Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Wednesday, February 4, 2009

Atas permintaan Sdr Budakraja, saya cut-and-paste artikel yang tersiar di Utusan Malaysia semalam. Semoga ada manfaatnya.


Wakaf dan kelestarian hadharah ummah

Oleh Mohd. Gunawan Che Ab. Aziz

Wakaf adalah satu institusi yang telah pun sebati dengan pengamalan agama masyarakat Islam di Malaysia. Sudah sekian lama, pewakafan harta merupakan satu pendekatan penting yang menyumbang kepada kemantapan pembangunan struktur sosial sesebuah masyarakat. Pembinaan masjid, madrasah dan penyediaan tanah perkuburan merupakan elemen penting di dalam masyarakat Melayu, yang mana selalunya dibina di atas sumber tanah wakaf.

Amalan mewakafkan harta pada hakikatnya merupakan satu sahutan kepada seruan yang telah dibuat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW kepada kaum Muslimin.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) dia akan beroleh pahala yang besar! (al-Hadid: 11)

Imam Asy-Syaukani menyatakan di dalam kitab tafsir Fathul-Qadirnya, maksud memberikan pinjaman kepada Allah di sini ialah orang-orang yang menginfaqkan (membelanjakan) hartanya pada jalan Allah. Al-Kalbi pula menyatakan, perkataan qardhan (pinjaman) di sini maksudnya ialah sedekah.

Bersedekah

Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya telah menukilkan bahawa Ibnu Mas'ud r.a telah menceritakan, "Apabila turun ayat ini [Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya?], berkatalah Abu Dahdaah Al-Ansari r.a, "Ya Rasulullah SAW! Adakah Allah memerlukan 'pinjaman' daripada kami?", lalu dijawab oleh Rasulullah, "Benar, wahai Abu Dahdaah!" Lalu Abu Dahdaah ra berkata, "Hulurkan tanganmu ya Rasulullah SAW", lalu dicapainya tangan suci Rasulullah seraya berkata, "Sesungguhnya aku berikan 'pinjaman' kepada Tuhanku kebun saya ini!"

Abu Dahdaah r.a mempunyai kebun yang mengandungi 600 pokok tamar yang mana beliau dan keluarganya tinggal di situ. Lalu dia pergi kepada isterinya dan berkata, "Wahai isteriku Ummu Dahdaah, marilah keluar daripada sini, sesungguhnya aku telah memberikan kebun ini sebagai pinjaman kepada Tuhanku Azza Wa Jalla!"

Di dalam riwayat yang lain, berkata Ummu Dahdaah r.ha. kepadanya, "Beruntunglah perniagaanmu wahai Abu Dahdaah!" Abu Hurairah ra menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah membahagi-bagaikan kebun itu kepada beberapa orang anak yatim.

Semangat dan tahap keimanan sebeginilah yang telah mendorong dermawan umat Islam untuk bersedekah serta berwakaf. Inilah paksi yang menjadi pasak kepada keunggulan sistem hadhari Islami pada zaman-zaman kegemilangan umat Islam.

Dengan asas keimanan yang teguh sebegini sejak zaman Rasulullah, institusi wakaf telah memberikan sumbangan yang konkrit secara rohaniah dan madiyahnya kepada kehadharian ummah.

Ambil sahaja Universiti Al-Azhar yang merupakan universiti yang tertua di dunia. Sepanjang lipatan sejarah hinggalah ke hari ini, segala pembiayaan pengurusan, pentadbiran dan dana pendidikannya adalah bersumber daripada kekayaan dana wakaf yang dimilikinya. Malah semasa kegawatan ekonomi, dana wakaf Al-Azhar mampu memberikan sumbangan langsung kepada kerajaan Mesir bagi menstabilkan kedudukan ekonomi negara (Mohamad Rizki, 2003).

Ini dapat dicapai oleh pihak Al-Azhar kerana mereka telah menghayati betapa institusi wakaf mempunyai keupayaan ekonomi yang sangat besar. Cuba renungkan, jika institusi wakaf Al-Azhar hanya berlegar di sekitar tanah perkuburan dan membina masjid, adakah dana wakaf mereka akan mampu untuk mempunyai sifat berdaya-maju iaitu mampu berkembang dan berkemampuan untuk menanggung segala perbelanjaan dan pembiayaan institusi sehebat Universiti Al-Azhar itu? Potensi ekonomi inilah perlu dimiliki sama oleh institusi-institusi wakaf di Malaysia.

Menyedari betapa perlunya institusi wakaf ini diperkasakan di tanah air tercinta ini, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) telah ditubuhkan dan dipertanggungjawabkan untuk bekerjasama serta saling menyokong dengan pihak Majlis-Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi memperkasakan pembangunan institusi wakaf negara.

Meraih hikmah

Antara tindakan pragmatik yang telah diambil oleh Jawhar ialah dengan merealisasikan penubuhan satu entiti wakaf di peringkat kebangsaan iaitu Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

Penubuhan YWM ini, merupakan antara pendekatan dan strategi utama dalam memastikan hartanah wakaf dapat dioptimumkan pembangunannya.

Segala potensi lebih kurang 9,000 hektar tanah wakaf di seluruh negara (Sistem e-Bayanat, 2008) perlu dibugarkan secara berhikmah dan bersistematik. Segala kerjasama dan komitmen semua pihak perlu digembeling sewajarnya. Islam telah menyediakan segala asas dan hukumnya, terpulang kepada kitalah untuk melaksanakan dan meraih hikmah dan nikmatnya.

Seawal tahun 1994 telah ada cadangan awal yang melihat kepada perlunya diperkasakan pembangunan dan pemajuan hartanah wakaf di seluruh negara melalui cadangan penubuhan satu entiti peringkat nasional yang bertaraf yayasan (Nik Abdul Rashid, 1994).

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Baitulmal Kebangsaan (JPBK) yang telah diadakan di Kuala Terengganu pada 25 Mac 2006 telah bersetuju agar satu entiti wakaf di peringkat kebangsaan diwujudkan.

Akhirnya, YWM telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 14 Februari 2008 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Seramai 21 tokoh terkemuka yang terdiri dari wakil daripada setiap Majlis Agama Islam Negeri, wakil agensi kerajaan dan tokoh korporat telah menganggotai Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia.

YWM akan menjadi agensi pelaksana utama kepada pembangunan hartanah wakaf yang dipegang amanahnya oleh MAIN. Ini bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan dilakukan secara bersepadu, berkonsepkan pembangunan berdaya maju dan berketirisan sifar.

Usaha ini juga berteraskan pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat serta memaksimumkan potensi tanah-tanah wakaf yang kurang ekonomik (Azri Ahmad, 2008).

Semoga anjakan pendekatan yang lebih bersepadu ini akan membawa perubahan besar kepada kemajuan dan pembangunan institusi wakaf negara serta mampu memberikan impak positif yang ketara kepada kehadharian umat Islam di Malaysia.

Tuesday, February 3, 2009

Wakaf dan kelestarian hadharah ummah

Alhamdulillah, hari ini artikel saya yang bertajuk "Wakaf dan kelestarian hadharah ummah" telah disiarkan oleh Utusan Malaysia.

Artikel ini juga boleh dibaca melalui Utusan Online dengan melayari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0204&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm&arc=hive

Semoga tulisan kecil saya ini ada manfaatnya buat umat ini!

Blog Widget by LinkWithin