Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, June 6, 2011

Halaqah zikrullah...

Dalam al-Quran ada satu surah yang dinamakan ‘an-Nur’ (Cahaya). Dalam surah ini, antara ayat yang disebutkan perkataan ‘cahaya’ di dalamnya ialah ayat ke-35. Allah s.w.t berfirman (mafhumnya):
“Allah-lah Cahaya langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Setelah Allah menceritakan perumpamaan gemilangnya cahaya hidayah Allah itu, Allah s.w.t. menjelaskan pula di dalam ayat berikutnya, dimanakah cahaya hidayah ini dengan mudah dapat diperolehi. Jelas Allah s.w.t. (mafhumnya):
“Nur hidayat petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat (yakni masjid-masjid) yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingati nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

Siapa yang tidak sukakan cahaya? Lebih-lebih lagi cahaya hidayah. Jika dengan cahaya fizikal, dapat menerangi pandangan mata fizikal kita; maka cahaya hidayah ini akan menerangi pula pandangan mata hati seseorang. Adanya cahaya fizikal, kita dapat lihat mana satu perkara yang boleh memberi manfaat dan yang mana satu perkara yang boleh memudarat; maka dengan cahaya hidayah, mata hati akan dapat melihat manakah perkara yang membawa kemuliaan seseorang itu di sisi Allah; dan yang mana satukah perkara yang menjerumuskan seseorang ke dalam murkanya Allah Taala.

Satu perkara yang perlu kita berikan perhatian di dalam ayat ini ialah berkenaan amalan zikrullah di masjid-masjid. Ayat surah an-Nur ini menyatakan bahawa rumah-rumah Allah itu adalah satu tempat yang telah dikhaskan untuk beribadah dan mengingati Allah s.w.t.

Abu Hurairah r.a. dan Abi Sa’id al-Khudri bersaksi ke atas Rasulullah s.a.w., bahawasanya baginda bersabda:
“Tidaklah duduk-duduk suatu kaum yang mana mereka berzikir kepada Allah, melainkan mereka akan dikerumuni oleh malaikat, diliputi mereka oleh rahmat, turun ke atas mereka akan rahmat dan Allah akan menyebut mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya.” (HR Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Baihaqi)

Mu’awiyah r.a. menceritakan, satu hari Rasulullah s.a..w pergi kepada satu halqah(majlis) para sahabat (di dalam masjid); lalu baginda bertanya, “Apakah yang menyebabkan kalian duduk di sini?”

Sahut mereka, “Kami duduk berzikir kepada Allah dan memujiNya kerana telah memberi petunjuk Islam kepada kami.”

Rasulullah s.a.w. bertanya lagi, “Demi Allah, adakah hanya kerana ini kamu duduk di sini?”

Mereka menjawab, “Demi Allah, hanya kerana inilah kami duduk di sini!”

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda, “Aku meminta kamu bersumpah bukan kerana menomah kamu, tetapi Jibrail telah datang kepadaku dan memberitahuku bahawa Allah sesungguhnya berbanga dengan kamu di hadapan para malaikatNya!” (HR Ibnu Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, at-Tirmizi dan an-Nasaie)

Alangkah beruntungnya para sahabat, apabila amalan-amalan mereka sering mendapat pujian langsung daripada Allah. Jika kita ingin menarik perhatian Allah kepada kita, maka marilah kita hidupkan amalan-amalan yang telah dicontohkan oleh mereka. Maka antaranya ialah mewujudkan halqah zikrullah di masjid-masjid.

Apabila kita dapat menarik perhatian Allah, dan Allah berbangga dengan kita; adakah ini semua tidak cukup bagi menggerakkan kita untuk berada dalam majlis-majlis zikrullah?

Semoga Allah tidak menjadikan hati kita kaku dan mati!

Nota: Artikel ini telah disiarkan dalam kolum bulanan Majalah SOLUSI Bil. 32
Blog Widget by LinkWithin