Thursday, November 20, 2008
Peta Minda Surah Yaasiin
Memudahkan seseorang itu memahami isi kandungan surah Yaasiin
Oleh: Azran Jaffar
YAASIIN, surah ke-36 di dalam kitab suci al-Quran disebut sebagai hati al-Quran adalah antara surah yang kerap dibaca. Surah ini ‘dikeluarkan’ dan dijadikan kitab kecil , bagi memudahkan pembacaannya.
Namun, walaupun ramai yang menjadikan bacaan Yaasiin sebagai amalan terutama pada malam Jumaat selepas selesai fardu Maghrib, sementara menunggu waktu Isyak, mungkin juga tidak ramai yang memahami dengan mendalam apa yang dibaca.
Ini menyebabkan penghayatan terhadap maksud yang terkandung di dalam surah berkenaan bagaikan tidak sampai kepada pembacanya.
Bagi membantu masyarakat memahami kandungan surah Yaasiin dengan mudah, penceramah dan pendakwah, Mohd Gunawan Che Abdul Aziz mengambil inisiatif menghasilkan poster Peta Minda Huraian Surah Yaasiin.
Penerbitan poster berukuran A3 ini bagi memupuk sifat suka mengkaji dan mendalami ilmu agama di kalangan masyarakat dan ini membolehkan sesuatu amalan baik yang telah menjadi kelaziman, lebih banyak faedahnya yang dapat dimanfaatkan, katanya.
Mohd Gunawan berkata, amalan membaca surah Yaasiin sudah sebati dengan masyarakat kita, baik secara individu mahupun kolektif, maka amalan yang baik ini adalah sangat perlu dan dapat dilengkapkan dengan pemahaman serta penghayatan.
Ia sesuai dengan tujuan al-Quran itu sendiri diturunkan untuk menjadi petunjuk kepada mereka yang bertakwa, katanya.
“Kita tahu ramai yang rajin membaca Yaasiin, tetapi adakah mereka benar-benar faham apa yang mereka baca,” kata Mohd Gunawan.
Katanya, apabila sudah memahami surah Yaasiin, seseorang itu akan dapat membacanya dengan penghayatan tak kiralah sama ada membacanya sendirian atau sewaktu menghadiri majlis tahlil.
Gunawan berkata, dalam menggunakan peta minda itu, ada baiknya bagi mereka yang tidak memahami bahasa Arab, meletakkan bersama mereka terjemahan al-Quran dan bagi memahami surah Yaasiin dengan baik, sekurang-kurangnya terdapat tujuh isi utama iaitu:
1. Yaasiin sebagai satu daripada siri himpunan enam surah yang lain.
2. Perkataan Yaasiin adalah satu daripada huruf Al-Muqotto’at di dalam al- Quran.
3. Zaman pewahyuan surah Yaasiin
4. Ringkasan surah
5. Gelaran sebagai ‘hati al-Quran’
6. Pembahagian ayat-ayat
7. Kesimpulan isi kandungan
Gunawan berkata, sebagai satu daripada himpunan enam surah, seseorang itu perlu juga memahami surah 34, 35, 37, 38 dan 39 untuk dapat menghayati surah Yaasiin. Surah berkenaan ialah surah Saba, Fatir, As-Saffaat, Sod dan Az-Zumaar yang mana kesemuanya menyentuh perkara-perkara pokok mengenai kerohanian.
“Apabila surah Yaasiin dibaca dan dihayati bersama lima surah yang lain itu, barulah kita akan nampak mesej antara keenam-enam surah itu,” kata Mohd Gunawan.
Peta Minda Huraian Surah Yaasiin perlu dilihat dari isi pertama sehingga ketujuh yang mana sambil memahami ia juga mendorong seseorang itu untuk mengkaji, katanya.
Katanya, dengan menggunakan peta minda ini ia sebenarnya lebih memudahkan seseorang itu dalam memahami isi kandungan surah Yaasiin, berbanding nota yang mungkin datang dalam beberapa halaman.
Melalui peta minda yang dibuat sebagai ringkas dan senang pada mata, sekali pandang seseorang itu sudah dapat menangkap apa yang digambarkan.
Gunawan berkata, selain untuk pemahaman individu, peta minda ini juga boleh digunakan oleh guru agama di dalam kuliah agama mereka bagi memberikan huraian mengenai surah Yassin.
“Oleh kerana ada tujuh isi yang dibincangkan, maka satu isi boleh diperjelaskan dalam kuliah seminggu sekali misalnya, dan ini bermakna keseluruhan peta minda boleh digunakan selama kira-kira dua bulan,” katanya.
Gunawan berkata, surah Yaasiin disebut sebagai hati al-Quran kerana ia membicarakan peribadi terpenting iaitu Rasulullah dan ajaran terpenting iaitu wahyu dan akhirat, selain surah Yaasiin juga ada pemiliknya (Sohib).
Beliau berkata, ilham untuk menghasilkan Peta Minda Huraian Surah Yaasiin timbul selepas melihat isterinya yang bertugas sebagai gura agama menyediakan peta minda sebagai nota mengajar.
“Dengan mengambil contoh peta minda yang ada, seseorang itu boleh membuat peta mindanya sendiri untuk perkara-perkara lain seperti untuk berjaya dalam kerjaya dan perniagaan juga pengurusan,” katanya.
Katanya, peta minda memanfaatkan bagaimana otak berfungsi secara neurologi dan ia membolehkan seseorang itu mendapat gambaran menyeluruh berkenaan sesuatu subjek dan juga membolehkan perincian kandungan subjek berkenaan disusun dan dipersembahkan dalam bentuk yang sistematik dan jelas.
Namun, untuk peta minda surah Yaasiin ini, matlamat akhir Gunawan adalah supaya masyarakat dapat menghayati surah berkenaan dan dapat mempraktikkan di dalam kehidupan mereka.
-----------------
Nota: Ini adalah salinan laporan akhbar Berita Minggu yang membuat liputan mengenai Peta Minda Surah Yasin saya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
alhamdulillah, dua ilmu dimanfaatkan menjadi satu idea bernas. alfu syukran ya sheikh.. :)
Assalamu 'alaikum,
nhch,
Jazakillah, sudi singgah... :-)
Post a Comment