Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Wednesday, August 19, 2009

Ramadhan Ya Ramadhan!

Hari ini atau pun esok ialah hari terakhir Sya'ban 1430H. Petang 'ni akan dilakukan rukyah hilal bagi menentukan tarikh Ramadhan Al-Mubarak. Walaupun sistem Hisab digunakan, namun rukyah mempunyai kuasa 'veto'. Maknanya, walaupun pengiraan falak telah dilakukan, dan telah terhasil satu kalendar melalui kaedah hisab ini, namun jika sabit ada yang nampak anak bulan (rukyah hilal) maka rukyah tadi akan membatalkan apa saja hisab. Ini adalah ketetapan yang Allah telah isytiharkan melalui Al-Quran:

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji..." (Al-Baqarah 2: 189)

"...Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain." (Al-Baqarah 2: 184)
Semalam, Allah bagi peluang untuk bersama-sama dengan warga Jabatan Perangkaan Malaysia, bersembang tentang sejauhmana sepatutnya Ramadhan dan program yang Allah telah aturkan di dalamnya, dapat kita manfaatkan bagi menggilap IQ, EQ, PQ dan SQ. Hari ini, semua orang mula bercakap tentang Spiritual Quotient (Kecerdasan Spiritual). Walaupun perkataan spiritual ataupun kerohanian 'tu diberikan definisi yang macam-macam. Cuma secara positifnya, orang semakin peka dengan kerohanian. Semua mula bercerita tentang SQ. Kursus-kursus SQ mula diminati. Bermacam-macam approach dan modul. Sebenarnya itulah fitrah manusia. Akhirnya, kita terpaksa akur, bahawa roh kita juga perlukan perhatian daripada kita.

Fizikal, material dan jasadi bukan tidak penting, malah amat penting. Tamsilannya, macam seseorang memelihara burung. Burung tersebut seekor burung yang amat cantik. Mahal pulak tu. Lalu tuan burung ini letakkan burung 'tu dalam satu sangkar. Sangkar yang cantik. Ditempa daripada emas. Bertambah hebatlah burung di dalam sangkar emas 'tu. Maka setiap hari, tuan burung ini akan basuh, gilap dan bersihkan sangkar emas 'tu. Berkilau-kilau. Malangnya, dek asyik tuan burung menggilap sangkar emasnya, terlupa dia untuk mengambil tahu tentang si burung. Makanan burung tidak diberi. Air si burung tidak berganti. Akhirnya, si burung telah sakit.. semakin lemah.. semakin lemah.. dan akhirnya mati.

Begitulah keadaan kita. Sangkar 'tu ibaratnya jasad kita. Burung 'tu ibaratnya rohani kita. Kita terlalu leka menguruskan 'sangkar' dan akhirnya rohani kita telah menderita. Rohani kita telah sakit. Tanda rohani kita sakit, macam bila badan kita sakit. Kita mula tidak berselera. Bagi air manis, kita rasa tawar. Makan nasi beriyani kita rasa pahit. Sebenarnya bukan air atau nasi 'tu yang 'tak sedap; tapi kita yang pahit mulut kerana tidak sihat. Begitulah juga bila kerohanian kita 'sakit'. Maka amalan-amalan agama 'ni kita akan rasa tidak 'manis', tidak lazat dan tidak enak. Sedangkan Rasulullah s.a.w. kata, iman itu ada manisnya. Halawatul-iman, kemanisan iman. Solat itu seronok, lalu digelar oleh Rasulullah s.a.w. solat itu sebagai 'qurratu ain', penyejuk mata. Tapi, bila rohani kita sakit, maka yang manis dan seronok ini, jadi kelat pahit untuk kita...

Kini Ramadhan kembali menjenguk kita. Mengetuk pintu kehidupan kita. Membawa bersamanya ribuan malaikat rahmat. Siang dan malamnya diliputi keberkatan yang melimpah-ruah. Bulan yang amat berkat. Satu amalan fadhu seperti melakukan 70 amalan fardhu di bulan lain. Satu amalan sunat, seperti melakukan amalan fardhu di bulan lain. Sedangkan beza darjat fadhu dengan sunat ialah seperti bezanya langit dan bumi. Huru-hara penghuni langit dengan kedatangannya. Bergembira penghuni kubur, dengan ketibaannya. Pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, dan pintu-pintu neraka akan ditutup. Doa-doa akan dimakbulkan. Seluruh ikan-ikan di laut akan memohon istighfar kepada orang yang berpuasa. Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan ihtisab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang mendirikan malam (dengan solat tarawih dan sebagainya, diampunkan segala dosanya yang lalu. Siang dan malam yang penuh dengan maghfirah. Tawaran keampunan berada di mana-mana. Tawaran pahala dan ganjaran yang berlipat-ganda. Tawaran rahmat yang memenuhi setiap detik dan saat hari-hari Ramadhan. Segalanya melambangkan betapa luasnya gembira dan redha Allah yang dapat kita raih melalui Ramadhan ini!

Bersediakah kita memanfaatkannya? Bersediakah kita memujuk rayu saudara kita yang lain, agar turut memanfaatnya? Jika begitu, apa yang perlu kita lakukan?

"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur." (Al-Baqarah 2: 184)

No comments:

Blog Widget by LinkWithin