Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Sunday, June 27, 2010

DEWAN HUFFAZ KEBANGSAAN


Memartabat institusi tahfiz

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kerajaan mengorak satu lagi langkah ke hadapan dalam usaha memartabatkan golongan penghafaz al-Quran dan institusi tahfiz di negara ini apabila menubuhkan Dewan Huffaz Kebangsaan.

Pelancaran institusi itu yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Muktamar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini membuktikan kesungguhan kerajaan meletakkan golongan huffaz pada kedudukan sewajarnya.

Jamil Khir pada sidang akhbar selepas itu berkata, antara tujuan penubuhan institusi itu adalah untuk membantu penuntut-penuntut maahad tahfiz swasta dan persendirian mendapatkan sijil yang diiktiraf.

"Dengan kejayaan kita melancarkan penubuhan Dewan Huffaz Kabangsaan ini, insya-Allah kita akan memperkenalkan Sijil Khatam Hafazan. Secara asasnya, melalui sijil ini masalah ketidakseragaman sijil serta sijil tidak diiktiraf dapat diselesaikan.

"Ini bermakna setiap hafiz al-Quran yang menyelesaikan pengajian mereka di mana-mana madrasah atau institusi yang tidak diiktiraf berpeluang menduduki ujian untuk mendapatkan sijil tersebut bagi membolehkan mereka diberi pengiktirafan akademik yang sepatutnya,'' katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad dan Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali.

Jamil Khir berkata, di peringkat ini Darul Quran Jakim yang merupakan urus setia bagi institusi berkenaan sedang memperincikan syarat-syarat yang membolehkan penuntut maahad tahfiz swasta dan persendirian mengambil ujian berkenaan.

"Sudah tentu syarat-syarat tersebut tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam iaitu antara lain mengambil kira pencapaian akademik.

"Selain melibatkan institusi swasta dan persendirian di negara ini, ia turut membabitkan para huffaz yang menjalani pengajian tahfiz di institusi-institusi luar negara yang tidak diiktiraf,'' katanya lagi.

Terdahulu di dalam ucapannya Jamil Khir berkata, institusi tersebut berperanan mengumpulkan para huffaz dan institusi tahfiz seluruh negara di dalam satu wadah rasmi yang diiktiraf oleh kerajaan.

"Dengan adanya penyatuan tersebut ia memberi kelebihan untuk kita menggunakan setiap kebolehan dan kelebihan mereka dalam memberi sumbangan kepada umat Islam lain melalui kaedah yang lebih tersusun dan bersistematik.

"Saya juga memberi jaminan bahawa penubuhan dewan ini bukan untuk mengawal atau mencampuri urusan pentadbiran dan sukatan madrasah masing-masing tetapi untuk memartabatkan lagi bidang tahfiz di negara ini,'' katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, jumlah penghafaz al-Quran yang selesai menghafaz 30 juzuk al-Quran di seluruh negara dianggarkan antara 5,000 hingga 6,000 orang.

"Angka ini berdasarkan kewujudan 281 institusi tahfiz yang disahkan. Bagi institusi tahfiz kelolaan kerajaan sama ada oleh Jakim atau negeri, jumlah penghafaz yang direkodkan ialah 2,908 orang,'' ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jawi akan meneruskan usaha memberi sagu hati RM6,000 setahun kepada penghafaz 30 juzuk al-Quran.


Ulasan:

Hadrat Abdullah bin 'Amr r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Akan dikatakan kepada Sohibul-Quran (orang yang ahli dengan al-Quran: "Bacalah, dan tingkatkanlah (darjatmu di dalam syurga), dan ber'tartil'lah (dalam bacaan mu) sebagaimana kamu membaca dengan tartil di dunia dahulu; Sesungguhnya tempat mu (yakni kedudukan darjat kamu di syurga ini)adalah pada ayat yang terakhir kamu baca."
(Diriwayatkan oleh Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban di dalam kitab sahihnya)

Allamah Mulla 'Ali Qari rah.a. telah menerangkan dengan terperinci berkenaan ungkapan 'Sohibul-Quran' di dalam hadis ini di mana beliau menyimpulkan bahawa kelebihan ini hanyalah untu para hafiz.

Dinukilkan daripada kitab Jam'ul-Fawaaid daripada Tabrani bersumber daripada Hadrat Anas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Sesiapa yang mengajar anaknya membaca al-Quran, maka segala dosanya diampunkan dan sesiapa yang menjadikan nakanya hafiz al-Quran akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan cahaya wajahnya seperti bulan purnama dan akan dikatakan kepada anaknya, 'Mulakan bacaanmu!". Apabila anak itu membaca satu ayat, maka satu darjat bapanya akan ditinggikan dan demikianlah sehingga keseluruhan ayat al-Quran itu habis dibacakan."

Hadrat Syaikhul-Hadith Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a. menyatakan, dapat diketahui daripada banayak hadis bahawa tingkat-tingkat dalam syurga adalah sebanyak bilangan ayat dalam al-Quran. Maka seseorang yang menghafaz seluruh al-Quran akan berada pada tingkat yang paling tinggi di dalam syurga.

Mula 'Ali Qari rah.a. menuliskan bahawa dalam sebuah hadis terdapat kenyataan bahawa tidak ada tingkat yang lebih tinggi di dalam syurga melainkan tingkat yang dianugerahkan kepada pembaca al-Quran. Dengan ini para hafiz akan naik tingkat demi tingkat di dalam syurga berkadar dengan jumlah ayat yang telah mereka baca.

Wahai para hafiz... alangkah dicemburui nikmat ini!

1 comment:

shameel Iskandar said...

Salam ustaz.

mudah-mudahan hasrat kerajaan ingi nmelahirkan hafiz al-Quran yang berkualiti betul2 menjadi kenyataan.

Blog Widget by LinkWithin