Imam al-Bukhari rah.a. telah mengeluarkan satu riwayat yang bersumber daripada Abu Hurairah r.a. Baginda Nabi s.a.w. telah bersabda:
“Dua kalimah yang dicintai oleh Tuhan Yang Maha Rahman; ringan (sebutan) kedua-duanya pada lidah; sangat berat (timbangan) kedua-duanya di Mizan, (iaitu):
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ العَظِيْمِ
[Maha Suci Allah dan segala pujian untukNya; Maha Suci Allah Yang Maha Agung]”
Riwayat ini diletakkan pada Kitab at-Tauhid di dalam kitab Jami’ Sahih beliau. Hadith ini merupakan hadis terakhir yang menjadi penutup bagi kitab Sahih Bukhari.
Al-‘Allamah al-Muhaddith asy-Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi rah.a. di dalam kitabnya ‘al-Abwab wa at-Tarajim li-sohihi al-Bukhari’ menyentuh berkenaan pemilihan hadith ini dan diletakkan sebagai hadith penutup. Hadrat Syaikh menukilkan kata-kata Imam al-Kirmani yang menyatakan, hadith ini dipilih bukan sekadar untuk menceritakan kandungannya tetapi Imam al-Bukhari mahu menutup kitab Sahih beliau dengan kalimah tasbih tersebut; sebagaimana Imam al-Bukhari telah meletakkan hadith “Sesungguhnya amalan-amalan itu adalah berdasarkan niat…” sebagai hadith pertama kitab beliau ini bagi menjelaskan keikhlasan beliau dalam menyusun kitab itu.
Seterusnya Hadrat Syaikh telah menyimpulkan bahawa apa yang zahir, Imam al-Bukhari bermaksud untuk menutup kitab beliau dengan hadith yang menunjukkan tentang ‘waznul-a’mal’ (timbangan amalan-amalan). Ini kerana timbangan amalan ini ialah impak kepada pertanggungjawaban ke atas seseorang hamba. Sesungguhnya, tidak ada selepas timbangan ini melainkan sama ada kekal di dalam antara dua tempat yang abadi: syurga atau neraka! Ini bermakna, Imam al-Bukhari telah memulakan kitabnya dengan bab Ikhlas dan menutupnya dengan bab Mizan.
Jika kita renungkan, sudah tentu hadith yang ringkas ini mempunyai kepentingan yang tersendiri sehingga dipilih oleh Imam al-Bukhari untuk menutup kitab Sahih beliau; satu kitab yang diiktiraf sebagai paling sahih selepas al-Quran.
Amirul-Mukminin fil-Hadith al-Hafiz al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam Fathul-Bari menyatakan, walaupun subjek utama hadith ini ialah dua kalimah tasbih itu, tetapi Rasulullah s.a.w. telah menyatakan predikat dahulu, yakni baginda memulakan dengan sifat dan fadilat dua kalimah itu terlebih dahulu. Selain dapat menarik perhatian pendengar kepada mesej yang ingin disampaikan, cara ini juga menunjukkan kepentingan dan penekanan baginda kepada dua kalimah tasbih ini.
Imam Ibnu Hajar juga menyatakan, kalimah ( حبيبتان ) ini bermaksud; “dua perkara yang dicintai”. Ini membawa makna bahawa orang yang melafazkan dua kalimah tasbih ini akan dicintai oleh Allah SWT.
Jika begitu, alangkah besarnya rahmat Allah kepada hambaNya! Melalui dua kalimah yang sederhana, mudah sekali untuk dilafazkan dan boleh diwiridkan tanpa banyak syarat; Allah menjanjikan kecintaanNya dan manfaat yang besar ketika kita ditimbang amalan-amalan kita di Mizan. Allahu Akbar!
Percayalah, Mizan adalah saat-saat genting bagi setiap daripada kita. Setelah melalui barzakh yang panjang dengan segala soal-jawabnya, kemudian menunggu di Mahsyar sehingga 50,000 tahun untuk hari Hisab dimulakan, seterusnya menghadapi pula perbicaraan di mahkamah Rabbul-Jalil; maka Mizan adalah saat yang amat menentukan. Beberapa riwayat menyatakan, semasa timbangan Mizan inilah syafaat-syafaat akan diberikan jika kita layak untuk menerimanya.
Segala amalan kita akan ditimbang. Tidak ada yang terkecuali. Saat penentuan ini diceritakan sendiri oleh Allah SWT.
“Hari yang menggemparkan, Apa dia hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu? (Hari itu ialah: Hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu yang terbang berkeliaran, Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dibusar berterbangan. Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya; Maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya; Maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah" Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Haawiyah" itu? (Haawiyah itu ialah): Api yang panas membakar.”
(Surah al-Qari’ah 101: 1-11)
Cuba ulang-baca sekali lagi hadith di atas, seterusnya tanyakan diri kita, “Apa yang harus aku lakukan sekarang!”
No comments:
Post a Comment