Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, May 27, 2013

Pilihan warna dan corak hidup...

Zihin atau minda seorang mukmin akan melihat perkara yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat melalui neraca yang sahih. Neraca atau piawai inilah yang akan digunakan dalam seseorang mukmin itu menentukan pilihan dan tindak tanduknya. Manusia diberikan oleh Allah SWT sifat untuk membuat pilihan (ikhtiar). Ikhtiar berasal daripada bahasa Arab. Dalam bahasa Melayu, ikhtiar bermaksud berusaha. Sedangkan dalam bahasa asalnya, perkataan ini bermakna ‘pilihan’. Allah SWT memberikan kita keupayaan untuk berkehendak dan membuat pilihan.

Allah SWT berfirman:
  أَلَمْ نَجْعَل لَّهُ عَيْنَيْنِ (*) وَلِسَاناً وَشَفَتَيْنِ (*)  وَهَدَيْنَاهُ ٱلنَّجْدَينِ
“Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami)? Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan?”  (Surah al-Balad: 8-10)

Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam,tafsirnya, bahawa perkataan “dua jalan” itu merujuk kepada jalan kebaikan dan jalan kejahatan.

Tujuan ditunjukkan kepada manusia kedua-dua jalan itu ialah bagi membolehkan seseorang itu melakukan pilihan mereka sendiri. Oleh kerana mereka telah menggunakan upaya membuat pilihan yang Allah berikan kepada mereka, maka setiap manusia bertanggungjawab atas setiap pilihan yang mereka lakukan. Tanggungjawab ini disimbolkan dengan pahala dan dosa. Pahala ini pula menjadi unit-unit ukuran kepada keredhaan Allah terhadap sesuatu pilihan. Lagi besar pahala sesuatu perbuatan, maka itu menunjukkan lagi tinggi keredhaan Allah SWT kepada perbuatan itu. Di akhirat nanti, keredhaan Allah kepada seseorang itu akan disimbolkan dengan syurga. Syurga adalah tempat hanya untuk orang yang Allah redha. Hanya orang yang Allah redha akan dimasukkan ke dalam syurga. Tidak ada orang yang Allah murkai yang boleh memasuki syurga!

Islam mengajarkan bahawa setiap detik dan saat yang berlalu dalam kehidupan dunia ini adalah ruang-ruang pilihan yang akan menentukan corak kehidupan akhirat seseorang. Mulia atau hina. Barjaya atau gagal. Bahagia atau celaka. Oleh itu, zihin seorang mukmin akan sentiasa melihat setiap gerak gerinya dan menilai dengan penilaian akhirat. Dia akan pastikan bahawa apa sahaja kehidupan dunianya akan diwarna dan dicorakkan dengan celupan agama Allah. Sebagaimana ingatan Allah di dalam al-Quran:
صِبْغَةَ ٱللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدونَ
“Shibghah (Celupan) Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” (Surah al-Baqarah: 138)

Imam at-Tobari menyimpulkan bahawa maksud celupan Allah di sini ialah agama Islam. Islam ini ada coraknya. Ada identitinya sendiri. Seluruh 24 jam hidup kita ini perlu kita corakkan sesuai dengan corak dan warna yang Allah suka dan redhai. Pilihan-pilhan corak dan warna yang tepat dan sahih perlu dibuat. Ini disebabkan, celupan dan warna yang dibuat ke atas kehidupan dunia kita ini, maka itulah yang akan menentukan corak dan warna kehidupan akhirat kita sama ada mulia atau hina; berjaya atau gagal; mahupun bahagia atau celaka!

Al-Quran menggambarkan corak kehidupan akhirat ketika itu ada dua keadaan sahaja, sama ada bahagia atau celaka! Apa yang lebih malang lagi, ketika itu kita sudah tidak mempunyai upaya untuk membuat pilihan. Kita hanya berhak menerima natijah pilihan yang kita lakukan di dunia dahulu.

 “(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka dan ada pula yang berbahagia. Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam Nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai).  Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.  Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.” (Surah Hud: 105-108)


Lantas, celupan manakah yang kita akan pilih untuk kehidupan dunia kita ini?

Blog Widget by LinkWithin