Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Tuesday, November 3, 2009

ARTIKEL SOLUSI BIL. 13: Hubungan antara Fadhail A'maal dan Iman

Majalah SOLUSI Bil. 13 telah berada di pasaran. Alhamdulillah, artikel untuk kolum Fadhail A'maal saya masih dapat diteruskan sebagaimana biasa. Muka suratnya masih pada halaman ke-65. Apa yang saya letakkan dalam masukan ini, tidak semestinya sama dengan yang diterbitkan di dalam SOLUSI. Sebagaimana maklum, artikel di dalam SOLUSI telah melalui proses editan. Apa yang saya perturunkan di sini ialah artikel asal sebagaimana yang ada dalam laptop saya. Semoga ada manfaatnya!

Nukilan (1):

Riwayat berasal daripada Abi Maalik Al-Asy’aari r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Bersuci dengan berwudhuk itu sebahagian daripada iman; ungkapan ‘Alhamdulillah’ itu memenuhi neraca timbangan; ungkapan ‘Subhanallahi wal-hamdulillah’ itu memenuhi keduanya segala langit dan bumi; solat itu adalah nur; sedekah itu adalah bukti; sabar itu sinar cahaya dan Al-Quran itu sama ada hujah bagi pihakmu atau bagi menentangmu…” (HR Muslim, Bab Fadhilat Wudhuk)

Imam Mula Ali Qari di dalam kitab Mirqatnya menyatakan, makna ‘Berwudhuk itu adalah sebahagian iman’ kerana iman itu adalah kesucian hati daripada syirik manakala wudhuk itu kesucian anggota badan daripada hadas dan najis. Kalimah ‘Subhanallahi wal-hamdulillah’ dikatakan memenuhi langit dan bumi, maknanya pahala dan ganjaran bagi ungkapan ini akan memenuhi langit dan bumi. Solat pula dikatakan sebagai nur bermaksud solat akan menjadi cahaya di alam kubur dan dalam kegelapan hari Kiamat. Imam An-Nawawi di dalam syarah Muslimnya pula menyatakan, maknanya ialah solat itu akan menegah pelakunya daripada maksiat, mencegah daripada perkara keji dan mungkar, memberi petunjuk kepada perkara yang benar sebagaimana cahaya itu menjadi penyuluh dan penerang kepada manusia. Mungkin juga ia bermaksud, bahawasanya solat itu akan menjadi cahaya yang zahir di wajah pelakunya pada hari Kiamat, malah semasa kehidupan dunia pun akan menjadi cahaya yang berseri-seri pada wajahnya.

Imam Mula Ali Qari menyatakan, ‘sedekah itu adalah bukti’ bermaksud ia akan menjadi bukti atas iman seseorang mukmin itu, manakala orang munafik akan tertegah daripadanya. ‘Sabar itu sinar cahaya’, Imam An-Nawawi menjelaskan, maknanya sabar yang telah ditentukan di sisi syarak iaitu sabar atas mentaati Allah, sabar dalam meninggalkan maksiat kepadaNya dan juga sabar atas segala cubaan kesusahan dan perkara-perkara yang tidak diingini dalam kehidupan dunia ini; dan yang dikehendaki dengan ungkapan ini ialah sabar itu amat terpuji dan tuan empunya sabar ini akan sentiasa disinari dan diberikan petunjuk secara berterusan atas perkara yang benar. Manakala ungkapan ‘Al-Quran itu sama ada hujah bagi pihakmu atau bagi menentangmu’, Imam An-Nawawi menyatakan, maksudnya adalah jelas bahawa ‘engkau akan mendapat manfaat daripadanya jika engkau membacanya dan beramal dengan kandungannya, jika tidak maka Al-Quran yang akan menjadi hujah mendakwa ke atas engkau.’

Berasal daripada ‘Uthman bin Affan r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang berwudhuk, lalu mengelokkan wudhuknya, keluarlah segala dosa daripada badannya hingga akan keluar daripada bawah-bawah kukunya.” (HR Muslim, Bab Keluarnya Dosa-Dosa)

Riwayat berasal daripada ‘Uthman bin Affan r.a., katanya, “Aku dengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah seseorang hamba Allah itu menyempurnakan wudhuknya, melainkan Allah akan mengampunkan dosanya yang terdahulu mahupun yang terkemudian.” (HR Al-Bazzar dengan perawi-perawinya adalah dipercayai dan hadis ini bertaraf hasan, insya Allah. Sebagaimana dipetik daripada kitab Majma’uz-Zawaaid).

Riwayat berasal daripada Abu Umamah r.a., katanya, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sesiapa yang berwudhuk untuk mendirikan solat, kemudian dia membasuh kedua pergelangan tangannya, maka gugurlah dosa-dosa daripada tapak tangannya bersama titisan air yang pertama; apabila dia berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dan menghembuskannya keluar, gugurlah dosa-dosa daripada lidahnya dan dua bibirnya bersama titisan air yang pertama; dan apabila dia membasuh mukanya, maka gugurlah dosa-dosa daripada pendengarannya dan penglihatannya bersama titisan air yang pertama; apabila dia membasuh tangannya hingga ke siku dan kakinya hingga ke buku lali, maka akan terselamatlah dia daripada dosa-dosanya dan daripada segala kesalahannya sebagaimana hari semasa ibunya melahirkannya.” Sabda baginda lagi, “Dan apabila dia berdiri untuk bersolat, maka Allah akan mengangkat darjatnya; dan apabila dia duduk (yakni tidak bersolat pun), maka duduknya itu juga menghapuskan dosa-dosanya.” (HR Ahmad di dalam Musnadnya)

Nukilan (2):

Fardhu wudhuk enam perkara:
(1) Niat: Niat mengambil wudhuk hendaklah ketika mula-mula membasuh sebahagian daripada mukanya;
(2) Membasuh muka: Had muka ialah antara tempat tumbuh rambut hingga kesudahan dagunya dan dari anak telinga kanan ke anak telinga kiri;
(3) Membasuh kedua tangan hingga ke siku;
(4) Menyapu kepala: Menyapu satu juzuk dari kulit kepala atau menyapu sebahagian rambut kepala yang berada dalam had kepala walaupun seurat atau sebahagiannya;
(5) Membasuh dua kaki hingga dua buku lali;
(6) Tertib: Tertib ialah mengikut susunan seperti di atas.
(Dipetik dan diringkaskan daripada Kitab Matla’ Al-Badrain wa Majmu’ Al-Bahrain oleh Almarhum Syaikh Muhammad bin Ismail asy-Syaikh Daud Fatani)

Di antara dua nukilan di atas, nukilan manakah yang membuatkan iman bergelora dan hati rasa teruja untuk kita bangun dan mengambil wudhuk?

Tentulah nukilan yang pertama lebih dekat dengan hati kita, lebih menarik perhatian jazbah keimananan kita serta lebih menimbulkan rasa ihtisab (mengharapkan ganjaran Allah dengan yakin yang sempurna kepada janji-janjiNya) kita.

Sesungguhnya, Fadhail A’maal mempunyai kesan yang langsung kepada keimanan seseorang kepada Allah. Ia mempunyai impak yang sangat kuat dalam menimbulkan kemanisan iman dan rasa taqarub seorang hamba dengan Tuhannya. Ia dapat mendidik hati agar hanya bertawajuh kepada apa yang disukai Allah dan perkara yang dicintaiNya. Inilah kesan tarbiah yang telah membentuk peribadi hebat generasi Sahabat dan salafus-soleh selepas mereka.

Kita pula bagaimana?

8 comments:

Ishak Zaini said...

Aslmkm..

Subhanallah..
Satu perbandingan yang menarik..
jelas fadail amal sangat berkait rapat dengan iman serta dapat menolak kita utk beramal..
dua2 penting, cuma sebagai nak membandingkan mana satu yang dapat mendorong dan memberi semangat kepada kita utk beramal.

hari ini agama telah menjadi yatim..
tiada kekurangan dalam ilmu agama,
kitab2, pusat2 ilmu dll begitu banyak.
kekurangan hari ini adalah kurang dalam mengamalkan agama..
masjid2 kekosongan..
sungguh menyedihkan bila lebih banyak sejadah dari orang..
quran tak dibuka..
ayat2 quran sekadar jadi hiasan..
tasbih2 digantung sahaja..

kata asy syaikh ad ad da'iyah maulana muhammad Ilyas: hari ini tempat amal telah diambil oleh muzakarah. banyak cakap tapi kurang amal.
jadi kita kena ubah keadaan supaya lebih banyak amal dari bercakap.

saya membayang2kan juga..

antara mendengar fadilat2 solat berbanding mndengar rukun2 solat..

antara dengar fadilat2 quran berbanding mendengar jenis2 bacaan.

antara mnedengar fadilat2 mengimarahkan masjid berbanding mendengar peranan masjid etc..

antara fadilat dakwah berbanding dengan jenis2 dakwah..

moga Allah beri taufik utk kita amalkan agama..moga Allah beri kita faham agama sebagaimana sahabat2 ra faham agama..

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Ishak,

Satu perkongsian fikr yang amat dihargai...

Jazakumullah.

Wassalam.

haSan faTula said...

Assalamualaikum wrt. wbt.

Masya Allah, satu perkongsian ilmu yang bermanfaat untuk masyarakat Islam.

Hanya mereka yang mempunyai keyakinan yang teguh kepada Kalamullah dan Qaul Rasulullah serta mendapat taufik, dapat beramal. Walaupun hanya sedikit kata-kata Rasulullah didengarinya, dapat memberi kesan kepada hati mereka dan melahirkannya melalui amalan.

Kurang kita dengar Kalamullah dan Qaulurrasul diperdengarkan khusus untuk menggalakkan umat Islam beramal untuk kehidupan yang kekal abadi, tetapi digunakan untuk sebaliknya.

Tahniah, teruskan ...

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

haSan,

Terima kasih atas perkongsian pandangan.

Semoga taufik Allah tetap bersama kita.

Jazakumullah...

normanshah said...

assalamualaikum....hubngan antara fadhhail amal dan iman saling berkait rapat...kedua-duanya saling diperlukan dan membantu antara satu sama lain..fadaail amal menggerakkan amal...amal bergerak menandakan iman sedang bergerak..lebih iman lebih amal..tanpa iman pergerakan ke arah perkara ghaib x kan berlaku..kalau berlaku pun dalan konsep yg salah...sehaluan itu...ilmu fadhaail amal dan usaha atas peningkatan iman perlu dijalankan serentak..wassalam

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

normanshah,

jazakallah... perkongsian hati ke hati yang amat dihargai.

wassalam.

simpleshida said...

salam alaik..
kaifa hal ya ust.. ;)
masyaAllah.. ana mmg suke tatap..hayati kalam ust.. ;) mmg menusuk ke kalbu ;)

tntg wuduk.. mmg boleh jd air penyejuk bile kite rse 'hOt' apetah lg rse spicy.hihi..

insyaallah ana akan folow sokmo kalam ust sebagai pedoman dan amalan harian..insyaallah..

barakallahu ya ust..
ilalliqa'.. wsslm

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Shida,

Terima kasih.

Jika ada manfaatnya, saya bersyukur.

Mohon kesudian kawan2 semua, utk doakan saya yang faqir ini.

jazakumullah.

wassalam.

Blog Widget by LinkWithin