Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, July 1, 2010

Kisah Benar...

Alhamdulillah.. Kali ini saya panjangkan satu coretan yang dipanjangkan oleh kawan saya Sdr Nazri melalui emel. Kisah benar ini, seharusnya menjadi panduan kepada kita. Untuk turut mempersiapkan diri sebelum waktunya kita dipersiapkan orang lain. "Mati adalah pasti. Hidup, insya Allah!" Janganlah kita hidup di dunia, untuk menderita di akhirat.

Kisah Benar - Jenazah yang istimewa dan dirahmati

Maaf sebab dah beberapa hari rasanya saya tak pedulikan blog ini. Sebenarnya ibu saya sakit dan di masukkan ke wad sejak Sabtu lepas. Jadi, kebanyakan masa saya dihabiskan di hospital la selama 2,3 hari ni. Tak sempat langsung nak ber’tenet’.

Namun, pagi ini, sebelum pergi kerja tadi, sempat juga saya curi masa untuk check email. Saya lihat dalam inbox saya ada beratus-ratus email yang masuk. Saya check satu persatu, dan mana yang sempat saya balas, saya balas.

Dalam banyak-banyak email tu, saya terbaca satu email yang dikirimkan oleh salah seorang pembaca blog PakarHowTo iaitu saudara Isam Idris (bleazapp@yahoo.com). Setelah dibuka dan dibaca email tersebut, saya dapati kandungan email itu sangat bagus dan memberikan kesan pada hati saya.

Tanpa berfikir panjang, saya terus ‘copy & paste’ kan artikel tersebut untuk bacaan para pengunjung blog ini. Semoga apa yang diceritakan ini memberikan iktibar dan pengajaran kepada kita semua.

Mari kita hayati kisah ini sama-sama…

Kisah-kisah yang ingin saya paparkan di sini kalau ia boleh menyentuh perasaan dan ketidakselesaan muslimin-muslimat, saya mintak maaf banyak-banyak. Niat saya hanya nak berkongsi cerita dengan para muslimin-muslimat sekalian.

MENINGGAL DUNIA SELEPAS SAHAJA SOLAT

Ustaz (di sini saya namakan Ustaz M) yang diamanahkan untuk mengendalikan kursus jenazah ini sudah berpengalaman hampir 10 tahun dalam mengendalikan urusan mandi jenazah di sekitar Lembah Kelang dan Malaysia. Beliau amat terkenal dikalangan jemaah masjid di sekitar lembah Kelang ini. Malah beliau juga selalu berulang-alik ke merata negeri seperti pantai timur semenanjung dan utara selatan untuk menguruskan mana-mana jenazah yang dibawa ke masjid yang memerlukan khidmat tangan beliau.

Saya nak mulakan kisah ini dengan kisah yang pertama.

Kisah ini berlaku pada seorang imam di selatan KL yang meninggal dunia ketika lepas solat Asar.

Imam tersebut meghembus nafasnya yang terakhir sebaik sahaja selesai memberi salam yang pertama.

Subhanallah! Matinya dalam keadaan yang amat murni. Murni di sini maksud saya, matinya bukan dalam keadaan berbuat maksiat pada Allah SWT. Mati ketika habis solat dan masih di atas tikar sejadah dan sedang beribadah!

Jenazahnya telah di bawa ke hospital X untuk urusan pemeriksaan rutin (medical check-up) dan urusan-urusan lain yang perlu untuk pengurusan pengkebumian.

Pihak hospital X telah memanggil ustaz M untuk urusan mandian jenazah. Maka bergegaslah ustaz M ke hospital untuk urusan tersebut sebab bagi beliau, jenazah yang hendak dimandikan ini begitu istimewa pada pandangannya, kerana roh si mati telah dicabut oleh malaikat Izrael ketika mana sedang mengimami solat!

Sebaik sampai di hospital, ada sedikit masalah yang timbul. Pihak hospital telah mendapati bahawa jenazah imam tersebut tidak mempunyai sebarang pengenalan diri, dan pihak hospital atas bantuan rakan-rakan jenazah mendapat tahu, jenazah imam ini adalah meupakan orang luar. Maknanya seorang imigran, yang bermastautin di negara kita.

Rentetan daripada kes ini, pihak hospital X terpaksalah menyimpan dahulu jenazah tersebut untuk beberapa hari bagi urusan dokumentasi dengan pihak berwajib sehinga selesai dan kemudian itu barulah segala urusan yang berkaitan pengebumian akan dilaksanakan. Yang pasti terkilannya sudah tentu ustaz M. Kerjanya sudah sedikit terbantut pada hari itu. Sebelum itu, hatinya sudah pun begitu berbunga untuk menguruskan jenazah imam yang dimuliakan Allah SWT ini. Tentu ada kelebihan tersendiri kenapa imam tersebut pengakhiran rohnya di atas tikar sejadah!
Maka, jenazah imam tersebut pun dimasukkanlah ke dalam ‘freezer’ (maaf, saya tak tahu apa istilah pembeku mayat ini) di dalam bilik mayat hospital X buat sementara waktu.

Lapan hari berlalu. Ustaz M dah mula nak melupakan pasal jenazah imam ini.
Tapi, dengan takdir Allah SWT, hari ke-9, telefon bimbit ustaz M berbunyi.
“Nampak macam no hospital nie”, getus hati ustaz M.

“Hello, ustaz M ye?”… satu suara bertanya.

“Ya, ustaz M bercakap”.

“Ustaz ingat lagi tak mayat imam yang meninggal masa solat Asar tempohari?”, sang suara meminta kepastian.

“Imam…imam. …yanng mana satu….ermm. .oh…ya. .ya..ingat. .ingat… “, ustaz M memberi kepastian dalam ingat-ingat lupanya.

“Dokumen dah siap, boleh ustaz datang sepital, uruskan tak?”, beritahu sang suara ringkas.

“Ok..ok…, sekarang juga aku bergerak, setengah jam lagi aku sampai! “,
balas ustaz M.

Lega hati ustaz M. Dapat juga dia uruskan mayat tersebut setelah beberapa hari ‘pending’. Ingatkan dah tak jadi apa-apa dah. Lama bebenor pihak hospital nak mengurus kan dokumennya.

Sampai di hospital, ustaz M yang baru tiba diarahkan ke bilik mayat. Di bilik mayat telah ada beberapa orang saksi di kalangan pegawai hospital dan juga polis serta saksi-saksi lain termasuk rakan-rakan jenazah imam tersebut. Semua saksi ini diperlukan kerana inilah ‘prosedur’ yang telah ditetap oleh pihak berwajib. Sebab jenazah dah berhari-hari di situ. Tambahan pula jenazah orang luar.

Bismillahir Rohmaanir Rohiim…… Dengan bersaksikan mata sekeliling yang memandang, ustaz M menarik ’stretcher ‘ peti sejuk beku mayat tersebut dengan perlahan-lahan. ..

Subhanallah! Mayat imam ini masih lagi segar merah. Mayat ini juga berpeluh! Macam mana simpan dalam peti ais berhari-hari boleh berpeluh?

Korang tak payah jawablerrr.. ..Seolah- olah imam ni baru aje meninggal sebentar tadi. Mayatnya tidak keras dan tidak pula membeku! Macam orang sedang tidur. Ustaz M kelu lidahnya. Begitu juga orang di sekeliling.

Istimewa sungguh mayat ini. Kalau daging mayat biasa dah lama mengeras dan membeku. Masya-Allah! Sekali lagi perkara pelik berlaku…terdapat pula pada dahi jenazah imam ini, tertera satu kalimah tauhid iaitu perkataan “ALLAH”!

Semua orang di sekitar dapat menyaksikan peristiwa ini. Tiada perkataan lain yang keluar dari mulut mereka melainkan tasbih memuji Allah SWT meniti di bibir masing-masing di atas apa yang berlaku.

Semakin bersemangatlah nampaknya ustaz M nak menguruskan jenazah tersebut. Yerlah, siapa yang tak suka pada sesuatu yang molek dan membahgiakan kan?….

Jenazah imam itu dimandi, dikapan dan disembahyangkan dengan segera sebagaimana biasa. Semua proses ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Semuanya berjalan amat mudah. Allah SWT telah pun memuliakan jenazah imam ini di dunia lagi atas jasa-jasa dia yang Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Mengikut ustaz M lagi, lepas semua tu selesai, dia ada juga bertanya pada rakan-rakan Allahyarham apa yang diamalkan oleh Allahyarham semasa hidup sehingga mendapat pengiktirafan yang begitu tinggi daripada Allah SWT masa kematiaanya.

Jawapan yang didapati daripada rakan-rakannya ialah selain daripada seorang yang berbudi pekerti mulia dan seorang imam yang baik, amalan semasa hidupnya ialah tidak pernah tinggal bangun malam dan bersolat tahajjud. Semua amalan ini dilakukkanya secara istiqamah. Ditambah pula oleh amalan-amalan lain yang tidak dapat dilihat oleh rakan-rakan arwah, yang mana hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahuinya.

MENINGGAL KETIKA BACA KHUTBAH JUMAAT

Ustaz M pada kursus hari kedua telah bercerita tentang seorang imam yang meninggal ketika sedang membaca khutbah pada solat Jumaat.

Kursus hari kedua ni bermula jam 9.15 pagi. Sebelum memulakan kursus, ada jemaah yang kelihatan sedang mendaftar semula kat meja pengelola, ada jemaah yang mundar mandir sambil menunggu ketibaan Ustaz M, ada yang solat sunat Dhuha. Ada yang duduk2 berborak dan berkenalan antara satu lain dan ada yang nampak berzikir. Maklumlah yang datang kursus ni bukannya sedikit. Hampir 180 orang kesemuanya. Ustaz M cakap, inilah kursus pengurusan jenazah yang paling ramai yang dia kendalikan. Sebelum ni, paling ramai pun yang berkursus adalah dalam lingkungan 50 - 60 orang sahaja. Luar biasa ramainya, puji beliau.

Ustaz memulakan kursus dengan sedikit ucapan alu-aluan. Kemudian, dia ada menyentuh sikit tentang solat sunat Dhuna. Sebab sebelum tu ramai juga jemaah yang solat sunat Dhuha. Solat sunat Tahiyyatul-Masjid sudah pasti. Meneyentuh tentang solat sunat dhuha ni, Ustaz M memulakan cerita.

Berlaku di sebuah masjid di selatan ibu Kota Kuala Lumpur. Masa tu, hari Jumaat. Solat JUmaat sudah dimulakan pabila bilal melaungkan azan dan sejurus kemudian imam naik ke mimbar untuk mula membaca khutbah.

Imam kali ini ialah seorang pemuda yang berusia 28 tahun. Muda lagi. Dan sudah berkahwin. Jemaah di situ memang sudah arif sangat dengan imam ini.
Imam ini memulakan khutbahnya. Sampai pada perkataan, “Uusyikom Bitaqawallah, Waihyaa….. ……… ……… .”. Tiba-tiba imam ini terdiam….

Semua para jemaah diam (memang dengar khutbah kena diam pun) dan hanya memerhati sahaja ke arah imam. Semua mata tertumpu kepadanya.

Imam masih lagi senyap. Matanya terpejam rapat. Tidak bergerak. Suasana hening seketika. Kedengaran sekali sekala bunyi enjin kenderaan motor keluar-masuk kawasan masjid menandakan ada jemaah yang baru tiba. Mana yang tengah berwudhu’ nampak tidak berapa ambil pusing dengan apa yang sedang berlaku di atas mimbar. Di satu sudut masjid pula, kelihatan jemaah yang tak mendengar khutbah, leka mengunyah pisang emas dan pisang montel yang disedekah oleh orang ramai. Ambil berkat gamaknya.

Tiba-tiba tangan imam yang sedang memegang kayu mimbar, melurut ke bawah, dan beliau pun jatuh terduduk di atas kerusi khatib. Kepalanya terlentuk ke bawah. Makmum yang masih tergamam dengan peristiwa ini, segera bangun untuk melihat apa yang terjadi. Bilal menerpa ke arah imam dan ingin membantu serta menolong jika sesuatu yang buruk berlaku kepada khatib.

Imam (khatib) dipapah turun dan diletak di hadapan para jemaaah di saf hadapan. Setelah diperiksa oleh bilal, tiada perkataan lain yang boleh diucapkan selepas itu melainkan, “Innalillahi wainna Ilaihi roojiuun…” .

Kembalinya ke rahmatullah seorang imam yang amat berjasa pada masyarakat setempat. ada makmu yang masih terkejut dengan peristiwa ini. Ada juga yang menitiskan air mata tanda terharu. Hilang sudah sebutir permata yang baru nak berkembang mekar. Hilang juga satu cahaya yang menerangi alam yang fana ini.

Yang uniknya kata ustaz M, sewaktu imam itu menghembuskan nafas terakhirnya, jatuhnya betul-betul di atas kerusi yang berada di belakangnya dan terus sahaja duduk. Tidak jatuh tersungkur ke depan, dan tidak juga jatuh sama ada ke kiri atau ke kanan mimbar. Elok sangat duduk atas kerusi khatib, sama seperti beliau duduk sebelum memulakan bacaan khutbah tadi…dan pada masa ini juga, dipercayai, imam tersebut telah pun meninggal dunia….Jenazah pun dibawa balik untuk diuruskan… Ustaz M pun dipanggil untuk menguruskan jenazah ini.

Sebaik kain penutup mayat diselak untuk memulakan proses mandian jenazah, ustaz M begitu terkejut bercampur terharu yang amat sangat bila melihat beberapa kejadian mengkagumkan berlaku pada mayat. Apa yang terharu dan peliknya?… .

Ya, badannya jenazah itu amat berseri dan masih nampak kelihatan darah masih mengalir lagi pada seluruh tubuhnya. Seolah-olah jenazah ini masih hidup. Tidak mati gitu. Macam orang tidur aje. Dan yang lebih mengkagumkan ustaz M lagi, keluarnya satu haruman yang semerbak dari badan jenazah. Wangi sungguh! Tak pernah ustaz M mencium bau wangian sebegini rupa selama dia menguruskan jenazah lain sebelum ini!

Hebat mayat ni, fikir ustaz M…

Subhanallah!

Hati ustaz M begitu melonjak girang untuk meneruskan memandikan jenazah imam sehingga selesai. Hati kecilnya berdoa ;

“Ya Allah! Engkau Maha Mulia! Engkau telah memuliakan mayat ini, maka muliakanlah ia sehingga aku selesai memandikannya. Aku begitu seronok melihat jenazah dalam berkeaadan begini. Ya Allah…Ya Allah..Ya Allah……. ……”

Rupanya-rupanya kemuliaan jenazah imam ini tidak berakhir di situ. Doa ustaz M dimakbul Allah SWT. Menurut ustaz M lagi, sewaktu jenazah imam ini nak ditanam ke dalam liang lahad, sahabat-sahabat yang menggali kubur memberitahu, muncul pula pelbagai jenis bunga-bungaan yang datang entah dari mana, turut berada di dalamnya . Masa gali tadi takde. Elok aje mayat sampai, banyak pula munculnya. Cantik sungguh liang lahad dengan dihiasi bunga-bungaan tersebut, seolah-olah sedang meraikan dan menanti kedatangan bakal penghuni syurga!

SUBHANALLAH! SUBHANALLAH!

Tak tau apa lagi nak cakap betapa Allah SWT telah pun meletakkan hamba-Nya ini di maqam tertinggi dan dimuliakan Tambahan pula, ianya sudah pun dipertontonkan pada umat Islam lain, agar memahami dan menegerti bahawa inilah balasannya. pada orang yang beramal soleh serta taat dan patuh pada perintah-Nya! Sesungguhnya Allah itu tidak memungkiri janji-NYa!

Seperti biasalah, ustaz M pasti tak akan puas hati kalau tak bertanya pada isteri yang dimuliakan Allah imam tersebut tentang apakah amalan si arwah pada masa hidup sehinggakan jenazahnya mendapat pengikhtirafan sebegitu rupa sejak dari alam dunia lagi.

Menurut kata isteri arwah imam tersebut, sepanjang dia hidup bersamalah, perkara yang dia perasan, amalan imam itu semasa hayatnya kalaulah ia boleh dijadikan ukuran, ialah tidak pernah meninggalkan solat sunat Dhuha dan solat sunat Witir. Inilah amalan istiqamahnya. Setiap malam, sebelum arwah menutup dairi kehidupannya hari itu dan tidur, pasti dia akan menunaikan solat witir. Setiap hari, sehinggalah ke pengakhiran hayatnya, ditambah pula oleh amalan-amalan lain yang dilakukan sebagai seorang yang menjawat jawatan sebagai seorang imam untuk kawasan tersebut.

Wallahua’lam.

“...Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”. (Surah Yusuf: 101)

Sunday, June 27, 2010

DEWAN HUFFAZ KEBANGSAAN


Memartabat institusi tahfiz

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kerajaan mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha memartabatkan golongan penghafaz al-Quran dan institusi tahfiz di negara ini apabila menubuhkan Dewan Huffaz Kebangsaan.

Pelancaran institusi itu yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini membuktikan kesungguhan kerajaan meletakkan golongan huffaz pada kedudukan sewajarnya.

Jamil Khir pada sidang akhbar selepas itu berkata, antara tujuan penubuhan institusi itu adalah untuk membantu penuntut-penuntut maahad tahfiz swasta dan persendirian mendapatkan sijil yang diiktiraf.

"Dengan kejayaan kita melancarkan penubuhan Dewan Huffaz Kabangsaan ini, insya-Allah kita akan memperkenalkan Sijil Khatam Hafazan. Secara asasnya, melalui sijil ini masalah ketidakseragaman sijil serta sijil tidak diiktiraf dapat diselesaikan.

"Ini bermakna setiap hafiz al-Quran yang menyelesaikan pengajian mereka di mana-mana madrasah atau institusi yang tidak diiktiraf berpeluang menduduki ujian untuk mendapatkan sijil tersebut bagi membolehkan mereka diberi pengiktirafan akademik yang sepatutnya,'' katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil Khir berkata, di peringkat ini Darul Quran Jakim yang merupakan urus setia bagi institusi berkenaan sedang memperincikan syarat-syarat yang membolehkan penuntut maahad tahfiz swasta dan persendirian mengambil ujian berkenaan.

"Sudah tentu syarat-syarat tersebut tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu antara lain mengambil kira pencapaian akademik.

"Selain melibatkan institusi swasta dan persendirian di negara ini, ia turut membabitkan para huffaz yang menjalani pengajian tahfiz di institusi-institusi luar negara yang tidak diiktiraf,'' katanya lagi.

Terdahulu di dalam ucapannya Jamil Khir berkata, institusi tersebut berperanan mengumpulkan para huffaz dan institusi tahfiz seluruh negara di dalam satu wadah rasmi yang diiktiraf oleh kerajaan.

"Dengan adanya penyatuan tersebut ia memberi kelebihan untuk kita menggunakan setiap kebolehan dan kelebihan mereka dalam memberi sumbangan kepada umat Islam lain melalui kaedah yang lebih tersusun dan bersistematik.

"Saya juga memberi jaminan bahawa penubuhan dewan ini bukan untuk mengawal atau mencampuri urusan pentadbiran dan sukatan madrasah masing-masing tetapi untuk memartabatkan lagi bidang tahfiz di negara ini,'' katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, jumlah penghafaz al-Quran yang selesai menghafaz 30 juzuk al-Quran di seluruh negara dianggarkan antara 5,000 hingga 6,000 orang.

"Angka ini berdasarkan kewujudan 281 institusi tahfiz yang disahkan. Bagi institusi tahfiz kelolaan kerajaan sama ada oleh Jakim atau negeri, jumlah penghafaz yang direkodkan ialah 2,908 orang,'' ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jawi akan meneruskan usaha memberi sagu hati RM6,000 setahun kepada penghafaz 30 juzuk al-Quran.


Ulasan:

Hadrat Abdullah bin 'Amr r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Akan dikatakan kepada Sohibul-Quran (orang yang ahli dengan al-Quran: "Bacalah, dan tingkatkanlah (darjatmu di dalam syurga), dan ber'tartil'lah (dalam bacaan mu) sebagaimana kamu membaca dengan tartil di dunia dahulu; Sesungguhnya tempat mu (yakni kedudukan darjat kamu di syurga ini)adalah pada ayat yang terakhir kamu baca."
(Diriwayatkan oleh Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya)

Allamah Mulla 'Ali Qari rah.a. telah menerangkan dengan terperinci berkenaan ungkapan 'Sohibul-Quran' di dalam hadis ini di mana beliau menyimpulkan bahawa kelebihan ini hanyalah untu para hafiz.

Dinukilkan daripada kitab Jam'ul-Fawaaid daripada Tabrani bersumber daripada Hadrat Anas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Sesiapa yang mengajar anaknya membaca al-Quran, maka segala dosanya diampunkan dan sesiapa yang menjadikan nakanya hafiz al-Quran akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan cahaya wajahnya seperti bulan purnama dan akan dikatakan kepada anaknya, 'Mulakan bacaanmu!". Apabila anak itu membaca satu ayat, maka satu darjat bapanya akan ditinggikan dan demikianlah sehingga keseluruhan ayat al-Quran itu habis dibacakan."

Hadrat Syaikhul-Hadith Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a. menyatakan, dapat diketahui daripada banayak hadis bahawa tingkat-tingkat dalam syurga adalah sebanyak bilangan ayat dalam al-Quran. Maka seseorang yang menghafaz seluruh al-Quran akan berada pada tingkat yang paling tinggi di dalam syurga.

Mula 'Ali Qari rah.a. menuliskan bahawa dalam sebuah hadis terdapat kenyataan bahawa tidak ada tingkat yang lebih tinggi di dalam syurga melainkan tingkat yang dianugerahkan kepada pembaca al-Quran. Dengan ini para hafiz akan naik tingkat demi tingkat di dalam syurga berkadar dengan jumlah ayat yang telah mereka baca.

Wahai para hafiz... alangkah dicemburui nikmat ini!
Blog Widget by LinkWithin