Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Friday, December 12, 2008

Utusan Malaysia, 8 Disember 2008


Pada hari pertama Aidil Adha, alhamdulillah, artikel saya yang bertajuk: "Ibadat Haji Pemacu Kemajuan Sosio-ekonomi Ummah" telah disiarkan oleh Utusan Malaysia.



Artikel tersebut boleh dibaca melalui Arkib Berita Utusan di: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Catatan Aidil Adha 1429H

15 Zulhijjah 1429H

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah, masih diizinkan untuk meneruskan kehidupan di dunia ini. Kehidupan yang merupakan medan ujian, bagi menentukan bentuk dan corak kehidupan yang tiada penyudahnya, kehidupan yang kekal abadi. Abadi dan abadi.

Nampaknya, Aidil Adha kali ini masih lagi disambut dengan penuh keterujaan di kampung saya. Walaupun tahun ini, saya atau isteri tidak melakukan ibadah korban di kampung, kemeriahannya masih seperti dulu. Tahun ini saya lakukan akikah untuk anak saya melalui program akikah dan korban di Kemboja. Bila saya tahu bahawa syarikat yang menguruskan program tersebut, akan mengasingkan antara daging korban dan akikah; di mana daging akikah akan dimasak dan dijamu kepada saudara-saudara kita di Kemboja, saya ambil keputusan untuk mengakikahkan anak saya melalui program ini. Alhamdulillah.

Tahun ini, hanya bapa saya yang melakukan ibadah korban satu bahagian. Lembu yang diambil ialah lembu Pak Cu Soh, datuk saudara saya. Tidak silap saya, lima ekor lembu Pak Cu yang dikorbankan tahun ini. Alhamdulillah, lembu korban bahagian bapa saya, adalah lembu yang mula-mula sekali disembelih.

"Cepat la sikit sudahnya ni...", kata hati saya.

Di kampung saya (dan juga boleh dikatakan di seluruh Kelantan), setiap ekor lembu akan diuruskan oleh tujuh tuan korbannya. Masing-masing akan merebahkan lembu, melapah dan membahagikan daging-daging kepada tujuh bahagian untuk diambil oleh tuan masing-masing. jadi ibadah korban tidak dilakukan secara centralise. Tuan lembu pula, akan menyediakan makan tengahari untuk semua orang yang bergotong-royong menguruskan lembu korban tadi. Jadi terasa sungguh suasana ibadah korban dan hari raya korban 'tu.

Kali ini, semua adik beradik saya yang berada di tanah air balik ke kampung. Dua orang lagi adik saya sedang mengerjakan ibadah haji. Semoga Allah mengurniakan haji yang mabrur kepada mereka. Disebabkan semua balik, bilik di rumah bapa semua penuh. Jadi saya ambil keputusan untuk menumpang di rumah Abuji, bapa saudara sebelah isteri saya.

Walaupun bapa saudara, tetapi hubungan kami seperti anak dengan bapa. Inilah kelebihan keluarga isteri saya. Hubungan kekeluargaan antara anak saudara dan bapa saudara, bapa sepupu atau datuk saudara, amat rapat sekali. Banyak yang saya pelajari tentang kekeluargaan dan silaturahim daripada cara hidup keluarga sebelah isteri saya.

Apabila menyentuh tentang Aidil Adha, kita akan sering diperingatkan tentang pengorbanan. Lebih spesifiknya, pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim, Ismail dan Hajar 'alaihimus-salam. Maka kita akan diperingatkan tentang peristiwa mimpi Nabi Ibrahim a.s. menyembelih anaknya Ismail. Serta betapa cekal dan ikhlasnya Ismail menerima perintah Allah untuk disembelih. Diiringi betapa hebatnya sabar dan redha seorang muslimah yang bernama Hajar menghadapi perintah ini. Sudahlah baru saja melahirkan anak, ditinggalkan suami di tengah lembah kontang Bakkah untuk membesarkan anaknya Ismail berseorangan diri, kini suaminya yang telah berbelas tahun meninggalkannya muncul dan mahu menyembelih anaknya sebagai korban. Inilah kisah hebat dan benar yang telah dirakamkan oleh Allah di dalam Al-Quran.

Bagaimanapun, kisah hebat pengorbanan agung ini, akan bertambah lengkap jika kita sedar bahawa kisah ini sebenarnya adalah satu kisah kekeluargaan. Kisah satu keluarga yang dipenuhi dengan keimanan. Inilah asas pengorbanan. Keimanan seorang bapa. Keimanan seorang suami. Keimanan seorang isteri. Keimanan seorang ibu. Keimanan seorang anak. Kisah ini telah dirakamkan untuk dikekalkan sehingga hari Kiamat. Kisah mereka ialah kisah keimanan yang membuahkan pengorbanan. Pengorbanan demi meninggikan kalimah Allah. Pengorbanan demi menyebarkan hidayah untuk umat manusia.
Maka, disamping keghairahan kita melakukan ibadah korban dengan menyembelih unta, lembu dan kambing; kita perlu juga fikirkan, bagaimana kita juga dapat membina sebuah keluarga yang menjadikan keimanan sebagai asasnya dan sentiasa bersedia untuk melakukan pengorbanan demi Allah, Rasul dan perjuangan menegakkan agama-Nya!
Blog Widget by LinkWithin