Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Thursday, June 24, 2010

Majalah Solusi Bil. 20: Sebaik-Baik Umat

Allah s.w.t., Tuhan yang telah menciptakan manusia daripada tiada kepada ada, yang telah menciptakan umat-umat sejak Adam a.s. sehinggalah bayi yang terakhir dilahirkan sebelum tiupan sangkakala yang akan menamatkan hayat alam ini, dengan jelas telah menyatakan fadilat umat Muhammad s.a.w. melalui firman-Nya:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…”(Surah Aali ‘Imran 3: 110)

Ini adalah fadilat yang nyata berkenaan umat ini. Berkat nisbat kita dengan Rasulullah s.a.w., kita telah dimuliakan sebagai ‘Khairal-ummah’ (umat yang terbaik). Manakala di tempat yang lain, Allah s.w.t. menyatakan:

“Dan Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang ang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…” (Surah al-Baqarah 2:143)

Umat ini diberikan sandang kemuliaan oleh Allah s.w.t. sebagai umat pilihan serta umat yang terbaik. Ini merupakan fadilat yang besar. Adalah amat malang, jika umat pilihan lagi terbaik ini, terkena wabak ‘inferiority complex’ (rasa hina diri) apabila berdepan dengan umat-umat yang lain.

Melalui dua ayat suci di atas, tanpa meninjau mana-mana tafsir sekalipun, adalah dapat difahami bahawa Allah s.w.t. tidak pernah meletakkan syarat kemuliaan umat ini dengan sebarang syarat kebendaan. Allah s.w.t. hanya mengaitkan syarat kemuliaan tersebut dengan amal-amal umat ini.

Hadrat Saiyiduna Umar ibnu al-Khattab r.a. semasa memberikan komentar kepada ayat 110 surah Aali ‘Imran berkata: “Jika Allah mahu, Allah boleh menggunakan ungkapan ( أنتم ) yang membawa makna kita semua, tetapi Dia telah menggunakan ungkapan ( كنتم ) yang membawa makna khusus kepada para Sahabat Nabi Muhammad s.a.w., dan sesiapa yang melakukan seperti apa yang dilakukan oleh mereka (yakni para Sahabat); mereka itulah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia.” (HR Ibnu Jarir daripada as-Suddiy sebagaimana dicatatkan dalam Kanzul-‘Ummal)

Bersumber daripada Qatadah r.a., beliau mengatakan bahawa, “Diceritakan kepada kami bahawa Umar ibn al-Khattab r.a. telah membaca ayat ini (Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia…), kemudiannya berkata, “Wahai manusia! Sesiapa yang suka untuk menjadi sebahagian daripada ayat ini, maka tunaikanlah syarat Allah (yang terkandung) di dalamnya.” (HR Ibnu Jarir daripada Qatadah sebagaimana dicatatkan dalam Kanzul-‘Ummal)

Memperjelaskan lagi fadilat umat ini, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Kamu mencukupi tujuh puluh umat, kamu yang terbaik dalam kalangan mereka dan termulia di sisi Allah s.w.t.” (HR Ahmad dan at-Tirmizi, at-Tirmizi mengatakannya sebagai hadis hasan)

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ahli syurga ada seratus dua puluh saf; umat ini adalah tujuh puluh saf daripada kalangan mereka itu.”(HR Imam Ahmad ibn Hanbal)

Demikianlah, Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. bukan sahaja menggunakan manhaj fadhail ini kepada amalan atau perlakuan sesuatu ibadah mahdhah (ibadah khusus) seperti solat, puasa, sedekah, haji, zikir dan tilawah; malah merangkumi sama perkara-perkara lain yang ada kaitan dengan umat ini.

Fadilat bukan sahaja bererti ganjaran, pahala dan manfaat kepada sesuatu amalan. Di dalam bahasa Arab, fadilat juga merujuk kepada kemuliaan. Maka begitu juga, Allah s.w.t. akan menyatakan kemuliaan seseorang atau ketinggian nilai sesuatu perkara menggunakan pendekatan fadhail ini.

Sesungguhnya manhaj tarbiah melalui pendekatan fadhail, targhib dan tarhib serta tabsyir dan inzar, merupakan tarbiah rabbaniah serentak nabawiyah yang telah membentuk generasi terdahulu umat ini sehingga benar-benar menjadi umat yang terbaik!

3 comments:

karguzaridakwahiman said...

salam,

Jazakallah khair ustadz, nak letakkan quote Qatadah r.a di sidebar.

Err.. pic ijtima tu dimasukkan sekali dalam majalah ker?

karguzaridakwahiman said...

bertanya lagi, itu hadith atau kata-kata Umar r.a?

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

karkuzaridakwahiman,

Ahlan bik, gambar tu dalam blog saya jer... hehe..

Itu namanya Athar.. kata2 sahabat.. tetapi kerana kata2 tu drpd Saiyidina Umar, kekuatannya diiktiraf sbg hujah.

wallahualam.

wassalam.

Blog Widget by LinkWithin