Pages

HAYYA 'ALAS-SOLAH!

KoWahida2u.Com

Sunday, December 19, 2010

Melepaskan daripada kesusahan, musibah dan bencana

Bismillahir-Rahmaanir-Rahiim


Saya hamba-Nya yang faqir ini meriwayatkan daripada guru saya Al-Musnid fil-Hadith fadhilatus-Syaikh Abu Nur Muhammad Ruhuddin Muhammad Syamsol bin Osman al-Muqri' daripada sanad-sanad gurunya yang meriwayatkan daripada asy-Syaikh al-Imam Hakimul-Islam Muhaddith al-Hind Maulana Syah Ahmad Waliyullah ad-Dahlawi yang meriwayatkan daripada guru-gurunya yang meriwayatkan daripada Syaikhul-Islam Zakariyya al-Ansori yang meriwayatkan daripada guru-gurunya sehingga kepada al-Imam al-Hakim (rah.a.)yang meriwayatkan:

Telah mengkhabarkan kepada kami Abu Abdillah as-Soffaar, meriwayatkan kepada kami Ibnu Abid-Dunya, telah menceritakan kepada ku 'Ubaid bin Muhammad, telah meriwayatkan kepada kami Muhammad bin Muhajir al-Qurasyi, telah menceritakan kepada ku Ibrahim bin Muhammad bin Sa'd, daripada bapanya, daripada datuknya, dia berkata: "Kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w., tiba-iba baginda bersabda, "Hendakkah daku khabrakan kepada kamu dengan satu perkara, yang jika seseorang ditimpa kesusahan atau bencana daripada bencana dunia, lalu dia berdoa dengannya, akan dilepaskan daripada kesusahan tersebut?" Lalu dijawab kepada baginda s.a.w.,"Bahkan!" Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Itulah dia doa Zin-Nuun (Nabi Yunus a.s.): لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ".



الإنفراج عن الكرب والمصائب والبلايا بدعاء يونس عليه السلام
لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ


قال الفقير إلى مغفرة ربه أبو محمد عمير الفواز محمد جوناوان بن شيء عبدالعزيز الكلنتاني: أَرْوِي به بإجازة وبسند خصوص عن شيخي المسند في الحديث فضيلة الشيخ أبو نورمحمد روح الدين محمد شمسول المقرئ عن شيخه العلامة المفتي الشيخ مولانا السيد نور محمد بن السيد جمال الحسيني الحنفي عن شيخه العالم الهندي الكبير المقرئ أبو سالم محمد طيب بن أحمد بن قاسم الديوبندي والشيخ المحدث فخرالدين أحمد الحسيني المرادآبادي: وهما عن الشيخ المحدث الكبير مولانا السيد أنوار شاه الحسيني الحنفي الكشميري عن الشيخ الهند مولانا محمود الحسن العثماني الديوبندي عن حجة الإسلام الشيخ مولانا أبو أحمد محمد قاسم الحنفي النانوتوي عن المحدث الكبير الشيخ مولانا الشاه عبد الغني المجددي الدهلوي المدني عن الشيخ الشهير ألإمام الحجة الشاه محمد إسحاق المحدث الدهلوي الحنفي عن المفسروالمحدث مولانا الشاه عبد العزيز الدهلوي الحنفي عن الشيخ الإمام الهمام حكيم الإسلام محدث الهند مولانا الشاه أحمد ولي الله الدهلوي عن أبي الطاهر محمد بن إبراهيم الكوراني المدني عن ولده عالم الحجاز ومسنده البرهان إبراهيم بن حسن الكوراني المدني ومحمد النخلي وعبدالله بن سالم البصري و حسن بن علي العجمي كلهم عن العلاء البابلي عن الشيخ سالم السنهوري عن النجم الغيطي عن شيخ الإسلام زكريا الأنصاري عن المسند الديار أبن فرات المصري الحنفي عن محمود بن خليفة المنجي عن الحافظ الثقة الأمين شرف الدين عبد المؤمن بن خلف الدمياطي عن ابن المقير عن أبي الفضل أحمد بن طاهر اليمني عن أبي بكر أحمد بن علي بن خلف الشيرازي عن الإمام الحاكم رحمه الله عليه:
فَأَخْبَرَنَا أَبُوعَبْدِاللهِ الصَّفَّار، ثَنَا ابنُ أَبِي الدُّنْيَا، حَدَّثَنِي عُبَيْدُ بنِ محَُمَّدٍ، ثَنَا مُحَمَّدُ بنِ مُهَاجِرِ الْقُرَشِيّ، حَدَّثَنِي إِبْرَاهِيمُ بنِ مُحَمَّدِ بنِ سَعْدِ، عَنْ أَبِيْهِ، عَنْ جَدِّهِ، قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:
"أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِشَيْءٍ إِذَا نَزَلَ بِرَجُلٍ كَرْبٌ أَوْ بَلاَءٌ مِنْ بَلاَيَا الدُّنْياَ دَعَا بِهِ يُفَرَّجُ عَنْهُ؟ فَقِيلَ لَهُ: بَلَى، فَقَالَ: دُعَاءُ ذِي النُّونِ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ"

Tuesday, December 14, 2010

Kolum: Zihin Mukmin (Siri 3)

Saya sertakan di sini artikel yang disiarkan di dalam kolum Zihin Mukmin Majalah Dakwah Isu04. Tulisan ini adalah khusus sebagai ingatan untuk saya insan yang faqir lagi haqir ini. Semoga berulang-ulang kali saya tulis dan cakapkan perkara ini, semakin mendalam kesannya kepada hati saya. Lalu semakin tinggi himmah saya untuk berjalan atas jalan-Nya.


Iman adalah satu hakikat yang memenuhi hati dan akan mempengaruhi setiap sudut dan juzuk hidup seseorang mukmin. Cuba kita lihat bagaimana keimanan ini benar-benar berbekas di dalam hati generasi contoh umat ini, iaitu generasi para Sahabat Rasulullah s.a.w. Marilah kita imbau suasana keimanan ini dengan menjenguk ke dalam Masjid Nabawi pada zaman Rasulullah s.a.w.

Kelihatan di sana, Muaz bin Jabal yang baru sahaja selesai solat Tahiyyatul-Masjid, datang menuju kepada Rasulullah s.a.w. “Assalaamu ‘alaika ya Rasulullah!”, Muaz mengucapkan salam. Rasulullah s.a.w. membalas ucapan salam Muaz itu dengan penuh kasih sayang. Sesungguhnya Muaz, mempunyai tempat yang agak istimewa di hati baginda. “Bagaimana kamu pada pagi ini wahai Muaz?”, sapa baginda seterusnya. Jawab Muaz,”Daku berpagi hari pada hari ini sebagai seorang yang beriman kepada Allah Taala!”. Anas yang masih lagi bersama Rasulullah s.a.w. sejak tadi hanya mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum. Rasulullah s.a.w. bersuara lagi,” Sesungguhnya bagi setiap kata-kata ada buktinya, bagi setiap yang hak itu ada hakikatnya, maka apakah bukti apa yang kamu katakan tadi?”. Dengan mata yang redup, Muaz berkata,”Wahai Nabi Allah! Tidaklah daku berpagi pada pagi hari ini, melainkan daku akan menyangka bahawa daku tidak akan sempat untuk hidup pada petang harinya. Dan tidaklah daku dapat berpetang pada satu petang, melainkan daku akan menyangka bahawa daku tidak akan sempat hidup pada pagi esoknya. Dan tidaklah daku melangkah dengan satu langkah, melainkan daku tidak yakin akan sempat melangkah dengan langkah yang seterusnya. Dan daku seolah-olah sedang melihat bagaimana tiap-tiap umat ini dalam keadaan bertelut lutut lantaran cemas dan mereka diseru untuk menerima kitab-kitab amalan mereka, bersama mereka nabi mereka dan berhala-berhala mereka yang mereka sembah selain Allah, dan seolah-olah daku ternampak-nampak balasan ahli neraka, dan ganjaran ahli syurga!” Dengan kegembiraan terpancar di wajah baginda, Rasulullah s.a.w. bersabda,”Engkau telah mendapat makrifah, kekallah engkau dalam keadaan sedemikian!”. Jawapan yang sama yang telah baginda berikan kepada Al-Harith.


(Ilustrusi berdasar riwayat yang dikeluarkan oleh Abu Nu’aim daripada Hadrat Anas r.a. sebagaimana di dalam kitab Al-Hilyah)

Kita helakan pandangan kita ke arah lain di dalam masjid suci itu. Di penjuru kanan bahagian hadapan masjid, kelihatan beberapa orang Sahabat baginda membentuk sekelompok manusia yang nampaknya sedang sibuk dengan zikrullah. Sejak selepas solat Subuh tadi, mereka masih di situ. Kelihatan seorang dua sudah mula bangun dan menyertai kelompok yang sedang bersolat. Rasulullah s.a.w. melirik ke arah kelompok yang sedang berzikrullah itu. Mereka berpagi hari itu dengan keadaan tangan mereka kosong daripada dunia, di dahi mereka ada kesan-kesan sujud yang nyata. Wajah mereka jelas menggambarkan raut wajah mereka yang telah menghabiskan malam mereka dengan dengan sujud dan qiyam yang panjang dan dengan mentilawahkan Al-Quran. Angin kota Madinah menerjah ke dalam Masjid Nabawi, seolah-olah ingin menyalami semua pemakmurnya. Kelompok yang sedang berzikirullah begitu menghayati kelazatan zikrullah. Hati mereka penuh dengan kebesaran Allah. Lidah mereka menyebut dan memuji Allah Azza Wa Jalla, sedang hati mereka mengingatNya dengan penuh rindu. Airmata mengalir bebas di pipi-pipi mereka. Suara mereka menggemersik, bagaikan suara lebah, diselang-seli dengan esak rintih kerinduan seorang hamba. Airmata mereka yang mengalir, bagai bercerita tentang apa yang ada di dalam hati mereka. Tubuh mereka bergerak-gerak ke kiri dan ke kanan sambil berzikir, bagaikan pohon-pohon yang ditiup angin pada musim berangin. Janggut dan baju mereka, basah dengan airmata. Airmata hamba yang hati mereka bergetar setiap kali nama Allah disebutkan, hamba yang tiap kali ayat-ayat Allah dibacakan kepada mereka bertambah iman mereka dan mereka benar-benar hanya bertawakkal kepadaNya.


(Ilustrusi berdasarkan riwayat yang dikeluarkan oleh Ibnu Abid-Dunya daripada Ibnu Arakah berkenaan kata-kata Saiyidina ‘Ali r.a. sebagaimana di dalam kitab Al-Bidayah)

Ini adalah secebis gambaran daripada kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat baginda. Kehidupan yang menggambarkan betapa kukuhnya iman memberi kesan kepada kelakuan mereka. Ini adalah gambaran suasa yang wujud di dalam masjid mereka. Daripada masjid inilah pula, suasana keimanan ini akan tersebar hingga ke pasar-pasar dan rumah-rumah mereka. Inilah khabar keimanan yang perlu kita ketahui dan hayati. Gambaran kehidupan yang akan menyebabkan keimanan kita turut subur dan bugar.

Saturday, December 4, 2010

Majalah SOLUSI Bil. 26: Beza Beriman dengan Tidak Beriman

Saya sertakan di sini, artikel yang tersiar dalam Majalah SOLUSI Bil. 26. Dalam kesibukan kerja-kerja pejabat pada hujung tahun ini, membuatkan masa untuk menulis agak terhad. Semoga apa yang dikongsikan di sini, ada manfaatnya. Artikel ini ialah artikel asal sebelum sebarang suntingan oleh editor Majalah SOLUSI.

Allah s.w.t. telah berfirman: “Apakah sama seorang yang beriman, dengan seorang yang fasik? (Tentulah) sama sekali tidak akan sama!” (Surah as-Sajadah 32: 18)

Imam at-Tobari di dalam Tafsirnya menyatakan bahawa makna ‘fasiq’ di sini ialah orang yang kafir. Beliau juga menukilkan daripada Qatadah bahawa, mereka yang beriman dengan mereka yang tidak beriman itu sama sekali tidak akan sama. Baik semasa kehidupan di dunia, semasa meninggal dunia mahupun dalam kehidupan di akhirat nanti.

Malangnya hari ini, betapa ramai orang yang mengaku beriman dengan Allah s.w.t. dan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. merasakan bahawa jika mereka gagal menyamakan diri mereka dengan orang tidak beriman, mereka merasa seperti masih gagal dalam hidup mereka. Sedangkan, kegagalan sebenar yang mereka hadapi ialah kegagalan untuk memahami nilai iman yang ada di dalam hati mereka.

Kita perlu faham, pandangan Allah s.w.t. terhadap seseorang yang beriman amat jauh bezanya dengan pandangan Allah kepada orang yang tidak beriman. Kecintaannya berlainan. Kecaknaannya berlainan. Nilainya berlainan. Martabatnya berlainan. Necaranya berlainan. Fadhilatnya berlainan. Sensitivitinya berlainan. Pendek kata, semuanya amat berlainan dan berbeza sekali.

Sebagaimana yang ditafsirkan oleh Hadrat Qatadah tadi, kelainan ini bulan sahaja merujuk kepada balasan dan corak kehidupan di akhirat nanti; malah meliputi sejak daripada kehidupan di dunia ini lagi.

Imam Ibnu Kathir juga menyimpulkan perkara yang sama, apabila ayat surah as-Sajadah ini dirujuk pula dengan firman Allah s.w.t., “Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka putuskan itu.” (Surah al-Jaathiyah 45:14)

Alangkah malangnya kita, apabila kita yang dianugerahkan kemuliaan iman dan amal soleh ini merasakan bahawa diri kita juga adalah sama dengan mereka yang tidak beriman! Sungguh ini adalah musibah yang amat besar!

Jika kita memahami betapa berbezanya kita pada pandangan Allah dengan orang lain, maka adalah menajdi tanggungjawab kita untuk memahami apakah neraca dan hukum istimewa yang dikhususkan kepada orang yang beriman.

Ambil sahaja contoh mudah, iaitu mengenai rezeki. Allah s.w.t. mempunyai hukumNya sendiri mengenai rezeki orang yang beriman. ‘The Law of Attraction’ bagi orang yang beriman adalah amat berlainan dengan mereka yang kufur. Angkanya mungkin sama, RM10.00 juga, tetapi nilainya berbeza. Perbezaan ini Allah gambarkan dengan ungkapan ‘Pembukaan Keberkatan vs Pembukaan Kemewahan’.

Cuba tatap dan tadaburkan dua ayat suci al-Quran ini:

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi…” (Surah al-A’raaf 7:96)

“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).” (Surah al-An’aam 6:36)

Di dalam dua ayat al-Quran di atas, jelas Allah s.w.t. membezakan antara natijah keimanan dengan natijah keingkaran. Pembukaan keberkatan adalah satu konsep yang berbeza dengan pembukaan kemewahan. Keberkatan akan membawa ‘kesenangan’ dan ‘kenikmatan’ hidup serta membawa seseorang itu semakin dekat dan dikasihi oleh Allah s.w.t. Manakala pembukaan kemewahan hanyalah bersifat angka dan luaran sahaja; sedangkan kemewahan tersebut tidak dapat membawa ‘kenikmatan’ hidup dan akhirnya menjadi umpan untuk menyebabkan seseorang itu direntap daripada rahmat dan kasih sayang Allah.

Perbezaan dalam ‘law of attraction’ ini juga dapat dilihat melalui cara seseorang yang beriman itu dituntut berusaha agar diuruskan rezeki yang berkat untuknya. Sebenarnya, bagi seseorang yang beriman, Allah s.w.t meletakkan tuntutan yang mudah. Selain berusaha, Allah s.w.t. meletakkan juga penyelesaian masalah rezeki mereka melalui amalan-amalan peribadi mereka yang amat mudah.

Contohnya, melalui amalan solat Dhuha. Amalan membaca surah al-Waqi’ah pada malam hari. Amalan bersedekah. Dan tidak ketinggalan, amalan menjaga solat fardhu.

Allah s.w.t. berfirman:
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa. “ (Surah Toha 20: 132)

Lihatlah, bagaimana Allah s.w.t. telah menghubungkan antara amalan menjaga solat fardhu kita dengan masalah rezeki. Malah adalah sunnah praktikal Rasulullah s.a.w. agar abila sahaja ada ahli keluarga baginda mengadu tentang kesempitan hidup, baginda akan menyuruh mereka menjaga solat fardhu dan memperbanyakkan solat sunat.

Ini adalah contoh tentang betapa tidak samanya hukum dan sunnatullah bagi seorang yang beriman dengan mereka yang tidak beriman.

Yakinilah atas apa yang Allah s.w.t. firmankan ini melebihi yakin kita kepada apa yang mata dan indera kita dapat lihat dan taakulkan,“ Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah an-Nahl 19:94)

Inilah kemuliaan iman. Inilah fadhilat keimanan. Inilah janji Allah kepada mereka yang beriman. Yakinlah, apa yang Allah sediakan untuk mereka yang beriman adalah jauh lebih baik daripada apa yang disangkakan oleh pertimbangan dangkal kita yang sering terpedaya dengan kesenangan dunia yang menipudaya ini.

Yakinilah!

Wednesday, November 24, 2010

KAEDAH PENENTUAN AIDILADHA DI MALAYSIA

Aidil Adha telah pun berlalu. Semasa saya dijemput memberikan kuliah Zohor di Surau Menara Maybank, Kuala Lumpur baru-baru ini, nampaknya masih ada pertanyaan daripada hadirin berkenaan isu penetapan Hari Raya Korban dan Puasa Sunat Arafah. Saya menjawab dengan ringkas, iaitu kaedahnya ialah berdasarkan hilal. Jadi kena tengok anak bulan berdasarkan matla' masing-masing. Bagaimanapun, saya fikir, elok juga saya abadikan di blog saya ini, satu penulisan yang ringkas tetapi padat oleh Ustaz Zakuwa berkenaan isu ini. Semoga ada manfaatnya.


KAEDAH PENENTUAN ‘IDUL ADHA DI MALAYSIA DAN ISU PUASA SUNAT SEMPENA HARI ARAFAH

Oleh: Muhamad Zakuwa bin Rodzali*



Penentuan ‘Idul Adha di Malaysia masakini yang berpandukan cerapan hilal Zulhijjah negara sendiri telah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dalam mesyuaratnya kali ke-164 pada 3 Februari 1994 setelah mendengar pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah pada 22 Ogos 1992. Hujah Jawatankuasa Fatwa menyetujui penentuan ‘Idul Adha berpandukan cerapan hilal Zulhijjah sendiri dalam muzakarahnya pada 22 Ogos 1992 dan muzakarah semula mengenai isu sama pada 23 April 2002 adalah hadith mengenai ibadah korban mesti dengan melihat hilal yang bermaksud, “Dari Umm Salamah bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda; ‘Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya’.” (al-Nawawi, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, j. 7, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 118). Juga hadith mengenai hilal yang mempunyai matla’ tertentu yang bermaksud, “Dari Kuraib bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham. Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah menyuruh kami…’.” (al-Nawawi, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, j. 4, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 172).

‘Idul Adha merupakan hari yang kesepuluh dari masuknya awal Zulhijjah seperti yang dijelaskan dalam hadith yang bermaksud, “Dari Umm Salamah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Apabila tanggal sepuluh (Zulhijjah) masuk dan salah seorang di antara kamu hendak menyembelih korban, maka janganlah dia menyentuh sedikitpun rambut dan kulitnya (yakni membuang rambut dan kulitnya).’ (al-Nawawi, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, j. 7, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 117).

‘Idul Adha negara Malaysia atau jelasnya negara-negara yang jauh dari negara Arab Saudi tidak semestinya disambut pada hari yang sama dengan ‘Idul Adha negara Arab Saudi. Ibn ‘Abidin menyatakan bahawa orang-orang yang berpegang dengan matla’ hilal tidak sahaja menyambut puasa dan ‘Idul Fitri berpandukan cerapan hilal matla’ sendiri tetapi juga ibadah korban mereka, “Maka diganjari ibadah korban yang dilaksana pada hari yang ketiga belas walaupun di sisi yang lain telahpun memasuki hari yang keempat belas.” (Ibn ‘Abidin, Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar, j. 3, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 364). Muhammad Rashid Redha pernah disoal mengenai penentuan puasa, ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha di Bangkok (Siam) seterusnya memohon kepada penyoalnya supaya berpandukan cerapan hilal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah di sana, “Kesimpulannya, wajiblah ke atas umat Islam di negara kamu beramal pada mengesahkan kenampakan hilal Ramadhan dan kedua-dua hari raya dengan apa yang menjadi amalan seluruh umat Islam dari kenampakan hilal…” (Muhammad Rashid Redha (1971), Fatawa al-Imam Muhammad Rashid Redha, j. 4, Beirut: Dar al-Kitab al-Jadid, h. 1597-1602). Muhammad Taqi al-Uthmani, alim Pakistan yang merupakan salah seorang ahli Islamic Fiqh Academy, Jeddah juga memberikan maklumbalas wujudnya matla’ hilal Zulhijjah seperti berikut, “Sememangnya benar ‘Idul Adha di negara Arab Saudi jatuh sehari selepas hari Arafah, walaubagaimanapun bukanlah suatu kemestian kepada umat Islam di setiap negara berpandukan kepada tarikh sama di tempat masing-masing. Ibadah haji tanpa syak terikat (pelaksanaannya) dengan tempat tertentu sementara ‘Idul Adha tidak terbatas kepada tempat tersebut sahaja. Ia disambut di seluruh dunia dan tidak sepatutnya terikat dengan takwim Arab Saudi… Di dalam perbahasan ini, adanya pernyataan yang jelas bahawa sambutan ‘Idul Adha berpandukan kepada takwim Arab Saudi bukan suatu kemestian mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Sekiranya ia suatu kemestian, sudah tentu umat Islam telah mengerahkan seluruh usaha dalam mengenalpasti tarikh pelaksanaan haji di Arab Saudi. Ia adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa umat Islam di luar Arab Saudi pada masa itu tidak berkemampuan untuk mengenalpasti tarikh pelaksanaan haji memandangkan tarikh tersebut kebiasaannya telah ditentukan pada malam pertama Zulhijjah. Masih ada sembilan hari menjelang sambutan ‘Idul Adha, waktu yang lebih dari mencukupi untuk umat Islam mendapatkan maklumat...”. (http://www.moonsighting.com/articles/tusmani.html, 12 November 2010).

Tradisi silam dunia Islam membuktikan cerapan hilal Zulhijjah tidak sahaja dilaksana sekitar Makkah untuk menentukan hari Wukuf di sana malahan seluruh pelusuk dunia Islam untuk menentukan ‘Idul Adha. Ibn Hajar al-‘Asqalani menceritakan peristiwa yang berlaku pada tahun 848 H seperti berikut, “Bulan Zulhijjah telah bermula pada hari Khamis setelah orang ramai yang merukyah hilal di kebanyakan tempat pada malam Rabu tidak melaporkan kenampakannya melainkan satu laporan jua yang menyalahinya. Salah seorang daripada mereka berkata bahawa dia telah melihat hilal, akan tetapi apabila diminta mengesahkannya dia enggan. Setelah diselidiki, maka didapati sebab keengganannya adalah kerana perkhabaran bahawa Sultan lazimnya akan menyampaikan dua kali khutbah sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Hal ini telah teruji menimbulkan kegusaran kepada Sultan. Selepas beberapa hari berlalu, berita tersebut sampai juga kepada pengetahuan Sultan yang pada mulanya mengingkarinya. Baginda murka terhadap orang yang dikhabarkan telah melihat hilal tersebut. Dikatakan bahawa orang yang dimaksudkan adalah Ahmad bin Nouruz. Beliau dikhabarkan melihat hilal tetapi tidak melaporkan kepada qadi. Beliau kemudiannya dipanggil kerana dikatakan melihat hilal pada malam Rabu bersama satu jemaah. Seterusnya beliau dibawa bersama muhtasib (penguatkuasa) ke hadapan qadi al-Shafi’i dan disahkan penyaksiannya. Orang ramai dari seluruh negeri yang melihat hilal pada malam Rabu turut diseru untuk mengesahkan penyaksian di hadapan qadi. Maka bersegeralah orang-orang yang mendakwa melihat hilal pada malam tersebut turut bersyahadah. Setelah terlaksananya syarat-syarat penyaksian, maka diumumkan bahawa ‘Idul Adha jatuh pada hari Jumaat dan berkekalanlah hal yang demikian itu sehingga tibanya ‘Idul Adha pada hari Jumaat. Pada hari Sabtu 25 Zulhijjah, datanglah penyampai berita memaklumkan selamat sudah orang yang menunaikan rukun haji dan beliau turut memaklumkan bahawa tiada sesiapapun yang menghadiri Arafah dari seluruh tempat melaporkan telah melihat hilal pada malam Rabu. Justeru, bulan Zulkaedah telah disempurnakan tiga puluh hari, awal Zulhijjah bermula pada hari Khamis dan mereka berwukuf di Padang Arafah pada hari Jumaat…” (Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani (1986), Inba’ al-Ghamr, j. 8, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, h. 225-226).

Berkenaan dengan puasa sunat Arafah, terdapat hadith yang jelas mengenai kelebihan puasa pada hari tersebut, “Ditanya kepada Rasulullah s.a.w. berhubung puasa pada hari Arafah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda; “…Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa setahun yang lalu dan berikutnya”. (al-Nawawi, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, j. 4, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah).

Orang ramai berpuasa sempena hari Arafah dan berhari raya berpandukan cerapan hilal matla’ masing-masing. Al-Subki menceritakan peristiwa berikut, “Orang yang memohon kepada ulasan persoalan telah memaklumkan bahawa pada tahun ini iaitu 748 H orang ramai telah melihat hilal Zulhijjah di Damsyik malam Ahad sekitar Ma’zamiyyah, turut dikatakan telah dilihat sekitar Baisan… Pada tahun sebelumnya juga sedemikian berayanya penduduk Damsyik atas keputusannya hari Jumaat, hari Wukuf jemaah haji…( Abu al-Hasan Taqi al-Din Ali bin Abd al-Kafi al-Subki, Fatawa al-Subki, j. 1, Beirut: Dar al-Makrifah, h. 211-212).

Hakikatnya, bukan semua negara di dunia dapat berpuasa pada hari yang sama. Sekiranya semua orang ingin berpuasa Arafah pada hari yang sama dengan orang-orang di Arab Saudi Isnin ini (15 November 2010) maka ketika orang-orang di Arab Saudi baru memulakan puasa, orang-orang Islam di Malaysia sudah lama memulakan puasa menghampiri waktu tengahari, orang-orang Islam di New Zealand sudahpun menghampiri waktu berbuka. Maka jadilah orang-orang Islam di New Zealand berpuasa Arafah jauh mendahului apa yang sedang berlaku di Arafah. Justeru itulah, kita lihat negara-negara seperti Pakistan, Bangladesh, Iran, Malaysia, Indonesia, Singapura, Afrika Selatan dan Australia menyambut awal Zulhijjah pada 8 November 2010 kerana tidak kelihatan hilal juga tidak imkanur-rukyah hilal pada petang cerapan 6 November 2010 dan akan berpuasa sunat sempena Arafah pada hari negara Arab Saudi dan kebanyakan negara-negara Arab yang lain sedang menyambut ‘Idul Adha pada 16 November 2010 ini (http://www.icoproject.org/icop/hej31.html, 12 November 2010).

Sesetengah orang mengemukakan pandangan supaya negara Malaysia berpuasa dan berhari raya puasa berpandukan cerapan hilal Ramadhan dan Syawal di Malaysia tetapi berhari raya korban berpandukan cerapan hilal Zulhijjah di Arab Saudi. Sejarah membuktikan pandangan ini membawa masalah lain semasa negara Malaysia mengamalkan penentuan ‘Idul Adha berpandukan ketetapan hari Wukuf bilamana bilangan hari dalam bulan Zulhijjah negara pernah menjadi 31 hari seperti yang berlaku pada tahun 1392 H. Ia juga kadangkala menyebabkan bulan Zulkaedah menjadi 28 hari. Perkara ini sudah tentu berlawanan dengan hadith yang bermaksud, “…Bulan itu begini dan begini. Kadang-kadang 29 hari dan kadang-kadang 30 hari” (Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, j. 4, Riyadh: Dar al-Salam, h. 163).

Ringkasnya, kaedah penentuan ‘Idul Adha di Malaysia yang berpandukan kepada cerapan hilal Zulhijjah sendiri dan tidak terikat dengan hasil cerapan hilal Zulhijjah Arab Saudi adalah tepat. Pun begitu, negara-negara atau rakyat Malaysia yang berada sekitar Arab Saudi atau negara-negara sebelah barat Arab Saudi (atas dasar imkanur-rukyah atau peluang kenampakan hilal menjadi lebih besar sebelah barat negara yang berhasil rukyah hilal) perlu beraya bersama Arab Saudi. Ringkasnya juga, puasa sempena hari Arafah di Malaysia bolehlah dilaksana pada 9 Zulhijjah negara bersamaan hari Selasa 16 November 2010 seperti kenyataan rasmi JAKIM di http://www.islam.gov.my.

*Penulis adalah Penolong Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), JAKIM dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Malaya.

Tuesday, November 9, 2010

Monday, November 1, 2010




Wednesday, October 27, 2010

Majalah SOLUSI Bil. 25: Hatinya Terikat Di Masjid

Saya sertakan di sini artikel saya untuk Majalah SOLUSI Bil. 25. Semoga dapat direnungkan dan diambil manfaatnya.

Hari itu mata suci Rasulullah s.a.w. seolah-olah tercari-cari seseorang. Petang itu agak redup. Suasana Masjid Nabawi seperti biasa. Kelihatan beberapa halaqah sedang berjalan pada petang itu. Ada yang kelihatan seperti sedang bermuzakarah. Ada yang sedang asyik mendengar penerangan dan penyampaian oleh beberapa tokoh sahabat seperti Ubay bin Ka’ab, Abu Hurairah mahupun Abu Bakr as-Siddiq r.ahum.

Tiba-tiba, Rasulullah s.a.w. menyapa seorang jemaah masjid yang berada di situ. Anas r.a. sedang berada disamping baginda. Rupanya Rasulullah s.a.w. ingin bertanyakan khabar berkenaan seorang sahabiah yang sering menyumbangkan khidmatnya kepada Masjid Nabawi dengan membersihkan masjid daripada sampah sarap.

Apabila ditanyakan, baharulah dimaklumkan bahawasanya sahabiah tersebut telah pun meninggal dunia dan sudahpun dikebumikan. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda, “Jika meninggal dunia seseorang daripada kalangan kamu maka hendaklah kamu maklumkan kepada ku!”

Lalu Rasulullah s.a.w. menunaikan solat jenazah kepada beliau, lalu bersabda, “Sesungguhnya aku telah melihatnya berada di dalam syurga disebabkan (amalannya yang suka berkhidmat) menyingkirkan sampah-sarap daripada masjid.”

(Ilustrasi daripada hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani di dalam kitab al-Kabir, dan periwayat-periwayatnya adalah periwayat yang sahih)

Riwayat ini sebenarnya sudah cukup untuk membayangkan betapa mulianya sebuah masjid di sisi Allah s.w.t. Untuk hanya sedikit kaitan bagi memuliakannya dan sedikit khidmat kepadanya, sudah cukup untuk melayakkan seseorang itu dimuliakan dengan diberikan syurga sebagainya ganjarannya.

Adakah satu perkara lain yang lebih jelas bagi menggambarkan betapa redhanya Allah s.w.t. terhadap sesuatu perkara daripada berita bahawa seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga disebabkan amalannya yang tertentu?

Jika dengan hanya sedikit khidmat membersihkan sampah daripada masjid pun sudah diberikan ganjaran syurga, apatah lagi ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada mereka yang memberikan komitmen harian untuk mengimarahkan masjid? Cuba kita renungkan, betapakah kemuliaan yang Allah s.w.t. sediakan bagi mereka yang sanggup berulang alik ke masjid demi menghidupkan masjid dengan amalan-amalan yang sewajarnya hidup di dalam sesebuah masjid.

Kemuliaan masjid bukan kerana binaannya, tetapi kerana amalan-amalan yang sepatutnya sentiasa hidup di dalamnya. Al-‘Allamah Al-Muhaddith Asy-Syaikh Muhammad Yusuf al-Kandahlawi rah.a., pengarang kitab Amaniyul-Ahbar dan kitab Hayatus-Sahabah, seorang ulama yang pakar berkenaan Sirah Nabawiyah telah menyimpulkan bahawa Masjid Nabawi dan masjid-masjid di Madinah semasa xzaman Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat telah dihidupkan dengan empat amalan teras iaitu dakwah, ta’lim dan ta’allum, ibadah dan khidmat.

Disebabkan itulah, bagi seseorang muslim yang sering berulang-alik mengimarahkan masjidnya, Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan agar orang itu dipersaksikan berkenaan hakikat iman yang dimilikinya.

Abu Sa’id al-Khudri r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jikalau engkau melihat seseorang lelaki yang sentiasa berulang-alik ke masjid, maka persaksikanlah baginya dengan (ketulenan) imannya. Allah Taala telah berfirman, “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang benar-benar beriman dengan Allah dan hari Akhirat.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Jika itulah ganjaran dan kemuliaan seseorang yang mendedikasikan dirinya untuk memakmurkan masjid-masjid, apakah penyaksian keimanan yang selayaknya diberikan kepada mereka yang telah mengerahkan fikiran, masa, tenaga dan harta untuk memujuk rayu manusia lainnya agar datang kepada masjid dan menghidupkan amalan-amalan masjid?

Melalui kisah ringkas di atas juga, kita mendapat satu isyarat, bagaimana golongan sahabiah juga turut memainkan peranan dalam memastikan masjid-masjid sentiasa dihidupkan dengan amalan dakwah, pengajian ilmu, ibadat-ibadat khusus dan khidmat.

Hari ini juga, jika golongan wanita muslimah mukminah turut memainkan peranan untuk secara istiqamah dan berhikmah menggalakkan setiap ahli keluarga lelaki mereka agar pergi ke masjid dan melibatkan diri secara aktif dengan usaha-usaha memakmurkan masjid agar hidup dengan empat amalan kemasjidan tersebut, maka suasana yang pernah mewarnai dan mencorakkan pola aktiviti di Masjid Nabawi semasa zaman Rasulullah s.a.w. akan kembali terzahir!

Semoga Allah menerima kita - umat hujung akhir zaman ini - untuk kembali mulia melalui cara yang telah memuliakan generasi salafus-soleh umat ini, iaitu apabila seluruh gerak hidup dan hati sanubari mereka, diikat dengan masjid!

Wednesday, October 13, 2010

Jenayah Yang Sering Dipandang Ringan...

Seribu empat ratus tiga puluh dua tahun telah berlalu, sejak daripada peristiwa agung Israk dan Mi’raj-nya Rasulullah s.a.w. peristiwa besar yang membuktikan kebesaran dan ketinggian darjat Rasulullah s.a.w. di sisi Allah. Saban tahun umat Islam akan memperingati peristiwa hebat israk dan mi’raj ini.

Peristiwa yang menggmparkan penghuni langit ini, kemuncak tertingginya ialah penganugerahan ibadah solat kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. akhirnya, umat ini mempunyai syariat solatnya yang tersendiri. Solat yang telah ditentukan waktu-waktunya. Solat yang akan menjadi pencorak pola hidup seorang mukmin. Solat yang merupakan jadual rabbani, yang menjadi sumber segala tenaga yang positif dan murni bagi kehidupan seorang insan.

Solat ini secara gerakannya didefinisikan sebagai satu perlakuan ibadah yang dimulakan dengan takbiratul-ihram dan disudahi oleh salam dengan syarat dan rukunnya yang tertentu. Bagaimanapun, di dalam kitab Fi Zilalil-Quran, pengarangnya mengungkapkan erti solat itu sebagai ‘silatun wa liqaa-un bainal-‘abdi wa rabbihi’ (iaitu satu perhubungan dan pertemuan di antara seorang hamba dengan tuhannya). Secara rohaninya, solat adalah satu saat yang telah dikhususkan oleh seseorang mukmin untuk ‘bertemu’ dan bersendirian dengan Allah s.w.t.

Kepentingan dan ketinggian solat di dalam Islam telah dinyatakan dengan jelas oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabda baginda:
“(Garis pemisah) di antara seseorang itu dengan kekufuran ialah meninggalkan solat” (hadis riwayat Ahmad) manakala melalui riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. menegaskan:
“(Garis pemisah) di antara seseorang itu dengan kekufuran dan kesyirikan ialah meninggalkan solat.”

Begitu mulia dan pentingnya kedudukan solat ini, sehingga Rasulullah s.a.w. meletakkan garis pemisah antara beriman atau kufurnya seseorang itu, terletak kepada sejauhmana dia dapat menjaga dan menunaikan solatnya. Sekiranya seseorang itu meninggalkan solat maka sebenarnya dia telah mencampakkan diri dalam risiko dosa yang amat dahsyat iaitu dosa kesyirikan dan kekufuran.

Kufur itu adalah mukadimah kepada kafir.

Malangnya, hari ini kita dapat saksikan di mana-mana, dosa yang sebegini keji telah dilakukan secara berleluasa dan berterang-terangan. Malah dosa ini seolah-olah semakin diterima oleh masyarakat sebagai satu kemungkaran yang umum dan tidak perlu diheboh-hebohkan. Seseorang yang melakukan kemungkaran meninggalkan solat, tidak dilihat sehina seseorang yang meminum arak atau mereka yang melakukan zina. Sedangkan hakikatnya, dosa meninggalkan solat adalah solat yang paling besar sesudah dosa syirik.

Rasulullah s.a.w bersabda:
“Jangan kamu mensyirikkan Allah dengan suatu apapun, walaupun kamu akan dibunuh, dibakar atau disalib. Jangan meninggalkan solat dengan sengaja, kerana sesiapa meninggalkan solat dengan sengaja maka dia telah terkeluar dari agama Islam…” (hadis riwayat at-Tabroni)
Kefahaman kita hari ini telah begitu jauh dengan kefahaman leluhur keimanan kita.

Tahukah kita, bahawa Saiyidina Umar r.a., Hadrat Abdullah ibnu Mas’ud r.a. dan Saiyidina Abdullah ibnu ‘Abbas r.a. berpegang dengan pendapat bahawa seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa sebab yang diterima oleh syarak, adalah dihukumkan sebagai kafir?

Alangkah dahsyatnya dosa meninggalkan solat ini!

Sebenarnya, umat Islam telah meninggalkan solat, kerana hubungan mereka dengan Allah juga telah menjadi semakin lemah. Allah seolah-olah hanya wujud di tempat tertentu seperti Makkah atau di masjid. Dan Allah seolah-olah juga hanya pada waktu atau masa yang tertentu, contohnya semasa bulan Ramadhan atau apabila ada kematian. Kita hanya ‘tahu’ Allah itu wujud, tetapi kita kehilangan ‘rasa’ tentang kewujudan Allah ini. Akhirnya, tali pengikat paling kudus antara seorang hamba dengan Tuhannya telah diabaikan.

Solat adalah hak utama Allah ke atas hamba-hambanya. Meninggalkan solat, seolah-olah kita sedang meremehkan hak Allah. Maha Suci Allah daripada memerlukan hamba-hambanya untuk rukuk dan sujud kepada-Nya demi menjadikannya Tuhan yang Maha Agung. Allah tidak memerlukan kita menyembahnya, tetapi kitalah yang memerlukan Allah. Kita memerlukan Allah dalam segala-galanya. Sehingga untuk terus bernafas pun, kita memerlukan udara yang disediakan oleh Allah, hidung yang diciptakan oleh Allah, saluran tenggorok yang dijadikan oleh Allah, paru-paru yang berfungsi hanya dengan izin Allah.

Jika fizikal kita begitu memerlukan Allah, maka bagaimana pula dengan keperluan rohani kita? Disinilah Allah telah memfardhukan solat untuk memenuhi keperluan kerohanian seorang insan.

Allah s.w.t. memfardhukan solat lima waktu demi kebaikan rohani, emosi, minda dan fizikal manusia. Allah berfirman:

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (surah an-nisaa’ ayat ke-103)

Untuk meninggalkan solat, sebenarnya kita telah melakukan kezaliman yang begitu besar. Kezaliman kepada diri kita, dan kezaliman kepada hak Allah ke atas kita. Dan juga kezaliman kepada agama Islam, kerana solat adalah syiar paling utama agama Allah ini.

Jika dengan menjaga solat, kita dijanjikan dengan ganjaran dan kemuliaan yang amat tinggi, maka dengan mengabaikan solat, kita sebenarnya telah melayakkan kita untuk jatuh dalam kerugian yang begitu hina.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Allah telah berfirman: “Aku telah memfardhukan ke atas umat mu solat lima waktu. Aku telah sungguh-sungguh berjanji dengan Diri-Ku, bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktu maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya, sesiapa yang tidak menjaga solat, Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya.” (hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Malapetaka dan azab yang besar tersedia bagi mereka yang meninggalkan solat, sebagaimana tercatat di dalam kitab Majalisul-Abrar bahawa Rasulullah bersabda:
“Sesiapa yang meninggalkan solaT sehingga luput waktunya, kemudian dia mengqadhanya, diazabkan di dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub itu ialah lapan puluh tahun. Satu tahun, ialah tiga ratus enam puluh hari. Satu hari akhirat itu kadarnya ialah seribu tahun dunia.”

Bayangkan, satu solat fardhu yang hanya mengambil masa tidak lebih daripada lima minit di dunia ini, apabila ditinggalkan maka implikasinya ialah seksaan selama 28,800,000 (dua puluh lapan juta lapan ratus ribu) tahun dunia! Itu baharu untuk satu waktu, bagaimana jika solat telah ditinggalkan sejak bertahun-tahun lamanya?

Itulah gambaran betapa besar dan dahsyatnya dosa meninggalkan solat.

Itu adalah secebis gambaran betapa dahsyatnya hukuman di akhirat. Di dalam tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa untuk orang yang melalaikan solat, dikhususkan satu lembah di dalam neraka jahannam yang mana api neraka sendiri berlindung diri sebanyak 400 kali setiap hari daripada memasukinya.

Bagaimana, adakah kita semakin jelas mengenai betapa hina dan dahsyatnya dosa meninggalkan solat ini?

Itu adalah hukuman di akhirat, bagaimana pula hukuman di sisi undang-undang jenayah syariah di dunia ini. Berdasarkan hukum di dalam mazhab Syafi’ie, dosa meninggalkan solat ini dikategorikan sebagai satu jenayah. Maka pemerintah atau wakilnya boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang meninggalkan solat.

Pelaku jenayah meninggalkan solat ini dibahagikan kepada dua golongan, iaitu:

1) golongan yang meninggalkan solat kerana berkeyakinan bahawa ia adalah tidak wajib atau memandang rendah kepada perintah pemfardhuan solat itu. Orang ini dianggap telah murtad dan perlu dihukum sebagaimana hukuman seorang yang murtad dan segala implikasi hukumnya.

2) golongan yang kedua ialah, mereka yang meninggalkan solat tetapi masih yakin dengan kewajipan menunaikannya. Cuma mereka meninggalkannya kerana malas atau sebagainya. Maka dia telah dianggap melakukan jenayah besar dan perlu diambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Mereka mestilah diminta untuk bertaubat dan segera menunaikan solat. Sekiranya setelah diminta bertaubat dan diberikan tempoh untuk bertaubat, sedangkan mereka masih enggan bertaubat, maka hukuman pancung hendaklah dijalankan. Ini dilaksanakan, walaupun mereka meninggalkan hanya satu solat fardhu sahaja.

Tempoh untuk mereka bertaubat ialah sehingga waktu dhoruroh tamat. Waktu dhorurah ialah waktu terakhir untuk menjamakkan solat secara jamak ta’khir. Maknanya, jika seseorang itu meninggalkan solat zohor, dia diberi tempoh sehingga masuk maghrib. Sekiranya dia meninggalkan solat maghrib, dia diberi tempoh sehingga masuk waktu subuh.

Sekiranya telah tamat waktu dhoruroh ini, maka hukuman pancung hendaklah dijalankan.

Inilah hukuman undang-undang bagi mereka yang melakukan dosa dan jenayah meninggalkan solat. Sejauhmanakah kita sedar, betapa dahsyatnya hukuman di dunia dan akhirat bagi mereka yang meninggalkan solat?


Hadrat Abdullah ibn Umar r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tiadalah agama, bagi orang yang tiada solat baginya. Sesungguhnya kedudukan solat dalam agama seumpama kedudukan kepala kepada badan.” (hadis riwayat at-Tabroni)

Hadis ini menggambarkan betapa pentingnya solat. Jika diumpamakan seperti tubuh manusia, maka solat adalah seperti kepala kepada badan. Kita sudah tentu pernah menyaksikan ada orang yang cacat anggota badannya. Ada yang kudung kakinya, ada yang kudung tangannya. Tetapi adalah sangat mustahil jika kita dapati ada orang yang tidak ada kepalanya. Seseorang yang tidak ada kepalanya, sudah pasti akan mati. Maka begitulah keadaan agama bagi seseorang yang tidak bersolat. Agama yang dimilikinya seolah-olah sudah mati.

Itu adalah kedudukan solat bagi seseorang individu. Bagaimana pula kedudukannya kepada ummah ini. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Solat itu tiang agama, sesiapa yang menegakkannya, sesungguhnya dia telah menegakkan agama; dan sesiapa yang meninggalkannya, sesungguhnya dia telah memusnahkan agama.” (hadis riwayat al-Baihaqi dan ad-Dailami)

Kita sering mengeluh dan meratapi nasib umat Islam betapa mereka sering dizalimi dan diperkotak-katikkan sesuka hati oleh musuh-musuh Islam. Hakikat sebenarnya, bukan musuh-musuh tadi yang meruntuhkan dan membinasakan Islam, tetapi yang meruntuhkannya ialah umat Islam itu sendiri yang telah meninggalkan solat. Sedangkan musuh-musuh yang datang, hanya memijak-mijak runtuhan itu.

Adakah ada satu dosa yang lebih besar daripada dosa meruntuhkan agama? Itulah sebabnya Allah s.w.t. meletakkan hukuman yang berat dan pedih untuk dosa meninggalkan solat.

Allah s.w.t. berfirman:
“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)” (surah Maryam ayat ke-59)

Generasi yang mencuaikan solat adalah generasi yang akan tenggelam dalam kebejatan moral dan hanya mementingkan nafsu serakah. Segala unsur kecerdasan rohaniah akan hancur dan tidak akan mampu memberikan erti makna dan nilai hidup.

Sebaliknya Allah s.w.t berfirman pada ayat yang lainnya:
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhainya untuk mereka; dan dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (surah an-Nur ayat ke-55)

Ayat ini menyatakan bahawa generasi yang teguh amalan ibadat mereka, akhirnya akan diberikan kemuliaan dan kekuasaan. Kekuasaan dalam bidang yang pelbagai. Sama ada politik, ketenteraan, ekonomi dan sebagainya.

Sudah tentu, solat berada pada senarai teratas amalan soleh dan ketaatan tertinggi dalam ibadat. Bahkan Allah s.w.t. telah mengaitkan suruhan bersolat itu dengan kekuatan ekonomi.

Hadrat Abdullah bin Salam r.a. berkata, “Sekiranya keluarga Rasulullah s.a.w. ditimpa sebarang kesempitan, baginda akan memerintahkan mereka mendirikan solah dan akan membaca ayat yang berikut:
“Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (surah Toha ayat ke-132)

Allah mempunyai standard penilaiannya yang tersendiri berkenaan hamba-hambanya yang beriman. Di sini isyarat yang jelas diberikan, betapa kekuatan ekonomi itu bergantung kepada sejauhmana umat ini benar-benar menjaga solat mereka. Bagaimanapun, hukum ini tidak terpakai ke atas orang-orang yang tidak beriman. Ada sebahagian ulama menyatakan, sekiranya 70% umat Islam di sesuatu kawasan menjaga solat berjemaah mereka, maka Allah akan memberikan kepada mereka kuasa ekonomi.

Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan dalam keadaan kegawatan iman dan dosa meninggalkan solat yang semakin membarah ini? Adakah yang ada hanya keluhan dan keputusasaan?

Apa yang penting, hakikat dan kepentingan solat ini mestilah ditanam, diasak dan dipasakkan ke dalam minda dan sanubari setiap umat. Usaha perlu digembleng pada segenap peringkat bagi memasukkan kelebihan dan kepentingan solat ini di sisi Allah, dan betapa umat ini amat memerlukan solat untuk kembali menjadi mulia.

Pembelajaran formal pendidikan Islam pula hendaklah menitikberatkan penghayatan kepada roh solat itu sendiri, lebih daripada kebolehan pelajar menghafal syarat, sunat dan rukun solat. Generasi muda adalah medan terpenting untuk dibentuk fikir dan kefahaman ini.

Dalam masa yang sama, institusi masjid hendaklah menjadi institusi yang hidup untuk menjadi pemangkin umat kembali kepada ghairah untuk mendirikan solat. Orang-orang surau dan masjid perlulah bergerak di seluruh pelusuk kariah mereka bagi menyebarkan gagasan mendirikan solat ini. Setiap ahli jemaah masjid perlu menjalankan usaha bagi memastikan tidak ada seorang pun ahli kariah yang baligh yang meninggalkan solat fardhu mereka. Dengan penuh kelembutan tetapi sungguh-sungguh, umat ini perlu dipujuk untuk menjaga solat mereka serta diajak kepada masjid. Daripada masjid ini pula, mereka disediakan untuk turut menjadi pemangkin orang lain pula untuk menjadi ahli solat.

Disamping itu, adalah amat penting umat ini difahamkan, dosa meninggalkan solat bukanlah sekadar dosa biasa, tetapi dosa yang bertaraf jenayah. Jenayah yang amat besar sehingga disediakan hukuman pancung kepada mereka yang meninggalkannya. Hukuman pancung ini meletakkannya sebaris dengan dosa murtad, sihir, berzina dan membunuh orang lain. Melalui apa sahaja sarana yang ada, mesej ini perlu disematkan kepada umat ini sedari kecil hinggalah dewasa.

Sehingga, laungan ‘Hayya ‘Alas-Solah, Hayya ‘Alal-Falah’ benar-benar akan menjadi laungan keramat yang mendorong umat ini untuk cemerlang di dalam setiap bidang dan juzuk hidup mereka.


Wednesday, September 29, 2010

Majalah Solusi Bil. 24: Jalan Keluar Kemelut Kewangan

Kali ini disertakan artikel yang keluar dalam Majalah Solusi Bil. 24. Diharapkan mesejnya dapat sampai dengan jelas sebagai renungan kita semua.

Ada satu senario:
“Anda hidup dalam kesempitan wang. Tabungan langsung tidak ada. Hutang banyak. Malah mula memeningkan kepala. Baki gaji yang ada, sekadar cukup untuk mengelakkan kelaparan. Hati sentiasa risau, siang malam berdoa, janganlah ada sebarang kecemasan. Jika berlaku sebarang kecemasan, alamatnya kena berhutanglah lagi.
Tiba-tiba anda terbaca dalam sebuah akhbar tabloid, “Kami akan bimbing anda, 100%!!! Cipta pendapatan bulanan RM10,00 –RM30,000 dalam masa 1 bulan. Hubungi kami segera! Ramai yang telah berjaya melalui Program Usahawan Terpimpin kami!!”

Anda merasakan bagai terlihat sinar di hujung jalan. “

Sekarang kita tukar pula senarionya.

“Anda hidup dalam kesempitan wang. Tabungan langsung tidak ada. Hutang banyak. Malah mula memeningkan kepala. Baki gaji yang ada, sekadar cukup untuk mengelakkan kelaparan. Hati sentiasa risau, siang malam berdoa, janganlah ada sebarang kecemasan. Jika berlaku sebarang kecemasan, alamatnya kena berhutanglah lagi.
Tiba-tiba anda terbaca dalam sebuah majalah, “Di antara fadilat dan kelebihan yang telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan Surah al-Waqi’ah ialah sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitab al-Azkar , iaitu:
Bersumber daripada Hadrat Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, (Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam ia tidak akan ditimpa kefakiran.”
Anda pun terus membelek muka surat lain majalah tersebut.”

Meletakkan diri kita dalam dua senario di atas, yang mana satukah yang akan membuatkan hati kita menjadi lebih tenang? Yang dapat membangkitkan kuasa harapan yang positif dalam diri kita? Yang selepas membacanya sahaja pun, sudah menyebabkan hati kita merasa lapang dan bibir menguntum senyuman? Walaupun masalah ‘kegawatan’ ekonomi kita sebenarnya belum pun pulih. Senario yang manakah menyebabkan semangat kita semakin pulih?

Jika kita selidiki hadis-hadis Rasulullah s.a.w., maka kita akan mendapati bahawa begitu banyak hadis-hadis yang menyatakan berkenaan fadilat surah atau ayat tertentu dalam memudahkan urusan rezeki. Ada riwayat yang menyentuh bagi menghindari kefakiran, ada untuk menyelesaikan masalah hutang atau kelebihan dalam menambahkan keberkatan rezeki.

Pendekatan ‘menyelesaikan masalah rezeki melalui amalan soleh’ merupakan satu pendekatan tarbiah yang dilazimkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para Sahabat. Manhaj ini merupakan manhaj yang menuju terus kepada dasar masalah, iaitu masalah iman. Hati para Sahabat, sentiasa ditazkirahkan dengan kayakinan bahawa Allah s.w.t. adalah satu-satunya Zat Yang Maha Memiliki Kudrat dan Iradat yang Maha Mutlak. Apa sahaja yang berlaku dalam alam ini sentiasa dalam Perhatian Allah s.w.t. Keimanan mereka telah dibulatkan tekadnya hanya untuk bergantung kepada Allah al-Ahad lagi as-Somad. Al-Ahad kerana hanya Allah-lah satu-satunya Zat Yang Kuasa, as-Somad kerana hanya kepada Zat Yang Maha Esa inilah bergantung hajat segala sesuatu. Semua makhluk, memerlukan Allah s.w.t. Draipada sebesar-besar makhluk seperti ‘Arasy, mahupun sekecil-kecil makhluk seperti zarah sekalipun; semuanya memerlukan dan bergantung hajat kepada Allah.

Merupakan satu sistem dan peraturan alam yang semuladijadikan oleh Allah s.w.t., bahawa apa yang berlaku kepada alam ini adalah bergantung atau berkadar terus dengan apa yang dilakukan oleh amal-amal manusia. Disebabkan itulah, di dalam mentarbiah para Sahabat, Rasulullah s.a.w tidak pernah lupa agar para Sahabat sentiasa membetulkan amalan mereka, atau memulakannya dengan amalan.

Bayangkan, seorang sahabat yang siap untuk berniaga dan memaklumkannya kepada Rasulullah s.a.w., lalu baginda menyuruhnya agar bersolat dahulu sebanyak dua rakaat. Sudah tentu baginda tidak menafikan usaha Sahabat tadi untuk berniaga, malah banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan betapa perniagaan itu satu bidang yang amat dekat di hati baginda, tetapi baginda mahu agar Sahabat tadi tidak melupakan untuk memulakannya dengan solat.

Begitulah dalam masalah rezeki, versi penuh hadis yang disebutkan di awal penulisan ini, sebagaimana yang dicatatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitab Syubul-Imannya:
Daripada Hadrat Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Sesiapa yang membaca surah al-Waqi’ah pada setiap malam, kefakiran tidak akan menimpanya untuk selama-lamanya.”
Dan adalah Hadrat Ibnu Mas’ud r.a. selalu menyuruh anak-anak perempuannya membaca surah ini pada setiap malam.

(Riwayat al-Baihaqi, juga dinukilkan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitab al-Azkar)

Siapakah yang sedia mengamalkan surah ini dengan penuh iman kepada janji dan jaminan Allah dan Rasul-Nya seperti sahabat Hadrat Ibnu Mas’ud r.a. ini?

Sunday, September 26, 2010

Kehinaan Syirik

Allah SWT dengan jelas telah menyatakan bahawa tujuan asas diciptakan manusia, begitu juga makhluk jin, hanyalah untuk beribadah kepada-nya. Itulah yang ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya, di dalam surah az-Zariyaat ayat ke-56:
“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah mengabdikan diri mereka kepada-Ku”

Sesungguhnya, tujuan tertinggi penciptaan manusia ialah untuk mentauhidkan Allah SWT. Agar manusia benar-benar mengenali siapakah pencipta sebenar alam ini. Dan Allah SWT menciptakan segalanya, daripada tiada kepada ada, dengan hanya satu tujuan, iaitu agar kekuasaan dan kebesaran-Nya dikenali oleh sekalian makhluk-Nya.

Allah berfirman:
“Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan daripada bumi itu sepertinya juga, terus menerus berlaku perintah Allah di antara mereka itu (yakni alam langit dan bumi); supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi akan tiap-tiap sesuatu itu ilmu-Nya” (surah at-Tolaq: ayat 12)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, adalah jelas, dosa syirik itu merupakan sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang makhluk terhadap penciptanya. Kenapakah dosa syirik itu dikatakan sebagai dosa yang paling besar? Ini disebabkan, syirik itu adalah penyelewengan tertinggi seseorang insan daripada akidah tauhid, yang merupakan tujuan dia diwujudkan oleh Allah SWT.

Syirik membawa maksud, mempersekutukan Allah SWT dengan mana-mana makhlukNya dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktikad. Penyekutuan ini berlaku sama ada dalam peribadatan, keyakinan terhadap kekuasaan mahupun menumpahkan rasa kehambaan kepada sesuatu selain Allah.

Seseorang yang melakukan syirik, tidak semestinya mengengkari ketuhanan Allah SWT, malah cukup dengan merasakan disamping allah ada satu kuasa lain yang mampu memberikan manfaat dan mudarat yang mutlak. Contohnya, di awal kemunculan Rasulullah SAW sebagai rasul di Makkah, golongan Quraisy yang tidak menerima dakwah baginda disebut sebagai kaum musyrikin, yakni orang-orang yang melakukan syirik. Kenapa? Ini disebabkan, selain tetap meyakini bahawa Allah itu adalah tuhan, tetapi mereka juga menyembah berhala-berhala yang diberikan pelbagai nama dan fungsi. Malah dikatakan, di sekeliling Kaabah ketika itu, terdapat tidak kurang 360 jenis berhala.

Syirik merupakan dosa besar yang paling besar. Abdullah bin Mas’ud r.a. menceritakan, “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. , “Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah?” Baginda bersabda, “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah (yakni syirik), padahal Dia-lah yang telah menciptakan Mu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syirik merupakan satu bentuk dosa yang amat besar. Malah sebahagian ulamak mengeluarkannya daripada senarai dosa, malah syirik dikategorikan sebagai perkara yang membatalkan iman. Apa yang jelas, syirik adalah sebesar-besar kezaliman yang dilakukan oleh seorang manusia terhadap Allah, yang telah menciptakan manusia dan seluruh makhluk ini.

Allah sendiri mensifatkan syirik merupakan satu kezaliman yang besar. Allah berfirman di dalam surah Luqman ayat ke-13:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak ku, janganlah engkau mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

Kesyirikan mempunyai sejarah yang lama. Syirik telah bermula seawal zaman Nabi Syith a.s. setelah wafatnya Nabi Syith a.s. lalu tinggallah beberapa orang pengikutnya yang soleh, yang meneruskan ajaran yang telah ditinggalkan oleh Nabi Syith a.s. Setelah orang-orang soleh ini meninggal, lalu dibina patung-patung sebagai memperingati tokoh-tokoh tadi. Setelah berlalunya beberapa generasi, patung-patung yang asalnya hanya sebagai tanda ingatan, akhirnya mula dimuliakan dan dijadikan tumpuan pemujaan. Maka, bermulalah dosa syirik dalam kalangan manusia.

Begitu juga, apabila manusia mula berkembang di atas muka bumi ini, lama kelamaan, mereka mula melupakan ajaran-ajaran tauhid yang murni yang telah dibawa oleh para rasul. Al-Quran merakamkan, betapa seluruh para rasul membawa risalah dan dakwah yang sama, iaitu untuk mengajak manusia agar mentauhidkan Allah dalam keimanan mereka, serta meyakini bahawa, hanya dalam mentaati titah perintah Allah yang diimani itu, mereka akan berjaya dan mulia di sisi Allah.

Bermula kesesatan dengan kesyirikan dalam bentuk menyembah berhala, maka timbul pula kesyirikan, apabila manusia yang telah melupakan ajaran rasul yang diutuskan kepada mereka, mula meyakini bahawa unsur-unsur alam ini mempunyai kuasa yang tersendiri dan sebahagian daripada alam ketuhanan. Ini kita dapat lihat contohnya, melalui kisah Nabi Sulaiman a.s. dan Puteri Balqis yang memerintah kerajaan Sabak di Yaman. Apabila burung hud-hud telah melaporkan bahawa dia telah melihat suatu kaum yang sedang menyembah matahari.

Ada pula kelompok manusia, walaupun mereka masih beriman dengan Allah sebagai tuhan, tetapi mereka juga percayakan bahawa ada unsur atau makhluk lain yang juga berkuasa disamping Allah. Ada yang meletakkan kepercayaan kepada bahawa Allah itu mempunyai anak. Atau malaikat itu adalah anak-anak Allah. Ada yang memberikan sifat yang tidak selayaknya kepada Allah. Ini semua adalah syirik yang secara nyata telah membatalkan iman seseorang dan mengeluarkan seseorang itu daripada agama islam.

Islam mengajarkan tauhid yang murni kepada Allah SWT. Tauhid merupakan asas segala asas di dalam ajaran Islam. Tauhid inilah yang merupakan lawan kepada syirik. Allah SWT menjelaskan tentang tauhid murni melalui surah al-Ikhlas. Perkataan ‘al-ikhlas’ ini membawa makna ‘tauhid yang bersih daripada sebarang syirik’.

Allah berfirman:
“Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa; allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tiada beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengannya". (surah al-Ikhlas ayat 1 -4)

Daripada surah ini, adalah jelas bahawa antara elemen syirik yang utama ialah apabila kita meyakini kepada kuasa-kuasa lain selain Allah, bahawa mereka juga layak menjadi pusat tumpuan memohon sebarang hajat. Seperti meyakini bahawa matahari itu mempunyai kuasa untuk menyampaikan hajat. Atau bernazar di kuburan dengan keyakinan bahawa kubur keramat tersebut boleh mengurniakan apa yang dihajati. Begitu juga, apabila membuang ancak di akar pokok yang besar, kerana meyakini jika tidak berbuat demikian, akan ditimpa bala.

Satu lagi contoh kesyirikan yang boleh membawa terkeluarnya seseorang daripada agama Islam, apabila pergi kepada bomoh atau tulang tilik, lebih-lebih yang bukan Islam, lalu bertanyakan atau menilik perkara-perkara yang ghaib, seperti ingin tahu bilakah seseorang itu akan mati?... Menilik adakah si polan ini yang melakukan begini begini… penilikan sebegini merupakan dosa-dosa besar yang membatalkan iman seseorang..

Sebagaimana amaran yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w.:
"siapa yang mendatangi seorang dukun/peramal, lalu mempercayai apa yang dia katakan, maka dia telah kafir kepada apa yang telah diturunkan kepada Muhammad saw"
(Hadis riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah).

Apa yang menarik untuk diperhatikan hari ini, jika dulu manusia melakukan syirik kerana kesesatan mereka dalam akidah, apa yang terjadi hari ini, manusia sanggup melibatkan diri dengan dosa yang dahsyat ini semata-mata kerana hawa nafsu dan kecintaan mereka kepada keduniaan. Kita dapat saksikan, betapa ramai umat Islam sendiri, yang sanggup menyembah kuburan, melakukan perkara khurafat, dan sebagainya, semata-mata untuk mendapatkan nombor ekor supaya menang dalam perjudian. Sedangkan perbuatan tersebut, hakikatnya merupakan satu contoh yang jelas kepada dosa syirik.

Syirik merupakan satu dosa yang akan mencabut ketenteraman daripada hati seseorang. Kehidupan mereka di dunia akan sentiasa dalam gundah gulana dan kegentaran. Ini adalah janji Allah sebagai hukuman di dunia.

Allah mengingatkan:
“Kami akan isikan hati orang-orang yang kufur itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Sllah dengan benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.”

Seterusnya, hukuman yang menanti di akhirat adalah hukuman yang jauh lebih dahsyat. Kedahsyatan yang berganda-ganda! Allah menggelarkan syirik itu sebagai satu dosa yang besar dan tidak terampunkan. Lalu hukumannya ialah diharamkan daripada memasuki syurga, dan seterusnya dicampakkan ke dalam neraka.

Allah berfirman:
“Sesungguhnya allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukannya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah an-Nisaa’: ayat 48)

Seterusnya Allah menegaskan lagi:
“…bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim" (Surah al-Maaidah: ayat 72)

Kesyirikan bukanlah suatu dosa yang boleh diremehkan. Pertaruhannya bukan masalah antara hidup dan mati, tetapi ancaman untuk kekal selama-lamanya di dalam neraka. Syirik adalah dosa yang perlu diperolehi keampunannya sebelum seseorang itu meninggal dunia. Mati tanpa taubat dan kembali kepada Islam, maka dosa syirik ini tidak ada harapan pengampunannya di sisi ALlah pada hari Akhirat nanti.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah sendiri:
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari ahli kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.” (Surah al-Bayyinah: ayat 6)

Malah bagi perbuatan syirik yang mengeluarkan seseorang itu daripada agama Islam, maka cara yang perlu dilakukan untuk bertaubat ialah sebagaimana cara seorang yang murtad bertaubat dan kembali kepada Islam. Yang mana, bukan sahaja perlu memperbaharui syahadah dengan disaksikan oleh dua saksi yang adil, malah orang tersebut perlu mengqada kesemua amalan-amalannya yang lalu.

Sebenarnya, masalah syirik adalah satu perkara yang sangat perlu diperhatikan dengan serius dan cermat. Sebagai seorang insan yang sememangnya diletakkan di atas muka bumi ini dengan berbagai-bagai ujian, maka perkara yang paling perlu dihindarkan ialah daripada terperangkap dengan kedahsyatan dosa syirik.

Kadang-kadang, kita tidak bermaksud untuk melakukannya. Sebagai contoh, anak kita menghadapi penyakit misteri, lalu kerana terdesaknya kita untuk merawat dan menyembuhkan sakit anak kita itu, adakalanya hingga sanggup pergi kepada dukun yang bukan beragama Islam, yangmana kaedahnya berasaskan perkara yang syirik. Ini adalah satu contoh mudah dan sering terjadi.

Begitu juga, kononnya kerana terlalu cintakan pasangan kita, hingga sanggup kita bomohkan pasangan kita dengan kaedah-kaedah yang khurafat dan syirik. Ini semua amalan syirik yang akan merugikan kita di Akhirat nanti, dengan ancaman akan kekal selamanya dalam bakaran dan kehinaan api neraka.

Mendepani masalah syirik ini, antidot utamanya ialah tauhid dan keyakinan yang sahih kepada Allah SWT. Medan atau tempat kepada tauhid dan keyakinan ini ialah hati manusia. Disebabkan itulah, semua para rasul telah diutuskan dengan membawa dakwah dan risalah yang sama, iaitu untuk mentauhidkan Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Mu’minuun ayat 32:
“Lalu Kami mengutus kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka (dengan seruan): "Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?"

Hari ini, hati masyarakat Islam perlu kembali dipupuk dengan tiga perkara:

Pertama, kemantapan akidah. Ini bermaksud, umat Islam perlu didedahkan dengan ilmu-ilmu akidah yang sahih dan mantap. Perkara ini mungkin lebih mudah untuk dicapai. Terutamanya di Malaysia, subjek Pendidikan Islam merupakan pelajaran yang wajib dalam arus perdana sistem pendidikan kebangsaan. Manakala pendekatan yang bersifat pembelajaran sepanjang hayat perlu dilaksanakan dengan lebih aktif. Masjid, pusat-pusat pengajian dan media massa perlu dioptimumkan sebaiknya sebagai wadah ilmu-ilmu akidah ini disebarluaskan. Melalui penekanan kepada keilmuan akidah yang tepat sebagaimana dianjurkan oleh ahlus-sunnah wal-jamaah, baharulah umat Islam akan dapat membezakan sesuatu ajaran atau perbuatan itu adakah syirik atau tidak.

Kedua, tauhid yang sahih. Umat islam hari ini perlu kembali dididik untuk benar-benar meyakini dengan kebesaran dan kehebatan Allah SWT. Hanya Allah yang memegang secara mutlak segala manfaat dan mudarat. Sebagaimana di dalam azan dan di dalam takbiratul ihram, kita diperingatkan agar menghayati seruan “Allahu Akbar!”, hanya Allah sahaja yang maha besar, dan selain daripada Allah semuanya kecil! Maka penghayatan yang sama perlu dibawa ke dalam seluruh kehidupan kita. Maka hati kita perlu hanya bergantung dengan Allah. Cara yang paling sederhana ialah, selain diadakan majlis berkenaan ilmu-ilmu agama, perlu juga disuburkan dikalangan ummah, majlis-majlis yang memperkatakan tentang kebesaran dan kemutlakan kudrat dan iradat Allah SWT. Melalui majlis ini juga, umat akan diajarkan bagaimana mereka benar-benar dapat menghayati ungkapan ‘Allahu Akbar’ di dalam hidup mereka.

Ketiga, umat Islam perlu diperingatkan sentiasa secara lisan dan praktikal, bahawa kesalahan-kesalahan syirik ini ada hukumannya. Sama ada hukuman secara undang-undang syarak di dunia ini, mahupun hukuman yang lebih berat lagi di Akhirat nanti. Terutamanya bagi pesalah yang telah disabitkan terlibat dengan amalan-amalan khurafat atau telah disahkan terjebak dalam isu kemurtadan.

Sebenarnya, dosa syirik ini merupakan kemungkaran yang paling besar yang perlu kita secara bersama mencegahnya. Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan:
“Barangsiapa yang menemui Allah (yakni meninggal dunia) sedang dia ada mempersekutukan Allah dengan sesuatu, maka dia akan masuk neraka!” (hadis riwayat Muslim)

Untuk mencegah syirik, kita perlulah menyeru masyarakat kepada tauhid dan keimanan yang kental kepada Allah SWT. Usaha secara bersepadu perlu dilakukan oleh seluruh lapisan masyarakat islam. Agama itu nasihat. Dan agama amat menekankan agar kita saling tolong menolong atas kebajikan dan ketaqwaan.

Pendidikan merupakan medium asas untuk menerapkan penghayatan tauhid. Pendidikan yang paling asas ialah pendidikan di rumah. Di sini, ketua keluarga sesuatu keluarga itu perlu memainkan peranan mereka. Cubalah wujudkan suasana belajar dan mengajar agama di rumah-rumah kita.

Begitu juga pada peringkat komuniti. Masjid memainkan peranan yang amat penting. Disamping bermacam program dan pengajian yang telah dijalankan di masjid-masjid, adalah sangat perlu juga untuk ‘orang-orang’ masjid pula yang melakukan down-to-earth kepada ahli masyarakat. Para imam dan ustaz, perlu menjadi seperti hujan. Yang sedia menurunkan airnya walau di mana sahaja. Sikap menjadi seperti perigi yang hanya menunggu orang datang untuk mendapatkan airnya sudah tidak berapa sesuai lagi. Ustaz, imam dan orang surau, mereka perlu lebih proaktif untuk mendekati dan mendatangi masyarakat dengan penuh kasih sayang.

Manakala di peringkat negara, pihak yang berwajib perlulah memperkasakan lagi sistem pembelajaran agama islam. Dalam masa yang sama, penguatkuasaan undang-undang juga perlu dilakukan, sesuai dengan kuasa yang dimiliki oleh mereka. Penilaian semula kepada kandungan media massa juga perlu dilakukan, agar segala unsur tauhid dapat ditegakkan manakala unsur syirik pula dapat ditegah.

Sekiranya semua pihak memainkan peranannya masing-masing, insya Allah, satu suasana yang kondusif akan muncul di dalam masyarakat bagi memastikan segala punca dan amalan syirik yang ada akan dapat dibanteras; serta suasana nur tauhid dan iman akan mampu bersinar terang.

Sunday, September 5, 2010

Majalah SOLUSI Bil. 23: Keistimewaan Malam Raya

Alhamdulillah, Majalah SOLUSI sudah berada di pasaran. Kali ini, artikel saya menulis tentang satu perkara yang sering kita lupakan, iaitu Malam Raya ataupun dikenali di sisi Allah s.w.t. sebagai Lailatul-Jaaizah (Malam Pengurniaan). Malam raya adalah satu malam yang tidak kurang hebatnya. Baik dari segi kemuliaan mahupun kelebihannya. Jika untuk mendapatkan Lailatul-Qadar, kita terpaksa meneka-neka dan mencari-cari bilakah tarikhnya, tetapi untuk Lailatul-Jaaizah, suatu malam yang sudah pasti masanya; tiba-tiba kita abaikan dan lupakan. Sungguh ini semua merupakan satu kerugian kepada kita. Semoga artikel ini ada manfaatnya kepada kita.

Masa terus berlalu. Tetamu Ramadhan al-Mubarak kini sudah berada di penghujung kunjungannya. Ada hati yang mula menangis. Tetamu yang mulia ini pasti akan pergi dan pasti akan berulang lagi. Namun begitu, siapa yang tahu, adakah kita berkesempatan lagi untuk bertemu dengan bulan yang agung ini?

Apa yang sudah berlalu, tidak dapat lagi kita ulangi. Hari-hari Ramadhan yang telah pergi, tetap akan meninggalkan kita. Apa yang mampu kita lakukan hanyalah doa dan istighfar. Berdoa agar segala yang telah kita lakukan, benar-benar diterima oleh Allah s.w.t. Beristighfar kerana pasti sepanjang hari-hari yang telah kita lalui itu, terdapat pelbagai kelemahan dan kekhilafan yang telah kita lakukan.

Bagaimanapun, berakhirnya Ramadhan dengan munculnya anak bulan 1 Syawal bukanlah penamat segala kebaikan dan limpahan rahmat Allah s.w.t. Sebaliknya, malam hari raya tersebut merupakan satu malam yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Alangkah ruginya, jika setelah sepanjang Ramadhan kita bersungguh-sungguh melakukan amal ibadah dan segala kebajikan; tiba-tiba pada malam yang penuh barakah ini, kita dilekakan dengan kesibukan persiapan hari raya.

Kita boleh bergembira mensyukuri nikmat dapat menyempurnakan Ramadhan tahun ini, tetapi kegembiraan kita janganlah sampai menyebabkan kita kerugian daripada mendapat keuntungan yang amat besar. Kita boleh dan digalakkan bergembira, tetapi bukan dengan kesibukan dan program yang melalaikan kita daripada menyebut dan membesarkan Allah s.w.t.

Jika semasa bulan Ramadhan, kita ditawarkan dengan satu malam yang amat hebat iaitu Lalilatul-Qadr, maka di dalam bulan Syawal, kita ditawarkan pula dengan satu malam yang tidak kurang hebatnya, iaitu malam 1 Syawal.

Hadrat Syaikhul-Hadith as-Syaikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, pengarang kitab Ajaazul-Masaalik, menukilkan di dalam kitabnya Fahilat Ramadhan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berjaga di kedua-dua malam hari raya (dengan sibuk dalam keadaan beribadah) dengan niat untuk mendapatkan ganjaran Allah, hatinya akan hidup pada hari di mana hati-hati yang lain akan mati.”

Di dalam kitab Kasyful-Ummah, dengan rujukan kepada Imam as-Syafi’ie rah.a., bahawa terdapat lima malam yang doa-doa akan dikabulkan padanya: malam Jumaat, kedua-dua malam hari raya, malam permulaan Rejab dan malam Nisfu Sya’ban.

Sebelum malam hari raya tersebut, kita janganlah pula melupakan malam terakhir Ramadhan. Abu Hurairah r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. “…dan diampunkan bagi mereka (umat Muhammad s.aw.) pada malam terakhir Ramadhan; lalu seorang bertanya, “Wahai Rasulullah s.a.w. adakah malam itu ialah Lailatul-Qadr?”, jawab Rasulullah s.a.w, “Tidak! Tetapi seorang pekerja akan diberikan upah setelah dia menyelesaikan pekerjaannya.!” (HR Ahamd, al-bazzar dan Abus-Syaikh Ibnu Hibban)

Bersumber daripada Ibnu Abbas r.a., di dalam sebuah hadis yang panjang, beliau menyatakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, antaranya: “…Apabila tiba malam hari raya Aidil-Fitri, dinamakan malam itu dengan panggilan Lailatul-Jaaizah (Malam Pengurniaan). Apabila pagi hari raya menjelang, Allah Azza Wa Jalla mengutuskan para malaikat ke setiap tempat. Lalu mereka turun ke bumi dan berdiri di muka-muka lorong dan jalan. Mereka akan menyeru dengan suara yang akan didengari oleh semua yang diciptakan Allah Azza Wa Jalla kecuali jin dan manusia. Mereka berkata, “Wahai umat Muhammad! Keluarlah kamu kepada Tuhan yang Maha Pemurah yang memberikan kurniaan dan memaafkan dosa-dosa besar.” Apabila mereka tiba di tempat solat raya mereka, Allah Azza Wa Jalla berkata kepada para malaikat, “Apakah balasan bagi seorang pekerja yang telah melaksanakan kerjanya?” Baginda bersabda, “Para malaikat akan menjawab, “Wahai Tuhan kamid an Pemilik kami, blasannya ialah disempurnakan ganjarannya.” Lalu Allah berfirman, “Maka Aku jadikan kamu sebagai saksi. Wahai malaikat-Ku! Sesungguhnya Aku telah jadikan kepada mereka kerana berpuasa mereka di bulan Ramadhan dan berdirinya mereka (beribadat dalam tarawih), balasannya ialah keredhaan-Ku dan keampunan-Ku!” Allah s.w.t. berkata lagi, “Wahai hamba-hambaKu, pohonlah kepada Ku. Demi kemuliaanKu dan kehebatanKu, tidaklah kamu memohon sesuatu apa pun daripada Ku pada hari ini, di dalam perhimpunan ini, samada untuk kepentingan akhiratmu, kecuali Aku akan emnunaikannya, dan tidak juga untuk kepentingan duniamu kecuali Aku akan memandang untuk kebaikanmu. Demi kemulianKu, Aku akan tutup keaoban-keaiban kamu selama mana engkau mengambil berat terhadapKu. Demi kemuliaanKu dan kehebatanKu, tidaklah Aku akan menghina kamu dan tidak juga Aku memalukan kamu dalam kalangan orang-orang yang berdosa (dan juga orang-orang kafir). Kembalilah kamu dalam keadaan kamu telah diampunkan. Sesungguhnya kamu telah meredhakan Daku dan Aku juga telah meredhakan kamu.” Para Malaikat pun bergembira dan bersuka ria dengan apa yang Allah telah berikan pada umat ini apabila mereka telah selesai dari puasa pada bulan Ramadhan.”

(HR Abus-Syaikh Ibnu Hibban dan al-Baihaqi. Menyebut al-Qari di dalam al-Mirqaah beberapa jalan periwayatan hadis ini lalu berkata: Pelbagainya jalan-jalan periwayatan hadis ini menunjukkan bagi riwayat ada asalnya.)

Syawal akan menyusuli pemergian Ramadhan. Sambutlah Syawal ini dengan kegembiraan sejati. Sebagaimana gembira dan bersukarianya para malaikat di atas kurniaan Allah yang melimpah ruah ke atas kita! Janganlah pula kegembiraan kita membuatkan kita alpa, betapa besar dan mulianya fadhilat malam hari raya, dan betapa terbuka luasnya rahmat Allah pada kala kita berhimpun untuk solat hari raya.

Semoga Aidil Fitri kali ini, Aidil Fitri yang menyebabkan para malaikat semakin mencemburui kita!

Tuesday, August 31, 2010

Surau oh surau!

Agak geger kebelakangan ini tentang isu orang bukan Islam masuk ke dalam masjid atau surau. Semoga mereka bersuara tentang isu ini semuanya ikhlas mencari keredhaan Tuhan. Tidak kiralah pihak yang menentang atau pihak yang menyokong. Saya selalunya memang suka mengelakkan daripada memberi komen daripada isu-isu sebegini. Walaupun sering di tanya oleh para jemaah masjid, selalunya semasa sesi soal jawab atau seusai majlis kuliah atau tazkirah.

Pagi ini, saya buka emel seperti biasa. Dan di dalams atu group yang saya sertai, ada seorang kawan telah berkongsi satu tulisan yang amat indah dan bernas berkenaan isu ini. Iaitu tulisan Al-Fadhil Ustaz Hasrizal. Hati saya amat bersetuju dengan jawapan al-Ustaz. Oleh itu, saya ingin kekalkan tulisan yang amat berharga ini di dalam blog kerdil si faqir ini. Hayatilah!


Bertuahkah Islam Mendapat Melayu?

Malam ini aku menangis.

Qiyam Ramadan aku beriring sendu.

Aku tidak dapat menahan rasa sedih dan kesal, bagai ada batu besar terbuku menjadi beban di lubuk hatiku.

Rasa terkilan itu juga bersulam silang dengan rindu.

Aku rindu pada saat-saat kelanaku di bumi yang amat jauh dan terpencil daripada dunia Islam. Merindui Ramadan di kelana dakwahku semasa menggalas tugas mengimamkan umat di tapak krisis Protestant – Katholik itu.

Di bumi Ulster.

Kenanganku kepada Ramadan di Belfast bukan pada kemeriahan berbuka puasa atau berQiyam semata.

Apa yang lebih mengundang rindu, menusuk kalbu, adalah pada manis yang dijamu. Kemanisan bekerja untuk Islam di bulan Ramadan, tatkala masjid kecilku itu menyaksikan begitu ramai anak tempatan disentuh hidayah Allah. Di lindungan bumbung Ramadan, masjidku dilimpahi rahmat dengan ungkapan Shahadah lelaki dan perempuan, yang semenjak lahir mereka tidak kenal Allah dan Muhammad, namun di masjidku, mereka kembali.

Kembali kepada fitrah.

Mereka bersyahadah.

Itulah Ramadan di bumi Eropah.

Bukan hanya di masjid kami, malah di kebanyakan masjid yang ada.

Di masjidku, kami mahu ia seperti Masjid Nabi. Sesiapa yang mencari teduh, dijemput berteduh. Sesiapa mencari hidayah, disambut dengan ramah. Hampir setiap hari tetamu datang dengan pelbagai agama dan latar belakang. Namun mereka bertemu di maksud yang satu. Mereka mahu tahu.

Apa Islam? Siapa Muslim? Mengapa Islam? Bagaimana Muslim?

Mereka tidak pernah mengotorkan masjid. Mereka tidak pernah mencemari masjid. Mencabut kasut, kami beritahu. Berpakaian sopan, mereka sudah tahu. Menghormati jemaah, memang cara hidup mereka begitu, hingga kami tidak terbayang berkemungkinan mengulang perbuatan Nabi, membasuh kencing Badwi, tanpa merungut dan mencela caci.
Pada mereka, datang bertamu.

Pada kami, Allah yang menyeru.
Tugas kami menyambut tetamu.
Bukankah itu amanah di bahu?

Bulan Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan. Bukan hanya pada segala kebaikan yang sedia terjanji di lisan Nabi yang berpesan. Malah bulan ramai anak tempatan memeluk Islam. Hidayah daripada Allah, namun ikhtiarnya tidak pernah menghela lelah.

SIAPA BERTUAH SIAPA

Itulah yang mengundang tangisanku malam ini.

Ramadan dalam kenanganku di perantauan, adalah bulan Allah menghadirkan tetamu-tetamu al-Rahmaan ke setiap rumah-Nya.

Ramadan dalam realitiku di kampung halaman sendiri…

Muslim yang tidak datang ke masjid tidak pernah diendah dalam kerisauan.

Bukan Muslim yang datang ke masjid, dihalau, dicaci penuh prejudis, dan dimurkai sesuka hati.

Kalimah Allah mahu dieksklusifkan, Doa Khutbah mahu dieksklusifkan, Masjid dan Surau mahu dieksklusifkan, hingga aku terbelenggu dalam fikiran, betapa bertuahnya Melayu mendapat Islam, namun bertuahkah Islam mendapat Melayu?

Mahsyar akan menuntut jawapan kepada persoalan itu…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Menjelang 31 Ogos 2010…

Bintang Ramadhan di Tanah Kepulangan

“Mr. Imam, bolehkah awak bacakan saya mana-mana kenyataan al-Quran yang bercakap tentang Mary?” Anthony bertanya kepada saya.

“Boleh. Sebentar ya. Saya ambilkan terjemahan al-Quran di situ” saya menyambut permintaannya.

Pagi itu saya menerima kunjungan Anthony, seorang pemuda Katholik.

Beliau menyatakan minatnya untuk mendalami Islam. Saya berbesar hati menerimanya, apatah lagi Anthony bermazhab Katholik. Amat sukar untuk bertemu dengan seorang Katholik yang memeluk Islam di Belfast.

Pagi itu, Anthony muncul buat kali pertama. Beliau memperkenalkan diri kepada saya dan memberitahu bahawa beliau bekerja sebagai seorang kaki tangan kerajaan yang bertugas di Stormont, iaitu parlimen Ireland Utara. Seperti Westminster di England.

“Baiklah Anthony, saya bacakan awak beberapa petikan dari surah Maryam ya” saya memberitahu beliau.

Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Peduli Lagi Maha Mengasihi Hamba-Nya


“… Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur (16)
Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka
Kami hantarkan kepadanya: roh dari Kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai
seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.(17)
Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.(18)
Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”. (19).
Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak
lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula
bukan perempuan jahat?” (20)
Ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. (21)
Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.(22)
(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata: Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! (23)
Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), Sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.(24)
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. (25)
“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.(26)
Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! (27)
“Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” (28)
Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?” (29)
Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi. (30)
Dan ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku
hidup.(31)
“Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan ia tidak menjadikan daku seorang Yang sombong takbur atau derhaka. (32)
Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari
aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup
semula”. (33)
Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya (34)
KASIH MARYAM

Habis ayat-ayat itu saya bacakan, Anthony menangis. Matanya merenung saya dan berkata, “Imam, kalaulah yang bercakap tentang Mary ini seorang manusia, nescaya saya akan sembah manusia itu. Inilah ungkapan paling indah tentang Mary yang pernah saya dengar.”

Saya sendiri jadi hiba dengan kenyataan Anthony. Saya tahu, Maryam merupakan seorang insan yang amat istimewa di hati orang Kristian. Dalam masyarakat yang mengalami keretakan institusi keluarga, ramai yang berdamping dengan kisah-kisah Maryam, demi mencari kasih sayang dan sumber kekuatan diri. Tetapi keindahan sebutan tentang Maryam, lebih terserlah di dalam al-Quran buat Anthony, berbanding Bible yang sudah dibacanya semenjak kecil.

Pertemuan saya dengan Anthony tidak berakhir di situ. Beliau sering datang melawat masjid dan masa pilihannya ialah sebelum Zohor. Waktu itu saya agak lapang dan Anthony mempunyai banyak ruang untuk berbual dengan saya.

CUBA SOLAT

Zohor itu, Anthony duduk bersandar di dinding belakang dewan Solat.

Dia seperti tenggelam mendengar keasyikan Mohd Nor melaungkan azan. Mohd Nor adalah sahabat saya, seorang akauntan dari Malaysia yang datang menemani isterinya menyiapkan PhD di Belfast. Suara merdu Mohd Nor, atau lebih mesra dengan panggilan Abu Muaz, memukau Anthony sehingga matanya seperti tidak berkelip menghayati bait-bait azan yang membesarkan Allah di masjid kami.

“Imam, saya ada satu permintaan. Bolehkah kalau saya sertai sembahyang kamu semua? Saya berdiri di belakang pun tak apa” Anthony nampak bersungguh-sungguh dengan permintaannya.

“Boleh. Malah kamu bukan orang pertama berbuat begitu. Kamu masih ingat dengan Jonathan yang saya ceritakan tempoh hari? Sebelum dia memeluk Islam pun, dia pernah meminta perkara yang sama.” saya memberitahu.

“Oh, Jonathan tu. Dia di Coleraine, kan?” Anthony bertanya.

“Ya. Sesekali dia datang ke Belfast bertanyakan hal-hal agama dengan saya. Apa-apa pun, kamu berdirilah di saf belakang ya. Dan pastikan pakaian kamu bersih” saya menepuk bahu Anthony sambil melangkah ke mihrab untuk mengimamkan Solat Zohor tengah hari itu.

“Allahu Akbar!” saya mengangkat takbir dan segala puji buat-Mu ya Allah.

Selepas Zohor, saya masuk semula ke bilik pejabat. Anthony mengekori saya dan menyambung perbualan.

“Saya nak tahu, Imam. Di tempat kerja saya tiada tempat Solat. Bagaimanakah saya hendak bersolat? Saya tidak mahu selepas memeluk Islam, saya ada meninggalkan Solat.” beliau bertanya.

“Oh, begitu. Allah menjadikan semua tempat yang bersih, boleh digunakan untuk kita berSolat. Kamu ada bilik sendiri?” saya cuba mendapatkan kepastian.
“Tak ada. Saya hanya mempunyai cubicle sendiri.” jawabnya.

“Kalau begitu, kamu bentangkan sahaja sehelai kain untuk kebersihan. Kalau mahu, saya boleh berikan sejadah ini. Saya pinjamkan kompas untuk kamu cari arah kiblat di pejabat kamu, ya.” ujar saya.

MENABUR BERKAT?

“Oh, semudah itukah? Apakah tidak perlu kepada kamu datang ke tempat saya untuk menabur berkat?” Anthony bertanya.

Galak matanya mencari penjelasan.

“Hah hah, kamu biar betul Anthony. Di dalam Islam tiada istilah menabur berkat seperti itu. Imam hanya bertugas memimpin dan menyelaraskan Solat. Sebab Solat bukan hanya ibadah, ia juga latihan dari Allah agar umat Islam tersusun dalam kehidupannya.” saya ketawa mendengar soalan Anthony.

“Jadi maknanya dalam Solat tadi, kamu berdiri di hadapan bukan sebagai perantara kami dengan Tuhan?” beliau menyoal.

“Tidak. Semua orang bercakap secara langsung dengan Allah, berhubung secara direct dengan-Nya. Islam tidak memerlukan priest untuk menghubungkan manusia dengan Penciptanya.” saya cuba menghilangkan kekeliruan Anthony.

“Maknanya, Imam adalah Muslim Protestant lah ya?” Anthony bertanya lagi.
“Hahaha…”, saya ketawa dan saya tahu Anthony juga bergurau sebenarnya.
Sudah beberapa kali saya digelar Muslim Protestant oleh tetamu yang datang ke Masjid.
“Ya, Islam lebih dekat di hati saya. Saya dan Imam, kita sama-sama makhluk ciptaan-Nya. Kita sama-sama diuji oleh Tuhan. Siapa yang patuh akan selamat. Siapa yang engkar akan dihukum.” Anthony seperti berbicara kepada dirinya sendiri.

Dia merenung lantai dan sepi seketika.

“Anthony, apakah kamu sudah bersedia untuk kembali kepada fitrah?” saya bertanya perlahan-lahan.

Anthony mengangkat kepalanya dan tersenyum kepada saya, “Ramadhan ini saya akan lafazkan Syahadah. Saya mahu memulakan Islam saya pada bulan Islam bermula.”
“Insya Allah. Cuma kamu tahu yang kamu boleh melafazkan Syahadah pada bila-bila masa sahaja, kan?” saya mahu mendapatkan kepastian.

“Ya, saya faham Imam. Doalah kepada Allah untuk saya. Saya sedang mengumpul kekuatan diri” Anthony bersalam dengan saya di pintu masjid.

Kami sedang sibuk mengecat masjid dan membersihkan halaman kerana Ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Jika Anthony memeluk Islam, beliau adalah saudara baru ke-18 yang berSyahadah di hadapan saya. Namun tidak ramai Irish yang bermazhab Katholik memeluk Islam. Setakat ini hanya dua dan mungkin Anthony menjadi yang ketiga. Selebihnya adalah Protestant. Tetapi setiap seorang Katholik yang memeluk Islam, ternyata mereka menjadi sangat dinamik. Seorang yang terbaik di masa jahiliah akan juga menjadi yang terbaik semasa Islam, jika sikap positif dan “kuat mengaji” itu dikekalkan.

RAMADHAN ITU

Ramadhan 1424 menjelma.

Masjid kembali meriah.

Setiap malam, iftar disediakan dan anak-anak muda semakin gemar berkumpul malah tidur di masjid sahaja. Saya membiarkan sahaja, asalkan mereka menjaga kebersihan dan mengemas masjid sebelum jemaah subuh tiba.

Jumaat pertama Ramadhan itu, Anthony datang ke masjid selepas Asar.

“Salam to you Imam. May Allah bless you. How is everybody in the mosque?” Anthony menghulurkan tangan bersalaman dengan saya.

“Salam to all those who seek His guidance“ saya menjawab sambil tersenyum.

“Imam, hari ini saya berpuasa. Pastikan makanan berbuka puasa nanti cukup. Saya kelaparan yang amat sangat” Anthony ketawa kecil.

“Rumah dibina di atas tapak yang telah dipasak. Puasa kamu adalah sebahagian dari rumah itu. Bagaimana dengan tapaknya?” saya cuba beranalogi.

“Malam ini Insya Allah. Harap Imam dapat membantu”, Anthony merenung tepat ke mata saya. Padanya ada keyakinan yang tinggi dan saya tahu ini adalah hari yang dinantikan.

“Pastinya Anthony. Jika tengah malam sekali pun kamu gerakkan saya untuk ini, saya akan bangun dan membantu” saya menjawab.

Selepas solat Maghrib, jemaah sibuk mengambil tempat masing-masing sebelum nasi minyak dan ayam tandoori diedarkan. Ketika semua orang sibuk makan, saya bangun dan membuat pengumuman.

“Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakatuh. Brothers and sisters, malam ini kita berasa sangat bertuah kerana kita akan menerima seorang lagi saudara baru. Brother Anthony mahu melafazkan syahadahnya sebentar lagi. Kepada sesiapa yang berkelapangan, anda dijemput untuk bersama”

Jemaah di masjid bertakbir. Ramai yang terpinga-pinga bangun mencari siapakah Brother Anthony yang saya maksudkan. Makanan segera diselesaikan.

“Brother Anthony, malam ini kamu telah membuat kesaksian dengan penuh kerelaan hati kami bahawa Islam adalah agama Allah yang benar. Tiada sesiapa yang memaksa kamu?” saya bertanya.

Anthony mengeleng-ngelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Kamu juga telah memahami asas-asas Islam dan tahu di mana titik perbezaan antara Islam dengan Catholicism yang kamu anuti?” saya menyoal lagi.

“Terima kasih kepada Imam kerana telah membantu saya memahami Islam. Islamlah agama yang benar dan saya mahu hidup serta mati bersama Islam” Anthony menjawab dengan penuh yakin.

“Baiklah, ada sebarang persoalan terakhir sebelum kamu melafazkan Syahadah?” saya memberikan ruang kepada Anthony untuk menyelesaikan sebarang hal yang masih belum jelas baginya.

“Ya, selepas saya memeluk Islam, saya harap sekalian yang hadir dapat membantu dan membimbing saya mengenal Islam” Anthony mengangkat kepalanya kepada hadirin yang mengelilingi kami.

Seluruh jemaah tersenyum dan menganggukkan kepala. Saya menggenggam tangan Anthony sebagai tanda ‘bersama’nya saya di dalam permintaan itu.

“Awak ikut sebutan Syahadah saya satu persatu. Kita akan lafazkan ia di dalam Bahasa Arab dan kemudiannya Bahasa Inggeris.” saya memberitahu.

Anthony mengangguk.

LAHIRNYA SEMULA SEORANG HAMBA

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlah … Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah
I bear witness that there is no God but Allah … And I bear witness that Muhammad is the Messenger of Allah

“Alhamdulillah. Segala puji buat-Mu ya Allah. Oh Tuhan, kau bimbinglah Anthony ke jalan keredhaan-Mu, kau lapangkan jiwanya dengan Islam. Kau kuatkan keazaman dan semangatnya. Kau hidupkanlah dan matikanlah kami semua di dalam Islam” saya berdoa.

Anthony bangun dengan air mata bercucuran membasahi pipinya. Malam itu dia lahir semula. Tangisannya seperti anak kecil yang mencari pelukan kasih.

Kami berpelukan. Ahli jemaah masjid berjabat tangan dan mengucapkan tahniah kepada Anthony.

“Selamat kembali ke fitrah asalmu Anthony. Kami adalah saudaramu, sehidup semati” As’ad, iaitu salah seorang jemaah di masjid kami memeluk Anthony dan bersalaman dengannya.

Saya membawa Anthony ke bilik dan memberikan sedikit taklimat berkenaan beberapa perkara yang perlu Anthony lakukan. Dia yang sudah sedia datang ke masjid dengan persalinan, menuju ke bilik air untuk mandi, seumpama membasuh jahiliah yang telah ditinggalkan buat selamanya dan datang kepada Allah sebagai hamba yang suci dan bersih.

Malam itu Anthony berbaris bersama jemaah yang lain untuk solat Isyak dan Tarawih. Kali ini bukan hanya untuk merasa pengalaman, tetapi sebagai sujud pertama seorang insan yang pulang ke pangkuan Tuhan, diiringi keindahan bintang dan bulan kecil hiasan malam Ramadhan, di celah awan yang menurunkan gerimis iman, buat seorang teman bernama Anthony.

Kini, Anthony sudah berhijrah ke London. Beliau mendaftarkan diri membuat Diploma Pengajian Islam di sebuah kolej di London dan sms terakhirnya kepada saya, Muhammad Amin sudah beristerikan seorang Muslimah dari Tunisia.

Salam rindu saya buat Muhammad Amin Mooney, semoga engkau terus beristiqamah dengan Islam, yang telah mempersaudarakan kita.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Cheras, 13 Ogos 2006
Blog Widget by LinkWithin