Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Wednesday, November 19, 2008

Titah Raja Nazrin

Hari 'ni, entah kenapa, semasa melayari bernama.com.my tadi, rasa tertarik pulak dengan laporan berita ini. Jadi saya memutuskan untuk abadikan dalam blog saya. Tuanku Raja Muda Perak 'ni, dalam banyak perkara saya begitu kagum dengan baginda. :-)

PETALING JAYA, 19 Nov (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah masyarakat pendatang di sesebuah negara perlu mempamerkan perasaan hormat dan penerimaan mereka terhadap tradisi, sejarah dan sistem kerajaan yang wujud di negara yang menerima mereka.

Bak kata pepatah Melayu 'Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung', titah baginda semasa merasmikan Forum Kepelbagaian Perkara mengenai Diaspora Dalam Komanwel kelima di Monash University di Bandar Sunway di sini.

"Oleh itu, anggapan bahawa beban tanggungjawab hanya terletak di bahu negara penerima mungkin tidak tepat," titah baginda apabila diminta memberi pendapat mengenai garis sempadan yang sepatutnya wujud antara hak seseorang individu dalam memilih cara hidupnya dan keperluan membentuk sebuah masyarakat yang utuh.

Raja Dr Nazrin bertitah bahawa di negara penerima, perbahasan awam tentang perkara berkaitan imigresen mempunyai kesan besar terhadap politik nasional dan hal ini terbukti apabila topik berkenaan menjadi isu utama dalam kempen pemilihan pemimpin di Australia dan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menurut baginda, pendatang sering dituduh mengganggu masyarakat sivil, menghabiskan peruntukan awam dan menyebabkan kadar upah menurun, tetapi pada waktu yang sama, pendatang yang berkemahiran dipuji kerana menjadi pemangkin bagi peningkatan inovasi dan pertumbuhan sektor teknologi.

"Hingga ke tahap pendatang membayar cukai dan berhak menerima manfaat daripada perkhidmatan awam, mereka juga mengalihkan beban cukai bersih kepada penduduk pribumi.

Apabila mereka menjadi warga negara, pendatang secara umumnya mendapat hak untuk mengundi, mengubah politik tempatan," titah baginda.

Menurut Raja Nazrin, negara asal masyarakat pendatang pula menerima durian runtuh apabila pendatang mengirim pulang wang yang besar jumlahnya walaupun daripada satu segi lagi, negara itu kehilangan pekerja yang berpendidikan tinggi.

Titah baginda manfaat ekonomi yang diraih oleh negara penerima juga tidak kurang besarnya apabila masyarakat pendatang membentuk sekumpulan tenaga kerja yang sentiasa bersedia untuk bekerja dengan tekun dan menjadi kelompok pembayar cukai serta membantu mewujudkan pasaran bagi barangan dan perkhidmatan yang pesat berkembang.

Mereka juga mengambil bahagian secara aktif dalam kehidupan sosial dan tadbir urus di negara angkat mereka, hinggakan ramai daripada mereka muncul sebagai pegawai tinggi kerajaan, ahli akademik yang cemerlang serta tokoh perniagaan terkemuka, titah baginda.

"Malaysia merupakan contoh ketara bagaimana diaspora Cina, India dan bangsa lain memainkan peranan penting dalam pembentukan negara yang lebih pelbagai sifatnya serta makmur.

Hari ini, kesemua mereka menjadi sebahagian penting dalam lanskap Malaysia.

Pada waktu yang sama, rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat boleh ditemui di serata dunia dan kebanyakan mereka menjadi orang terkemuka dalam pelbagai bidang," titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah diaspora hanya boleh serasi dengan masyarakat majmuk, yang bukan saja sanggup bertolak ansur, tetapi juga menghargai dan menggalakkan penyertaan aktif rakyat pelbagai kaum, budaya dan gaya hidup.

Dua asas paling penting dalam usaha melahirkan masyarakat majmuk, menurut baginda, ialah persamaan dan kesaksamaan.

Baginda bertitah prinsip persamaan dan kesaksamaan lebih memerlukan dasar integrasi, bukan dasar berkaitan asimilasi.

"Integrasi menerima dan mendapatkan; ia tidak memaksa. Ia menghormati dan menghargai perbezaan sebagai sesuatu yang patut diterima.

Integrasi menuntut wujudnya penyatuan manusia serta budaya, yang terikat oleh nilai bersama dan bekerjasama secara sukarela ke arah mencapai kebaikan bersama.

"Sebaliknya, asimilasi pula berusaha untuk mengubah bahasa, adat resam, agama dan malah, pandangan hidup.

Suatu ketika dulu, usaha pembinaan negara disangka tidak akan berjaya selagi perbezaan yang wujud, tidak ditenggelamkan dalam norma yang dominan. Selalunya, perkara ini dicapai melalui cara paksaan, yang tidak pernah mengenal belas kasihan."

"Atas nama perpaduan, masyarakat pendatang telah dipaksa supaya mengubah nama mereka, dihalang daripada menggunakan bahasa ibunda dan disekat daripada menyandang jawatan tertentu," titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah kaedah yang menggunakan integrasi dalam pembinaan negara sukar untuk dilaksanakan, dan dalam banyak hal, lebih sukar daripada cubaan untuk memaksa wujudnya asimilasi.

Dalam sejarah manusia, titah baginda, peperangan sering digunakan bagi memaksa masyarakat yang memiliki perbezaan supaya menyesuaikan diri dengan acuan yang sama, atau menerima akibat akan dipinggirkan.

Malang sekali, hari ini pun, masih terdapat golongan yang memilih untuk menangani perbezaan dengan memaksa golongan yang berbeza dengan mereka supaya mengalah.

"Mereka sering menangani perbezaan dengan mendesak agar diwujudkan persamaan sosio budaya, bukan melalui penyesuaian diri," titah baginda.

Baginda bagaimanapun bertitah bahawa puak yang mengamalkan pendekatan integrasi juga mengalami masalah sendiri, manakala sesetengah negara yang mengamalkan kepelbagaian budaya pula, akhirnya mempunyai banyak kelompok masyarakat yang terpinggir dan terasing.

"Setiap masyarakat hidup secara terkepung dalam kotak kecil masing-masing, tanpa mempunyai hubungan dengan masyarakat lain.

Masyarakat ini terlerai daripada ikatan atau kepentingan bersama yang mendasari masyarakat arus utama.

Mereka bersikap utilitarian terhadap negara angkat mereka iaitu semata-mata sebagai tempat untuk mencari rezeki, bukan sebagai tanah air yang perlu disayangi," titah baginda.

Sambil menyifatkan integrasi sebagai suatu proses yang berjalan secara beransur-ansur dan merangkumi pelbagai tindakan oleh beberapa generasi, Raja Dr Nazrin bertitah bahawa secara umumnya, masyarakat pendatang berkongsi keperluan dan kemahuan yang sama iaitu untuk mencari makan, wang untuk berbelanja, pendidikan untuk anak mereka dan untuk menikmati kehidupan bermakna.

"Mereka mengimpikan kediaman yang selesa, persekitaran yang selamat, penjagaan kesihatan yang baik serta perlindungan apabila sudah berusia lanjut.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka, terutama generasi berikutnya, tetap mengharapkan agar mereka memiliki semangat kekitaan serta jati diri yang tinggi. Untuk diterima oleh masyarakat terbanyak dan tidak dilayan sebagai orang asing," titah baginda.

Sehubungan itu, titah Raja Dr Nazrin, tindakan sesetengah kerajaan Komanwel memperkenalkan dasar berkaitan kepelbagaian dalam perkhidmatan awam masing-masing, merupakan langkah tepat dan bersifat responsif kerana ia boleh membawa pelbagai kesan seterusnya.

"Kepelbagaian perlu digalakkan di segenap peringkat, termasuk di peringkat kerajaan tempatan dan masyarakat. Idea di sebalik kepelbagaian budaya ialah negara yang mempunyai rakyat yang terdiri daripada latar belakang budaya yang berbeza, perlu membenarkan mereka menjalani kehidupan secara bebas, tanpa dipaksa melakukan perkara yang tidak mereka sukai," titah baginda.

Baginda bertitah bahawa masyarakat pelbagai budaya kini semakin menjadi perkara biasa.

Bagaimanapun, titah baginda, bercanggah dengan segala macam retorik yang wujud sekarang, amalan kepelbagaian budaya bukan merupakan sumber kekuatan kerana masyarakat manusia gagal dalam mewujudkan semangat kemasyarakatan apabila bangsa, budaya dan agama kini menjadi perkara yang begitu dominan.

"Apabila kita beranggapan bahawa fragmentasi sosial adalah sesuatu yang baik, bukan sesuatu yang buruk, maka ada sesuatu yang amat tidak kena.

Giroskop moral kita sudah terlalu jauh menyeleweng. Sekiranya kita terus mengikuti laluan sekarang, bahaya besar akan menanti kita.

"Kita mesti mengelakkan daripada terjerumus ke dalam kancah perkauman baru yang boleh membawa kerosakan, yang wujud pada zaman moden ini. Tidak ada perkara yang tidak boleh dielakkan.

Budaya boleh mewujudkan kerjasama dan boleh juga mengakibatkan berlakunya pertembungan."

Raja Dr Nazrin bertitah: "Kita perlu selamatkan agama daripada mereka yang ingin menyelewengkan kebenarannya dan menolak sikap radikal serta pelampau dalam pelbagai bentuk."

Persidangan dua hari itu dianjurkan Yayasan Kepelbagaian Budaya Australia dengan kerjasama Institut Kajian Gerakan Global Monash, Yayasan Komanwel, The Statesman of India dan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia.

Ia akan membincangkan pelbagai topik, termasuk peranan diaspora dalam membantu mencapai wawasan serta mandat Komanwel serta peranan yang boleh dimainkan oleh diaspora dalam membentuk dan melaksanakan program Komanwel.

-- BERNAMA

No comments:

Blog Widget by LinkWithin