Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Saturday, July 4, 2009

Kunjungan Tuan Guru Haji Saleh Penanti ke Putrajaya

Semalam, dengan rahmat Allah Taala, Putrajaya telah diberkati dengan kehadiran Tuan Guru Hj Saleh Penanti Muhajir Makki ke Surau Al-Mizan, Presint 8. Tuan Guru Hj Saleh merupakan anakanda kepada Syeikh Uthman Jalaluddin Penanti bin Muhammad bin Abdus Shamad al-Kalantani, Pengasas kepada Pondok Pengajian Manabi'ul 'Ulum Penanti, Seberang Prai.

Berkenaan Syeikh Uthman Jalaluddin ini boleh dilihat ketokohan ilmunya melalui tulisan Almarhum Ust Wan Mohd Saghir Abdullah di blog Ulama Nusantara ( http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/syeikh-uthman-jalaluddin-penanti.html ).

Tuan Guru Haji Saleh sekarang ini telah berhijrah dan bermukim di Kota Suci Makkah. Baru tiga hari tiba di tanahair, Tuan Guru telah sudi untuk berkunjung ke Putrajaya. Kepulangan Tuan Guru selama dua bulan ke tanahair sebelum berangkat kembali ke Makkah antara tujuan utamanya ialah untuk menghadiri Ijtimak Umat Islam Seluruh Malaysia yang akan berlangsung pada 9 - 12 Julai 2009. Tapak Ijtimak ialah di sebelah Kuarters KLIA Sepang-Nilai. Ijtimak ini dijangka akan dihadiri oleh lebih kurang 100,000 umat Islam, insya Allah.

Selepas solat Asar, Tuan Guru telah dijemput untuk memberikan sedikit nasihat kepada jemaah solat yang ada. Antara kata nasihat Tuan Guru yang dapat saya nukilkan daripada rakaman melalui handphone saya:

"Manusia mempunyai empat jenis masa:

  1. Masa taat
  2. Masa maksiat
  3. Masa sihat
  4. Masa bala' (musibah)
Semasa dalam taat, maka hendaklah dia nafikan bahawa taat itu sebab kelebihan dirinya, tetapi hanya semata-mata limpah taufik nikmat daripada Allah.

Semasa jatuh dalam maksiat, maka kena banyak istighfar.

Semasa sihat, kena syukur.

Semasa bala', kena sabar. Sabar adalah kepala iman. Al-Huzn (terlalu berduka lara) adalah musuh orang Islam."
Seterusnya Tuan Guru telah menyimpulkan nasihat beliau dengan sentuhan ringkas terhadap tafsir Surah Al-'Asr.
"Allah sendiri bersumpah dengan 'masa'
bahawa semua manusia sama ada kaya atau miskin, raja atau hamba....
semuanya dalam kerugian. Rugi! Rugi! Rugi!

Kecuali, orang yang ada iman!

Tapi iman sahaja 'tak cukup, kena ada amal soleh.

Ada dua 'tu sahaja 'tak cukup, kena pula tawasau-bil-haq (berpesan-pesan dengan perkara yang haq). Tawasau-bil-haq inilah kerja dakwah.

Ada tiga 'tu juga masih rugi, kena pula tawasau-bis-sabr (berpesan-pesan dengan kesabaran). Sabar ialah kepala iman.

Ada keempat-empat 'ni, barulah tidak rugi!"
Tuan Guru menutup nasihat beliau dengan doa ringkas.

Banyak yang saya dapat pelajari daripada Tuan Guru. Semoga Allah memanjangkan usia dan menyebarluaskan manfaat Tuan Guru kepada seluruh ummah. Semoga Allah juga memberi taufik untuk saya amalkan segala nasihat yang diberikan oleh Tuan Guru.

Oh Allah, kasihanilah kami!

Wednesday, July 1, 2009

Kolum sulung saya dalam Majalah SOLUSI



Alhamdulillah, dengan limpah ihsan-Nya, kolum sulung saya dalam Majalah SOLUSI telah diterbitkan dalam SOLUSI bilangan 9 (Julai 09). Kolum yang dipertanggungjawabkan kepada saya bertajuk: "Fadhail A'mal". Insya Allah, artikel melalui kolum FA ini akan berterusan pada keluaran-keluaran yang akan datang. Semoga ada manfaatnya, terutama untuk saya yang amat faqir ini.
Blog Widget by LinkWithin