Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com


Wednesday, July 7, 2010

Majalah SOLUSI Bil. 21: Jangan Meminta-Minta

Alhamdulillah, sebagaimana yang telah lalu, Allah masih lagi mengizinkan artikel saya dapat diterbitkan bagi mengisi kolum Fadhail A'mal di dalam Majalah SOLUSI. Di sini, saya sertakan artikel asal saya sebelum melalui proses suntingan editor majalah. Semoga ada manfaatnya!


Rasulullah s.a.w. telah mendidik para Sahabat bahawa seluruh juzuk hidup ini adalah aset yang perlu diusahakan agar bertukar nilainya kepada perkara yang akan membawa kejayaan dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t.. Iman mereka telah dibentuk, sehingga menyukakan Allah dan membina kehidupan akhirat lebih utama kepada mereka daripada apa sahaja.

Contohnya, bagi menghalang daripada sifat suka meminta-minta dan membentuk satu masyarakat yang bermaruah dan lebih suka berdikari dalam menyara hidup, lihatlah pendekatan yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. ini:

Telah menceritakan kepada kami Abdullah ibn Muslamah, telah mengkhabarkan kepada kami ‘Isa ibn Yunus, daripada Al-Akhdhar ibn ‘Ajlaan, daripada Abu Bakar Al-Hanafi, daripada Anas bin Malik, bahawa telah datang seorang Ansar kepada Rasulullah s.a.w. untuk meminta-minta daripada baginda. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, “Apakah ada di rumah kamu apa-apa (barang)?”. Jawab orang Ansar tadi, “Ada, iaitu kain hamparan yang kami pakai sebahagian dan kami bentangkan sebahagian yang lain; dan juga sebiji bekas yang kami gunakan untuk minum air dengannya.” Kata Rasulullah s.a.w., “Bawakan kepada ku kedua-dua barang tadi!”. Periwayat menceritakan, lalu lelaki itu telah pulang dan membawa kedua-dua barang tersebut kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda telah mengambil barangan itu dan bersabda (kepada para sahabat yang lain), “Siapakah yang ingin membeli barangan ini?” lalu sahut seorang sahabat, “Saya sedia ambil kedua-dua barang itu dengan harga satu dirham.” Baginda bertanya lagi, “Siapa yang sedia beli dengan harga yang lebih daripada satu dirham?” Baginda mengulang-ulang pertanyaan itu sebanyak dua atau tiga kali. Lalu sahut seorang sahabat, “Saya sedia membelinya dengan harga dua dirham!” Lalu baginda menyerahkan kepadanya kedua-dua barangan tersebut, mengambil dua dirham sebagai harga barangan itu dan menyerahkannya kepada lelaki Ansar tadi, lalu bersabda, “Belilah makanan dengan dirham yang pertama tadi dan berikan kepada keluarga mu; manakala dirham yang satu lagi, kamu belilah mata kapak dan bawakan mata kapak itu kepada ku!” Lalu lelaki Ansar tadi melakukan apa yang diperintahkan dan membawa mata kapak itu kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda pun memperkuatkan mata kapak itu dengan kayu di tangan baginda (sebagai pemegangnya), lalu bersabda, “Pergilah kamu dan carilah kayu api dan kamu juallah kayu api itu. Dan kamu jangan bertemu dengan ku sehingga lima belas hari lagi!” Lelaki Ansar itu pun berlalu pergi, lalu mula mengumpulkan kayu api dan kemudian menjualnya. (Setelah cukup lima belas hari) lelaki Ansar itu telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w. dan dia telah untung sebanyak sepuluh dirham; yang mana dia telah beli menggunakan sebahagian dirham itu pakaian dan sebahagian yang lain makanan. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ini adalah lebih baik bagi mu berbanding (daripada perbuatan) meminta-minta itu datang sebagai satu tanda (titik-titik hitam) di wajah mu pada hari Kiamat. Sesungguhnya meminta-minta tidak dibolehkan melainkan untuk tiga keadaan, iaitu: (1) untuk miskin yang terlalu melarat; (2) orang berhutang yang terlalu berat tanggungan hutangnya; dan (3) orang yang menderita sakit teruk yang berdarah.”


(Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, Kitab Zakat, Bab Apakah Perkara Yang Dibolehkan Meminta-Minta, hadis nombor 1641).

Walaupun hadis ini tidak mencapai darjat sahih, tetapi kandungannya disokong oleh hadis-hadis yang sahih, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w.. telah bersabda, “Demi Tuhan yang diri ku berada di dalam genggaman-Nya! Sekira-kiranya seseorang itu mengambil talinya, kemudian memikul ikatan kayu api di belakangnya (untuk mencari rezeki), itu adalah lebih baik daripada dia mendatangi seseorang lalu meminta-minta daripadanya, sama ada orang itu memberikannya atau menegah (permintaan) dia.”


(HR Al-Bukhari, Kitab Zakat, Bab Menjauhkan Diri Daripada Meminta-Minta, hadis nombor 1469.)

Lihatlah, di penghujung kisah ini, Rasulullah s.a.w. telah menyimpulkan segala usaha zahir ini dengan satu pendekatan targhib(memberi galakan) dan tarhib(memberikan kegerunan). Manhaj fadhail-A’maal merupakan pendekatan yang benar-benar akan mengobarkan nyalaan ghairah keimanan dan semangat juang seseorang untuk membina kemuliaan hidup di dunia mahupun di akhirat.

Blog Widget by LinkWithin