Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Saturday, February 26, 2011

Rabiulawal 1432H (2)


Daripada al-Barra’ r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w telah mengutuskan Khalid ibn al-Walid kepada penduduk Yaman untuk mendakwah mereka kepada Islam. Kata al-Barra’, “Maka aku adalah salah seorang yang telah keluar bersama Khalid ibn al-Walid r.a., dan kami tinggal di sana selama enam bulan untuk mendakwahkan mereka kepada Islam, tetapi mereka tetap tidak menerimanya.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. menghantar Ali bin Abi Talib r.a. dan memerintahkan Khalid pulang (bersama jamaahnya) kecuali seorang daripada ahli jamaahnya yang suka untuk menyertai jamaah Ali maka dia boleh menyertainya.

Kata al-Barra’, “Maka akulah orangnya yang menyertai Ali itu”.

Tatkala kami telah menghampiri kaum tersebut, mereka pun keluar menemui kami. Lalu Ali pun tampil ke hadapan dan bersolat bersama kami. Kemudian Ali menyusun kami dalam satu barisan, lalu datang ke hadapan kami lantas membacakan kepada mereka surat Rasulullah s.a.w., maka seluruh Bani Hamdan telah menerima Islam.

Lalu Ali menulis surat kepada Rasulullah s.a.w. memaklumkan pengislaman mereka; apabila Rasulullah s.a.w. membaca surat tersebut, lantas Rasulullah s.a.w. terus bersujud.
Setelah mengangkat kepala baginda lalu bersabda, “Kesejahteraan ke atas Bani Hamdan! Kesejahteraan ke atas Bani Hamdan!”

(Berkata al-Baihaqi: Telah meriwayatkan al-Bukhari secara ringkas melalui jalan yang lain daripada Ibrahim bin Yusuf) [al-Bidayah wan-Nihayah].

Riwayat ini amat ringkas. Hadrat al-Barra’ yang menceritakan kisah ini sebenarnya telah menceritakannya dengan begitu ringkas. Sedangkan kita tahu, perjalanan daripada Madinah ke Yaman pada masa itu mengambil masa yang bukan singkat. Jamaah yang dipimpin oleh Saiyidina Khalid ibn al-Walid r.a. telah bergerak ke Yaman dan menjalankan usaha dakwah di sana selama enam bulan. Setelah itu, diarahkan untuk pulang ke Madinah setelah jamaah mereka disambung pula dengan jamaah Hadrat Ali bin Abi talib.

Maknanya, jamaah Saiyidina Khalid al-Walid r.a. telah menghabiskan masa tidak kurang lapan bulan untuk menyempurnakan ekspedisi dakwah ini. Saiyidina Khalid r.a. terkenal sebagai seorang yang cekal dan cerdas. Lalu jamaah yang dipimpinnya telah dihantar bagi merintis jalan-jalan hidayah. Mereka telah meninggalkan Madinah yang mereka sayangi, kaum keluarga yang dikasihi dan lebih-lebih lagi baginda Rasulullah s.a.w. sendiri yang amat mereka cintai. Perasaan mereka yang begitu suka untuk berada bersama Rasulullah s.a.w. telah dikorbankan atas maksud agama ini dapat disampaikan dan hidayah tersebar ke seluruh alam.

Inilah hakikat cinta. Mengutamakan kehendak orang yang dikasihi adalah lebih penting daripada kehendak sendiri. Para Sahabat pernah bernazam menyebutkan hal ini:

Aku mengingini untuk berdamping di sisinya
tetapi dia mengingini penghijrahanku;
maka ku tinggalkan keinginanku
demi memenuhi keinginannya.

Mereka faham, Rasulullah s.a.w. diutus oleh Allah untuk seluruh umat hingga ke saat berlakunya kiamat. Maka atas maksud agama mereka telah bertebaran seluruh alam. Pengorbanan yang sempurna telah diberikan. Diri, harta, masa, jiwa dan perasaan mereka telah dikorbankan demi hidayah Allah tersebar. Hasilnya, hidayah semakin bertambah kepada diri mereka sendiri dan telah tersebar ke seluruh alam.

Jamaah Saiyidina Khalid al-Walid r.a. telah keluar di jalan Allah selama lapan bulan. Natijahnya, setelah mereka pulang, melalui jamaah Hadrat Ali bin Talib r.a., Allah telah amkan hidayah-Nya kepada seluruh Bani Hamdan di Yaman.

Jika benar teori Prof. Syed Naquib al-Attas bahawa Islam sampai ke nusantara ini melalui Yaman, kemungkinan besar Islamnya nusantara ini, sahamnya semua tercatat di dalam buku amalan Saiyidina Khalid ibn al-Walid r.a. Jika benar begitu, dapatkah kita bayangkan betapa catatan di dalam buku amalan Saiyidina Khalid r.a. yang masih belum tertutup serta masih berterusan tulisan amal solehnya?

Allahu akbar!

Sunday, February 20, 2011

Rabiulawal 1432H (1)

Bulan Rabiulawal masih bersama-sama umat ini. Sekali lagi kunjungannya menyebabkan umat ini geger. Umat menjadi meriah dengan kesungguhan untuk meraikan sempena keputeraan baginda Rasulullah s.a.w. Bagi tahun 1432 Hijriah ini juga tidak terkecuali. Maulidur-Rasul s.a.w. adalah inisiatif ulamak terdahulu. Satu inovasi positif (bid'ah hasanah)demi kemaslahatan ummah. Iaitu sebagai satu sarana agar hati umat ini dihubungkan kembali dengan Rasulullah s.a.w. dan perjuangan baginda.

Syaikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyimpulkan, sememangnya sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah s.a.w. Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah s.a.w. dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah s.a.w. itu kekal di dalam hati dan juga ingatan. Sa'd ibn Abi Waqas r.a. mengatakan bahawa para sahabat begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah s.a.w. kepada anak-anak mereka seperti keghairahan mengajarkan anak-anak mereka surah-surah al-Quran. Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w., maka tidak perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulidur-Rasul kini. Manakala generasi terkemudian, telah semakin melupakan sejarah gemilang ini dan kesan-kesannya. Maka adalah elok jika diadakan sambutan Maulidur-Rasul s.a.w. ini, asalkan tidak bercampur dengan perkara yang khurafat dan maksiat.

Hasanah dan absahnya sambutan Maulidur-Rasul s.a.w. bukanlah semata-mata kerana Syaikh Dr Yusuf al-Qaradhawi mengatakan sedemikian, kerana beliau sebenarnya hanya mengungkapkan apa yang telah diputuskan oleh para ulamak muktabar yang terdahulu. Imam Ibnu Hajar al-'Asqalaani rah.a. contohnya telah menyatakan di dalam kitabnya Fathul-Bari syarah kepada Jami' Sahih Bukhari berkenaan hadis bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. datang ke Madinah maka beliau mendapati orang- orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura iaitu hari 10 Muharram, maka Nabi s.a.w. bertanya kepada orang Yahudi itu: "Kenapa kamu berpuasa pada hari Asyura?" Jawab mereka: "Ini adalah hari peringatan, pada hari serupa itu dikaramkan Firaun dan pada hari serupa itu Musa dibebaskan, kami berpuasa kerana bersyukur kepada Tuhan." Maka Nabi s.a.w. berkata: "Kami lebih patut menghormati Musa berbanding kamu." Kata Imam Ibnu Hajar, dari hadis ini dapat dipetik hukum iaitu, umat Islam dibolehkan bahkan dianjurkan memperingati hari-hari bersejarah, hari-hari yang dianggap besar umpamanya hari-hari Maulid, Mi'raj dan lain-lain. Malahan Nabi s.a.w. pun memperingati hari karamnya Firaun dan bebasnya Musa dengan melakukan puasa Asyura sebagai bersyukur atas hapusnya yang batil dan tegaknya kebenaran.

Demikianlah, menjelang sahaja Rabiulawal kehidupan umat ini akan bersemarak dengan sambutan hari kelahiran kekasih dan panutan mereka, Hadrat Habibillah Saiyidina Muhammad s.a.w. Pelbagai kaedah dan pendekatan diambil, bagi menyampaikan maksud sambutan ini. Selawat dan salam bergema. Hati-hati umat menjadi lembut dan bersinar dengan cahaya selawat dan ingatan kepada 'Cahaya' Rasulullah s.a.w.

Inilah harinya, hati umat ini kembali dibugarkan dengan kecintaan dan kerinduan kepada Saiyidina Khairil-Anam Muhammad s.a.w. 'Cahaya' daripada Allah s.w.t. ini telah menerangi gelita zaman, dan menjadi penyuluh kepada kebahagiaan insan hinggalah tibanya hari Kesudahan. Semarak sambutan ini mendorong pengukuhan hubungan hati umat ini dengan 'Cahaya' indah ini. Hubungan yang akan membawa umat ini untuk berusaha sekuat mungkin bagi mengikuti jejak-jejak bercahaya yang telah dipedomankan oleh Nurul-Anwaar (Cahaya kepada segala Cahaya) Saiyidina Muhammad s.a.w.

Benarlah firman Allah s.w.t. melalui kalamNya yang azali:


قَدْ جَاءكُمْ مّنَ ٱللَّهِ نُورٌ

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu daripada Allah akan satu Cahaya..."
(Surah al-Maidah 5: 15)

Imam al-Alusi di dalam kitab tafsir Ruhul-Ma'ani beliau menyatakan: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu daripada Allah akan satu Cahaya yang agung dan dialah cahaya kepada segala cahaya dan lagi Nabi pilihan (iaitu Muhammad) sallahu 'alaihi wa sallam)."

Semoga sambutan Maulidur-Rasul s.a.w. yang buat sekian kalinya ini, menjadikan hati dan kehidupan kita bercahaya. Pagi dan petang kita bercahaya. Siang dan malam kita bercahaya. Dunia dan akhirat kita bercahaya. Bercahaya dengan Cahaya murni Rasulullah s.a.w.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah at-Tahrim 66: 8)

Blog Widget by LinkWithin