Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Monday, July 26, 2010

Salah faham yang perlu diperbetulkan..

Di dalam Surah Al-Taubah ayat 111, Allah SWT telah menyatakan satu pengisytiharan yang begitu jelas dan pasti memberi impak yang besar kepada hati dan pemikiran seseorang Mukmin:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh; (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”(Surah Al-Taubat: Ayat 111)

Kalimah (اشترى ) yang bermakna ‘telah membeli’, memberikan satu konsep dan senario yang menarik untuk diperkatakan. Apakah makna ‘telah membeli’ di dalam ayat ini?

Al-Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya mengenai ayat ini menyatakan, “Allah SWT telah memaklumkan bahawa Dia telah menukarkan untuk hamba-hamba-Nya yang beriman berkenaan diri dan harta mereka apabila dibelanjakan pada jalan-Nya dengan (ganjaran) syurga, dan ini semua semata-mata daripada limpah kurnia-Nya, kemuliaan-Nya dan ihsan daripada-Nya; sesungguhnya Allah SWT telah menerima penggantian daripada apa yang dimilikinya dengan apa yang lebih mulia untuk hamba-hamba-Nya yang taat kepada-Nya. Untuk itulah berkata Al-Hasan Al-Basri dan Qatadah, “Allah SWT telah membuat perjanjian jual-beli dengan mereka, dan Allah SWT telah memahalkan lagi nilai dan harga mereka.”

Di dalam Tafsir Asy-Syaukani pula ditegaskan, “Allah SWT telah mengumpamakan balasan bagi para mujahidin dengan syurga atas perbelanjaan dan penggunaan diri dan harta mereka di jalan SWT Allah dengan perkataan ‘pembelian’. Asal pembelian di kalangan manusia ialah, “mengeluarkan sesuatu daripada pemilikan dengan sesuatu yang lain yang seumpama dengannya atau selainnya atau yang lebih bermanfaat daripadanya”, maka para mujahidin itu telah menjual diri mereka kepada Allah SWT dengan syurga yang telah dijanjikan nya untuk orang-orang yang beriman.” Manakala Imam Al-Mawardi di dalam tafsirnya menyatakan, “Firman Allah Azza Wa Jalla, “Sesungguhnya Allah SWT telah membeli daripada orang-orang mukmin itu diri mereka dan harta mereka”, iaitu membeli diri mereka (dengan erti kata untuk) berjihad. (Manakala) “harta mereka” pula memungkinkan dua pengertian, iaitu: (1) perbelanjaan mereka untuk jihad, dan (2) sedekah mereka untuk fuqaraa’ (golongan yang memerlukan).

Imam Al-Qurtubi memberikan komentar di dalam tafsirnya, “…dinamakan sedemikian sebagai satu abstrak apa yang telah diketahui oleh mereka berkenaan penjualan dan pembelian; maka daripada pihak hamba, menyerahkan diri dan hartanya, dan daripada pihak Allah SWT menyediakan pahala dan habuan (syurga); lalu dinamakan perkara ini sebagai satu ‘pembelian’.” At-Tobari menyimpulkan, “Sesungguhnya Allah SWT telah membeli daripada orang-orang yang beriman diri mereka dan harta mereka dengan syurga, sebagai satu janji yang benar.”

Melalui perbahasan oleh ulama-ulama tafsir ini, ayat ke-111 surah At-Taubah ini jelas telah menggariskan satu falsafah yang penting dalam pemikiran dan kehidupan seseorang Muslim tentang harta dan pengurusannya. Di sini, ajaran Islam memberikan satu anjakan paradigma yang begitu besar apabila ditegaskan bahawa sebenarnya harta-harta yang dipunyai itu sebenarnya telah ‘dibeli’ dan ‘dimiliki’ oleh Allah SWT. Harga bagi ‘pembelian’ tersebut ialah syurga. Pada hakikatnya, seseorang Mukmin itu tidak lebih hanya sebagai ‘pemegang amanah’ kepada ‘Pemilik’ yang sebenar. Oleh itu, segala penggunaan dan pengurusan harta itu mestilah mengikut arahan, kehendak dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh ‘Pemilik’nya.

Maka pandangan sebegini sangat perlu untuk dihayati oleh setiap Muslim. Sebahagian besar kaum Muslimin perlu disedarkan betapa salah faham bahawa, “Diri dan harta ini adalah milik saya!”, perlu diperbetulkan. Harta adalah milik Allah dan perlu digunakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Al-Quran tidak pernah mencela tentang pemilikan harta, tetapi ayat 111 surah At-Taubah di atas menjelaskan kedudukan harta dan sikap yang sayugianya bagi setiap kaum Muslimin bersifat dengannya. Ini dijelaskan pula melalui ayat 24 surah yang sama:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah SWT dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

Al-Quran dengan jelas telah menggariskan satu prinsip tentang urutan keutamaan mencintai sesuatu. Ayat ini tidak melarang kecintaan dan kesukaan kepada harta, tetapi meletakkan satu panduan bagaimana kecintaan dan kesukaan kepada harta itu perlu diletakkan pada tempatnya yang betul di dalam hati seseorang yang benar-benar beriman; di mana kecintaan kepada lapan perkara yang disebutkan itu tidak boleh melebihi cinta kepada Allah SWT, Rasul-Nya dan agama Islam.

Inilah antara falsafah pengurusan harta yang paling penting untuk difahami dan dihayati oleh seluruh masyarakat Muslim pada semua peringkat dan lapisan. Al-Quran mengajarkan bahawa seluruh diri dan harta ini adalah milik Allah SWT. Sekiranya, paradigma dan prinsip sebegini dapat disuburkan semula di dalam setiap diri umat Islam, maka keberkatan dan kemakmuran daripada harta dan pengurusan harta akan kembali menyerlah kepada umat ini.

Apa yang dikatakan sebagai keberkatan dan kemakmuran itu adalah sebagaimana firman Allah SWT,“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.” (Surah Al-A’raaf 7:96) Di dalam ayat ini dengan jelas Allah SWT menyatakan natijah daripada keimanan dan ketakwaan ialah pembukaan keberkatan dari langit dan bumi.
Bagaimanapun, di dalam satu ayat yang lain, Allah SWT berfirman, “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” (Surah Al-An’am 6:44) Melalui dua ayat suci ini, Allah SWT menceritakan tentang dua bentuk ‘pembukaan’. Bagi orang yang bertakwa, Allah membukakan bagi mereka pintu-pintu keberkatan; tetapi bagi golongan yang lalai, Allah membuka kepada mereka pintu-pintu kemewahan, tetapi kemewahan itu hanyalah umpan kepada kehancuran yang bakal ditimpakan kepada mereka.

Hadrat al-'Arif Billahi al-Muhaddith asy-Syaikh In'amul-Hasan al-Kandahlawi rah.a. menyatakan, harta itu perlu dibahagikan kepada tiga kegunaan: 1) Untuk penyebaran agama, dakwah dan madrasah; 2)Zakat, wakaf, akhlak, hadiah, sedekah dsb.; dan 3)Keperluan diri dan keluarga.

Kita betulkan salah faham kita selama ini, dan marilah kita mulakan tindakan yang sewajar...

2 comments:

Abdullah_m.e. said...

assalamualaikum ustaz gunawan..Alhamdulillah joure student di mfi,berjalan lancar,bayan maghrib diganti oleh ustaz ghazali,saya student mfi,bole ziarah di blog saya..saya ingin tanya pendapat ustaz tentang penggunaan facebook..saya agak keliru sebab ada negara yang mengeluarkan fatwa ianya haram sperti,indonesia,pakistan dan oleh mantan syeikh al-azhar sendiri..boleh saya tahu pendapat ustaz?

Gunawan Aziz said...

Assalamu 'alaikum,

Saya melihat perkara ini termasuk khilafiah. Bagi saya, fb adalah alat. Mcm handphone. Jika disalahguna, sudah tentu mudaratnya yg terserlah.

Perkara ini ada dibincnag oleh ust zaharuddin dan ust hazrizal (saiful islam).


Wallahua'lam.

Blog Widget by LinkWithin