Solusi Khas Bil. 34.

Jazakumullah.

Blog Widget by LinkWithin